
Cara biasa sebelum menggoreng ikan, anda akan lumur dengan serbuk kunyit dan garam kemudian goreng. Nak lagi sedap, gunakan rempah istimewa yang dikongsikan oleh Cik Puan Mai Mgnesium. Rempah yang terhasil ini boleh digaul dalam 4 jenis masakan anda. Resipi rempah ini diturunkan daripada ibu beliau. Jom cuba!
Jenis Masakan Yang Boleh Digunakan Dengan Rempah Ini
- Ikan goreng
- Ubi kayu
- Tempe goreng
- Ayam goreng
5 Bahan Rempah Utama:
- Bawang putih – banyak
- Kunyit hidup – 2 inci
- Jintan putih
- Ketumbar
- Garam himalayan atau sea salt
Cara mebuatnya:
- Kisar/tumbuk sampai lumat. Bawang putih banyak pun tak apa. Bagus untuk sistem tubuh.
Tambahan
- Boleh tambah tepung beras / jagung untuk salutan tapi sebaiknya tak perlu letak.
- Masa mengisar jangan masukkan air banyak sangat
Cara Untuk Menggoreng Ayam
- Masukkan lengkuas yang dikisar untuk serabut-serabut (tolong potong lengkuas dulu sebelum masuk dalam blender atau blender akan cepat rosak).
- Boleh tambah daun kari untuk bangkitkan aroma.
Cara Untuk Menggoreng Ubi Kayu

- Rebus dulu ubi kayu, tapi jangan sampai hancur. Kemudian barulah gaul dengan bumbu atau rempah.
- Perap dalam 30 minit ke 1 jam dan goreng.
- Pastikan minyak betul-betul panas sebelum masukkan ubi kayu perap.
Boleh Ke Blend Banyak Dan Simpan?
- Tak boleh, sebaiknya biarkan fresh
- Boleh makan dengan sambal kicap johor
Sangan / Goreng Tanpa Minyak
Cara ini juga boleh dilakukan dengan menggoreng tanpa minyak sekejap rempah jantan putih dan ketumbar dalam kuali. Ia akan membangkitkan aroma rempah dengan lebih baik.

Mak Pesan
Jangan risau tangan kuning masa menggaul sebab kunyit tu kan bagus untuk kulit kita. Lagipun, mak kata gaul dengan tangan, enzim ibu tu masuk. Nanti anak-anak akan dengar cakap dan suami pun sayang lebih.
Sumber/Foto: Mai Mgnesium / Viralkami
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Himpunan Resipi Masakan Kampung Yang Sedap & Mudah

Sedapnya aneka sajian menu harian inspirasi masakan kampung ni. Makan bersama nasi panas dan ulam-ulaman, memang membuka selera. Terdapat pelbagai masakan lauk pauk kampung yang boleh dicuba dan dijadikan panduan untuk ibu-ibu. Pasti puas hati.
KOLEKSI MENU HARIAN MASAKAN KAMPUNG
1. SINGGANG PEDAS IKAN KERISI

BAHAN-BAHAN:
4 ekor ikan kerisi
5 biji cili padi
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit
3 cawan air
5 keping asam gelugur
Garam secukup rasa
2 kuntum bunga kantan | belah 2
8 tangkai daun kesum
CARA MEMASAK:
1. Siang ikan kerisi dengan membuang sisik. Basuh bersih dan kelar.
2. Masukkan cili padi, bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit dan 1 cawan air ke dalam pengisar. Kisar halus.
2. Masukkan bahan kisar, asam gelugur, 2 cawan air dan garam ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
3. Masukkan ikan, bunga kantan dan daun kesum ke dalam periuk.
4. Biarkan mendidih lagi dengan perlahan-lahan selama 5 minit. Hidangkan.
Kredit resipi & foto: FB Hanieliza Kamarudin
2. KERABU TEMBIKAI UTARA

BAHAN-BAHAN:
Lebihan isi tembikai yang lepas dipotong ( masih di kulit)
1 biji bawang merah
5-6 biji cili padi hijau
Belacan secukupnya
Sedikit garam
CARA MEMASAK:
1. Kikis lebihan isi tembikai yang masih ada di kulit hingga ke lapisan putih. Masukkan ke dalam mangkuk.
2. Picit belacan dan cili padi. Kemudian hiris bawang merah halus-halus.
3. Gaul semua bahan dan sebatikan. Tambah secubit garam untuk menyedapkan rasa.
4. Gaul rata dan sedia untuk dinikmati.
NOTA: Kerabu Tembikai ni kalau lebih pedas, lagi sedap rasanya.
Kredit resipi & foto: Misbahul Munirah
3. TELUR AIR ASAM

BAHAN-BAHAN:
4 biji telur
Cili padi secukupnya – lebihkan jika suka pedas
1/2 biji bawang besar – hiris @ cincang
1-2 biji tomato – hiris @ cincang
BAHAN AIR ASAM:
Asam jawa
Garam secukup rasa
Aji secukupnya – jika suka
Air suam secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Satukan bahan-bahan air asam. Kacau sebati dan pastikan cukup rasa. Ketepikan.
2. Basuh telur dan masukkan ke dalam periuk. Pastikan periuk tidak terlalu besar. Jika sepadan dengan telur, lagi baik.
3. Masukkan air sama paras dengan telur. Rebus guna api paling besar selama 7 minit. Masa penting untuk dapatkan tekstur kuning telur yang cantik.
4. Bila cukup masa merebus, kupas telur di bawah air mengalir bagi mendapatkan telur yang licin dan tidak terkoyak. Toskan.
5. Belah telur dan letak dalam mangkuk.
6. Masukkan hirisan bawang dan tomato. Tuang juga air asam tadi. Biarkan selama 15 minit sebelum dinikmati kerana rasanya akan lebih sedap.
7. Hidangan ini mempunyai rasa masam, masin dan pedas. Memang sedap dimakan bersama nasi putih panas.
Kredit resipi & foto: Norul Haisyu
4. GULAI LEMAK IKAN KERING VERSI KELANTAN

BAHAN-BAHAN:
3-4 ekor ikan kering | dibasuh
Timun | dibelah kecil
5-6 biji cili hijau
1 -2 keping nanas | dipotong dadu
Santan secukupnya – ikut jumlah kuah yang anda nak & jumlah ikan yang digunakan
Garam, gula dan perasa secukupnya
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3-4 tangkai cili kering
1 biji cili merah
2-3 biji cili padi – jika nak rasa pedas
2 inci kunyit segar
Sedikit lengkuas
CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dan bahan kisar ke dalam kuali. Buka api dan biarkan mendidih. Pastikan santan selalu dikacau bagi mengelakkan kuah berketul.
2. Kemudian masukkan ikan kering, hirisan nanas, lada/cili hijau dan timun.
3. Perasakan dengan garam, gula dan perasa dengan secukupnya. Jangan letak garam terlalu banyak kerana ikan kering sudah memberikan rasa masin.
4. Asam keping juga tidak digunakan kerana nanas sudah memberikan rasa masam pada kuah.
5. Biarkan gulai mendidih sekali lagi dan boleh padamkan api.
6. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Zat Hernani
5. DAGING ASAM KUNYIT

BAHAN-BAHAN:
1/2 kg daging – rebus hingga empuk (kalau tak mahu rebus pun boleh. cuma kena masak lebih lama supaya lembut.)
1 biji bawang – besar hiris
5 ulas bawang – putih hiris
1 inci halia – hiris
10 biji cili padi – hiris (potong tengah jangan putus)
1 kuntum bunga kantan
2 batang serai – diketuk
1/2 cawan air asam jawa sederhana cair
1/4 sudu makan garam
1 sudu teh gula
Sedikit bahan perasa jika suka
1 sudu makan serbuk kunyit
2 cawan air rebusan daging
2 1/2 senduk minyak masak
Sedikit cili padi (untuk hiasan)
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan serai. Tumis hingga wangi.
2. Bila serai sudah keperangan, masukkan bahan hiris. Tumis lagi hingga naik bau.
3. Masukkan serbuk kunyit, air asam jawa dan air rebusan daging. Masak hingga mendidihh
4. Bila dah mendidih ganas, masukkan daging. Gaul seketika.
5. Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa. Biarkan sehingga kuah kering.
6. Akhir sekali, masukkan cili padi dan bunga kantan. Kacau sebati dan sesuaikan rasa. Siap untuk dihidang.
Kongsi resipi & foto: Mariana Zainal
6. AYAM GORENG SEDAP TANPA SERBUK KUNYIT

BAHAN-BAHAN:
Ayam – potong kecil dan bersihkan
5-6 ulas bawang putih – tumbuk halus
5 biji bawang merah kecil – tumbuk halus
2 inci halia – tumbuk halus
1 sudu makan serbuk cili
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk semua bahan hingga lumat. Kemudian masukkan garam serta serbuk cili. Gaul rata.
2. Lumurkan ayam dengan bahan tumbuk tadi hingga rata. Perap selama 10 minit.
3. Panaskan minyak dan goreng hingga garing dan ayam masak sepenuhnya.
4. Toskan minyak dan sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Mleisya Scaft Comey Sokmo
7. KERABU SOTONG SIAM

BAHAN-BAHAN:
300gm sotong | potong kecil dan celur
1 biji tomato | cincang nipis
2 biji cili merah |mayang halus
4 biji cili padi | mayang halus
1 labu bawang besar | mayang halus
1 batang serai | mayang halus
1 sudu makan cincangan daun ketumbar
1 sudu makan air perahan limau nipis
Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan di dalam mangkuk.
2. Gaul sebati kesemuanya.
3. Sesuaikan rasa dengan menambah garam dan gula secukup rasa.
8. GULAI LEMAK PISANG IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:
8 biji pisang muda | dibuang kulit dan dihiris
1 biji kelapa | diambil santannya
40gm ikan bilis
3Sm kunyit hidup | dikisar
10 biji cili padi | dikisar
1 batang serai | diketuk
3 helai daun kunyit
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam larutan santan pekat.
2. Kacau rata dan biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan pisang muda dan perasakan dengan garam secukup rasa.
4. Angkat dan hidangkan.
Info chef: Pastikan pisang muda dibuang kulitnya sehingga serat-serat yang melekat pada kulit dibuang kemas.
8. SAMBAL TEMPE

BAHAN-BAHAN:
4 paket tempe – hiris nipis & goreng garing
4 biji ubi kentang – potong nipis & goreng
2 genggam ikan bilis – goreng garing
2 ½ sudu makan gula
1 sudu teh garam
Sedikit bahan perasa
1 keping asam gelugur
1/2 cawan air – sebaiknya guna air panas
Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR HALUS:
25 tangkai cili kering
1 biji bawang besar – jika saiz kecil, tambahkan 1 biji lagi
5 ulas bawang putih
1 cawan minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan kisar.
2. Tambahkan gula, garam, bahan perasa dan asam gelugur. Masak lagi hingga pecah minyak dan sambal garing.
3. Tambahkan air. Biarkan sambal mendidih dan menjadi pekat.
4. Masukkan tempe dan ubi kentang yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
5. Seterusnya masukkan ikan bilis yang digoreng garing. Gaul lagi hingga semua bahan sekata.
6. Siap dan sedia untuk dinikmati. Jika suka, boleh buang lebihan minyak dalam kuali.
Kredit resipi & foto: Mariana Zainal
9. IKAN SELAR MASAK RENDANG PADANG

BAHAN-BAHAN:
20 biji cili padi
1 biji bawang merah besar
3-4 ekor ikan selar – lumur sedikit garam & kunyit
1 keping asam gelugur @ keping
CARA MEMASAK:
1. Mula mula goreng ikan selar sehingga garing.
2. Tumbuk cili padi dengan sebiji bawang sehingga separa lumat.
3. Panaskan minyak. Lebih sedikit tak mengapa untuk elakkan sambal hangus. Bila minyak sudah panas, masukkan cili padi yang ditumbuk tadi.
4. Masukkan asam keping.
5. Masukkan garam ikut suka hati dan penyedap makanan.
6. Selepas sambal tadi separa masak, masukkan ikan selar yang di goreng tadi.
7. Biarkan sebentar ikan itu sebati di dalam sambal. Agak agak dah masak tu boleh la angkat. Siap !
Kredit resipi & foto: Nor Shafinaz Radzuan
10. SAMBAL SOTONG KEMBANG

BAHAN-BAHAN:
1 ekor sotong kembang
8-9 biji cili kering besar
4 biji bawang merah – kisar
1/2 biji bawang holland – kisar
4 ulas bawang putih – kisar
1/2 inci halia – kisar
1/2 inci belacan bakar – kisar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Satukan bawang merah, bawang holland, bawang putih, halia dan belacan. Kisar halus. Ketepikan.
2. Gunting cili kering, basuh dan rebus hingga lembut. Toskan airnya. Buang biji dan kisar hingga halus.

3. Panaskan minyak dan tumis bawang kisar hingga kering airnya. Kemudian barulah dimasukkan kisaran cili kering.

4. Kacau sebati dan masak sehingga pecah minyak dan garing.

5. Masukkan garam dan gula dengan secukup rasa.

6. Bersihkan dan potong sotong kembang ikut saiz yang digemari.

7. Masukkan ke dalam kuali dan gaul sebati.

8. Tutup kuali seketika supaya sotong menjadi lembut dan menyerap sambal.

9. Buka penutup bila sotong kelihatan mesra. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.



Kredit resipi & foto: Bahiah Saripuddin (Dapur Cheyah)
11. KERABU DAGING LIMAU PURUT

BAHAN-BAHAN:
200gm daging
1 biji tomato hijau | hiris
1 labu bawang besar | mayang halus
1 batang serai muda | mayang halus
2 biji cili merah | hiris nipis
4-5 biji cili padi | hiris nipis
2 biji limau kasturi | perah airnya
3 helai daun limau purut | hiris halus
Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Daging direbus empuk dan hiris nipis.
2. Satukan tomato hijau, bawang besar, serai, cili merah dan cili padi di dalam mangkuk.
3. Tambah daging rebus berserta hirisan daun limau purut dan kaup-balikkan sebati.
4. Tambah garam, gula secukup rasa.
5. Tambah perahan limau dan gaul. Sedia dihidangkan.
12. KERABU DAUN KADUK

BAHAN-BAHAN ( HIRIS HALUS):
1 ikat daun kaduk – cuci bersih & toskan
Bawang besar
Serai
Bunga kantan
Halia muda (boleh guna halia tua, cuma rasanya kuat sikit)
Tauge – celur seketika
BAHAN TUMBUK LUMAT:
Kelapa parut
1 biji cili merah besar
Cili padi (sesuaikan ikut kepedasan yang dikehendaki)
Cili kering yang telah direndam (empunya resipi letak sedikit sahaja)
Belacan – sebesar ibu jari
Sedikit gula
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan tumbuk dan lumatkan. Masukkan dalam bekas.
2. Tambah air asam jawa dan sebatikan.
3. Masukkan bahan hiris dan tauge. Gaul lagi hingga sebati dan cukup rasanya. Lagi sedap jika ada penambahan daun cekur.
Kredit resipi & foto: Siti Khairiyah
13. KERABU TELUR DADAR

BAHAN TELUR:
3 biji telur
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
Secubit garam
1 sudu teh tepung jagung
(Satukan dan kacau sebati. Dadarkan guna kuali non-stick. Dadar nipis-nipis. Gulung kemudian hiris nipis.)
BAHAN KERABU:
1 biji bawang besar – hiris nipis
1 kuntum bunga kantan – mayang halus
1 genggam daun kesom atau daun selom -mayang halus
1 biji tomato – buang biji & potong kecil
1 genggam ikan bilis goreng
Sedikit sos ikan
2-3 biji limau kasturi – ambil jusnya
Sedikit gula
BAHAN TUMBUK:
1 biji cili merah
10 biji cili padi
1 ulas bwang putih dibakar
1/2 inci belacan
CARA MEMASAK:
1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk kecuali ikan bilis. Gaul hingga rata.
2. Renjiskan sedikit sos ikan. Masukkan sedikit gula, jus limau kasturi dan akhir sekali ikan bilis goreng. Gaul rata dan sesuaikan rasa.
3. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Razainiza Saad
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak, boleh cuba resipi di bawah ni:
Resipi Puding Roti Keju Chocolate Chip. Sedap & Memang Mudah.
Kompilasi Resipi Lauk Masak Lemak. Sedap, Mudah & Buka Selera.
Petua Simpan Lengkuas Agar Tahan Lama, Lembut & Mudah Dipotong.
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Pekasam De’Imanz, Tidak Berbau & Mudah Disediakan

Dengan tiga bahan utama dalam pekasamnya, Kamarul Asiah Muhamad atau lebih mesra dipanggil Along menghasilkan pekasam yang sangat sedap. Tiga bahan utama itu ialah garam, asam keping atau asam kandis dan beras sangai.
Di bawah jenama De’Imaz, Along menghasilkan tiga jenis pekasam iaitu pekasam daging, pekasam ayam dan pekasam ikan sungai. Ikan yang digunakan adalah ikan loma dan ikam lampam. Produk ini telah berada di pasaran selama dua tahun dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.

Menurut Along, “Saya menghasilkan pekasam kerana ingin memelihara khazanah orang dulu-dulu agar tidak luput ditelan zaman. Lagipun saya ingin generasi masa kini dan akan datang dapat mengenali produk warisan ini. Saya tak nak suatu hari nanti, mereka tak kenal apa itu pekasam.”
APA YANG BEST?
Kalau selalu orang kata pekasam ni jenis makanan yang berbau, tapi Pekasam De’Imanz tidak begitu. Keistimewaan produk ini adalah dari segi rasanya yang tidak terlalu masin. Pekasam ini juga tidak berbau kerana ada bau beras yang disangai sehingga kuning menggunakan api yang kecil. Itulah yang menjadikan pekasam ini istimewa.
Sesuai sangat untuk dijadikan sebagai instant food dan disimpan untuk dimakan ketika tak sempat nak masak lauk lain. Boleh dibawa travel.

BERAPA LAMA TAHAN?
Kalau disimpan dalam freezer, boleh tahan sehingga lebih enam bulan. Kalau disimpan di luar peti sejuk, boleh tahan dua minggu. Proses pembuatan semuanya dilakukan di rumah. Maknanya pekasam ini dibuat secara homemade.
RESIPI MASAK PEKASAM DAGING PETAI

BAHAN-BAHAN
1 senduk minyak masak
1 peket pekasam daging De’Imanz
1 labu bawang besar (dihiris)
1/2 labu bawang holand (dihiris)
Segenggam cili padi merah + cili padi hijau (dihiris)
Sedikit petai
CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak.
2. Masukkan 1 peket pekasam daging.
3. Masak sehingga agak kering.
4. Masukkan bawang besar, bawang holand, cili padi dan petai. Kacau sehingga garing.
5. Matikan api dan angkat. Sedia dihidang.

Selamat mencuba!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Cara Masak Sambal Nasi Lemak Yang Sedap & Pelbagai Guna.

Tercari-cari resipi Sambal Nasi Lemak yang sedap dan mudah disediakan? Resipi perkongsian dari Cikgu Afy Al Habibi ni tentunya perlu anda cuba. Istimewanya, sambal ini tahan lama dan boleh tahan berhari-hari tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk. Malah ia juga pelbagai guna dan boleh dijadikan pes untuk memasak aneka hidangan seperti nasi, mi, bihun dan kuetiau goreng. Memang memudahkan kerja. Jom cuba!
RESIPI SAMBAL NASI LEMAK @ IBU SAMBAL

BAHAN-BAHAN:
- 1 genggam ikan bilis – dibersihkan
- 1 mangkuk cili kisar (boleh guna kombinasi cili kering besar & kerinting untuk rasa sambal pedas-pedas manis)
- Secubit asam jawa – larutkan dengan 1/4 gelas air
- 2 1/2 sudu makan gula melaka
- 4 sudu makan gula
- Sedikit garam
- Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR:
- 1 biji bawang Holland / kuning
- 2 biji bawang merah – saiz syiling 20 sen
- 1 ulas bawang putih
- Sedikit belacan – boleh ganti dengan 1 1/2 sudu makan udang kering
- 1/2 genggam ikan bilis goreng
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyak.
2. Dengan menggunakan minyak gorengan yang sama, tumis bahan kisar hingga naik bau.

3. Seterusnya masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak menggunakan api perlahan. Tutup kuali dan biarkan ia mereneh dan cili betul-betul masak.

4. Masukkan air bancuhan asam jawa. Kacau rata.

5. Selepas bahan mendidih, masukkan 1 sudu makan ikan bilis goreng. Gaul rata.

6. Bagi mendapatkan warna sambal yang cantic, masukkan gula melaka.

7. Tambahkan juga gula putih dan juga sedikit garam. Tidak perlu banyak kerana ikan bilis sudah mempunyai rasa masin.

8. Bila sambal mula likat dan berkilat, padamkan api. Siap untuk dinikmati.


CARA BUAT SAMBAL UDANG GUNA PES SAMBAL. 5 MINIT BOLEH SIAP!
- Masukkan 2 senduk sambal ke dalam kuali. Hidupkan api.
- Masukkan udang dan tambah 1/4 cawan air. Biarkan udang mengeluarkan airnya sendiri supaya kuah rasa lebih sedap.
- Tambahkan secubit garam dan masak udang selama 5 minit.
- Siap dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!











