
Kalau diperhatikan sekarang, hampir setiap kawasan perumahan atau pusat beli-belah pasti ada restoran yang menjual Ayam Penyet, Ayam Geprek atau Ayam Gepuk. Malah, ada sesetengah kedai sanggup beratur panjang hanya kerana sambalnya yang “padu” dan ayam gorengnya yang rangup.
Fenomena ini membuktikan bahawa masakan Indonesia memang semakin diterima baik oleh rakyat Malaysia. Daripada sekadar menu viral, kini ia sudah menjadi antara pilihan makanan harian ramai orang terutama golongan muda dan keluarga.
Namun begitu, masih ramai yang keliru antara tiga menu popular ini. Nampak macam sama sebab semuanya menggunakan ayam goreng dan sambal pedas, tetapi sebenarnya setiap satu mempunyai identiti tersendiri dari segi teknik masakan, jenis sambal dan rasa keseluruhan.
Jom kenali satu persatu beza antara Ayam Penyet, Ayam Geprek dan Ayam Gepuk.
Kenapa Menu Ini Sangat Popular di Malaysia?
1. Persamaan Selera
Orang Malaysia dan Indonesia berkongsi budaya makanan yang hampir sama. Kita memang gemarkan makanan yang pedas,bergoreng, berempah dan berlemak.
Sebab itu menu seperti Ayam Penyet dan seangkatannya mudah diterima oleh rakyat Malaysia tanpa perlu “ubah suai” terlalu banyak.
2. Sambal Jadi Tarikan Utama
Kalau rakyat Malaysia boleh makan sambal dengan hampir semua jenis lauk, memang tak hairanlah menu ini cepat menjadi kegemaran. Setiap jenis ayam ini pula hadir dengan identiti sambalnya sendiri.
Iaitu Sambal terasi, Sambal bawang dan sambal kacang pedas. Semua mempunyai rasa pedas yang unik dan membuatkan ramai ketagih.
3. Harga Berpatutan & Mengenyangkan
Kebanyakan restoran menawarkan set lengkap dengan nasi putih panas, ayam goreng, tauhu, tempe, ulam dan sup.Dengan harga yang masih mampu milik, ia menjadi pilihan ramai untuk makan tengah hari atau makan malam.
4. Trend “Pedas Challenge”
Satu lagi faktor yang menjadikan menu ini popular ialah tahap kepedasan yang boleh dipilih sendiri. Ada restoran menawarkan Level 1 hingga Level 10, bilangan cili tertentu dan sambal extra tanpa had.
Ramai pelanggan terutama anak muda suka mencabar diri makan sambal pedas sambil berkongsi reaksi mereka di media sosial.
Apa Bezanya Ayam Penyet, Geprek & Gepuk?
Walaupun nampak hampir sama, sebenarnya ketiga-tiga menu ini mempunyai teknik penyediaan dan profil rasa yang sangat berbeza.
1. Ayam Penyet
Ayam Penyet dianggap sebagai menu terawal yang memperkenalkan gelombang makanan Indonesia di Malaysia sekitar awal tahun 2000-an. Hidangan ini berasal dari Surabaya, Jawa Timur dan terkenal dengan gaya masakan tradisional yang penuh rempah.
Cara Penyediaan pula ayam akan diperap dengan rempah, direbus atau diungkep sehingga empuk dan digoreng hingga garing. Teknik “ungkep” inilah yang membuatkan isi ayam lebih berperisa sampai ke dalam.
Selepas digoreng, ayam akan ditekan atau “dipenyet” menggunakan ulekan kayu atau batu supaya isi lebih lembut, mudah dicarik agar sambal lebih meresap.Namun ayam tidak dihancurkan sepenuhnya.
Sambal Ayam Penyet yang digunakan biasanya ialah sambal terasi, sambal belacan atau sambal yang dimasak. Rasanya lebih berasap, berlemak, sedikit manis dan
pedas sederhana.Sambal biasanya diletakkan di tepi dan bukan digaul bersama ayam.
Set Ayam Penyet hampir wajib hadir dengan tempe goreng, tauhu goreng, timun
kubis dan sup kosong. Gabungan ini menjadikan hidangan lebih seimbang dan mengenyangkan. Sesuai untuk mereka yang suka rasa tradisional dan rempah asli.

2. Ayam Geprek
Ayam Geprek pula gabungan moden dan pedas padu. Berasal dari Yogyakarta dan mula popular sekitar tahun 2003 sebelum menjadi fenomena di seluruh Indonesia dan Malaysia.Ia lebih moden dan banyak digemari oleh golongan muda.
Cara penyediaan Ayam Geprek menggunakan ayam goreng tepung salutan crispy ala fried chicken Barat. Ayam digoreng sehingga sangat rangup di luar tetapi masih juicy di dalam.
Teknik “Geprek”. Inilah identiti utama Ayam Geprek. Ayam crispy akan diletakkan atas cobek (lesung batu) bersama sambal, kemudian dihentak, ditekan dan dihancurkan bersama sambal. Hasilnya, sambal melekat terus pada isi ayam.
Sambal Ayam Geprek, biasanya menggunakan sambal bawang yang dibuat daripada
cili rawit, bawang putih mentah dan minyak panas. Rasanya sangat pedas, tajam,
menyengat lebih “kick”.
Ada juga versi moden yang ditambah keju mozarela, telur mata, mayo pedas, chicken chop style.Sesuai untuk peminat makanan pedas dan ayam crispy.

3. Ayam Gepuk
Ayam Gepuk merupakan antara trend terbaru yang semakin mendapat perhatian di Malaysia. Ia berasal dari Kartasura, Jawa Tengah dan terkenal dengan sambal kacang yang unik.
Anda mungkin berminat dengan
Cara penyediaan ayam gepuk menggunakan ayam goreng biasa tanpa salutan tepung tebal. Ayam biasanya diperap ringkas dan digoreng sehingga garing di luar.
Teknik Gepuk, ayam akan dipukul atau “digepuk” sehingga sedikit leper sebelum dihidangkan. Tujuannya supaya isi lebih lembut, mudah dimakan, sambal lebih melekat.
Sambal Ayam Gepuk membezakan dengan yang lain. Sambalnya menggunakan kacang gajus atau kacang tanah. Kacang akan dikisar bersama cili untuk menghasilkan sambal yang lebih pekat, lebih lemak, pedas menyengat dan sedikit masin. Gabungan rasa lemak dan pedas ini membuatkan ramai cepat ketagih.
Biasanya dihidangkan bersama kubis goreng, timun dan nasi panas. Sangat sesuai untuk penggemar sambal pekat dan pedas kaw.

Mana Satu Paling Sedap?
Sebenarnya semuanya bergantung pada citarasa masing-masing. Walaupun ketiga-tiganya berasal dari Indonesia dan menggunakan konsep ayam goreng bersama sambal, setiap hidangan sebenarnya mempunyai karakter tersendiri.
Ayam Penyet lebih tradisional, Ayam Geprek lebih moden dan crunchy manakala
Ayam Gepuk pula terkenal dengan sambal kacang yang pedas berlemak.
Apa pun pilihan anda, satu perkara memang pasti menu seperti ini memang susah nak ditolak terutama bila dihidangkan panas-panas bersama nasi putih dan sambal extra!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

