Hidangan berasaskan mi boleh menjadi alternatif bagi hidangan yang lebih ringkas namun tetap lazat dan mengenyangkan. Anda boleh cuba 7 jenis resipi mi yang dikongsikan ini. Gerenti sedap!

 

KUEY TEOW LADNA

Aneka Resipi Mi Berkuah Yang Popular, Sedap Dan Mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN A:

  • 1 paket kuey teow
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu teh minyak bijan

 

Bahan-bahan B:

  • 3 ekor sotong | potong kecil
  • 4-5 ekor udang saiz sederhana | bersihkan
  • 1 keping dada ayam | hiris nipis
  • 500ml air rebusan ayam
  • 1 tangkai sawi | potong pendek
  • 50gm hirisan kubis
  • 60gm bunga kubis | potong kecil
  • ½ batang lobak merah |potong memanjang nipis
  • 2-3 biji cili padi | ketuk kasar
  • 4 ulas bawang putih | tumbuk lumat
  • 1 sudu makan serbuk pati ayam
  • 1 sudu makan tepung jagung + 1 sudu makan air | bancuh
  • Garam dan lada sulah secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan A dan gaul rata.  Perap selama sejam kemudian goreng dengan sedikit minyak hingga lembut dan wangi.  Ketepikan.
  2. Di dalam kuali lain, panaskan sesudu makan minyak, tumis bawang putih dan cili padi hingga wangi.
  3. Masukkan isi ayam, udang dan sotong dan tumis lagi.  Tuang air rebusan ayam dan didihkan.
  4. Masukkan sawi, lobak merah, hirisan kubis dan bunga kubis.  Didihkan sekejap hingga sayuran agak lembut.
  5. Tuang bancuhan tepung jagung, tambah garam, serbuk pati ayam dan lada sulah secukup rasa.  Didihkan seminit lagi hingga kuah agak pekat.  Jika kuah terlalu pekat, tambah sedikit air.
  6. Tuang kuah ke atas kuey teow yang telah digoreng tadi.  Jika suka, boleh tabur dengan daun bawang yang telah dicincang dan sedia hidangkan.

 

Info chef: Kuey teow yang digoreng berasingan menggelakkan ia lembek.

 

 

MI HOKKIEN

Aneka Resipi Mi Berkuah Yang Popular, Sedap Dan Mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 paket mi kuning saiz besar (mi hokkien)
  • 1 ketul dada ayam | hiris nipis
  • 6-8 ekor udang sederhana | bersihkan
  • ½ mangkuk salad bulat (lettuce)| hiris kasar
  • 250ml air rebusan ayam/daging
  • 4 ulas bawang putih | cincang halus
  • 2 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan kicap pekat hitam
  • 1 sudu teh kicap cair
  • ½ sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu makan tepung jagung + 1 sudu makan air | bancuh
  • Garam dan lada sulah secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan hirisan ayam dan udang. Tuang air rebusan ayam, kicap manis, kicap pekat hitam, kicap cair dan masukkan mi. Masak hingga semua bahan empuk.
  3. Masukkan salad, garam dan lada sulah secukup rasa.
  4. Tambah bancuhan tepung  jagung dan masak seminit lagi hingga semua bahan sebati.
  5. Masukkan minyak bijan dan kaup balikkan hingga sebati. Sedia dihidangkan.

 

Info chef: Jika anda suka masakan kurang masin, tidak perlu tambah garam kerana perisa diperoleh daripada sos-sos.

 

 

MI SIZZLING

Aneka Resipi Mi Berkuah Yang Popular, Sedap Dan Mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 2-3 gulung yee mee kering
  • 5-6 biji cendawan shiitake kering | rendam sekejap dan celur
  • 3-4 batang sawi hijau pendek | potong dan celur
  • 1 biji telur

 

BAHAN-BAHAN B (KUAH):

  • 850ml air rebusan ayam/daging
  • ½ ekor ayam  |potong kecil
  • 4-5 tangkai cili kering | potong pendek
  • 5 ulas bawang putih | tumbuk halus
  • 3cm halia |cincang halus
  • 4 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan kicap pekat
  • 3 sudu makan kicap cair
  • 1 sudu makan serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 2 sudu makan tepung jagung + 2 sudu makan air | bancuh
  • Garam dan lada sulah secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam periuk, tumis bawang putih, cili kering dan halia hingga wangi.
  2. Masukkan ayam, goreng sebentar hingga ayam agak perang.
  3. Tuang air rebusan ayam. Tambah kicap cair, kicap pekat, sos tiram dan serbuk lada hitam.  Didihkan hingga semua bahan empuk dan sebati.
  4. Tuang bancuhan tepung jagung, tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Sediakan kuali sizzling, letakkan yee mee kering, cendawan shiitake celur dan sawi.  Letak di atas api yang besar, tuang sesenduk kuah.  Pecahkan sebiji telur di dalam kuali sizzling dan biar kuah mendidih sebentar.  Hidangkan.

 

Info chef:  Anda perlu menyediakan kuali sizzling sebelum memasak mi ini.

 

 

MI UDANG

Aneka Resipi Mi Berkuah Yang Popular, Sedap Dan Mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN A:

  • 1 paket mi kuning | celur
  • 2 biji tomato |hiris nipis
  • 2 biji telur rebus |belah empat
  • 50gram tauge | celur sedikit
  • 2-3 batang sawi |potong kecil & celur

 

UNTUK HIASAN:

  • Hirisan daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng secukupnya

 

BAHAN-BAHAN B (KUAH):

IKLAN
  • 1 liter air rebusan kulit udang (kulit udang direbus dan tapis, ambil airnya)
  • 8-10 ekor udang sederhana besar
  • 2-3 biji ubi keledek sederhana | rebus dan kisar
  • 10 tangkai cili kering
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 100gm udang kering | rendam sekejap
  • 3cm belacan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA-CARA:

  1. Kisar cili kering bersama bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga menjadi pes yang lumat.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam periuk.  Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi dan masak.
  3. Tuang air rebusan kulit udang dan belacan. Didihkan hingga semua bahan sebati.
  4. Tambah ubi keledek kisar, garam dan gula secukup rasa.  Didihkan lagi hingga semua bahan masak rata.
  5. Masukkan udang dan biarkan udang masak seketika (jangan terlalu lama).
  6. Sediakan serba sedikit  bahan-bahan A di dalam mangkuk/pinggan menghidang, tuang kuah dan hidangkan.

 

Info chef: Saiz udang berdasarkan bajet anda sendiri.

 

 

MI WANTAN SUP

Aneka Resipi Mi Berkuah Yang Popular, Sedap Dan Mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN A:

  • 1 paket mi wantan   | celur dan toskan
  • 2 ketul dada ayam
  • 3-4 batang sawi hijau pendek | celur dan toskan
  • 4-5 biji cendawan shiitake |bersihkan dan celur
  • 4 sudu makan kicap pekat
  • 3 sudu makan kicap cair
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan minyak bijan

 

BAHAN-BAHAN B (KUAH):

  • 1 liter air rebusan ayam
  • 8-10 biji wantan*
  • 8-10 biji bebola ikan
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 3cm halia |kisar halus
  • Garam & lada sulah secukupnya

 

BAHAN-BAHAN C (WANTAN*):

  • 8-10 keping kulit wantan
  • 50gram cincangan isi ayam
  • ½ batang lobak merah | cincang dadu halus
  • 2 batang daun bawang |cincang halus
  • 1 sudu teh sos tiram
  • 1 sudu teh tepung jagung
  • ½ sudu teh minyak bijan
  • Garam dan lada sulah secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

IKLAN

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat wantan*: satukan semua bahan C kecuali kulit wantan dan gaul rata menjadi inti.  Letakkan sesudu kecil inti ke dalam kulit wantan, sapu keliling kulit wantan dengan kuning telur, bunjutkan wantan dan kemaskan bunjutan. Ketepikan.
  2. Panaskan sesudu makan minyak di dalam periuk, tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
  3. Tuang air rebusan ayam dan didihkan.
  4. Masukkan wantan, bebola ikan, minyak bijan dan didihkan hingga wantan empuk.
  5. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  6. Sementara itu, panaskan sesudu minyak di dalam kuali, tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan kicap pekat, kicap cair, sos tiram dan minyak bijan. Tuang air rebusan ayam dan didihkan hingga semua bahan sebati. Masukkan mi wantan yang dicelur tadi dan biarkan mendidih hingga kuah kering. Angkat.
  7. Ayam diperap bersama dua sudu makan kicap cair, 1 sudu makan sos tiram dan 2 sudu makan madu selama sejam atau lebih. Goreng dan hiris nipis.
  8. Cara menghidang; Di dalam pinggan susun bahan-bahan A dan hidangkan bersama sup wantan yang dituang di dalam mangkuk berasingan.

 

Info chef: Enak dimakan bersama cili jeruk atau cili potong.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI