Jus! Mendengarkan namanya saja sudah cukup membuat hati ceria. Apatah pula, di tengah hari yang panas terik, segelas jus pasti mampu menghilangkan rasa dahaga sekali gus menyegarkan tubuh badan. Tahukah anda, hampir keseluruhan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dikisar dan dijadikan jus minuman?
Malah terkini, terdapatnya campuran antara jus buah-buahan dan sayur-sayuran di pasaran. Memang sedap! Nak cuba buat sendiri? Jom lihat seleksi buah dan sayur yang paling sesuai dijadikan jus harian anda.
1. TIMUN
Timun atau mentimun (Cucumis sativus) merupakan sejenis tumbuhan yang dikategorikan sebagai sayur-sayuran. Ia juga tergolong dalam keluarga yang sama dengan tembikai dan labu. Timun boleh dimakan mentah ataupun dimasak. Timun mengandungi protein, lemak, karbohidrat, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, B2 dan vitamin C. Jus timun elok diminum ketika sakit tekak dan batuk-batuk. Malah, timun juga sesuai diamalkan oleh individu yang menghadapi masalah membuang air besar.
2. ROSELLE
Hibiscus sabdariffa L. atau lebih dikenali dengan nama roselle dikatakan berasal dari India. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis makanan seperti halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle. Roselle mengandungi vitamin C melebihi 20 kali ganda berbanding buah limau. Malah roselle juga dikatakan berupaya merawat demam panas, selesema, resdung, asma dan insomnia. Selain itu, roselle juga dikatakan boleh bertindak sebagai pencegah penyakit kardiovaskular, anti penuaan dan anti kanser.
3. KELAPA
IKLAN
Antara minuman kegemaran rakyat Malaysia dan mudah didapati setiap hari. Selain diminum begitu sahaja, air kelapa juga boleh digunakan untuk menghasilkan Coconut Shake, pudding, agar-agar dan bermacam-macam lagi. Malah mengikut amalam orang dahulu kala, air kelapa juga boleh dijadikan penawar untuk mengatasi masalah keracunan, cirit-birit, demam panas, bronkitis dan kesukaran membuang air kecil dan besar.
4. TOMATO
Buah tomato boleh dimakan mentah dan dimasak. Malah, ia juga boleh dijadikan jus minuman. Ini kerana tomato mengandungi vitamin C yang tinggi dan bertindak sebagai anti oksidan. Tomato juga tidak menggemukkan kerana ia mengandungi 21 kalori sahaja. Kandungan airnya yang tinggi iaitu lebih daripada 90 peratus menjadikannya sebagai ‘diuretic’ yang baik untuk mengalirkan toksin keluar dari badan ketika sedang berdiet.
5. LOBAK MERAH
IKLAN
Lobak merah bukan sahaja mampu mengurangkan kedut pada wajah, malahan amat bagus untuk kesihatan mata anda. Ini kerana lobak merah kaya dengan vitamin A. Vitamin ini sangat diperlukan oleh tisu badan untuk pelbagai fungsi. Salah satu daripadanya adalah untuk membina pigmen bagi penglihatan yang baik pada waktu malam. Sebaiknya pengambilan jus lobak setiap seminggu sekali amat digalakkan untuk menjaga mata yang sihat dan menawan.
6. PEGAGA
Selain dinikmati secara mentah sebagai ulam-ulaman, pegaga juga sedap dijadikan minuman. Caranya mudah sahaja. Campurkan 7-11 helai daun pegaga bersama 1 gelas air suam. Kisar dan tapis. Kemudian campurkan madu atau gula dengan secukupnya. Jika suka, boleh juga tambahkan susu segar. Amalkan seminggu sekali sebagai amalan untuk mendapatkan kulit yang cantik dan awet muda.
7. ALOE VERA
Tumbuhan dari keluarga kaktus yang sangat banyak manfaat dan mudah ditanam. Maka tidak hairanlah ia sudah mula digunakan sejak zaman kuno Mesir. Aloe vera mengandungi bahan-bahan yang berkesan merawat masalah kulit seperti luka, kering dan menggelupas. Malah minuman dari bahan ini dikatakan bagus untuk menyejukkan badan. Untuk menyediakan jus aloe vera, anda perlu ambil daun lidah buaya yang matang. Kemudian buang kulit dan potong dadu isinya. Seterusnya didihkan air dan masukkan potongan aloe vera tadi bersama daun pandan serta gula secukupnya. Biarkan mendidih selama 3-4 minit dan sejukkan.
IKLAN
8. SERAI
Terkenal sebagai herba yang kaya dengan khasiat dan manfaat. Air rebusan serai mempunyai rasa yang sedikit pedas namun berkhasiat untuk merawat sakit kepala, menghilangkan kembung, membuang angin dan menyegarkan tubuh.
9. HALIA
Halia dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menambah tenaga dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Malah ia juga dikatakan boleh mengawal demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Di pasaran, ada dijual teh halia segera. Namun jika nak dihasilkan secara homemade pun mudah sahaja. Ambil beberapa keeping hirisan halia dan masukkan ke dalam cawan berisi air panas atau air teh. Biarkan seketika dan minum semasa masih hangat. Memang menyegarkan.
10. DURIAN BELANDA
Batang, akar, biji dan buah durian belanda (annona muricata, keluarga annona) mempunyai banyak khasiat. Menurut kajian, durian belanda mampu merawat dan mengelakkan individu daripada mendapat penyakit kanser dan menyuburkan pasangan yang inginkan zuriat. Untuk menikmati jusnya, hanya kisar isi durian belanda bersama air ikut kepekatan yang digemari. Malah isi durian belanda juga boleh disejukbekukan dan disimpan lama.
Di samping ramai peminat kopi, ada juga peminat teh. Lagi-lagi teh 3 layer. Teh 3 layer ni memang ramai peminatnya. Rasanya sedap dan lemak-lemak manis dengan susu serta gula melaka. Nah, kami kongsikan resipinya supaya korang boleh buat sendiri di rumah.
TEH 3 LAYER (resipi untuk 2 gelas)
BAHAN-BAHAN
• 3 ucang teh
• Sedikit air panas
• 3 keping gula melaka
• Ais
• 1/2 tin susu cair
CARA MEMBUAT
1. Bancuh teh uncang dengan air panas dan biarkan seketika. Ketepikan.
2. Cairkan gula melaka dalam periuk dengan sedikit air. Kacau hingga gula melaka hancur dan sebati.
3. Masukkan air gula melaka ke dalam gelas dan sejukkan seketika.
4. Masukkan ais ke atas lapisan gula melaka. Kemudian masukkan susu cair dengan perlahan-lahan.
5. Masukkan air teh dengan perlahan-lahan. Siap untuk diminum!
TIP
Sila kurangkan gula melaka kalau tak suka manis. Boleh juga nak tambah teh uncang supaya lapisan teh lebih pekat.
Resipi oleh Saliza Sabri dari Telegram KakiMakan t.me/kakimakan
Sebut je tentang teh tarik, pasti anda terbayang kemanisan dan aromanya yang memikat pabila diminum. Teh tarik merupakan antara minuman yang popular di kedai mamak. Lagi best bila ada buih di bahagian atas gelas. Memang padu! Namun, tak ramai yang tidak tahu cara untuk membuat teh tarik yang sedap dan padu seperti di kedai mamak. Namun, cuba guna tip yang dikongsi oleh Nazia Suhaimi, pastinya teh tarik anda selepas ini lebih padu. Kalah kedai mamak!
TEH TARIK
BAHAN-BAHAN:
Teh serbuk
Susu cair
Susu pekat manis
Air panas
CARA PENYEDIAAN:
1. Gunakan teh serbuk. Saya guna jenama Boh. Letak dalam 5 sudu di dalam kole ini.
2. Masukkan air panas hingga penuh.
3. Tunggu sekejap bagi kembang.
4. Sekiranya teh sudah kembang, tapis sewaktu tuang ke dalam jug. Jug pink tu saiz sederhana.
5. Okay ini rupa air yang dah ditapis. Hitam semanis rupamu.
6. Okay ulang sekali lagi. Teh serbuk tadi, kita letak lagi air panas sampai penuh kole.
7. Tuang lagi ke dalam jug pink tadi. Jangan lupa tapis ya!
8. Ulang lagi step yang sama sehingga penuh jug anda.
Barli atau nama botaninya Hordeum Vulgarie dikatakan bijirin pertama yang telah ditanam di Timur Tengah kira-kira 9000 tahun yang lalu. Berkemungkinan ia juga merupakan bijirin terawal dan paling penting pada ketika itu.
Pokok barli
Bijirin barli ni kelihatan macam biasa tetapi disebaliknya terkandung 1001 khasiat yang sangat bagus untuk kesihatan. Selain direbus dan dinikmati sebagai minuman, barli juga boleh dijadikan tepung, emping dan bran. Ia kaya dengan fiber, vitamin, berprotein tinggi dan mempunyai beberapa mineral penting yang lain yang sangat bagus dalam memberikan manfaat kepada tubuh badan.
Barli belum proses
KHASIAT BARLI
1. MENYEJUKKAN BADAN.
Jika demam atau suhu badan tinggi, jus barli dikatakan boleh menyejukkan badan.
2. KAYA VITAMIN & ZAT GALIAN
Malah ia juga mengandungi banyak khasiat yang bagus untuk tubuh. Antaranya 11 kali kalsium, 5 kali zat besi, 7 kali vitamin C dan 80 mg vitamin B12 daripada 100gm barli. Wow…Bagusnya!
3. BOLEH MENURUNKAN BERAT BADAN
Barli juga boleh membantu menurunkan berat badan. Ia mengandungi serat yang memberikan rasa kenyang yang berpanjangan.
4. BANTU RENDAHKAN KOLESTEROL & ELAK SEMBELIT
Pada masa yang sama, Barli membantu merendahkan kolesteroldalam darah, membantu usus berfungsi dengan sihat sekali gus mengatasi masalah sembelit.
Barli siap proses
5. MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT BARAH & JANTUNG
Pengambilan bijirin ini juga dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Ini kerana ia mengandungi tokol yang tinggi, iaitu minyak yang bertindak sebagai antioksida semula jadi. Antioksida ini membantu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan risiko penyakit barah serta jantung.
Banyak kan khasiat bijirin kecil ni? Jadi amalkanlah pengambilan Barli dalam diet harian anda. Selain dibuat minuman, Barli juga boleh dimasak. Jom cuba resipi di bawah ini. Anda pasti sukakan rasanya.
SUP BEBOLA DAGING BARLI TIMUN
BAHAN-BAHAN:
2-3 batang timun jeruk
150gm barli
200gm daging lembu cincang
1biji telur
1-2 sudu teh pes bawang putih
3 biji bawang merah | hiris nipis
2-3 biji ubi kentang | potong dadu
2.5 liter air rebusan / stok daging
Sedikit daun dill
Minyak masak secukupnya
Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
Basuh barli dan rendam semalam. Ketepikan.
Masukkan air rebusan/ stok daging di dalam periuk dan apabila menggelegak, masukkan barli. Masak lebih kurang 20 minit. Ketepikan.
Untuk menyediakan bebola daging; satukan daging cincang, telur, pes bawang putih dan sedikit garam. Gaul sekata dan bentukkan menjadi bebola daging. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah hingga terbit wangi dan tuang ke dalam air rebusan/stok tadi. Gaul sekata.
Masukkan ubi kentang dan bebola daging dan masak lagi kira-kira 15 minit atau sehingga bebola daging dan ubi kentang masak sepenuhnya.
Akhir sekali, masukkan hirisan timun jeruk, daun dill dan masak beberapa minit lagi. Perasakan dengan garam secukup rasa. Gaul sekata.