Sambal mangga ikan bakar ini, kalau tengok pun dah terliur. Dapat bayangkan rasa masam dan pedas yang memikat selera. Tambah lagi kehadiran ikan sardin bakar yang ada rasa manis yang tersendiri.
Ha..sedap kan? Orang belah pantai timur ada yang menyebut mangga ini sebagai buah pauh atau mempelam. Kali ini, mangga yang digunakan adalah jenis ‘pauh ringan’ atau mangga epal (pelam epal). Memang sedap.
Ikut saja resipi yang dikongsikan oleh puan Noryue Rania ini ye. Buat masa berbuka nanti, memang konfim bertambah makan. Makan time sahur pun boleh. Cerah mata makan sambal yang masam dan pedas ni.
Sesekali makan lauk simple begini, bukannya sekali tambah, Boleh jadi tak cukup nasi dibuatnya. Manakan tidak dapat nasi panas-panas digabung dengan ikan goreng bersalut tepung yang rangup. Cicah pula dengan sos thai, pergh memang lengkap rasa. Tak payah lauk lain pun tak apa.
Sedapnya serbuk asam ni. Kalau beli buah potong seperti jambu, mangga atau tembikai, letak serbuk asam ni memang lagi sedap. Bagi anda yang nak buat stok serbuk asam dekat rumah, resipi perkongsian saudari Deeya Rostam ni boleh dicuba.
RESIPI SERBUK ASAM JAMBU SEDAP
BAHAN-BAHAN:
5-6 tangkai cili kering
1 genggam udang kering
2 inci belacan
1 paket serbuk asam (kepala rimau) @ serbuk asam putih a1
6 sudu gula kasar
1 sudu garam
CARA MEMASAK: 1. Basuh cili kering dan biarkan dalam 20-30 minit untuk tos airnya. 2. Udang kering juga dibasuh. Toskan airnya. 3. Panaskan kuali, sangat belacan, udang kering dan cili kering hingga nampak kering dan berbau semerbak. Pastikan tidak hangit. 4. Bila siap sangai, masukkan ke dalam pengisar kering (blender kering). 5. Masukkan 2 sudu gula dan 1 sudu garam. Kisar hingga hancur. 6. Bila siap kisar, tuang ke dalam mangkuk. Campurkan serbuk asam dan 3-4 sudu gula supaya teksturnya nampak kasar.
7. Serbuk asam sedia untuk dinikmati. Sedap dimakan bersama potongan mangga, jambu dan tembikai.
Masakan autentik Johor adalah kepakaran Ketua Wanita UMNO, Batu Pahat, Johor Datin Hajar Abdul Rahman. Beliau membuka rahsia dan petua amalan memasak yang diwarisi dari arwah bapanya kepada RASA. Sajian ni memang bestlah buat berbuka.
Menurut Datin Hajar dia mampu menyediakan tiga jenis lauk pauk dalam masa setengah jam. “Sebenarnya untuk menyedapkan sajian ada langkah urutan dan petuanya yang tertentu. Contohnya dalam masakan Asam Pedas Kerisik, kalau masak lauk ini saya akan memasukkan serbuk lada hitam dan kerisik setelah pes cili kering pecah minyak dan naik bau.
Bila nak masukkan daun kesum saya masukkan batangnya dahulu bersama isi bunga kantan dan setelah mendidih baru dimasukkan daun kesumnya. Batangnya lebih wangi dan masakan jadi lebih lazat. Bagi memekatkan kuah, saya letakkan juga buah keras,” ceritanya membuka petua yang diwarisi dari arwah ayahnya.
Masak Lemak Cendawan juga sungguh lazat. Cendawannya rangup dan kuahnya lemak manis terasa ikan bilisnya. Pesan beliau pilih cendawan hutan yang berkualiti, jika tersalah pilih ia boleh menyebabkan lauk menjadi tidak berapa sedap.
Sambal geledek pula menu ‘wajib’ yang perlu ada di meja hidangan keluarganya.
“Sambal geledek atau sambal ketuk ni sebenarnya boleh dijadikan rencah nasi goreng, jadi jika dibuat lebih pun elok untuk dibuat stok dan jadi rencah kepada lauk lain,” kongsinya lagi.
Jom semak 3 resipi istimewa air tangan Datin Hajar Abdul Rahman iaitu Asam Pedas Kerisik Ikan Merah, Sambal Belacan Geledek dan Masak Lemak Cendawan Hitam.
1. ASAM PEDAS KERISIK IKAN MERAH
BAHAN- BAHAN :
500 gm keping ikan merah (anggaran 2 keping)
3 sudu makan pes cili kering
1.5 sm halia | dikisar
2 ulas bawang putih |dikisar
1 biji bawang besar |dikisar
1/2 sudu makan kunyit serbuk
1/2 sudu makan kerisik
1/2 tangkai bunga kantan | ambil isi dan kelopak dari sebelah hirisan yang dibelah dua
3-4 batang daun kesum
Beberapa helai daun kesum
1/2 sudu makan asam jaya | dicampur suku cawan air
1 sudu teh buah keras
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
500 ml atau air secukupnya |bergantung kepada kepekatan yang anda suka
1 biji tomato|dibelah empat
4 batang bendi
Serbuk lada hitam secukup rasa
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar.
Tumis hingga naik bau, dan masukkan pes cili kering dan serbuk kunyit. Gunakan api sederhana, tumis hingga pecah minyak dan wangi. Masukkan batang daun kesum dan air asam jawa.
Kemudian masukkan serbuk lada hitam, kacau dan kemudian masukkan air.
Tutup periuk dan biarkan mendidih. Apabila mendidih masukkan ikan, daun kesum, bunga kantan.
Masukkan buah keras untuk memekatkan kuah. Masukkan pula bendi dan tomato.
Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika.
Perasakan dengan garam dan gula
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 20 minit
Cara memasak : Tumis, didih dan reneh
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Resepi asam pedas warisan dari generasi ‘lama’ Johor
Anggaran kos : RM30
SAMBAL GELEDEK
BAHAN-BAHAN :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar | dihiris kasar
6 biji cili merah
6 biji cili hijau
2 biji cili padi
Dua genggam bilis
Gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dan goreng kesemua bawang, cili merah, cili hijau dan cili padi sampai kekuningan.
Angkat dan toskan.
Kemudian gorengkan ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan.
Kemudian tumbuk bawang, cili padi dan hingga lumat, kemudian masukkan gula dan tumbuk sekali.
Masukkan ikan bilis goreng tadi dan tumbuk sampai ikan bilis hancur.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Boleh dijadikan rencah nasi goreng jika ada lebihan.
Anggaran kos : RM6
MASAK LEMAK CENDAWAN HITAM
BAHAN-BAHAN:
100 gm cendawan hitam | rendam bagi kembang
3 biji bawang kecil | dikisar
Segenggam ikan bilis | digoreng dan ditumbuk
220 ml santan kotak
2 helai daun limau purut |dicarik
1/4 sudu teh serbuk kunyit
2 batang serai | dititik
1 sudu makan sambal geledek (atau apa apa sambal)
500 ml air
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam kuali.
Tumiskan bawang hingga naik bau dan masukkan serai dan ikan bilis
Masukkan satu sudu makan sambal geledek
Masukkan santan, serbuk kunyit dan kemudian air.
Bila mendidih masukkan cendawan.
Akhir sekali masukkan limau purut dan perasakan dengan garam.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis dan didih
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Kuah berlemak dan masam serta cendawan hitam yang rangup