Resipi Kuih Tako Jagung Paling Sedap & Mudah Buat.

Share

Tak lama lagi bulan Ramadan bakal menjengah tiba. Antara yang menjadi pilihan ramai di bazar ramadan tentunya aneka kuih muih serta manisan pembuka selera seperti Kuih Tako Jagung. Rasanya yang tidak terlalu manis dan bertekstur lembut, menjadikan kuih ini antara kegemaran ramai terutamanya jika dimakan sejuk. Nak cuba buat Kuih Tako Jagung ni secara homemade

? Jom cuba resipi perkongsian saudari Manja Md Diah ni. Pasti puas hati.

 

CARA BUAT KUIH TAKO JAGUNG

 

BAHAN A (HIJAU):

  • 2 cawan tepung jagung
  • 10 cawan air
  • 3 cawan gula pasir
  • 1 tin jagung manis
  • Sedikit pewarna hijau

BAHAN B (PUTIH):

  • 2 cawan tepung jagung
  • 18 cawan santan perah ( daripada 3 biji kelapa parut)
  • 4 sudu (sudu kfc) garam
  • Daun pandan – simpulkan

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan A dalam periuk. Kacau sebati dan barulah dihidupkan api. Masak hingga mendidih. Padamkan api.

2. Tuang adunan A ke dalam acuan atau bekas kuih. Pastikan tuang hingga separuh dari ketinggian bekas. Ketepikan seketika.

3. Untuk menyediakan lapisan putih, satukan bahan B dan adun sebati.

4. Buka api dan masak hingga mendidih. Pastikan adunan sentiasa dikacau supaya tidak berketul. Adunan B ini memang sedikit cair berbanding adunan A.

5. Bila adunan B mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam bekas berisi adunan A tadi hingga penuh.

6. Biarkan kuih sejuk dan sedikit pejal. Sedia untuk dinikmati.

INFO: Jika guna acuan kelongsong pandan, boleh dapat dalam 120 biji. Jika guna cawan dadih yang rendah, boleh dapat dalam 80-90 biji Kuih Tako Jagung.

 

Kredit resipi & foto: Manja Md Diah

IKLAN