
Kuih Goyang atau Kuih Ros adalah antara kuih tradisional yang cukup popular, terutama ketika musim perayaan. Bentuknya yang menyerupai bunga, teksturnya yang nipis dan rangup serta rasanya yang lemak manis memang membuatkan sesiapa sahaja susah nak berhenti mengunyah.
Kuih ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Kuih Loyang, Kuih Bunga Durian dan Kuih Sarang Tebuan. Menariknya, Kuih Goyang mempunyai persamaan dengan kuih tradisional masyarakat India, khususnya dari India Selatan, yang dikenali sebagai Achu Murukku atau Achappam.
Nama Kuih Goyang pula cukup unik kerana merujuk kepada teknik penyediaannya. Acuan berbentuk bunga dicelup ke dalam adunan tepung sebelum dimasukkan ke dalam minyak panas. Kemudian, acuan digoyang perlahan-lahan supaya kuih tertanggal dan dapat digoreng hingga garing.
Walaupun nampak mudah, nak hasilkan kuih goyang yang cantik, nipis dan rangup sebenarnya ada tekniknya. Paling penting, acuan mesti cukup panas dan bancuhan tepung perlu mempunyai kepekatan yang sesuai.
Kalau nak cuba buat sendiri di rumah, boleh ikut resipi dan tip yang dikongsikan ini. Hasilnya bukan sahaja rangup, malah bentuk bunganya pun cantik dan tidak mudah pecah.
Resipi Kuih Goyang Rangup dan Cantik
Untuk mendapatkan hasil yang rangup dan tidak mudah melekat pada acuan, pastikan sukatan bahan digunakan dengan betul. Bancuhan yang terlalu pekat boleh menyebabkan kuih menjadi tebal, manakala bancuhan yang terlalu cair pula boleh menyukarkan proses menggoreng.

Bahan-Bahan:
- 4 cawan tepung beras (jenama Teratai atau Gajah 1)
- ½ cawan tepung gandum
- 1 cawan gula
- 2 biji telur ayam
- 1 sudu besar air kapur jernih
- ½ sudu kecil garam
- 2 cawan santan pekat
- 2 cawan air
- Bijan secukupnya (jika suka)
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Nota: Campurkan 2 cawan santan pekat bersama 2 cawan air. Daripada campuran tersebut, sukat dan gunakan 3 cawan sahaja untuk menyediakan adunan. Jika mahukan kuih yang lebih nipis, boleh tambah kira-kira ¼ cawan air lagi mengikut kesesuaian bancuhan.
Cara Memasak:
- Satukan tepung beras, tepung gandum, gula dan garam di dalam bekas yang sesuai.

- Masukkan telur, air kapur dan 3 cawan campuran santan yang telah disediakan tadi.

- Kacau hingga semua bahan sebati dan menjadi adunan yang licin. Jika perlu, tapis adunan supaya tidak berketul.

- Masukkan bijan jika suka dan kacau rata.

- Panaskan minyak di dalam kuali menggunakan api sederhana. Masukkan acuan kuih goyang ke dalam minyak dan biarkan sehingga betul-betul panas.

- Angkat acuan panas, kemudian celup ke dalam adunan tepung. Pastikan adunan tidak menutupi bahagian atas acuan supaya kuih mudah tertanggal.

- Masukkan acuan yang bersalut adunan tadi ke dalam minyak panas. Biarkan seketika sebelum menggoyangkan acuan perlahan-lahan secara menegak sehingga kuih tertanggal.

- Goreng kuih menggunakan api sederhana sehingga bertukar warna keemasan.

- Angkat dan toskan kuih di atas redai supaya lebihan minyak dapat menitis keluar.

- Biarkan kuih sejuk sepenuhnya sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

5 Tip Kuih Goyang Rangup, Cantik & Tak Melekat Pada Acuan
Selain menggunakan sukatan bahan yang betul, teknik mengendalikan acuan dan mengawal suhu minyak juga memainkan peranan penting. Berikut lima tip yang boleh membantu supaya kuih mudah tertanggal, tidak pecah dan kekal rangup.
1. Rendam Acuan Dalam Minyak Semalaman
Sebaik-baiknya, rendam acuan kuih goyang di dalam minyak masak selama satu malam sebelum digunakan, terutama jika menggunakan acuan baharu. Cara ini boleh membantu menyediakan permukaan acuan supaya kuih lebih mudah ditanggalkan.
2. Pastikan Acuan Betul-Betul Panas
Ini antara rahsia paling penting untuk mendapatkan kuih goyang yang cantik. Panaskan acuan di dalam minyak sebelum mencelupkannya ke dalam adunan. Selepas dicelup, tunggu sehingga bunyi desir berkurangan sebelum mengangkat acuan dan memasukkannya semula ke dalam minyak.
Acuan yang tidak cukup panas boleh menyebabkan adunan melekat dan sukar ditanggalkan ketika menggoreng. Sebab itu, pastikan acuan dipanaskan semula setiap kali sebelum mencelupkannya ke dalam bancuhan tepung.
3. Goyang Acuan Secara Menegak
Nak tanggalkan kuih daripada acuan, jangan goncang terlalu kuat. Cukup goyang perlahan-lahan secara menegak, iaitu ke atas dan ke bawah. Teknik ini membantu kuih tertanggal tanpa merosakkan bentuk bunganya.
4. Jangan Biarkan Acuan Terkena Dasar Kuali
Ketika menggoreng, pastikan acuan tidak menyentuh dasar kuali. Ini bagi mengelakkan bentuk bunga menjadi rosak atau kuih melekat dan sukar ditanggalkan.
5. Angkat Kuih Sebelum Terlalu Perang
Apabila kuih sudah bertukar warna keemasan, bolehlah terus diangkat dan ditoskan. Jangan tunggu sehingga terlalu perang kerana haba yang masih terperangkap pada kuih akan meneruskan sedikit proses memasak selepas diangkat.
Anda mungkin berminat dengan
Rahsia Kuih Goyang Kekal Rangup Selepas Digoreng
Kuih goyang yang menjadi biasanya mempunyai tekstur nipis, ringan dan rangup apabila digigit. Rasanya pula cukup seimbang antara lemak santan dan manis gula.
Selain memastikan kuih digoreng hingga keemasan, proses menyejukkan kuih sebelum disimpan juga penting. Elakkan memasukkan kuih yang masih panas ke dalam bekas bertutup kerana wap yang terperangkap boleh menyebabkan teksturnya menjadi lemau.
Sebaik-baiknya, susun kuih di atas redai dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dipindahkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan di tempat yang kering supaya kerangupannya dapat dikekalkan lebih lama.
Memang sedap dijadikan kudapan minum petang atau dihidangkan kepada tetamu ketika musim perayaan. Kalau ikut teknik yang betul, bukan sahaja kuih mudah tanggal daripada acuan, malah hasilnya juga cantik dan rangup. Selamat mencuba!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

sekarang!
