Steamboat, barbeku dan grill bukan lagi asing di tanah air kita. Banyak restoran yang telah mula menawarkan hidangan sebegini atas permintaan ramai. Pun begitu, anda harus mencuba menu ini di Pak John Steamboat & BBQ. Ada dua cawangan pilihan iaitu eCurve Mutiara Damansara dan IOI City Mall, Cyberjaya.
Jangan tak tahu, restoran ini menyediakan lima jenis kuah steamboat yang pasti membangkitkan selera anda. Lima jenis kuah itu adalah Sup Tomyam, Sup Udang, Sup Miso, Sup Ayam dan Sup Kari. Paling mendapat sambutan adalah Sup Tomyam kerana rasanya yang pedas dan cukup sempurna cita rasanya.
Melengkapkan seleksi anda, ada lebih 160 pilihan makanan untuk penyediaan steamboat dan barbeku anda. Antaranya bebola ikan, kek ikan, isi ketam dan pelbagai jenis sosej. Anda juga boleh memilih pelbagai sayur yang disediakan seperti salad, cendawan dan tauhu. Bagi mereka yang suka makan mi, ramen atau udon bolehlah ke kaunter mi yang disediakan.
Ads
SESUAI SETIAP MASA
Selain steamboat yang sangat enak dengan lima jenis kuah, turut ada barbeku grill yang boleh dinikmati pada waktu makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam. Bukan setakat itu, restoran ini juga menyediakan makanan bufet yang lazat seperti Nasi Goreng, Spaghetti Carbonara, Sayur Campur Goreng, Sambal Sotong, Ayam Masam Manis dan juga pelbagai makanan sejuk beku bergoreng.
Paling istimewa disediakan juga bahan-bahan segar untuk grill antaranya itik, ayam, daging lembu dan kambing. Antara daging yang boleh didapati di restoran ini ialah Australian Beef Slices, New Zealand Beef Slices, New Zealand Lamb Slices dan juga Smoked Duck Breast Slices. Setiap pilihan daging premium yang disediakan dijamin segar dan boleh dinikmati tanpa had.
Disebabkan daging dihiris nipis, anda tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk memasak daging yang disediakan. Antara yang menjadi kesukaan ramai adalah New Zealand Lamb Slices kerana rasa daging kambing yang sangat manis. Apatah lagi tesktur daging lembut dan rasanya lebih sedap.
Selain hirisan daging segar, restoran ini juga menghidangkan daging yang diperap seperti black pepper beef, sweet soya chicken dan spicy chicken. Makanan laut segar seperti kepah, lala dan sotong juga ada untuk peminat-peminat makanan laut.
Ads
SELEKSI PENCUCI MULUT
Selepas selesai menikmati makanan utama yang disediakan, anda bolehlah memilih pencuci mulut yang bersesuaian. Terdapat air batu campur atau ABC, koktel buah-buahan, jeli, cendol, kek, aiskrim dan wafel. Semuanya sedap dan membuka selera. Sesuai untuk dinikmati ketika berehat sebentar selepas makan.
Ads
Sememangnya menikmati makanan di sini cukup berbaloi. Semuanya ada dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Sesuai datang bersama keluarga. Tempat yang selesa dan berhawa dingin. Malah disediakan juga bilik khas (private room) untuk meraikan sebarang majlis kecil-kecilan.
Jom singgah!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Jika anda seorang peminat ramen, anda wajib singgah di gerai Ramen Heaven yang terletak di Telok Gadong, Klang, Selangor. Pelbagai hidangan ramen ada dijual di sini.
Ramen adalah makanan mi yang popular di Jepun. Selalunya mi di negara tersebut dihidang dengan pelbagai cara yang meliputi sup, tekstur mi dan juga ditabur dengan pelbagai topping untuk memberi kelainan cita rasa.
Menurut empunya gerai yang dikenali sebagai Jaafar, ramai pengunjung yang selalu mengulang makan di sini kerana teringat-ingat akan ramen yang dijual. Gerai ini mulai beroperasi sejak Oktober 2022 dan semakin ramai peminat pada hari ini.
Pun begitu, bukan hanya ada ramen yang dijual sini. Pelbagai menu lain yang menarik minat pelanggan turut ada. Misalnya nasi lemak kangkung, oden, roti bakar Milo dan cekodok legend.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Ada pelanggan yang datang dari jauh seperti Sungai Buloh dan Petaling Jaya. Malah ada yang datang dari Melaka. Kebanyakan pelanggan yang datang akan repeat lagi selang beberapa hari,” katanya.
Penuh meja!
Antara komen pelanggan yang buat kami gembira adalah sudah lama tak jumpa nasi lemak kangkung macam ni. Rindu zaman dulu-dulu makan nasi lemak kangkung. Ada juga yang kata sambal nasi lemak memang padu. Susah dah sekarang nak jumpa sambal macam ni. Last saya makan sambal sedap macam ni semasa kerja tahun 1990-an dulu. Ada juga pelanggan beri maklum balas oden kami sedap sebab tak berapa pedas. Anak-anak suka makan,” katanya lagi.
Suasana di gerai.
PELBAGAI MENU MENAMBAT RASA
Oden Selambak Udang Beratur
Menu baru. Menggunakan udang segar. Setiap hidangan akan dapat antara empat hingga enam ekor udang bergantung kepada saiz udang. Resipi oden ni diperoleh daripada sahabat yang merupakan seorang chef yang ada food truck di Melaka. Kuah oden ini dimasak selama dua jam dengan 15 rempah pilihan. Jadi menu ini antara pilihan utama pelanggan. Ramen Heaven ada promosi pada setiap Rabu untuk wanita hamil iaitu diskaun 10 peratus untuk menu ini.
Roti Bakar Milo Tabur
Dua keping roti yang ditabur dengan Milo. Kemudian ada homemade coklat cair di atasnya.
Nasi Lemak Ayam Crispy
Nasi lemak yang disukai oleh pelanggan. Keistimewaannya adalah nasi lemak ini ada ayam goreng yang semestinya rangup. Dihidangkan pula dengan sayur kangkung. Sambal pula ada dua jenis yang boleh pilih sama ada Sambal Pedas Meletup ataupun Sambal Baby.
Paratha Gedik
Menu paratha ini dinamakan Paratha Gedil kerana ada telur goyang di atasnya. Dihidang dengan kuah kari yang melengkapkan cita rasa.
Cekodok Legend
Cekodok legend nama diberi. Rangup di luar, lembut di dalam. Cecah pula dengan sambal sardin. Selain cekodok legend ada juga cekodok udang dan sosej.
Turut ada menu lain seperti ini.
Nasi lemak sambal paru.Nampak sedap!
“Kepada anda yang tinggal di sekitar Klang, singgahlah ke gerai kami untuk menikmati pelbagai menu menarik yang kami sediakan. Saya gerenti anda takkan menyesal,” ujarnya menutup bicara.
Kali pertama terpandang karipap ini, saiznya menjadi perhatian. Memang besar. Malah lebih besar daripada tapak tangan orang dewasa. Sebab itulah nama diberikan sebagai Karipap Gergasi.
Gerai Mak Masak Cravers menampilkan karipap bersaiz besar. Karipap ini mempunyai tiga pilihan menu iaitu karipap gergasi inti ayam, karipap gergasi inti daging dan karipap gergasi inti telur. Semuanya dijual pada harga RM3 setiap satu.
Menurut empunya gerai, Siti Nur Hawa Binti Abu Samah, perniagaan karipap gergasi sudah bermula sejak Oktober 2018. Sambutan pelanggan juga semakin hari semakin menggalakkan.
“Karipap adalah kuih kegemaran dalam keluarga saya. Jadi memang kami kerap buat karipap untuk dimakan seisi keluarga. Kemudian cuba buat dan jual di gerai. Sambutan daripada orang ramai membuatkan saya makin serius dan buka gerai secara sepenuh masa. Selain karipap ada juga Portugese Egg Tart,” kata Hawa.
SEDAP DAN RANGUP
Doh karipap yang diadun dengan bahan-bahan sebati menjadikan Karipap Gergasi sedap dan rangup. Resipi yang digunakan untuk membuat karipap adalah resipi turun-temurun daripada ibunya, Puan Nor Anita binti Md Zain.
“Ibu saya memang pandai buat karipap dan selalu dapat pujian karipapnya sedap. Bahan inti ditumis lama dan mesra menjadikan rasa inti karipap itu sedap. Doh karipap pula apabila digoreng jadi rangup bila dimakan. Itulah sebabnya saya ikut resipi yang ibu saya berikan,” ujarnya lagi.
Hawa amat gembira kerana sambutan pelanggan sangat baik dan menggalakkan. Setiap hari akan dapat komen positif daripada pelanggan dan permintaan semakin tinggi dari sehari ke sehari.
FOKUS PADA BISNES
Sebelum fokus pada bisnes gerai Karipap Gergasi, Hawa adalah kakitangan perbankan dalam bidang jualan dan pemasaran. Namun minat kepada berniaga tidak pernah luput apatah lagi dia memang sudah mula berniaga kuih-muih bersama ibunya sejak kecil lagi.
Malah Hawa amat beryukur kerana mendapat sokongan daripada ibu, ayah, suami dan adik-adiknya.
“Saya memang suka berniaga dan dari kecil dah ikut ibu berniaga kuih. Saya berhenti kerja selepas saya rasakan cukup pengalaman dalam bidang jualan. Saya berhasrat mempraktikkan kemahiran membuat kuih yang saya belajar daripada ibu. Kemudian gabungan dengan kemahiran yang saya ada. Lagipun saya juga graduan UiTM dalam bidang Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa. Ilmu yang saya ada dan minat berniaga, boleh saya fokus untuk naikkan Karipap Gergasi,” katanya lagi menutup bicara.
INFO GERAI Nama gerai: Mak Masak Cravers Pemilik: Siti Nur Hawa Binti Abu Samah & Muhammad Adib Izudin Bin Abu Samah Lokasi: Bazar Makan Seksyen 19, Shah Alam Waktu operasi: 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang Wajib cuba: Karipap Gergasi Daging
Waktu tengah hari kalau buntu menjadi port makan sedap tapi murah, bolehlah ke kawasan Padang Jawa dan singgah di Nurin’s Rasa. Kat mana Padang Jawa ni? Ala..Tak jauh pun dari Seksyen 16, Shah Alam dan juga sempadan daerah Klang. Paling mudah, tekan waze. Pasti jumpa.
Kenapa perlu singgah disini? Ada banyak sebab antaranya ialah restoran ni ada sediakan pelbagai menu makan tengah hari enak dan juga murah yang semestinya anda wajib cuba. Boleh dikatakan setiap hari, kedai makan ini pasti penuh dengan pelanggan terutamanya bila menjelangnya waktu rehat makan tengah hari.
Terdapat lebih dari 20 menu yang boleh anda nikmati. Paling mendapat sambutan hangat sudah semestinya Set Bawal Panas. Ia merupakan sajian nasi putih yang dihidangkan bersama ikan bawal yang digoreng panas-panas, telur masin dan ulam-ulaman. Melengkap hidangan, disertakan bersama aneka sambal dan juga kuah kari sebagai pelengkap rasa. Bagi yang kurang gemarkan ikan bawal, menu lain yang boleh dicuba ialah set Ayam Panas, Kembung Panas dan Keli Panas. Semuanya dimasak sebaik tempahan diterima bagi memberikan keenakan serta kepuasan kepada para pelanggan.
Selain itu, ada lagi hidangan lain yang boleh anda cuba seperti Bihun Sup Tulang & Daging, Laksa Penang, Pasembor, Char Kuey Teow, Nasi Goreng Ayam Panas dan ABC pun ada! Memang terbaik! Pendek kata kalau datang, pasti balik ke pejabat dengan perut kenyang.
Oleh itu bagi yang nak singgah dan rasa keenakan sajian disini, Nurin’s Rasa dibuka pada setiap hari kecuali Sabtu bermula jam 11.30 pagi hingga 10.30 malam. Selamat mencuba!
INFO KEDAI: NURIN’S RASA
ALAMAT: Jalan Mat Raji, Padang Jawa, 40200 Shah Alam, Selangor.
WAKTU OPERASI: Ahad – Jumaat :11.30 petang-10.30 malam
WAJIB CUBA: Set Bawal Panas, Bihun Sup Utara, Laksa Penang,. Nasi Goreng Ayam Panas, Pasembor & ABC.