Kesempatan berkunjung ke kediaman Datin Diana Ibrahim, Pengasas D&D Beauty House hati berbaur suka. Manakan tidak rancangan untuk menemubual beliau sering sahaja tertunda dek kerana perkara yang tidak dapat dielakkan. RASA amat berbesar hati kerana beliau sudi meluangkan masa biarpun sibuk dengan rutin hariannya. Istimewa kali ini beliau turut menjemput sahabatnya yang dikenali selama 20 tahun untuk menikmati masakan dari air tangan beliau. Kecoh dan meriah suasana dengan kehadiran mereka.
Pengalaman 20 tahun dalam bidang perniagaan dan 16 tahun dalam bidang kecantikan menjadikan Datin Diana Ibrahim mampu tersenyum bangga dengan pencapaiannya. Suami, Datuk Kamarudin Mohamad dan anak-anak menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam perniagaan yang dijalankan.
“Suami membenarkan saya berniaga, berkerjaya namun kena bijak menguruskan rumah tangga. Bagi saya menjalankan rutin harian di rumah dengan mengemas, memasak dan menyediakan keperluan anak-anak setiap hari mampu mengekalkan tenaga serta tubuh badan langsing. Memandangkan saya juga bekerja dalam bidang kecantikan membuatkan saya perlu sentiasa tampil menarik. Malah, saya juga memastikan imej diri sentiasa terjaga.
Bangun seawal pagi , menyediakan sarapan. Selepas berkemas rumah , sediakan keperluan suami dari A-Z. Selepas Datuk sudah ke tempat kerja barulah saya siap, dalam masa yang sama menu malam saya sudah fikir nak masak apa untuk anak-anak dan suami. Beginilah rutin saya setiap hari.
Menu juga berbeza untuk tengah hari dan malam. Kesukaan Datuk ialah masakan kampung iaitu mesti ada sambal belacan, masak singgang, asam pedas atau kari. Anak-anak pula tak kisah , apa yang saya masak untuk mereka, mereka tidak memilih,” cerita beliau.
Ilmu memasak
Akui beliau banyak berguru dengan ibunya hal memasak. Ibu beritahu kena pandai kemas rumah, begitu juga dalam soal memasak. Ilmu yang ada, beliau improvise ikut kesesuaian masa kini.
Oleh kerana karier bermula dari hotel dan ayah pula bekas tentera,disiplin dalam hal menjamu amat diutamakan. Jadi beliau sudah terbiasa jika nak menjamu sesiapa pun mesti beradap. Kalau nak beri air minuman walaupun pada siapa pun tetamu , mesti beralas dan berdulang.
Akui Datin Diana, seawal usia 12 tahun dia sudah boleh memasak. “Boleh masak nasi guna dapur biasa. Dulu tak ada dapur elektrik macam sekarang. Saya merupakan anak perempuan pertama dalam keluarga, sayalah kena kemas rumah dan memasak. Di bawah saya seramai enam orang.Jadi saya diajar dengan tanggungjawab begitu,” jelasnya.
Ads
Kongsi beliau penyediaan sup tulang banyak caranya. Cara beliau ialah merebus tulang terlebih dahulu, kemudian ditumis bunga lawang , kayu manis dan semua herba. Setelah ditumis, kemudian masukkan ke dalam air rebusan tulang. Untuk jadikan kuah pekat, agak-agak tulang sudah empuk, pastikan paras air dan tulang sama. Isi sama rata, jangan lebih. Lagi satu cara untuk pekatkan kuah ialah rebus ubi kentang, kisar dan masukkan dalam air rebusan tulang.
Butter prawn menjadi kegemaran anak-anak. “Resipi shell out adalah resipi Datuk. Kami suka nikmati ikan dan seafood. Menu wajib ada setiap hari ialah ikan tidak kira apa saja resipi asalkan menu ikan.
Tip masak shellout , pilih seafood yang disukai, jangan masak terlalu lama. Pastikan selepas bahan sudah ditumis, bila dah naik minyak, masuk semua seafood dan jangan letak air terlalu banyak kerana seafood ini akan mengeluarkan air. Nanti manisnya akan hilang. Datuk kalau pergi makan di suatu tempat dan menepati seleranya, balik beliau akan cuba memasaknya, “ ceritanya mengakhiri bicara.
Butter prawn
Bahan-bahan:
10 ekor udang bersaiz besar (dibersihkan tapi jangan buang kulit)
1 sudu makan tepung jagung
4 biji kuning telur
1 senduk mentega
Minyak masak
Daun kari
5 biji bawang putih(dihiris)
4 – 6 biji cili padi (dihiris)
½ cawan susu segar
Ads
Cara buat sarang telur:
1. Kuning telur dipukul ringan dan dicampur sedikit gula dan kiub ayam
2. Panas minyak masak dan masukkan mentega
3. Pastikan minyak dan mentega betul-betul panas dan tuang kuning telur tadi tinggi agar telur jatuh ke dalam kuali halus.
4. Kacau telur dalam kuali panas membentuk bulatan tanpa henti
5. Kacau hingga minyak menjadi berbuih dan telur berwarna keemasan, angkat dan toskan minyaknya dalam penapis.
Langkah ke 2
1. Gaul udang dengan tepung jagung.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tersebut dan angkat
Langkah ke 3
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih yang dihiris tadi
2 .Masukkan hirisan cili padi dan daun kari.
3. Goreng hingga garing dan masukkan susu segar
4. Masukkan garam, sedikit gula pasir dan kiub ayam
5. Setelah bahan tumisan pekat masukkan udang dan gaul hingga sebati
6. Hidangkan udang di dalam bekas dan taburkan sarang telur di atas udang tersebut.Siap untuk dimakan
Sup tulang
Bahan-bahan:
1kg tulang rusuk lembu / kambing
3 biji ubi kentang
2 biji tomato
Daun ketumbar
Daun bawang
Bawang goreng
Ads
Bahan-bahan untuk dikisar-A
10 ulas bawang merah
2 labu bawang putih
1 inci halia
Bahan-bahan tumis – B
2 batang kayu manis
4 kuntum bunga lawang
4-5 kuntum bunga cengkih
4-5 biji pelaga
Cara memasak:
1.Masukkan tulang rusuk ke dalam pressure cooker atau periuk biasa
2.Masukkan air mengikut paras tulang.
3.Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumis bahan B di atas hingga wangi
4.Masuk kan bahan-bahan A dan goreng sehingga naik bau
5.Curah kesemua bahan-bahan yang digoreng tadi ke dalam pressure cooker
6.Masukkan sup bunjut dan rempah sup 2 sudu
7.Tutup periuk dan setkan waktu masak yang bersesuaian untuk tulang rusuk
8.Masukkan ubi kentang setelah daging empuk dan tomato yang dipotong empat.
9. Boleh dihidangkan dengan daun ketumbar, daun bawang dan bawang goreng
Shell out
(untuk 6 org)
Bahan-bahan untuk shell out :
Seafood (lala, kupang, kerang, ketam, udang, sotong)
Daun bawang leek
Jagung (kalau suka)
Brokoli
Daun limau purut
Bahan untuk dikisar:
10 ulas bawang merah
2 labu bawang putih
3 inci halia
2 batang serai
Cili kering yang dimesin
Cara memasak:
1.Tumis semua bahan-bahan di atas dengan minyak ikut kesesuaian. Goreng hingga naik minyak
2.Masukkan cili kering yang dimesin 4 hingga 5 sudu
3.Masukkan tiga sudu sos tiram.
4.Masukkan tiga sudu tomyam pes.
5.Masukkan tiga hingga empat sudu sos tomato dan sos cili
6.Masukkan tiga sudu sos lada hitam.
7.Kacau sebati hingga kuah menjadi pekat. Jangan letak air kerana seafood akan mengeluarkan air.
8.Masukkan garam, gula dan perasa serta daun limau purut.
9.Masukkan semua seafood yang sudah dibersihkan ke dalam bahan-bahan yang ditumis tadi
10.Gaul dan biarkan sehingga masak.
11.Akhir sekali potong serong daun bawang leek dan jagung masukkan dalam seafood tadi
12. Siap untuk dihidang.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Orangnya memang cantik bergaya.Sentiasa berpenampilan menarik. Datin Eykah atau nama penuhnya Datin Nur Zulaikha Ellieyana Noah ini cukup ramah melayani tetamu dan rakan yang datang berkunjung.
Sebagai anak jati Terengganu lauk Kerutuk Itik kerap menjadi menu utama di meja hidangan.Ini lauk yang diwarisi dari ibu beliau
Bercerita mengenai lauk pauk Terengganu,ceritanya,”Nenek dan ibu memang pakar buat lauk kerutuk itik. Ia jadi menu padanan wajib di kenduri kendara yang dihidang bersama nasi dagang. Kari Ikan Tongkol juga ‘favorite’ saya dan keluarga. Untunglah saya dapat belajar dari mereka sebab lauk seperti Kerutuk Daging yang asli dan lazat memang sukar dicari. Sedari zaman persekolahan saya telah didedahkan dengan ilmu masakan. Sebagai cucu sulung dari anak sulung, pastilah saya amat rapat dengan nenek yang banyak berkongsi petua dan tip masakan“.
Suri hati kepada ahli perniagaan Datuk Mohammad J.K Noah ini mengakui, suami beliau lebih hebat memasak. Namun ini bukan alasan untuknya tidak memasak di rumah.
Bila kawan-kawan darn saudara mara datang berkunjung masa inilah beliau akan menyingsing lengan memasak untuk tetamu. Apa hebatnya resipi Kerutuk Itik dan Kari Ikan Tongkol sentuhan beliau, jom kita cuba.
KERUTUK ITIK BAHAN-BAHAN:
1 ekor itik | anggaran 1 1/2 kg
500ml santan pekat
4 sudu makan rempah kerutup
3 sudu makan air asam Jawa
3 sudu makan kerisik
Garam dan gula kabung secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menumis
BAHAN KISAR:
15 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
3cm halia
3cm kunyit
2cm lengkuas
4 batang serai
BAHAN GORENG SANGAI DAN KISAR:
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan lada hitam
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
BAHAN REMPAH PENUMIS:
1 batang kulit kayu manis
4 kuntum bunga lawang
7 biji buah pelaga
7 biji bunga cengkih
CARA MEMASAK: 1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan rempah penumis, hingga naik bau dan tambah rempah kisar tadi. 2. Masukkan bahan kisar dan kacau hingga pecah minyak, masukkan gula kabung, garam dan air asam Jawa. 3. Seterusnya masukkan rempah kerutuk, kacau dan tumis lagi seketika. 4. Masukkan itik dan sedikit air biarkan mereneh hingga itek empuk. 5. Akhir sekali masukkan santan dan sedikit air, biarkan mereneh hingga kuah pekat baru masukkan kerisik. 6. Kecilkan api biarkan kuah hingga pekat dan terbit minyak. 7. Setelah isi itik lembut, rasa sekali lagi untuk pastikan agar secukup rasa sebelum tutup api. 8. Kerutuk Itik sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika perlu boleh rebus dahulu itik bersama hirisan halia, dan sedikit rempah kerutuk.
KARI IKAN TONGKOL
BAHAN-BAHAN:
2kg ikan tongkol |rebus bersama asam keping dan garam
1/2kg santan pekat
4 keping asam gelugor
1 keping gula kabung
Garam secukup rasa
4 sudu makan rempah kari ikan
1 sudu makan halba campur
Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR:
15 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
3cm halia
3cm kunyit hidup
2cm lengkuas
CARA MEMASAK: 1. Panaskan minyak, tumiskan halba campur, diikuti dengan bahan kisar. 2 .Kacau rata hingga wangi kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. 3. Tumis hingga pecah minyak, kemudian masukkan gula kabung. 4. Setelah gula hancur, masukkan santan pekat dan tambah air secukupnya. 5. Seterusnya masukkan asam gelugor, ikan dan garam. 6. Kecilkan api dan biarkan mereneh hingga pecah minyak. 7. Jika suka, boleh tambah cili bulat. 8. Setelah cukup rasa, tutup api. 9. Kari ikan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Kari lebih sedap jika disediakan awal sekurang-kurang tujuh jam sebelum sedia dihidangkan.
Pencarian Dewi Remaja adalah pertandingan mencari ikon gadis remaja dan telah dianjurkan oleh Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd serta Majalah Remaja sejak tahun 1985. Dewi Remaja telah menjadi platform kepada finalis untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai bakat baru di dalam industri seni, sebagai influencer dan ikon yang memberikan inspirasi positif kepada para remaja.
Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 kini memasuki edisi kesepuluh. Kali ini, kami meraikan dan mengangkat kuasa, suara serta mewakili kejayaan gadis remaja di Malaysia. Lebih tiga dekad telah berlalu namun pengaruh alumni Dewi Remaja masih diingati. Hadir dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, Dewi Remaja bukan sahaja mencari sekumpulan gadis remaja yang memiliki pakej rupa paras dan fizikal yang positif, malah ia juga menjadi platform untuk mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti menarik mereka.
Pengurus saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pertandingan itu telah melahirkan bakat-bakat besar dan membawa impak serta sumbangan pada industri hiburan tanah air. Manakala, Editor Majalah Remaja, Faiz berharap kepada semua finalis menggunakan platform ini untuk menonjolkan bakat mereka sebaik-baiknya. “Mewakili Remaja NUIdeaktif telah membuka peluang ini untuk mereka menyerlahkan bakat dan menunjukkan keberaniaan yang ada.
Faizni Fazreen Fazeera Binti Faizul, merupakan salah seorang daripada 12 finalis ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2019’. Selain memiliki paras rupa yang cantik serta bakat dalam bidang seni, siapa sangka gadis muda berusia 20 tahun ini, mempunyai minat dan skil memasak.
Beliau yang menggemari hidangan lauk-pauk kampung tidak kekok berada di dapur serta sering meluangkan masa memasak di rumah dan kadangkala memuatnaik gambar dan video masakannya di laman sosial, Instagram. “Saya memang suka masak dan ianya lebih kepada masakan kampung, makanan kegemaran saya pun merupakan lauk kampung seperti ikan masak sambal, ayam masak kicap dan kari ayam”.
Beliau juga berkongsi sedikit tips bagaimana beliau menjaga pemakanan untuk sentiasa kekal sihat dan cantik.
12 peserta ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2019’ ialah Fazreen Fazera, Ernisha, Sherin, Zeera Azizi, Rasya Sofea, Aween, Lydia, dan Rania. Turut bertanding Arena, Anna Jobling, Tia Shah, dan Haneesya Hanee.
Dewi Remaja 2018/2019 bakal bersiaran setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135) bermula 25 November depan. Bekas juara Dewi Remaja 2005/2006 dan pelakon terkenal Scha Al Yahya akan beraksi sebagai pengacara rancangan tersebut. Manakala selebriti terkenal Datuk Hans Isaac dilantik sebagai juri tetap dan seorang juri jemputan akan mengadili peserta.
Menjamu dua sajian ‘terlajak’ dari Datin Nur Shahida Mohd Rashid suri hati kepada Datuk Seri Aliff Shukri ,ternyata 2 resepi ‘favorite’ pasangan suami isteri ini memang sungguh sedap. Dua hidangan yang disajikan adalah resipi Rendang Terlajak Laris dan Masak Lodeh Terlajak Sedap.
Ditanya apa bezanya resipi Rendang Terlajak Laris dengan rendang lain, jawab wanita ayu ini ,“Masak rendang ni macam reseipi rendang lain yang lain, tetapi dalam resepi rendang keluarga saya, saya memasukkan daun salam untuk melazatkan lagi rasanya.
.
Memiliki darah keturunan Pakistan di sebelah datuknya, menu capati dan kari juga adalah di antara kemahiran memasak Shahida yang dipelajari dari keluarganya. Wanita kelahiran Kedah ini juga gemar mempelajari resepi baru di internet untuk meningkatkan skil masakan demi memenuhi keinginan selera mereka sekeluarga.
Ni dia 2 resepi ‘terlajak’ hasil air tangan Datin Seri Nur Shahida:
RENDANG AYAM TERLAJAK LARIS
BAHAN-BAHAN :
1 ekor ayam | dipotong 12
2 cawan santan pekat
3 sudu makan kerisik
2 helai daun kunyit | dihiris halus
2 helai daun salam | dihiris halus
Bahan dihiris:
5 bawang merah
4 ulas bawang putih
2 batang serai
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Garam secukup rasa
Gula atau gula merah secukup rasa
1 keping asam asam keping
Bahan kisar:
5 sudu makan pes cili kering
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2.5 sm kunyit hidup
3 batang serai
3 sm halia
3 smi lengkuas
3 biji buah keras
CARA MEMASAK : 1. Hiris halus bahan bahan sebelum dikisar. Panaskan minyak dan tumis bahan dikisar hingga naik bau. 2. Masukkan ayam dan bahan bahan hiris ke dalam kuali. Biarkan sehingga ayam agak kecut dan terbit minyak, baru dimasukkan santan. Dengan cara ini, rendang akan lebih sedap dan tahan lama 3. Terus masak dengan api kecil sambil di kacau sehingga pekat dan pecah minyak. 4. Setelah kuah pecah minyak, masukkan kerisik, asam keping, gula dan garam secukup rasa. Sebelum diangkat, taburkan dengan daun kunyit dan daun salam dan terus tutup api.
MASAK LODEH TERLAJAK SEDAP
BAHAN BAHAN:
3 biji terung | dibelah dua dan potong 3 bahagian
10 batang kacang panjang | dihiris serong
300gm kubis
4 keping tauhu kering | direndam dan dipotong dadu
3 keping tempe | boleh digoreng dahulu jika suka
1 ikat soo hoon | direndam dan dipotong sederhana panjang
CARA MEMASAK : 1. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam periuk bersama santan kecuali garam. 2. Masak dan biarkan mendidih dengan selalu dikacau supaya tidak pecah santan. 3. Apabila hampir masak, masukkan garam dan gula secukup rasa. 4. Kacau sebentar dan tutup api. 5. Siap untuk dihidang.
Nak tahu cara hilangkan kerak periuk dan kesan hangus tanpa guna sabun keras? Cuba 6 bahan dapur ini seperti garam, lemon dan soda bikarbonat — mudah, berkesan dan selamat!