Ketika kami sampai ke kediaman Datuk Mas Ermieyati Samsudin, beliau sedang tangkas memasak di dapur. Aroma wangi dari dapur menusuk selera. Walaupun masakannya ringkas tetapi lauk pauknya memang sungguh sedap sekali dan sesuai dicuba untuk wanita yang sibuk berkerjaya.

Khas buat pembaca RASA, beliau berkongsi tiga resipi ‘favorite’ anak-anaknya iaitu Bawal Sweet Sour, Masak Lemak Putih Soo Hoon dan Ikan Bilis Goreng Cili Padi. Ringkas dan mudah tapi memang membuka selera. Jom cuba! Anda pasti sukakannya.

1. IKAN BAWAL MASAK SWEET SOUR

BAHAN-BAHAN :

  • 2 ekor ikan bawal
  • 2 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 biji bawang besar
  • 7 ulas bawang putih
  • 2.5 sm halia
  • 1 sudu makan pes cili kering
  • 2 biji tomato/dihiris bulat
  • 3/4 cawan sos tomato
  • 1/2 cawan sos cili
  • 3 sudu makan sos tiram
  • Gula dan garam secukupnya

BAHAN HIASAN:

IKLAN
  • Sayur (lobak merah, kubis bunga dan brokoli)
  • Saderi
  • 2 biji lada benggala (merah dan kuning)/dipotong kiub

CARA MEMASAK :
1. Lumurkan serbuk kunyit dan garam secukupnya pada ikan bawal.
2. Pijarkan minyak di dalam kuali, dan goreng hingga garing. Ketepikan.
3. Kemudian tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia hingga kuning,masukkan pes cili kering.
4. Selepas itu masukkan sos tomato, sos cili, sos tiram, masukkan pula bawang besar, tomato ,brokoli dan lada benggala biarkan dua minit.
5. Tutup api dan tuangkan sos ke atas ikan. Hias dengan daun saderi.

INFO CHEF : Jika mahukan kelainan anda boleh menambah kiub nenas dan sedikit air nenas ke dalam lauk ini.

2. IKAN BILIS GORENG CILI PADI DAN BAWANG BESAR

BAHAN-BAHAN :

  • 300gm ikan bilis
  • 1 biji bawang besar /dihiris membulat
  • 4 biji cili padi

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
2. Kemudian tumiskan bawang besar dan cili padi dan masukkan ikan bilis ke dalamnya.
3. Gaul rata dan boleh dihidangkan

INFO CHEF : Supaya ikan bilis kekal garing, tunggu bawang dan cili padi sejuk dahulu baharu dimasukkan ikan bilis

3. MASAK LEMAK PUTIH SOO HOON

BAHAN-BAHAN :

  • 150gm fucuk/dikerat pendek
  • 2 pek kecil soo hoon/direndam air
  • 1 1/2 biji bawang besar/dihiris
  • 7 ulas bawang putih/dihiris
  • 1 1/2 liter santan cair
  • 400ml pati santan
  • 50gm atau segenggam udang kering/direndam dan ditumbuk kasar
  • 30gm atau segenggam ikan bilis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Cili merah sebagai hiasan

CARA MEMASAK :
1. Panaskan sedikit minyak,di dalam periuk, masukkan bawang dan goreng hingga naik bau.
2. Kemudian masukkan ikan bilis dan udang kering, dan tumiskan sebentar.
3. Tuangkan santan cair dalam periuk dan masukkan fucuk hingga lembut
4. Kacau sekali sekala di atas api yang sederhana
5. Masukkan soo hoon, toskan airnya dan kemudian tuangkan pati santan.
6. Kacau perlahan, masukkan garam dan gula secukupnya dan pastikan ia dikacau selalu sehingga mendidih. Kecilkan api dan biarkan mereneh sebentar.
7. Hidangkan dengan hiasan cili merah jika anda mahukan ia sedikit pedas.

INFO CHEF : Masak lemak putih ini boleh juga dimasak tanpa menumis. Masukkan terus hirisan bawang, udang kering dan ikan bilis ke dalam santan cair dan kemudian baru dimasukkan bahan lain.Pilih fucuk yang berkedut untuk rasa yang lebih sedap.