Dah mula fikir tentang lauk berbuka puasa hari ni? Bagi anda yang menggemari juadah berbuka puasa selera kampung yang jadi kegemaran orang Kelantan, seleksi resipi yang dikongsi ini antara yang perlu dicuba. Sedap! Pasti membuka selera. Ada resipi Kerutup Ayam, Singgang Daging Lengkuas, Ayam Percik dan Teresek Kacang Panjang. Cubalah.

 

1. KERUTUP AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam | belah empat
  • 3 sudu makan rempah kerutup
  • 2 sudu makan kerisik
  • 1 sudu makan sos tomato
  • 500ml santan pekat
  • 1 keping gula Melaka
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan minyak masak

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 4 ulas buah pelaga

BAHAN HIRIS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2cm halia

BAHAN KISAR HALUS:

  • 5 tangkai cili kering
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm halia

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan rempah penumis bersama bahan hirisan hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan pula bahan kisar, diikuti bancuhan rempah kerutup. Kacau rata hingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam yang telah dibersihkan tadi.
  4. Apabila ayam sudah kecut dan kering airnya, masukkan pula santan.
  5. Biarkan mendidih di atas api perlahan, kemudian  masukkan air asam Jawa, kerisik, sos tomato, gula Melaka, garam dan gula secukup rasa
  6. Setelah cukup rasa dan kuah pekat, masukkan cili padi dan tutup api
  7. Kerutub Ayam sedia dihidangkan.

 

INFO CHEF: Selain ayam biasa, boleh juga gunakan ayam kampung dan itik.  

 

2. SINGGANG DAGING LENGKUAS

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging batang pinang | hiris nipis, bersih dan tos
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan budu
  • 1 sudu makan manisan gula Kerek/gula Melaka
  • 1 sudu makan ketumbar biji | kisar kasar
  • 3 keping asam gelugor
  • 4 -5 hirisan lengkuas | titik
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 3 ulas bawang putih | hiris
  • 10 biji cili padi | titik atau  hiris 
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan daging bersama budu, pes cili kering bersama bahan hirisan dan titik. Gaul rata dan perap seketika (lebih kurang 15 minit).
  2. Masukkan air secukupnya bersama asam gelugor.
  3. Renehkan di atas api sederhana hingga daging empuk dan masak.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  5. Setelah cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.

 

3. TERESEK KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN:

  • 10 batang kacang panjang
  • 3 biji cili hijau
  • 250gm kepak dan leher ayam | potong kecil
  • 2 sudu makan  rempah kari
  • 1 sudu makan kerisik
  • 1 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • 3 cawan santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu makan minyak masak

BAHAN KISAR:

  • 7 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm kunyit hidup
  • 2cm halia
  • 2 hiris lengkuas
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar biji  | sangai dan kisar kasar

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar hingga wangi, kemudian masukkan pes cili dan kacau lagi.
  2. Setelah pecah minyak masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau seketika, masukkan campuran isi ayam yang telah dipotong kecil tadi.
  3. Kacau rata hingga ayam kecut, masukkan air asam Jawa diikuti santan.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Akhir sekali masukkan kerisik dan kacang panjang. Gaul rata.
  6. Apabila kacang layu. Tutup api dan Teresek Kacang Panjang sedia dihidangkan.

 

4. AYAM  PERCIK

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam  sederhana saiz | belah empat, bersihkan dan toskan.
  • 1 keping  asam gelugor
  • Garam  dan gula secukup rasa
  • 1 batang serai | titik

BAHAN KISAR:

  • 6 ulas bawang merah
  • 2cm halia
  • 1 cawan santan pekat

BAHAN PERAP:

  • 3 ulas bawang merah
  • 2cm halia
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bahan perap kemudian lumurkan pada ayam bersama sedikit garam. Biarkan seketika.
  2. Susun dalam dulang pembakar dan bakar dalam ketuhar.
  3. Sementara itu, tuangkan bahan kisar dalam kuali bersama santan, serai dan asam gelugor.
  4. Masak menggunakan api perlahan dan terus kacau hingga kuah pekat.
  5. Tutup api,  ambil sedikit kuah dan sapukan pada ayam bakar berulang kali sehingga kuah melekat pada ayam.
  6. Angkat dan hidangkan panas-panas.

 

IKLAN

5. SOLOK IKAN

BAHAN-BAHAN:

  • 5-6 ekor ikan kembung
  • 1/2 biji kelapa sederhana tua | diparut dan ditumbuk
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya
  • 10ulas bawang merah | ditumbuk
  • 2ulas bawang putih | ditumbuk
  • ½ sudu teh lada hitam | ditumbuk
  • 1 biji telur ayam
  • Garam secukup rasa

 CARA MEMASAK:

  1. Ikan dibuang tulang tengah dan dikikis. Jangan sampai terkoyak kulitnya.
  2. Isi ikan yang dikikis tadi, ditumbuk.
  3. Kemudian dicampurkan bersama kelapa dan bahan-bahan lain yang ditumbuk.
  4. Selepas itu,  masukkan telur dan garam secukup rasa ke dalam bahan-bahan tadi.
  5. Gaul sehingga sebati.
  6.  Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam kulit ikan dan goreng sehingga masak.
  7. Angkat dan sedia dihidangkan panas-panas.

INFO CHEF:  Selain ikan kembung anda boleh juga guna ikan mabung, selar atau ikan cencaru.

 

ANDA JUGA BOLEH CUBA:

Cara Masak Bubur Lambuk Sedap Guna 2 Cawan Beras

Puding Laici Berkuah Yang Sedap & Mudah Untuk Berbuka