Sebaik diberitahu Rasa ingin mengunjungi kediaman beliau dan merasai air tangannya, Datin Sri Norja Khairayarani Amin memberitahu tidak begitu pakar dalam bab masak memasak. Katanya setakat masak masakan kampung tiada masalah dan mengalu-alu kami datang di kediamannya di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Seperti dijanjikan, sebaik kami tiba Datin Sri Norja sudap pun menyiapkan Masak Lemak Telur Itik , Sambal Tempoyak Udang dan Sayur Campur, hanya satu menu lagi belum siap.
“Satu lagi menu tu adalah Ketam Masak Telur Masin Cili Padi, ia sedap dimakan panas-panas, sebab itu saya tunggu team Rasa sampai dulu baru saya masak, ujar Datin Sri Norja yang begitu ramah bertanya khabar dan kami saling mengenali, kebetulan ibunya juga ada bersama.
Penulis mengekori Datin Sri ke dapur menyiapkan bahan-bahan menu akhir, sambil berbual beliau terus sahaja menghidupkan api dapur untuk memasak ketam kerana bahan-bahan sudah disiapkan awal. Kelihatannya beliau langsung tidak kekok di dapur, laju sahaja memasukkan bahan tumisan, telur asin cili dan daun kari dan ketam. Tak sampai 10 minit sudah siap.
“Ini masakan paling sempoi yang disukai oleh ahli keluarga saya. Tapi cilia padi kena lebih. Saya orang Negeri Sembilan, cili padi menjadi bahan wajib ada dalam dapur. Kalau tak ada memang rasa macam tak lengkap nak masak, mood pun hilang. Tidak kira gulai, sambal mahu pun rendang, orang Negeri Sembilan termasuklah saya lebih suka menggunakan cili padi. Pendek kata orang Negeri ni memang sinonim dengan cili padi,” ujarnya tertawa sambil mengajak kami ke meja makan bersama anak-anak dan ibunya yang sudah sedia menunggu bagi menikmati hidangan bersama.
Masih Menggunakan Lesung Batu
Sambil menjamu selera, Datin Sri bercerita walaupun banyak gajet dapur seperti mesin pengisar yang boleh membantu memudahkan kerja dapur namun beliau masih menggunakan lesung batu untuk melumatkan bahan tumisan selain daripada cili dan kunyit hidup.
“Rahsia sedapnya masak lemak Negeri Sembilan adalah cara memasak dan campuran cili padi dan kunyit hidup yang ditumbuk lumat menggunakan lesung batu. Sesuai pulak dengan asam garam. Memang terangkat sedapnya.
“Saya sendiri puas jugalah belajar masak Gulai Lemak Cili Padi Telur Itik, nampak senang tetapi tidak kena caranya tak menjadi, kuah tak pekat, santan pecah, telur hancur dan macam-macam. Tapi lama kelamaan baru saya tahu macam mana nak pastikan kuah kuning gulai lemak itu nampak cantik, santan tak jalang (cair) dan bentuk telur sempurna bulatnya. Bunyinya macam kelakar tetapi itulah istimewanya masakan Negeri Sembilan, “ terang Datin Sri yang sudah ke dapur sejak zaman sekolah lagi demi membantu ibu yang sibuk dengan bisnes dan adik-beradik pula ramai katanya.
Disebabkan kesibukan ibu dan adik beradik ramai, Datin Sri Norja terpaksa tolong meringankan tugasan ibu di dapur. Bermula dari itulah timbulnya minat memasak, walaupun pada awalnya selalu sahaja tidak menjadi tetapi berkat usaha dan sentiasa mencuba akhirnya beliau pandai memasak.
“Bayangkan saya ada 10 orang adik beradik, emak sibuk dengan bisnes Tupperwarenya sehingga memaksanya ke serata pelusuk negeri dan kadang-kadang terpaksa ke luar negara. Jadi sebagai anak perempuan saya terpaksalah mengambil alih tugas ibu di dapur. Jadinya sedap tak sedap, adik beradik lain kena makan, tidak ada pilihan. Bila tugas memasak sudah menjadi rutin dan saya belajar dari kesilapan masakan yang pernah saya lakukan akhirnya baru tahu di mana silap dan apa perlu dilakukan. Hasilnya baru masakan yang dimasak menjadi, tidaklah buang begitu saja,” cerita Datin Norja yang memang menjadi ‘chef’ bila keluarga besarnya berkumpul.
Hebat Dalam Bisnes
Menariknya, wanita bisnes yang menerajui tiga perniagaan dan bertindak sebagai, Ketua Pegawai Eksekutif (Beauarti) Getthiss Sdn Bhd, Lembaga Pengarah Kyra Gold & Jewellery Sdn Bhd dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa Murni, Nilai, Negeri Sembilan ini masih sempat masuk dapur untuk menyediakan hidangkan suami dan anak-anaknya.
“Sebagai isteri dan ibu yang sibuk, walaupun tidak sempat memasak, saya akan pastikan pembantu boleh menyediakan masakan mengikut menu yang saya tetapkan. Atau pembantu siapkan bahan, balik rumah saya yang akan memasak. Soal menu, kami sekeluarga memang suka masakan kampung yang ringkas, lebih bersyukur suami dan anak-anak tidak cerewet soal makan. Kalau rasa nak makan western atau yang lain kami makan di luar bersama,” cerita Datin Sri Norja lagi.
Isteri kepada Dato’ Sri Muhhammad Dzulnun bin Huraira dan ibu kepada Nurkhaira Maisarah, Nurkhira Marissa, Khaira Mariah dan Umar Khair, memang jenis wanita yang tidak tahu duduk diam. Biarpun kini sedang hamil enam bulan masih lagi sibuk dengan urusan bisnesnya.Terbaru beliau mengusahakan produk kecantikan sendiri di bawal label Beauarti, produk kecantikan yang diperbuat dari bahan-bahan organik yang diimpot dari negara Korea Selatan.
“Sebagai permulaan kami memperkenalkan produk skin care. Menariknya rangkaian produk penjagaan kulit ini mampu meremajakan kulit wajah tanpa proses pengelupasan dan paling penting sekali produk kami mendapat sijil halal dari JAKIM. Jadi pengguna muslim boleh menggunakan tanpa was-was , ia juga boleh digunakan oleh semua wanita di semua peringkat usia,” ujarnya mengakhiri perbualan.
RESIPI:
TELUR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
6 biji telur itik
1000ml santan
2 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit | mayang halus
Garam Secukup rasa
BAHAN KISAR:
15 biji cili padi
3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
Ads
Masukkan santan bersama bahan kisar di dalam periuk, kacau rata.
Didihkan atas api sederhana, kemudian masukkan asam gelugor dan garam
Apabila kuah lemak sudah mendidih, kecilkan api dan pecahkan telur dalam mangkuk satu persatu dan masukkan dalam Lakukan hingga habis.
Terus didihkan hingga telur keras.
Sebelum tutup api, masukkan hirisan daun kunyit.
Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh tambahkan hirisan mangga muda di dalamnya.
SAMBAL TEMPOYAK UDANG PETAI
BAHAN-BAHAN:
500gm udang | buang kepala dan belah belakang
150gm petai yang telah dibuang kulit
Garam dan gula secukup rasa
3 sudu makan tempoyak | bancuh dengan sedikit air
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
BAHAN TUMBUK
20 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, goreng udang seketika, bila kulit bertukar warna kemerahan angkat. Ketepikan.
Kemudian goreng pula petai seketika. Angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak, tinggal sedikit dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
Seterusnya masukkan tempoyak, kacau hingga rata.
Bila timbul minyak masukkan udang dan petai, kacau rata.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Setelah cukup rasa, angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh sahaja tambah cili merah. Tetapi orang Negeri Sembilan lebih suka menggunakan cili padi.
KETAM CILI PADI TELUR MASIM
BAHAN-BAHAN:
Ads
1kg ketam | bersihkan dan belah dua
6 biji kuning telur asin | hancurkan
1 cawan susu cair
15 biji cili padai | hiris
5 ulas bawang putih | titik
3 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai
3 sudu makan mentega
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng ketam
Ads
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, goreng ketam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumiskan bawang putih bersama daun kari hingga wangi.
Seterusnya masukkan kuning telur, kacau seketika dan masukkan ketam.
Kacau rata dan tambah susu cair.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Kacau lagi seketika dan tutup api dan sedia dihidangkan.
Jika anda suka masaklemak, boleh cuba yang ini juga.
Cantik, pandai bergaya dan mengutamakan keluarga. Itulah yang dapat dilihat pada selebriti manis; Datin Paduka Eina Azman. Malah sejak bergelar berkahwin dan bergelar ibu, hidup selebriti ini kelihatan semakin sempurna.
Jangan tak tahu, DP Eina Azman ni rupanya pandai memasak. Malah Eina dilihat lebih suka memasak sendiri hidangan untuk suami dan anak-anak. Lihat sahaja laman Instagram beliau. Banyak resipi-resipi masakan yang dikongsi disamping gelagat si kembar; Karl Kareef dan Arianna Aubrey yang sentiasa menghiburkan.
Hidangan yang menjadi kegemaran Eina ni nampak sempoi je tapi memang bercitarasa Melayu. Antara sajian yang beliau ada kongsikan adalah Masak Lemak Cili Api Siput Sedut, Nasi Ayam,Ayam Goreng Kicap, Ikan Kembung Goreng Cili Padi dan banyak lagi. Semuanya nampak sedap-sedap belaka malah tak nampak kekok langsung! Patutlah suami sayang sangat!
Nak tengok apa selebriti cantik manis ni selalu masak untuk keluarganya? Jom skodeng! Mana tahu boleh dijadikan idea masak untuk keluarga anda pula. Oh lagi satu, Eina ni memang suka masak menu pedas. Jadi, bolehlah ambil idea dan cuba.
Kali ni Min nak berkongsi cerita personaliti VIP yang cantik bergaya ini. Melihat penampilannya yang glamour susah Min nak bayangkan keadaan Datin Dr Ira Ghani atau nama sebenarnya Nor Zaina Ghani ni bila sibuk di dapur.
Sebaik kamera diketik, laju sahaja Datin Ira , 41 tahun, memasak siap boleh bercerita lagak gaya seorang pengacara rancangan tv. Memanglah sebab wanita jelita ini dulu adalah bekas pengacara TV RTM dan pernah juga berlakun dalam drama sebagai pelakun undangan.
Melihat ketangkasannya, sukar dipercayai Pengarah Urusan Positive Image Resources dan Penceramah Motivasi Keusahawanan ini satu ketika dahulu tidaklah semahir sekarang bila memasak.
Namun sekarang sebut sahaja, apa masakan yang diingini oleh suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim Ahmad, 52 tahun, dan dua ‘puteranya’ Muhammad Danish Irfan, 19 tahun serta Muhammad Danish Roshan, 15 tahun semuanya mampu disediakan.
Di zaman remajanya Datin Ira juga adalah bekas olahragawan sekolah yang seringkali mewakili Pahang. Beliau juga memiliki Diploma Kecantikan dari Open University, padanlah solekannya kelihatan begitu alami dengan sapuan yang ‘flawless’.
Okay, berbalik bab kembara masakannya, ni 10 kisah menarik Datin Ira sehingga menjadi hebat memasak kini. :
1. Boleh memasak sejak tingkatan 1 sebab duduk di asrama sekolah. Mula serius memasak setelah berkahwin semasa berusia 20 tahun.
2. Suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim yang pernah bekerja di bahagian F&B hotel ternama adalah pengkritik masakannya yang paling ‘pedas’.
4. Datin Ira Ghani dan keluarga suka masakan bersambal. Suaminya pula ‘pencinta’ kuah kari terutamanya kari ikan, ni baru betul-betul ‘tekak’ orang Kedah.
5. Datin Ira cukup suka dengan kuah labu dengan sambal belacan. Anak-anak pencinta makanan laut.
6. Kenangan lucu pernah masak sardin tuang terus dari tin. Ini hidangan ujian pertama ketika mula berkahwin.
7. Amalannya jika mahu cepat pandai masak , kena kerap memasak kerana ‘Practice Makes Perfect’.
8. Mengibaratkan memasak sama seperti menyolek. “Kena pandai blend, walaupun sekadar telur masak kicap kena ada skil dan tahu cara nak bawa masakan itu.”
9. Mengacau masakan arah lawan jam.
10. Meletakkan garam dalam masakan , sejurus sebelum tutup api untuk elakkan lauk cepat basi.
“Hidup kita singkat, jadi nikmatilah kehidupan ini dengan gembira. Bagi saya kejayaan bukan diukur daripada berapa banyak duit yang kita ada tetapi bagaimana kita mengubah cara hidup. Yang penting segala pengalaman seharusnya menjadikan kita lebih kuat , tabah dan bersyukur dengan kehidupan,” pesanan Datin Ira kepada pembaca RASA untuk resipi hidup bahagia. Wow. inilah amalan kehidupannya, patut lah Datin Ira awet muda dan sentiasa manis wajahnya.
Nah, ini resepi ringkas untuk wanita berkerjaya. Ini sajian kegemaran keluarga Datin Ira untuk followers RASA :
AYAM SAMBAL DAUN KARI
BAHAN-BAHAN:
1/2 ekor ayam |, digaul dgn garam kunyit dan digoreng hingga masak
6 sudu makan cili kisar
1 sudu makan asam jawa | dicampur dengan setengah cawan air
1 biji bawang besar | dipotong bulat
2 batang serai | dititik
3 tangkai daun kari
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Bahan-bahan ditumbuk :
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK :
1.Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. 2.Tumis bahan tumbuk serai dan daun kari hingga wangi. 3.Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak dan agak garing. 4.Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih. 5.Masukkan bawang besar, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata. 6.Masukkan ayam yang sudah digoren garam kunyit, gaul rata hingga bawang besar layu. 7.Tutup api. Hidangkan.
Buat Datin Umi Kalsom Abd Latib makan bersama keluarga adalah saat yang dinantikan dan tidak mahu dilepaskan. Di ketika inilah pelbagai cerita dikongsi bersama dan secara tidak langsung merapatkan hubungan sekeluarga.
Empat resipi dikongsi beliau ini sering menjadi hidangan sekeluarga. Cerita beliau Daging Goreng Masak Hitam antara menu yang digemarinya kerana resipi itu yang keluarga gemari. Istimewanya lagi resipi ini diperoleh dari ibu mertua yang mengajar beliau cara memasaknya. “ Walaupun cara memasaknya agak rumit tapi bila makan sangat sedap rasa. Daging tersebut perlu dipotong nipis dan ditumbuk halia dan kemudian diperap seketika. Goreng pula tidak boleh terlalu lembut dan terlalu garing. Masa menggorengnya juga agak lama,” akuinya.
Sementara resipi gulai udang ini adalah resipi orang Nogori dan memang resipi tradisi ibunda beliau sendiri. Tambah menyelerakan bila dipadu dengan kerabu pucuk pegaga. Menurut beliau ,membuat kerabu lain orang lain caranya. Cara beliau, kelapa digoreng terlebih dahulu tanpa minyak dan ia tidak terlalu halus. Itulah kelainan kerabu air tangan beliau.
DAGING GORENG MASAK HITAM Bahan-bahan
1 kilo daging
7cm halia
7 biji bawang putih
2 sudu kecil serbuk cili
4 sudu besar kicap pekat
2 tangkai daun kari
Cara memasak:
Daging dihiris nipis dan kecil.
Perap daging bersama halia dan bawang putih yang telah ditumbuk halus sebentar selama 10 minit.
Panaskan sedikit minyak ke dalam kuali dan goreng daging sedikit- sedikit hingga garing dan toskan. Ulang sehingga daging habis digoreng.
Tambah minyak bila perlu sedikit demi sedikit hanya untunk mencukupi gorengan daging tadi sehingga habis.
Tumis daun kari menggunakan sedikit minyak daging yang sedikit tadi , masukkan daging , serbuk cili dan kicap , gaul rata hingga secukup rasa angkat dan hidangkan.
GULAI UDANG BERSAMA CENDAWAN BUTANG
Bahan-bahan
10 ekor udang kertas.
10 ulas bawang merah. }
3 ulas bawang putih. } ditumbuk halus
10 biji cili padi. }
5cm kunyit hidup. }
3 kotak santan.
1½ cawan air.
2 paket cendawan butang (belah dua).
1 batang serai (diketuk).
1 keping asam gelugur.
Cara memasak:
Dalam periuk (lebih enak jika menggunakan periuk tradisional yang perbuat dari tanah liat) masukkan bahan yang ditumbuk tadi bersama 1½ cawan air.
Masukkan santan , garam , bila gulai sudah mendidih baru masukkan udang yang sudah dibersihkan tadi dan cendawan yang dibelah dua.
Juga masukkan keping asam gelugur dan serai yang sudah diketuk ke dalam periuk gulai.
Masukkan garam,gula secukup rasa jangan biarkan gulai mendidih terlalu lama sebab udang akan mengecil dan keras.
Sedia dihidangkan.
PUDING ICE-CREAM
Bahan-bahan
1 packet agar-agar
5 tin air sejuk
1 tin susu cair
¼ tin santan
1 tin gula (kurangkan jika tidak suka manis)
4 biji telur ayam (asingkan putih telur dan kuning telur)
1 sudu kecil asen vanilla
Pewarna merah (sedikit sahaja)
Cara memasak:
Masakkan agar-agar bersama gula sampai mendidih.
Asingkan putih telur dengan kuning telur.
Pukul putih telur sehingga kembang.
Masukkan putih telur tersebut ke dalam agar-agar dan bahagikan dua bekas.
Campurkan asen vanila serta perwarna merah kepada satu bahagian.
Satukan bahagian lagi dicampurkan dengan kuning telur , susu cair dan santan.
Masakkan bahagian kuning telur tersebut didapur (api perlahan) sebentar.
Tuangkan ke dalam adunan merah tadi.
Akhir sekali masukkan ke dalam acuan sejukkan dalam peti sejuk.
KERABU PUCUK PEGAGA
Bahan-bahan
2 ikat pegaga
¼ kelapa parut (digoreng hingga kuning tanpa minyak) dan (ditumbuk kasar).
1 biji bawang merah besar (dipotong halus).
3 biji cili merah (dihiris halus)
3 sudu kecil udang kering (ditumbuk halus)
½ limau nipis (ambil airnya)
Garam,gula secukup rasa.
Cara memasak:
Rendam dalam air sebentar pucuk pegaga, bersihkan dan tos. Potong kecil-kecil.
Masukkan dalam bekas pucuk pegaga,kelapa goreng yang sudah ditumbuk tadi , udang kering, bawang merah , cili merah, garam, sedikit gula dan air limau nipis. Gaul rata.
Sedia untuk dihidangkan.
Nak dapatkan peralatan memasak yang baru? Klik sini
Ada roti sandwic yang hampir tamat tempoh? Jangan buang! Cuba 6 resipi roti sandwic sedap ini termasuk lasagna, apple pie dan puding roti. Mudah dan menjimatkan!