Tahun Baru Cina bakal tiba. Pastinya ada di antara anda yang sudah merancang untuk pulang ke kampung dan ada juga yang merancang untuk pergi bercuti. Sebelum anda merancang perjalanan, pastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan selamat dengan melakukan pemeriksaan di PUSPAKOM.
Untuk pengetahuan anda, PUSPAKOM telah melancarkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma sempena Tahun Baru Cina dan anda turut berpeluang memenangi hadiah sepanjang tempoh kempen, bermula hari ini hingga 20 Januari 2023.
Dengan tanda pagar #drivesafenoregrets, PUSPAKOM ingin mengingatkan orang ramai khususnya pemilik kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina supaya memastikan kenderaan mereka berada di tahap kondisi yang terbaik sebelum memulakan perjalanan.
Orang ramai boleh mendapatkan Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela atau dengan nama singkatan VVI (Voluntary Vehicle Inspection) secara percuma ini di mana-mana cawangan PUSPAKOM seluruh negara (kecuali cawangan Taman Bukit Maluri, Shah Alam dan Pasir Gudang) dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan membuat janji temu di www.mypuspakom.com.my atau aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM.
Ads
Demi kemudahan orang ramai, PUSPAKOM turut mengerah Unit Pemeriksaan Bergerak bagi menawarkan pemeriksaan kenderaan percuma kepada orang ramai di beberapa lokasi terpilih seperti berikut:
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail, ”Kempen VVI percuma ini bertujuan membantu orang ramai mendapat maklumat tentang kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan kenderaan menggunakan peralatan berkomputer supaya mereka dapat melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya sebelum pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina”.
”PUSPAKOM amat menitikberatkan kepentingan keselamatan kenderaan dan menjadikan pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai tanggungjawab korporat kami sebagai badan pemeriksaan kenderaan yang dilantik kerajaan. PUSPAKOM juga berhasrat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan melalui pemeriksaan terutamanya ketika musim perayaan yang kebanyakan pemilik kenderaan melakukan perjalanan jauh”, ujar Shukor.
”Berlainan dengan pemeriksaan kenderaan yang ditawarkan oleh sesetengah syarikat. VVI PUSPAKOM melibatkan 25 item pemeriksaan yang menggunakan alatan berkomputer yang dikalibrasi setaraf dengan alatan yang digunakan oleh negara maju seperti Perancis, Belgium dan Sepanyol yang mengikut standard piawaian antarabangsa. Pemeriksaan ini lebih tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu melibatkan pemeriksaan brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan lain-lain lagi”, kata Shukor lagi.
Untuk maklumat lanjut dengan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma ini dan cara memenangi hadiah, sila layari Facebook PUSPAKOM Sdn Bhd.
Sebanyak RM30 bakal diagihkan mulai hari ini kepada 15 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, program e-Tunai Rakyat itu yang dilancarkan dengan dana keseluruhan RM450 juta akan disalurkan melalui tiga pengendali e-dompet terbesar di Malaysia iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. Menurutnya, RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali yang terpilih.
Lim Guan Eng – Foto: Bernama
“Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019.”
GUNA SEBELUM 14 MAC 2020
Menurut Lim Guan Eng lagi, inisiatif e-Tunai Rakyat ini dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital di kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya di sektor runcit. Oleh itu, Kementerian Kewangan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada insentif e-Tunai Rakyat sebelum 14 Mac 2020.
Insentif e-Tunai Rakyat ini adalah komitmen kerajaan bagi memenuhi agenda Kemakmuran Bersama dengan mengurangkan halangan ke arah digitalisasi dan meningkatkan keterangkuman kewangan.
“Bagi memastikan supaya insentif ini akan mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 tersebut perlu dibelanjakan oleh penerima bermula pada 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020. Baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac 2020.
“Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat ini. Ketiga-tiga pengendali e-dompet telah dipilih berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk memastikan supaya insentif ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan selewat-lewat pada bulan Januari 2020,” katanya.
CARA TEBUS E-TUNAI
Melalui insentif RM30 yang diberikan ini anda boleh membelanjakannya melalui eDompet bagi pembayaran makanan, pengangkutan, penghantaran dan sebagainya. Ia tidak boleh dipindahkan ke akaun pengguna lain atau ditukar kepada tunai.
1. TnG eWallet
Muat turun aplikasi TnG eWallet untuk Android atau iOS dan daftar akaun bagi pengguna kali pertama.
Kemudian pergi ke bahagian profile > Account Verification dan seterusnya tekan butang Verify Account.
Anda perlu ikuti langkah-langkah pengesahan akaun seperti mengambil gambar kad pengenalan, selfie dan mengisi beberapa maklumat.
Pengesahan ini dibuat untuk mengenal pasti, sama ada pengguna layak menerima atau sudah membuat penebusan di eDompet lain atau belum.
2. Grabpay
Muat turun aplikasi Grab untuk Android atau iOS dan daftar akaun bagi pengguna kali pertama.
Setelah itu pergi ke bahagian Payment dan aktifkan Grabpay.
Anda akan diminta untuk membuat mengambil gambar kad pengenalan dan beberapa maklumat berkaitan.
Tekan butang Claim It Now pada GrabPay Wallet pada 15 Januari, kemudian ikuti 3 langkah; Sahkan kelayakan, sahkan identiti dan kemudian selfie.
Menurut laman soal jawab Grab, insentif RM30 itu mungkin mengambil masa sehingga 5 hari (dari tarikh penebusan) untuk dimasukkan dalam GrabPay Wallet.
3. Boost
Muat turun aplikasi Boost untuk Android atau iOS dan daftar akaun bagi pengguna kali pertama.
Naik taraf kepada Premium Wallet dan sahkan.
Klik iniasitif e-Tunai Rakyat pada paparan utama aplikasi Boost bermula 15 Januari 2020.
Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne dengan senarai tempat lawatan yang mengujakan membuatkan hati tidak sabar untuk berada di sana. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Usai kapal terang sudah berada di udara, perut seperti terus meminta-minta. Apa lagi, Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne dan pelbagai menu dengan pelbagai citarasa.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sebahagian daripada kami membeli kad sim telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi. Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari lapangan terbang, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginner kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari di Jack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas. Seafood yang segar, sajian kupan dan hidangan fish and chips yang enak dimakan dengan penuh berselera.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Dibawa melihat proses asapan yang dilakukan, kami kemudianya dihidangkan dengan smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut.
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier.
Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki feri menuju Seorrento.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
Terlihat juga deretan Jeti-jeti kapal mewah membarisi pantai yang semestinya dimiliki oleh pemilik rumah-rumah mewah ini. Satu pengalaman berbeza kerana selama ini mungkin kita hanya menonton filem atau melhat gambar sahaja. Ya , pengalaman indah untuk dijadikan memori. Kawasan perumahana mewah itu bak resort itu kami tinggalkan untuk ke satu lagi destinasi menarik yang menghidangkan pemandangan indah. Kami kemudiannya ke Penisular Hot Spring dan seterusnya bermalam di Rye Hotel. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalaman yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat dan esoknya kembali ke Kota Melbourne.
SERONOKNYA CUCI MATA DI SOUTH MELBOURNE MARKET
South Melbourne Market. Sudah berusia lebih 150 tahun, South Melbourne Market menjual pelbagai barangan, makanan, sayuran, bunga, buah-buahan, ikan , daging dan hasil laut yang segar. Bukan itu sahaja, di sini juga menempatkan pelbagai restoran dan tempat makan termasuk makanan halal. Pilihan pakaian, cenderahati dan pelbagai hasil seni juga boleh didapati di sini.
Orang seperti saya memang sangat teruja kalau dibawa ke tempat seperti ni. Boleh leka menikmati barangan yang dijual. Seketika saya leka melihat deretan pelbagai jenis cheese yang dijual. Dan dalam kunjungan ini kami juga diberi peluang merasa pelbagai jenis cheese. Best sangat! Kami juga diberi mencuba tiram segar. Sayangnya saya bukan penggemar tiram. Kami juga menikmati makan tengah hari di salah satu restoran di sini. Dan semestinya halal untuk orang Muslim.
Dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang pada hari Rabu, pada hari Jumaat pula ditutup jam 6 petang manakala ditutup jam 4 petang pada hari bekerja yang lain. Jadi pastikan jadual percutian anda disusun dengan baik kerana market ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Oh ya, saranan saya, jangan lupa mencuba croissant terbaik di Agathé Pâtisserie dan datang awal sebab kena beratur panjang. Sumpah sangat sedap!
Esoknya kami ke Philip Island, satu lagi lokasi yang tidak boleh dilepaskan. Jika sudah pasang angan-angan mahu menyaksikan perarakan penguin terkecil di dunia, anda mesti masukkan Philips Island dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Dua jam perjalanan dari kota Melbourne tidak akan terasa lama kerana dihidangkan dengan permandangan indah sepanjang jalan.
Dalam perjalanan kami singgah Caldermeade Dairy . Ladang lembu tenusu yang turut dilengkapi dengan kafe dan mini market yang menjual pelbagai hasil tenusu. Kami sempat dibawa melawat ke kawasan peliharaan lembu dengan menaiki ‘truck’ khas.
Selain itu turut disediakan pelbagai aktiviti seperti memberi makan binatang peliharaan. Aktiviti ini memang sesuai bagi yang travel bersama anak-anak. Sempat juga mencuba susu coklat yang dijual dan memberi beberapa cenderahati untuk dibawa pulang.
Philip Island, Pulau perlindungan terletak di pantai selatan Australia. Nikmati keindahan pelbagai aktitivi di pulau ini termasuklah menyaksikan penguin parade, nobbies, anjing laut dan menaiki helicopter sambil menyaksikan keindahan Philip Island dari udara.
PHILLIP ISLAND CHOCOLATE FACTORY
Kilang Coklat yang terkenal di pulau ini. Mempunyai lebih dari 190 jenis coklat pelbagai rasa, Visit Panny’s Amazing World of Chocolate juga mempunyai pameran informasi mengenai penghasilan koko . Kita juga dapat dapat menyaksikan bagaimana pembuatan coklat, anak-anak dapat mempelajari sejarah pembuatan coklat sambil bermain pelbagai permainan yang disediakan. Kalau dah sampai ke sini tak lengkaplah kalau tak mencuba hot chocolate yang dijual di kafenya. Sedap!
Melengkapkan perjalanan di sini, kami berangkat pulang sambil melalui kawasan perkampungan dan ladang-ladang tenusu yang luas dan menghijau. Seketika kami singgah di bass coast trail, wonthagei Railway dan Wonthagi Wind Farm dan menikmati makan tengahari di Kilcunda.
Antara hidangan enak yang dihidangkan sepanjang percutian kami.
GELATO DALAM SUASANA DINGIN DAN HUJAN GERIMIS
Bertolak pulang ke Melbourne kami singgah pula menikmati ais krim dan gelato di Kori Icekrim di Howthorn. Kafe gelato milik Joane Yeoh anak kelahiran Malaysia ni menyediakan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai. Joane Yeoh turut di senaraikan sebagai upcoming chef di bawah usia 30 tahun oleh MFWF 2022. Kami sempat mencuba pelbagai jenis gelato dan aiskrim. Hujan gerimis dan udara sejuk tidak dihiraukan kerana gelato yang mendapat inspirasi dari manisan Jepun ini benar-benar enak. Selesai menikmati aiskrim dan gelato kami pulang ke hotel penginapan. Malam terakhir di Melbourne dalam hujan gerimis, kami menikmati sepenuhnya pemandangan malam. Berlari membeli cenderahati sebelum kedai tutup. Menghabiskan wang kecil dengan membeli coklat dan menikmati malam malam citarasa Thai.Kata orang teman travel yang tepat sangat penting untuk mewujudkan suasana ‘meriah’sepanjang percutian. Carilah teman, rakan dan sahabat yang betul untuk percutian yang panjang apa lagi jika memerlukan kita travel dari satu tempat ke tempat yang jauh.
Terima kasih sahabat-sahabat media, Anis, Shaz,Lissa, Martin dan Carmen. Amzar dan Ariff dari AirAsia, Yih Ling dari Go Communication dan orang paling penting dan Jenny dari Visit Victoria yang menjadi teman travel paling best sepanjang percutian kami.
Terima Kasih AirAsia X yang menyediakan penerbangan selesa dan Visit Victoria yang menyediakan iternary yang sangat menarik. Untuk anda yang ingin terbang ke Melbourne, kini AirAsia X menyediakan penerbangan setiap hari. Pilih sahaja hari yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan yang pasti anda bakal menikmati percutian yang penuh kenangan.
Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat tempatan yang terkenal dengan inovasi digitalnya, dengan bangganya mengumumkan pelancaran dua produk digital terbarunya iaitu aplikasi seeNi dan portal Kliik.
Pelancaran yang berlangsung di Hall 7, Kuala Lumpur Convention Centre ini telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Ybhg Datuk Fadzli Abdul Wahit.
Aplikasi seeNi adalah SuperApp terbaru yang dibangunkan oleh Nu Ideaktiv dengan misi mengubah cara rakyat Malaysia menikmati kandungan digital.
Aplikasi ini menyediakan pelbagai jenis kandungan termasuk artikel, video, podcast dan siri seeNi Original.
Selain menikmati konten secara percuma, aplikasi ini juga memberi peluang kepada anda untuk menjadi pencipta kandungan dan menjana pendapatan melalui platform ini. Syok kan?
Pengguna juga dapat menikmati pengalaman interaktif seperti memberi tanda suka, mengulas dan berkongsi kandungan yang mereka suka.
Lebih menarik lagi, seeNi menawarkan akses kepada jenama-jenama media terkemuka seperti Sinar Harian, Astro Awano, Amanz dan Kita Family Podcast.
seeNi juga memberi ruang kepada pencipta kandungan seperti Hazeman Huzair dan Suhaib Henshin untuk berkarya.
Kliik.je pula merupakan platform yang interaktif dan berasaskan komuniti. Portal ini bertujuan untuk mencipta keterujaan dalam kalangan komuniti dengan menawarkan pelbagai menarik dan boleh mendapat ganjaran menarik termasuk akses kepada pertandingan, sampel percuma, event, seminar dan webinar.
Para pengguna boleh mendaftar di Kliik.je dan memilih tugasan serta cabaran yang bersesuaian dengan minat mereka untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan.
Dengan aplikasi seeNi, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada pelbagai jenis kandungan yang bukan saja mendidi, malah menghiburkan. Portal Kliik.je pula menjadi pusat komuniti yang memperkasa pengguna dengan pelbagai ganjaran dan peluang.
Ideaktiv yakin kedua-dua platform ini akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, menyokong ekonomi digital negara.
Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Ideaktiv, menyatakan kegembiraannya dengan peluang untuk membawa inovasi digital tempatan kepada masyarakat Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa ini merupakan langkah awal yang mengujakan dalam usaha Ideaktiv untuk membentuk masa depan digital negara.
Encik Syamil menekankan bahawa aplikasi seeNi dan portal Kliik.je bukan sahaja membawa nilai tambah kepada pengguna, tetapi juga menyokong pertumbuhan industri kandungan tempatan.
Pelancaran kedua-dua platform ini sekali gus menunjukkan komitmen Nu Ideaktiv untuk terus berinovasi dan menyediakan pengalaman digital yang lebih baik untuk semua.