Salah satu jenis kacang yang banyak khasiatnya adalah badam atau almond. Rasanya sedap. Badam mempunyai kulit yang cukup keras sehingga susah untuk dipecahkan. Harga badam juga agak mahal berbanding kacang lain. Hal ini membuatkan kita tertanya-tanya apa khasiat yang ada pada sebiji badam sehingga harganya agak tinggi?

Kacang badam mempunyai peminatnya yang tersendiri. Walau mahal, ada yang gemar membelinya untuk dijadikan sebagai kudapan. Ini kerana khasiatnya yang tinggi untuk tubuh. Sama ada dijadikan kudapan begitu sahaja, mahukan dikisar untuk dijadikan sebagai minuman berbentuk susu.

Antara khasiat badam yang perlu kita tahu adalah:

1) Kacang badam dipercayai boleh membantu menguatkan jantung. Ini kerana kandungan magnesium, kalsium dan zat yang bagus-bagus ada pada sebiji badam. Paling penting cara memasak badam tersebut. Jangan digoreng kerana jika sudah bercampur dengan minyak, khasiatnya sudah tidak seperti asal.

2) Kadang badam juga membantu mengurangkan kolesterol dalam badan. Kandungan vitamin E dalam kacang ini boleh menambah kolesterol baik dalam badan.

3) Bagi anda yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, elok makan kacang badam bagi membantu menurunkan kadar tekanan darah. Malah kacang badam juga boleh membantu menstabilkan kadar gula dalam darah.

4) Bagi anda yang sedang berdiet pula, elok jika amalkan menu yang mempunyai badam. Malah boleh turut membantu meningkatkan imunisasi badan kerana mempunya kandungan vitamin E, B1, B2 dan B3.

IKLAN

BISKUT BUTTERSCOTCH ALMOND

Badam Tinggi Khasiat & Sedap Buat Kudap-Kudap

 

BAHAN-BAHAN
30 gram tepung jagung*
250 gram tepung naik sendiri*
250 gram mentega
140 gram gula perang
1 biji telur ayam gred B
1 sudu teh esen vanila

BAHAN HIASAN
150 gram butterscotch
150 gram badam (cencang dan hiris disangai)

IKLAN

CARA MEMBUAT
1. Satukan tepung jagung dan tepung naik sendiri. Ayak. Ketepikan.
2. Pukul mentega dan gula perang sehingga sebati.
3. Masukkan telur ayam dan esen vanila. Pukul sebati.
4. Masukkan tepung yang sudah diayak tadi. Gaul guna spatula sehingga doh jadi lembut.
5. Masukkan butterscotch dan badam cencang. Gaul sebati.
6. Kemudian sudukan dalam cawan kertas.
6. Bakar pada suhu 170°c api atas dan bawah selama 20 minit. Hiaskan dengan badam hiris di bahagian atas.

SUSU BADAM

Badam Tinggi Khasiat & Sedap Buat Kudap-Kudap

BAHAN-BAHAN
1 cawan badam mentah
4 cawan air masak
1 sudu esen vanila
Sedikit garam

CARA MEMBUAT
1. Badam dibasuh bersih dan kemudian direndam semalaman.
2. Bilas badam dan kisar halus bersama air.
3. Tapis bahan kisaran tadi dalam periuk. Kemudian masak atas api sederhana sehingga mendidih. Masukkan esen vanila dan garam.
4. Selepas mendidih, sejukkan dahulu. Boleh minum ketika suam.

IKLAN

KEK MENTEGA ALMOND

Badam Tinggi Khasiat & Sedap Buat Kudap-Kudap

BAHAN-BAHAN
250 gram mentega
1 cawan gula kastor
4 biji telur ayam
2 cawan tepung gandum (diayak)
1 sudu kecil baking powder (diayak)
1/4 cawan susu cair
1 sudu kecil essen vanila
1/2 cawan kacang badam (dihiris)

CARA MEMBUAT
1. Pukul mentega dan gula kastor sehingga kembang dan putih.
2. Masukkan telur satu persatu. Pukul sebati.
3. Masukkan tepung gandum yang telah diayak bersama baking powder. Kacau secara kaup balik. Masukkan susu cair dan esen vanila. Kacau sebati.
4. Masukkan ke dalam dulang pembakar. Tabur badam ke atasnya. Bakar selama 40 minit atau sehingga masak.

BADAM SALUT MADU

Badam Tinggi Khasiat & Sedap Buat Kudap-Kudap

BAHAN-BAHAN
2 cawan badam (jangan buang kulit)
1/4 cawan gula halus
1 sudu besar garam
2 sudu besar madu
2 sudu besar air
2 sudu besar minyak masak

CARA MEMBUAT
1. Bakarkan badam dalam oven pada suhu 180’C selama 15 minit atau sampai badam masak. Ketepikan dan biarkan sejuk.
2. Gaulkan gula halus dan garam dalam mangkuk.
3. Dalam kuali, panaskan madu, air dan minyak masak. Didihkan dengan api yang kecik.
4. Masukkan badam bakar tadi dan terus kacau sampai kering lebih kurang 5 minit. Terus masuk dalam campuran gula dan garam tadi. Gaul dan salut rata. Sedia dihidang.

Selamat mencuba!

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI