
Kek Buah Kukus memang sedap dan merupakan antara kek tradisional yang kekal popular hingga kini. Salah satu yang menarik perhatian ialah resipi kek buah perkongsian Puan Hasniza Hassan ni.
Menurut beliau, kek buah kukus ini ada sejarahnya yang tersendiri buat keluarga dimana resipinya dipelajari oleh ibu Puan Hasniza sendiri daripada emak kawan baiknya. Hampir 50 tahun ibu beliau buat kek kukus buah ini untuk dihidangkan kepada tetamu dan sebagai buah tangan terutamanya di Hari Raya.
Kini diusia 76 tahun, kepakaran ibu telah diwariskan kepada Puan Hasniza dan beliau juga berhajat untuk berkongsi resepi ini dengan semua yang ingin mencuba.
Resipi turun-temurun ni memang istimewa kerana menggunakan gula yang digoreng hingga berbuih sebelum dicampurkan ke dalam adunan. Proses mengukus yang mengambil masa lebih empat jam pula menjadi antara keunikan cara penyediaannya. Bagi yang suka kek buah tradisional, bolehlah cuba sendiri di rumah.
Resipi Kek Buah Kukus Klasik
Untuk menyediakan kek ni, bahan-bahannya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahan A, B dan C. Pastikan semua bahan disukat terlebih dahulu supaya proses mengadun lebih mudah, terutamanya ketika memasukkan gula panas ke dalam adunan.

BAHAN A:
- 600gm tepung gandum
- 4 sudu teh Cream of Tartars
- 2 sudu teh Bicarbonate of Soda
- 300gm Mixed Fruit
(Gaul semua dan ketepikan)
BAHAN B:
- 450gm marjerin planta
- 225gm gula halus (biasanya mak Kak Has akan kisar halus gula kasar)
- 5 biji telur ayam gred B/A
- 3 sudu teh esen vanila
(Pukul semua bahan sehingga ringan)
BAHAN C:
- 225gm gula kasar
Cara Membuat Kek Buah Kukus
Ikuti langkah penyediaan seperti yang dikongsikan oleh Puan Hasniza. Bahagian memasak gula dan proses mengukus perlu diberikan perhatian supaya hasil kek menjadi seperti yang diinginkan.
- Campurkan semua bahan A. Gaul rata dan ketepikan.


- Dalam bekas berlainan, masukkan planta dan gula kisar halus. Pukul hingga ringan.


- Masukkan telur satu persatu. Kacau perlahan-lahan.

- Masukkan juga esen vanilla. Kacau rata.

- Tambahkan campuran bahan A ke dalam adunan B. Gaul hingga sebati menggunakan senduk kayu. Ketepikan seketika.


- Untuk bahan C, goreng gula kasar dalam kuali hingga mendidih dan berbuih. Jangan masukkan air.

- Sentiasa kacau gula semasa menggoreng supaya semua gula larut sekata.

- Setelah gula berbuih, tutup api dan cepat-cepat masukkan ke dalam adunan kek. Gaul rata. Sekiranya lambat, gula akan mengeras.
- Paling baik jika ada 2 orang membuatnya. Seorang tuang gula, seorang lagi kacau adunan. Namun perlu berhati-hati kerana gula panas.

- Gaul rata gula yang digoreng dalam adunan.

- Masukkan adunan yang dah siap ke dalam loyang kek.
- Mak Kak Has suka guna bekas mangkuk tingkat bersaiz 8 inci ini. Guna sekali dengan penutupnya. Boleh juga guna periuk atau loyang kek.

- Adunan ini perlu ditutup rapat. Walaupun dah ditutup dengan penutupnya, masih dibalut dengan aluminium foil dan ikat keliling dengan tali. Tujuannya supaya wap daripada kukusan tak masuk ke dalam kek.

- Sementara nak buat kek tadi, siapkan kukusan untuk mengukus kek. Didihkan air dalam 2/3 bekas kukusan.

- Masukkan kek dalam kukusan dan kukus selama lebih kurang 4 jam 15 minit.

- Setiap 45 minit, periksa air kukusan. Tambahkan dengan air mendidih ke paras 2/3 bekas. Jangan tambah guna air biasa. Selalu yang kami buat ialah didihkan air tambahan di sebelah kukusan.

- Sedia untuk dinikmati.

Petua Kek Buah Kukus Supaya Menjadi
Ada beberapa perkara penting yang boleh diberi perhatian semasa menyediakan resipi ni. Walaupun bahan-bahannya mudah didapati, cara mengadun, memasak gula dan mengukus memainkan peranan penting untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
1. Sediakan Semua Bahan Terlebih Dahulu
Pastikan tepung, buah campuran, marjerin, telur dan gula sudah disukat sebelum mula membuat kek. Ini memudahkan kerja kerana ada langkah yang perlu dilakukan dengan cepat, terutamanya selepas gula digoreng hingga berbuih.
2. Berhati-hati Ketika Menggoreng Gula
Gula kasar perlu digoreng tanpa air seperti dalam resipi asal. Sentiasa kacau supaya gula larut sekata dan tidak hangus. Apabila sudah berbuih, segera masukkan ke dalam adunan. Gula yang terlalu lama dibiarkan boleh mengeras dan menyukarkan proses menggaul.
Bahagian ni lebih mudah dibuat dengan bantuan seorang lagi ahli keluarga. Seorang boleh menuang gula panas manakala seorang lagi mengacau adunan. Pastikan menggunakan peralatan yang sesuai dan elakkan terkena percikan gula panas.
3. Tutup Bekas Kukusan Dengan Rapat
Salah satu petua penting dalam resipi warisan ni ialah memastikan bekas kek ditutup rapat. Penggunaan penutup bersama aluminium foil membantu menghalang titisan wap daripada masuk ke dalam adunan. Dengan cara ni, permukaan kek tidak mudah terkena air sepanjang proses mengukus.
4. Pastikan Air Kukusan Sentiasa Mencukupi
Tempoh mengukus yang panjang memerlukan perhatian pada paras air. Seperti yang dikongsikan dalam resipi, air perlu diperiksa setiap 45 minit dan ditambah menggunakan air yang sudah mendidih. Cara ni membantu mengekalkan proses pengukusan tanpa gangguan yang terlalu lama.
5. Biarkan Kek Sejuk Sebelum Dipotong
Selepas siap dikukus, elok biarkan kek sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong. Ini membantu teksturnya menjadi lebih stabil dan memudahkan kek dipotong dengan kemas. Gunakan pisau yang bersih dan tajam supaya potongan nampak cantik ketika dihidangkan.
Resipi Warisan Keluarga Yang Sesuai Untuk Hari Raya
Keistimewaan Kek Buah Kukus Klasik ni bukan sekadar pada rasanya, tetapi juga kisah di sebalik resipi yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Hampir 50 tahun disediakan oleh ibu Puan Hasniza, kini resipi yang sama dikongsikan supaya lebih ramai dapat mencubanya.
Anda mungkin berminat dengan
Kek ni sesuai dijadikan hidangan untuk tetamu, pencuci mulut atau buah tangan ketika musim perayaan. Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk dikukus, hasilnya tentu memberi kepuasan kepada mereka yang gemarkan kek buah cara lama.
Jadi, kalau anda tercari-cari resipi kek tradisional untuk dicuba, bolehlah simpan perkongsian ni. Ikut sukatan dan langkah yang diberikan, terutama cara menyediakan gula serta tempoh mengukus supaya hasilnya lebih memuaskan.
Kredit resipi, video & foto sepenuhnya: FB Hasniza Hassan
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official.

sekarang!
