Bagi para peminat novelis thriller terkemuka Malaysia, Ramlee Awang Murshid, pastinya sudah tidak sabar untuk menonton Tombiruo: Penunggu Rimba yang akan menemui penonton pada 12 Oktober ini. Bakal ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia, filem ini diterajui oleh Zul Ariffin selaku pelakon utama dan dibarisi pelakon-pelakon hebat lain seperti Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M Nasir, Dynas Mokhtar dan ramai lagi.
Filem terbitan Astro Shaw, Grup Buku Karangkraf, Ideate Media dan Layar Sunan ini perlu anda tonton kerana ia pastinya berbeza dari filem-filem yang pernah anda saksikan sebelum ini. Lokasi penggambaran yang boleh dikatakan hampir keseluruhan dilakukan di kawasan hutan, menggunakan teknik sinematografi terbaik dan dipenuhi lakon aksi yang mendebarkan menjadikan filem ini antara filem terhebat bagi tahun ini.
Lihat sahaja teasernya sudah cukup membuatkan anda mengakui kehebatan jalan cerita serta ‘excitement’ yang bakal anda rasai. Tombiruo: Penunggu Rimba adalah berkisarkan kisah dendam Ejim ( Zul Ariffin) di atas kematian ayahnya, Pondolou. Misinya adalah untuk mencari pembunuh Pondolou, namun diganggu oleh Amiruddin ( lakonan Farid Kamil ) yang memburunya untuk menuntut bela di atas kematian isteri tercinta, Salina.
Sementara itu, samseng diupah supaya memusnahkan Tombiruo kerana beranggapan Tombiruo menghalang misi peribadi mereka untuk mengaut keuntungan. Dalam kekacauan ini, wujud pula seorang wartawan wanita, Wan Suraya ( lakonan Nabila Huda) yang begitu nekad untuk mencari kebenaran di sebalik kejadian yang berlaku.
Pengembaraan Tombiruo yang penuh aksi dan bahaya ini membawa pelbagai mesej untuk dihadam oleh penonton. Ia sarat dengan mesej tentang erti persaudaraan, kekeluargaan dan cinta sekaligus memberi nilai murni yang boleh dicontohi.
Malah, kalau anda berazam nak turunkan berat badan, boleh jadikan Zul Ariffin sebagai idola. Untuk menjayakan watak Tombiruo ini, beliau terpaksa berdiet secara ekstrim! Mana tidaknya, dalam masa 5 minggu sahaja, beliau kehilangan 15 kg! Wow!!! Hebat kan? Tapi percayalah, nak ‘loose weight’ sebanyak tu dalam tempoh yang singkat, memang memerlukan semangat, azam serta disiplin yang ketat. Menurut Zul Ariffin, berat badannya perlu diturunkan bukan sahaja sebab beliau tidak berbaju dalam filem ni, tetapi beliaujuga terpaksa melakukan aksi-aksi lasak. Oleh itu, memang kena dapatkan berat yang sesuai serta badan yang fit dan cergas. Ha…Anda sanggup ke? Tiada yang mustahil kan? Janji berani dan nak cuba.
“ Dari segi pemakanan, nak turunkan berat dari 90kg ke 77kg, saya kena skor berat turun dalam 2-3kg seminggu. Jadi dalam proses itu, saya tidak makan apa-apa. Dalam 2 minggu pertama, saya hanya minum air sahaja dan ambil makanan dalam jumlah yang terlalu sedikit sekadar memberi ruang kepada perut untuk proses. Saya minum banyak air dan bila perut rasa penuh, rasa untuk makan tu tak ada,”- Zul Ariffin
Khabar pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali menghadap Ilahi awal pagi hari ini membuatkan ramai terkejut. Berita sedih buat kami.
Beliau amat dekat di hati kami karyawan Majalah Rasa kerana dahulu ketika di bawah Grup Majalah Karangkraf dia adalah antara ketua yang menjadi rujukan kami. Malah setelah tidak lagi sebumbung, beliau tetap bertanya khabar, mengambil tahu tentang kami.
Berita pemergiannya telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Twitter beliau. Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Semoga sahabatku Dtk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang.
“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
Berusia 66 tahun, berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Beliau juga ialah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Tulisannya Sangat Digemari
Kehebatannya dalam bidang penulisan sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Professionalismenya dalam profesion ini sangat disanjung, dihormati dan disegani. Tulisannya sentiasa mampu ‘menangkap’ perhatian. Dari isu politik, ekonomi, kemasyaraktan hinggalah kepada penulisan santai yang ringan, mesej yang disampaikan sangat tajam, padat dan tepat. Malah dalam penulisan yang lucu juga pasti terselit sindiran penuh pengajaran. Tidak keras , tidak menimbulkan amarah.
Lalu tidak hairanlah tulisannya sentiasa dinantikan. Cerita tentang kisah keluarga di Majalah Keluarga membuatkan ramai pembaca tidak sabar untuk menunggu untuk kisah bulan hadapannya. Belum lagi kisah pengantin baru dalam kolum yang dikendalikannya di Majalah Pesona Pengantin. Pasti membuatkan pengantin baru dan pengantin lama tersipu-sipu dan senyum sendirian. Malah sering kami yang membaca beramai-ramai berderai tawa kerana baris ayat yang dicoret sentiasa mencuit hati.
Koleksi Buku Tentang Kehidupan & Motivasi
Dalam kesibukan tugasnya, beliau juga sempat menghasilkan beberapa buku tentang kehidupan dan motivasi. Juga dari koleksi artikel yang disiarkan dalam kolum khasnya di beberapa majalah. Antara buku-buku tulisannya adalah Asam, Garam, Kopi & Gula. Kopi O Tanpa Gula, Teh Tarik Kurang Manis dan Dari Menara KL serta Asam Pedas Sirap Bandung,sebuah buku motivasi.
Melihat buku-bukunya, nama-nama makanan menjadi tajuk yang menarik. Ya itulah kehidupan. Ibarat makanan yang kita ambil saban hari. Setiap rasa ada cerita dan kisahnya. Pendekatan mudah ini nyata mudah diterima oleh pembaca.
Beliau juga sangat dekat dihati setiap kakitangan di Karangkraf. Seorang ketua, mentor dan sifu yang sangat disenangi. Sangat disayangi. Yang sentiasa punya jawapan dan jalan penyelesaian dalam setiap masalah terutama dalam penulisan. Ideanya sentiasa mencurah, nasihat dan ceritanya pasti membuatkan ramai kakitangan merasa sangat selesa kala berbicara dengannya.
Setiap kakitangan disapa dengan mesra. Bertanya khabar bukan sahaja tentang kerja, malah tentang kehidupan dan keluarga juga. Sambil pasti memberi nasihat dan ingatan. Pasti selalu dalam berbicara akan juga diingatkan kami, agar selalu jaga ibu ayah, jaga keluarga, jaga isteri, jaga suami , jaga anak-anak. Jasa dan budi baiknya akan sentiasan kami hargai. Kebaikan, nasihat dan perkongsian ilmunya akan tetap kami kenang.
Doa kami semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – Ida Abd Aziz – Editor Pengurusan
Berperanan sebagai wartawan, penulis resipi, pengkritik makanan dan juga personaliti TV, nama Matt Preston sememangnya tidak asing lagi di Australia mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau terkenal dan lebih dikenali sebagai juri di dalam program MasterChef Australia, Celebrity MasterChef, Junior MasterChef, MasterChef Australia Allstars dan Masterchef: The Professionals. Malah beliau turut muncul di dalam program MasterChef Italia, Masterchef Holland, Masterchef India, Masterchef Poland dan Masterchef NZ.
Selain itu, beliau turut menghasilkan artikel di kolum makanan yang muncul secara mingguan di dalam akhbar metro NewsCorp’s dengan jumlah gabungan lebih kurang 4 juta orang Australia setiap minggu serta merupakan seorang editor kanan kepada Delicious. dan Taste Magazine. Matt Preston juga telah mengeluarkan 5 buah buku masakan paling laris yang telah diterbitkan di Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Belanda dan Portugal.
Apabila ditanya tentang cabaran sepanjang menjadi juri Masterchef Australia, Matt Preston mengakui bahawa ia bukan satu tugasan yang mudah lebih-lebih lagi apabila perlu mengkritik makanan negara luar dan menyampaikan kelemahan serta keistimewaan setiap hidangan yang dirasai kepada penonton. “Kami adalah program televisyen Australia, jadi kami akan memberi komen dari perspektif kami”, kata beliau.
Matt Preston juga akui kariernya itu sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatannya apabila beliau pernah mengalami masalah kandungan gula dalam darah yang tinggi 20 tahun yang lepas akibat tidak mengamalkan cara pemakanan yang baik dan mengambil hampir kesemua jenis makanan ringan tanpa memikirkan kesannya.
Gaya hidup Matt Preston berubah setelah isterinya, Emma telah mengarahkan beliau untuk menurunkan berat badan dan melarang dari mengambil semua makanan segera yang tinggi dengan lemak dan gula, termasuklah burger, fish and chips, pavlova dan biskut coklat Tim Tam yang dikatakan sebagai kelemahan setiap pengkritik makanan di sana. Tindakan itu dilakukan setelah Emma melihat ramai peminat Matt Preston memberikan komen dan menunjukkan kebimbangan terhadap berat badan beliau setiap kali muncul di kaca TV.
Walaupun perkara ini agak susah dan berat bagi seorang yang sering berhadapan dengan makanan, namun personaliti TV yang berumur 55 tahun ini tidak putus asa dan berjaya buktikan beliau mampu menurunkan berat badan. Malah, Matt Preston pernah kehilangan berat badan sebanyak 20kg pada tahun 2013 setelah mengamalkan gaya hidup dan cara pemakanan yang sihat.
Selain menjaga cara pemakanan, beliau juga aktif melakukan senaman dengan meluangkan masa berjalan, bermain tenis dan juga berenang. “Untuk kekal sihat, ia memerlukan dua perkara penting iaitu pengorbanan kerana banyak makanan kegemaran yang saya tinggalkan dan keduanya ialah senaman”, kata beliau.
Berkongsi tentang pengalaman mengembara di sekitar Asia Tenggara, beliau berasa sangat bertuah kerana dapat meneroka pelbagai perkara sepanjang pengembaraannya. “Saya sering mengembara ke Asia Tenggara dan dari sana lah saya mendapat idea bagaimana untuk menghasilkan hidangan Asia termasuklah sate, nasi ayam madu dan juga rendang”.
Siapa sangka Matt Preston juga meminati makanan Malaysia, termasuklah sambal petai, otak-otak dan sate. Katanya dia sangat menggemari rasa sambal yang terdapat di Malaysia dan apa yang membuatkannya bertambah enak apabila ia dicampurkan bersama petai.
Lebih membanggakan apabila beliau memberitahu ingin membawa inspirasi makanan Malaysia ke dalam masakannya. Tidak dapat dinafikan negara kita sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang menyelerakan jadi tidak mustahil buat Matt Preston untuk jatuh cinta dengan makanan yang ada disini.
Matt Preston bersama dua rakannya, Gary Mehigan dan George Calombaris sekali lagi menjadi pengacara dan juri dalam MasterChef Australia S10 yang telah dimenangi oleh Sashi Cheliah di peringkat final pada Julai lepas. Namun, peminat di Malaysia masih boleh menyaksikan program MasterChef Australia S10 di Lifetime Astro siaran 709 pada hari Isnin hingga Jumaat jam 8 malam.
Ini adalah antara 2 resipi pencuci mulut yang dikongsikan Matt Preston. Tidak banyak bahan yang digiunakan, ia sangat lah mudah dan sedap! Jom kita cuba!
SOS BUTTERSCOTCH BERSAMA PISANG MENTEGA DAN AIS KRIM
Bahan-Bahan
110g gula perang
150g unsalted butter – dicincang
½ cawan 125ml whipping cream
4 pisang masak
½ jus lemon
8 sudu kecil aiskrim vanilla
½ cawan (75g) salted peanut – dicincang
Cara Penyediaan (Sos Butterscotch)
Letakkan 4 mangkuk pencuci mulut di dalam peti sejuk.
Letakkan gula dan 100g mentega dalam periuk di atas api sederhana dan masak, kacau, selama 2-3 minit sehingga gula larut.
Pukul dan tambahkan whipping cream perlahan-lahan, kemudian masak selama 1 minit lagi atau sehingga sebati.
Tambahkan 1tsp garam dan kacau. Letakkan ke tepi.
Cara Penyediaan (Pisang Mentega)
Cairkan 25g mentega dalam frypan di atas api sederhana sehingga berbuih.
Kopek 2 ulas buah pisang dan potong memanjang.
Tambahkan separuh dari jus lemon dan pisang yang telah dipotong ke dalam pan.
Masak selama 1-2 minit sehingga pisang menjadi lebut dan kekuningan, tetapi masih kekal bentuknya ya.
Kemudian letakkan ke tepi. Ulang step yang sama untuk baki 25g mentega, jus lemon dan buah pisang.
Cara Penyediaan
Keluarkan mangkuk daripada peti sejuk dan letakkan 2 scoop aiskrim di setiap mangkuk.
Tambahkan 1 ulas pisang yang telah dibelah dua ke dalam setiap mangkuk, kemudian curahkan dengan dengan sos butterscotch dan salted peanuts yang telah dicincang. Siap!
PUDING COKLAT MATT PRESTON
Bahan-Bahan
1 cawan (150g) tepung naik sendiri
1 cawan (220g) gula caster
1/2 cawan (50g) serbuk koko
60g unsalted butter – dicairkan & disejukkan
Susu 1/2 cawan (125ml)
½ tsp vanilla extract
1 telur
Aiskrim vanilla
Cara Penyediaan
Panaskan oven pada 160°C. Grease kan bekas untuk membakar nanti.
Ayakkan tepung, ½ cawan (110g) gula dan ¼ cawan (25g) koko ke dalam mangkuk dan kacau sebati. Buatkan lubang atau ruang di tengahnya.
Dalam mangkuk yang berasingan, pukul mentega yang telah dicarikan, susu, vanilla extract dan telur.
Tuangkan sedikit demi sedikit ke dalam lubang atau ruang tadi, kemudian kacau secara kaup balik hingga sebati.
Letakkan ke dalam bekas yang telah disediakan. Sebelum itu, campurkan baki 1/2cawan (110g) gula dan ¼ cawan (25g) koko dan taburkan ke atas puding tersebut.
Tuangkan 2 cawan (500ml) air mendidih ke atas puding.
Bakar selama 30-35 minit.
Seteleh siap dibakar, biarkan selama 10minit untuk disejukkan sedikit.
Taburkan puding tadi dengan lebihan koko dan hidangkan bersama aiskirm vanilla.
Ibu chef selebriti popular Datuk Chef Wan meninggal dunia pagi ini.
Berita kematian ini diumumkan Chef Wan sendiri menerusi laman sosial Instagram beliau. Ibunya yang mesra disapa Cik Ani, meninggal dunia di Hospital Gleneagle pada jam 6.20 pagi.
“With great sadness my dearest mom had passed away at 6.20am peacefully in her sleep at the Gleneagle hospital pagi ini. May her soul rest in peace, di ampun segala dosa2 beliau serta di tempat kan bersama sama orang2 yg beriman nanti. Her body will be prepared for burial at Masjid Putra Putrajaya and lay to rest at tanah perkuburan Cyber 10. Alfatihah. Thank you so much for all your kind wishes and doa for my mother. Alhamdulilah.”
Pemergian Allahyarhamah juga mendapat perhatian selebriti yang lain antaranya Alif Satar, Hisyam Hamid, Marion Counter, Noor Nabila, Fedtri Yahya dan ramai lagi.
Umum sudah maklum, selebriti chef tersohor dato chef wan sangat menjaga kebajikan ibunya. Lihat sahaja posting-posting beliau mengenai ibunya, sangat membahagiakan.
Malah baru-baru ini sempena ulang tahun kelahiran Cik Ani yang ke 90 tahun, ia telah disambut dengan begitu meriah dan dihadiri oleh para tetamu tersohor dan kenamaan.
Moga Allah merahmati Allahyarhamah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh & beriman. Al-Fatihah.