
Hari ni Min nak cerita pasal personaliti Chef yang mempunyai nama yang’sedap’ didengar,unik sekali. Tiga perkataan iaitu Dennie Yudie Darmawan berbinkan ayahnya Samsuardi, tapi dia anak jati Malaysia tau. Mempunyai 18 tahun pengalaman dalam bidang kulinari (F & B) segala pengalaman yang dilalui banyak membentuk dirinya sekarang.

Berjawatan Eksekutif Sous Chef di hotel berprestij Eastin Hotel, Petaling Jaya, Selangor, Dennie adalah orang ‘kanan’ yang banyak membantu ketuanya, Eksekutif Chef Alex Leong Mun Fai.

Kini sudah empat tahun dia berkhidmat di sini , membantu mengekalkan prestasi operasi dapur ,kualiti makanan dan minuman, penyeliaan dan penyediaan menu, penyeliaan staff , perbelanjaan dan kos dan pelbagai lagi.
Di antara yang menjadi keutamaan adalah mengekalkan kebersihan penyediaan makanan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh ISO dan HACCP

Chef Dennie memulakan kerjayanya dari ‘bawah’ daripada tahun 2000 apabila mula bekerja di Hotel Nikko , Kuala Lumpur sebagai Commis 3 ketika masih dalam pengajian diploma Genting Centre of Excellent, Malaysia. Ketika itu dia menjalani latihan praktikal di sana.
Sehingga kini Chef Dennie pernah bekerja di 7 hotel berprestij iaitu :
1.2000- 2005, Hotel Nikko KL – Commis 1
2.2005 -2008, Sime Darby Convention, KL – Jurumasak
3.Julai 2008, Nov 2008, Hotel Shangri KL – Commis 1
4.2008-2009, Impiana KLCC Hotel & SPA, KL – Chef De Partie
5.2010-2011, IKEA, UAE, Abu Dhabi – Penolong Kanan F & B (Pengurus)
6.2011- 2012, Urban Spoon Restaurant – Sous Chef (Pengurus)
7.2014 hingga kini, Hotel Eastin, PJ – Eksekutif Sous Chef
Kegigihannya terserlah kerana pernah menerima anugerah Kehadiran Sempurna, sebanyak 3 kali. Semasa bekerja di Hotel Nikko beliau pernah menerima pendedahan bekerja selama setengah tahun di Hotel Azadi, Tehran Iran

Meminati selebriti berbangsa Arab, Chef Ammar Ali , dia juga mahir membuat masakan Arab yang dipelajarinya dari mentornya ini. Pengalaman bekerja di Abu Dhabi juga walaupun hanya dua tahun tetapi banyak membantu Chef Dennie mendalami skil memasak masakan Arab.

“Memasak masakan Arab ni kena tahu teknik dan peralatan masak yang betul. Dan juga paling penting boleh menerima teguran dari tetamu Arab yang agak cerewet sedikit. Pemilihan rempah ratusnya kena segar dan berkualiti,” ujar Denni kepada RASA.

Prinsip memasaknya mudah sahaja. “ Bila memasak masakan bukan sahaja perlu sedap, tetapi juga bersih cara penyediaannya .”
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Petua Masak Kari Yang Kaw & Sedap? Ini Tip Rahsia Dari Chef Adu.

Kari antara masakan paling digemari rakyat Malaysia. Melayu, Cina, India semua sukakannya. Pergilah kemana sahaja, pasti mudah nak cari sajian ini. Andai ke Pulau Pinang, memang tak sah kalau tak pekena Nasi Kandar dan Kari Kepala Ikan. Perghh..memang terbaik. Jauh nak tuju? Usah risau, serata Malaysia ada banyak ‘lubuk’ kari terbaik. Google sahaja. Pasti ada info.
Kata orang, petua kalau nak tahu kari tu ‘pure’ ke tidak, bila makan dan basuh tangan dengan sabun, bau kari tu masih kuat melekat. Itulah hidangan kari yang terbaik. Selain itu, biasanya restoran-restoran Nasi Kandar yang lama dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain juga antara yang menawarkan sajian kari terbaik. Anda boleh cuba.

Para pelancong yang datang banyak yang tertanya-tanya akan rahsia keenakan kari yang mereka nikmati di negara ini. Memang ada beza dari segi rasa. Kalau nak tahu, rahsia keenakan kari di Malaysia tentunya dari rempah-rempah terbaik yang digunakan. Adunan serta campuran rempah-rempah bermutu menghasilkan rasa yang unik serta tersendiri. Ibarat makan kari di negara India! Memang kaw!
Jika anda nak hasilkan sendiri sajian kari di rumah, ada kalanya rasa & aroma kari yang dihasilkan tu tidak ‘mari’ dan tidak se ‘kaw’ kari yang disajikan di restoran. Bahan dan lengkap, namun rasa masih ‘kureng’. Kenapa ya? Ha…Kalau nak tahu, ada teknik dan rahsia sebenarnya untuk dapatkan kari yang enak dan lazat ni. Menurut Chef Adu;
“ Biasanya saya akan tumis rempah ratus yang ‘whole’ (kasar) terlebih dahulu sebelum masukkan serbuk kari dan sebagainya. Kemudian barulah masukkan daun kari, bawang dan rempah kari. Kenapa letak rempah ratus terlebih dahulu? Supaya kari kita berbau lebih kuat. Biasanya rempah ratus yang kita masukkan pada awal masakan akan mencetuskan rasa yang paling kuat di penghujung masakan, meletup sedap dan kaw rasanya.”
KARI DARAT DAGING KERBAU

BAHAN-BAHAN:
- 1kg daging kerbau
- 500ml santan
- 3 sudu makan pes asam jawa
- 2 sudu makan pes cili kering
- 3 sudu makan rempah kari daging
- 1 batang serai | titik
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak secukupnya untuk menumis
BAHAN REMPAH PENUMIS:
- 3cm kulit kayu manis
- 5 biji buah pelaga
- 3 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
BAHAN KISAR:
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 4cm halia
- 3cm lengkuas
BAHAN TUMIS DARAT:
- 4 ulas bawang merah | hiris
- 2 ulas bawang putih | hiris
- 2 tangkai daun kari | leraikan dari tangkai
CARA MEMASAK:
- Daging dicuci bersih dan rebus lebih kurang 30 minit,
- Kemudian, daging rebus dihiris nipis dan ketuk supaya lembut. Ketepikan.
- Panaskan minyak, tumis bahan rempah penumis dan kisar hingga wangi.
- Masukkan pula pes cili, diikuti dengan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau rata hingga pecah minyak.
- Masukkan santan dan daging, kacau sekali sekala dan biarkan kari mereneh lebih kurang 10-15 minit.
- Lengkapkan rasa dengan memasukkan pes asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Ketepikan.
- Untuk bahan tumisan, panaskan sedikit minyak dalam kuali, kemudian tumis semua bahan tumisan hingga wangi.
- Akhir sekali tuangkan bahan tumisan dalam periuk kari daging tadi. Kacau rata.
- Kari sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Tujuan daging direbus dan ketuk, supaya ia lembut dan cepat dimasak. Ini kerana daging kerbau agak keras dan liat. Boleh juga diganti dengan daging lembu.
Meriah! 5 Siri Bengkel Memasak Saji & Rasa 2018 Dapat Sambutan Hangat.

Sepanjang tahun ini, produk SAJI bersama Majalah RASA telah bekerjasama dalam mengendalikan 5 siri bengkel memasak yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan Kelantan. Setiap kelas yang dianjurkan adalah bertemakan sajian yang berbeza-beza dan dikendalikan oleh chef-chef yang berpengalaman.
Bermula pada bulan Mac, buat pertama kalinya Demo Memasak SAJI & Rasa diadakan di Kementerian Kerja Raya (KKR), Kuala Lumpur seterusnya Bengkel Kek & Biskut di Seri Kembangan (Mei) diikuti Bengkel Lauk Pauk & Kuih Muih Auntentik di Shah Alam (Julai). Pada bulan September pula, edisi keempat Bengkel SAJI & Rasa bertemakan Masakan Tradisi Johor & Teknik Penyimpanan Masakan Untuk Frozen telah diadakan di Johor Bahru dan diakhiri di Kelantan pada awal November yang lalu dengan bertemakan Bengkel Memasak Lauk Pauk Kenduri/Katering.
Sambutan yang diterima terhadap kelima-lima siri bengkel ini memang sangat meriah dan mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Para peserta yang datang sangat sporting malah para chef yang terlibat juga tidak lokek berkongsi ilmu masakan menjadikan para peserta begitu teruja untuk menyertai bengkel-bengkel yang dijalankan. Pada setiap bengkel, chef akan menyediakan empat jenis masakan yang diolah dan dihasilkan menggunakan produk-produk Saji. Memang sangat mudah, sedap dan praktikal untuk dicuba di rumah. Akhir kata, terima kasih sokongan yang diberikan terhadap siri-siri Bengkel Memasak SAJI & Rasa dan semoga bertemu lagi dalam program-program lain di masa akan datang.
1. DEMO MEMASAK, KEMENTERIAN KERJA RAYA, KUALA LUMPUR
Edisi sulung siri Bengkel Memasak SAJI & Majalah Rasa dimulakan pada bulan Mac yang lalu. Bertempat di Kementerian Kerja Raya (KKR), Kuala Lumpur, telah berlangsungnya Demo Memasak SAJI & Rasa bersama lebih dari 80 ahli-ahli Puspanita KKR. Chef selebriti; Chef Imelda Haris telah dijemput bagi mengendalikan demo memasak dan beliau telah berkongsi empat resipi yang dihasilkan menggunakan produk-produk Saji iaitu Adela Butter Chicken, Pecal Sos Mentega Kacang Sunbear, Kerabu Udang SajiMee dan Teh Tarik Strawberry Slush. Sepanjang demo berlangsung, memang gamat suasana dek gelak ketawa para peserta. Malah chef juga tidak lokek untuk berkongsi pelbagai tip memasak. Program yang berlangsung selama tiga jam ini turut dihadiri oleh penaung dan pengerusi serta AJK Kanan Puspanita KKR dan ia ternyata memberi banyak ilmu baru kepada para peserta dalam menyediakan hidangan enak untuk keluarga secara cepat dan lebih mudah hanya dengan menggunakan produk-produk SAJI.





2. BENGKEL KEK & BISKUT, SERI KEMBANGAN, SELANGOR.
Pada bulan Mei pula, telah berlangsung Bengkel Memasak SAJI & Rasa edisi kedua bertemakan Kek & Biskut. Bengkel yang dikendalikan oleh Chef Zeti Khalid; pengasas Zeti Hot Oven ini memang sangat meriah. Maklumlah, kebetulan tarikh bengkel berlangsung hampir dengan bulan puasa. Jadi memang ramai peserta yang nak sertai kelas ini sebagai persediaan menyambut hari raya. Para peserta pun bukan calang-calang. Rata-rata yang datang adalah di kalangan ‘home bakers’ yang memang mempunyai perniagaan kek dan biskut. Malah bengkel ini juga turut disertai oleh peserta lelaki. Para peserta diajar membuat empat jenis kek dan biskut menggunakan produk-produk Saji iaitu Kek Peanut Butter Sunbear, Kek Pandan Kastard, Biskut Tart Nanas Daun dan Confetti Butter Cookies. Semuanya dilakukan secara hands-on bagi memudahkan para peserta untuk belajar dan memahami teknik-teknik pembuatan kek dan biskut yang betul.





3. BENGKEL LAUK PAUK & KUIH AUTENTIK, SHAH ALAM, SELANGOR.
Bertemakan Lauk Pauk & Kuih Muih Autentik, Bengkel Memasak SAJI & Rasa edisi ketiga ini mendapat sambutan yang sangat meriah dari para peserta. Rata-rata peserta yang ditemui mengatakan ia merupakan pengalaman yang paling seronok dan tidak dapat dilupakan. Dari awal lagi bengkel ini telah menerima penyertaan yang terlalu banyak malah peserta yang datang bukan hanya dari Lembah Klang sahaja bahkan ada yang sanggup datang dari Terengganu. Bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, bengkel yang dikendalikan oleh Chef Suwarsi M. Arukin ini menyajikan empat resipi lauk pauk dan kuih muih autentik yang dihasilkan menggunakan produk-produk Saji. Antaranya ialah Kuih Salat Pandan, Nasi Briyani Hujan Panas, Ayam Masak Hitam Berempah dan Kuih Vadai Udang Kering yang dihasilkan menggunakan produk Vanaspati ADELA, Krimer Sejat Cair SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Garam Gunung SAJI dan minyak masak SAJI. Malah Chef Sue juga bermurah hati memberikan resipi bonus iaitu Bubur Candil Jagung yang dibuat menggunakan Krimer Sejat Cair SAJI dan Krimer Manis Jagung SAJI. Diakhir majlis, para peserta dapat membawa pulang masakan masing-masing untuk dirasa bersama keluarga serta menerima cenderahati tajaan SAJI.






4. BENGKEL MASAKAN TRADISI JOHOR & TEKNIK PENYIMPANAN MASAKAN UNTUK FROZEN, JOHOR BAHRU.
Setelah tiga siri terdahulu dijalankan di kawasan Lembah Klang, Bengkel Memasak SAJI & Rasa berkunjung pula ke Selatan tanah air bagi menemui para pembaca setia. Aktiviti yang dijalankan pada 30 September lalu memang cukup meriah dan mendapat sambutan diluar jangkaan. Bertempat di Kolej Kemahiran Johor, Johor Bahru, bengkel dikendalikan oleh Chef Abd Razak dimana beliau telah berkongsi resipi sajian autentik Negeri Johor seperti Mee Bandung, Otak-Otak Johor dan Laksa Johor. Malah chef juga berkongsi ilmu cara-cara penyediaan menu Bebola Daging dan Sos Lada Hitam menggunakan resipi premium tetapi mudah dihasilkan di rumah. Menu-menu ini memang sangat mudah dihasilkan menggunakan produk-produk Saji seperti Marjerin ADELA, Sos Tomato SAJI, Sos Tiram SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Garam Gunung SAJI dan Minyak Masak SAJI. Dalam bengkel ini juga, Chef Abd Razak bermurah hati berkongsi beberapa resipi tambahan serta tip pembungkusan & penyimpanan makanan supaya tahan lama dan boleh dieksport tanpa perlu disimpan dalam peti sejukbeku.









5. BENGKEL MASAKAN LAUK PAUK KENDURI / KATERING, KOTA BHARU, KELANTAN.
Penutup bagi edisi 2018, Bengkel Memasak Saji & Rasa telah diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Kali ini ia bertemakan masakan kenduri dan katering dengan penyediaan makanan dalam jumlah kuantiti yang banyak. Bengkel yang dijalankan di Luxury Garden, Kota Bharu ini sememangnya mendapat sambutan di luar jangkaan dengan penyertaan seramai 51 orang peserta. Dikendalikan sendiri oleh pemilik Luxury Garden Katering, Puan Zalina Binti Zahari dengan bantuan dua orang tukang masaknya, para peserta diajar cara memasak empat resipi istimewa kenduri kendara iaitu Nasi Beriani, Ayam Kuzi, Daging Kicap dan Bubur Kacang Hijau. Kesemua menu yang dihasilkan adalah menggunakan produk-produk SAJI seperti Marjerin ADELA, Minyak Masak SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Sos Tomato SAJI, dan Garam Gunung SAJI. Banyak ilmu serta tip masakan telah dikongsikan kepada para peserta yang juga terdiri daripada usahawan serta pengusaha makanan. Malah, ada yang sanggup datang dari luar Kelantan. Rata-rata peserta menyatakan rasa teruja dan gembira kerana dapat menimba ilmu yang amat berguna terutama kepada mereka yang mempunyai perniagaan katering, selaras dengan tema bengkel kali ini.








Khasiat Halia Selain Buang Angin Dalam Badan.

Rasanya agak pedas namun aromanya cukup wangi bila dimasukkan ke dalam masakan. Kebanyakan masakan yang mengandungi halia sebagai salah satu bahan perlu ada akan membuatkan masakan lebih enak.
Halia juga diakui dapat membantu mengeluarkan angin dari dalam badan. Malah bukan itu sahaja. Ada lagi khasiat dan manfaatnya yang lain. Jom semak!
1. MENGEKALKAN PEREDARAN DARAH NORMAL

- Halia mengandungi kromium, magnesium dan zink yang boleh membantu untuk memperbaiki aliran darah serta membantu mengelakkan kesejukan, demam dan peluh berlebihan.
2. PENYERAPAN NUTRIEN DALAM USUS
- Halia membantu meningkatkan penyerapan dan merangsang nutrien penting dalam badan. Ia kerana ia merangsang rembesan enzim gastrik dan enzim pankreas yang membantu penyerapan nutrien.
3. MENGURANGKAN KESAKITAN DAN KERADANGAN

- Halia mengandungi beberapa bahan anti-radang yang paling mujarab dan merupakan ubat penahan sakit semula jadi yang kuat.
4. MELAWAN MASALAH PERNAFASAN YANG BIASA
- Jika anda mengalami penyakit pernafasan biasa seperti batuk, halia membantu dalam mengembangkan paru-paru anda dan melonggarkan kahak. Dengan cara ini anda boleh dengan cepat pulih daripada kesukaran bernafas.
5. PENCEGAHAN DEMAM DAN SELESEMA

- Halia telah digunakan beribu-ribu tahun sebagai rawatan semula jadi untuk demam dan selesema di seluruh Asia. Kajian di University of Maryland Medical Center mendapati, untuk merawat demam dan selesema dalam kalangan orang dewasa, rendam dua sudu besar halia segar yang dicencang dalam air panas dan diminum dua hingga tiga kali sehari
6. MENGURANGKAN KETIDAKSELESAAN PERUT

- Halia sesuai dalam membantu pencernaan, seterusnya meningkatkan penyerapan makanan dan mengelakkan sakit perut. Halia dapat mengurangkan keradangan seperti juga aspirin dan ibuprofen.
7. MENCEGAH BARAH USUS
- Satu kajian di University of Minnesota mendapati, halia boleh melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser kolorektal/usus.
8. MENGUATKAN IMUNITI
- Halia membantu meningkatkan sistem imun. Pengambilan sedikit halia sedikit sehari boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri. Ia juga mengurangkan jangkitan bakteria dalam perut, dan membantu melegakan batuk dan kegatalan tekak.
RESIPI MENGGUNAKAN HALIA:
DAGING CINCANG GORENG HALIA KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN:
- 200gm daging lembu | cincang
- 5 tangkai kacang panjang | potong
- 1/2 biji bawang Bombay | potong dadu
- 3 ulas bawang putih | cincang kasar
- 2.5cm halia | cincang
- 1 sudu teh cili giling
- 1 sudu teh sos tiram
- Garam secukupnya
- Minyak masak secukupnya
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia yang sudah dicincang kemudian disusuli dengan cili giling. Tumis lagi hingga naik minyak dan masukkan bawang Bombay, goreng hingga layu.
- Masukkan pula daging cincang Gaul rata hingga terbit bau harum dan daging masak.
- Masukkan kacang panjang tetapi jangan masak terlalu lama. Masukkan sos tiram, air dan garam jika perlu (sos tiram sudah ada rasa masin). Gaul rata lalu biarkan selama 2 minit. Setelah itu, tutup api dan siap utk dihidangkan bersama nasi panas.
Info chef: Daging cincang boleh beli yang telah siap dan ada dijual di pasar raya.

