Sempena Deepavali yang bakal menjelma, jom kita nikmati snek istimewa. VADA ~ Vada @ Vadai @ Vadey ialah Indian snek yang diperbuat dari pelbagai jenis kacang dal. Ada yang dibuat dari dal putih, dal kuning, dal merah, dal hitam dan lain-lain. Hari ini kita share resipi oleh Chef Sue, salah satu resipi vada yang diperbuat dari dal kacang hijau (berwarna kuning) atau dikenali juga sebagai moong (mung) dal. Buat bentuk bites size mudah untuk dinikmati. Rangup di luar tapi lembut di dalam.
MOONG DAL VADA Bahan-bahan: 1 cawan moong/mung dal 1/4 cawan air 3 sudu makan tepung beras 2 biji cili hijau – cincang 2 biji bawang merah India – cincang 2 tangkai daun ketumbar – cincang 1 sudu teh jintan manis 1/2 sudu teh garam halus 1/4 sudu teh baking soda
Ads
Cara memasak: 1. Rendam moong dal selama 4-5 jam. Basuh bersih dan toskan. Kisar halus dengan air. 2. Tuang kisaran kacang dal tadi ke dalam mangkuk. Tambah semua bahan-bahan lain lalu kacau sebati. Rehatkan 10-15 minit. 3. Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali. 4. Bentukkan campuran tadi mengikut citarasa. Boleh gunakan tangan* yang basah untuk bulat-bulatkan adunan tadi. Kemudian masukkan ke dalam minyak panas. 5. Goreng vada hingga kuning keperang-perangan. Toskan. 6. Hidangkan panas bersama chutney atau tomato sos. *saya guna 2 sudu untuk membentuk vada. Kredit: Sue M Arukin
Nam Pla Wan ( sweetened fish sauce). Resipi dari negara Thailand yang dikongsi oleh saudari El Xaher. Tengok gambarnya sahaja dah boleh membuiat air liur bertakung. Hmmm! Jom cuba! Pasti merecik!
BAHAN-BAHAN:
1/2 cawan sos ikan
3 ketul gula melaka kecil
Cili padi secukupnya – ikut citarasa masing-masing
1 biji bawang besar – hiris halus
Udang kering tumbuk – anggaran 2 sudu makan
Air secukupnya
Gula putih – jika perlu
* Boleh lebihkan gula melaka, bawang merah dan cili padi. rasanya akan jadi lebih sedap.
CARA MEMASAK:
Masak sos ikan bersama gula melaka sampai mendidih .
Masukkan air dan tambah gula jika perlu .
Kemudian masukkan bahan-bahan lain. Cuba rasa terlebih dahulu. Pastikan rasa masin, manis dan pedas seimbang dan ikut citarasa masing-masing.
Setelah sos kelihatan likat, padamkan api. Sedia untuk dinikmati bersama aneka buah-buahan.
Info RASA:
Untuk pastikan sos tahan lama, masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk.
Sedapnya Nasi Ayam Hainan perkongsian Cikgu Afy Al Habibi ni. Rupanya tak sukar pun nak sediakan hidangan ini secara homemade. Lihatlah hasilnya, Nampak sedap dan macam sajian yang dibeli di restoran kan? Jom cuba buat untuk keluarga. Pasti suami dan anak-anak suka.
1. Panaskan beberapa ketulan lemak ayam ( ia boleh cantikkan warna kulit ayam jadi kekuningan). Setelah lemak cair, masukkan hirisan halia. Tumis seketika.
2. Kemudian, didihkan air. Barulah masukkan ayam yang telah dicucuk-cucuk isinya dengan garpu.Masukkan juga kiub pati ayam serta garam halus secukup rasa.
3. Angkat ayam selepas dicucuk sedikit untuk memastikan ayam sudah masak. Pastikan tidak terlalu lama dimasak. Ayam ni jika nak kukus pun boleh.
4. Tambahkan bebola ikan sebelum ditutup api. Ketepikan.
5. Tengok kulit ayam. Ini yang empunya resipi maksudkan lapisan kulit ayam kuning cantik masak guna lemak ayam.Sediakan ketulan ais.
6. Rendam seketika ayam yang telah diangkat untuk mematikan proses isi ayam terlebih masak.Isi ayam juga lebih segar.Toskan.
7. Potong 4 ayam yang telah ditos.Susun di atas pinggan.
8. Satukan bahan sos dan kacau sebati. Tuang ke atas ayam. Jika suka, boleh juga tambahkan minyak bijan.
BAHAN NASI AYAM:
1-2 cawan beras basmathi – basuh dan tos
Beberapa keping lemak ayam
Sedikit mentega
Beberapa keping halia
Serai
Daun pandan – disimpul
Kuah sup secukupnya
Sedikit air
CARA MEMASAK:
Tumiskan sedikit ketulan lemak ayam. Juga sedikit mentega.Masukkan kepingan halia, serai dan daun pandan simpul.
Selepas naik bau, masukkan beras basmathi yang telah dibasuh dan ditoskan. Goreng seketika sehingga naik bau.
Masukkan beras tadi dalam periuk nasi. Tambahkan sup dan sedikit air mengikut sukatan yang betul.
Masak seperti biasa.
BAHAN SAMBAL CILI
1 hiris nipis halia
4 tangkai cili merah
1 ulas bawang putih
1/2 sudu makan cuka
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit kuah sup
CARA MEMASAK:
1. Kisar halia, cili merah dan bawang putih dengan cuka dan sedikit air. Masukkan juga sedikit garam serta gula.
2. Panaskan kisaran sambal cili dalam periuk supaya tahan lama.Masukkan sedikit kuah sup. Kacau dalam api perlahan untuk seketika.
BAHAN TAUGE STIR FRY
2 genggam tauge
Sedikit kucai
2-3 ulas bawang putih – hiris nipis
2 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos ikan
Sedikit air
CARA MEMASAK:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis hirisan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan sos tiram dan sos ikan. Juga sedikit sahaja air. Kacau.
3. Terus masukkan taugeh dan sedikit daun kucai.Balik-balikkan.
4. Tak perlu masak lama. Cukup hanya seminit sahaja bagi mengekalkan kerangupan dan kesedapan taugeh.
5. Untuk menikmatinya, hidangkan bersama nasi, ayam Hainan dan juga sup.
Pulutkuning yang lembut, sedap dan cukup lemaknya memang enak. Namun tak ramai yang mahir dalam memasak hidangan ni. Sesekali teringin nak makan bersama rendang, macam tak berbaloi untuk tempah. Jadi jom belajar masak Pulut Kuning yang sedap, lembut dan berkilat ikut resipi yang dikongsi oleh saudari Nana Sabrina Sarsan ni. Memang mudah ikut terutamanya bagi yang baru pertama kali nak cuba masak menu ni.
CARA MASAK PULUT KUNING YANG MUDAH
BAHAN PULUT:
1kg beras pulut
1 keping asam keping
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Sedikit pewarna kuning
BAHAN SANTAN:
2 kotak kecik santan kara
3 1/2 kotak air (kotak santan kara)
3 sudu makan gula
1 sudu teh garam
4 helai daun pandan
CARA MEMASAK:
1. Basuh beras pulut hingga bersih. Kemudian rendam beras pulut bersama asam keping, serbuk kunyit dan pewarna kuning selama 1 malam ( tidak boleh kurang). Paras air mestilah lebih sedikit dari paras beras pulut.
2. Untuk memasaknya, basuh beras pulut yang direndam sebanyak 2 kali. Buang asam keping dan toskan beras pulut seketika.
3. Panaskan periuk kukus sehingga air mendidih. Jika lubang periuk kukusan anda kecil, hanya perlu oles minyak disekeliling periuk. Namun jika periuk kukus berlubang besar, lapik dengan daun pisang atau aluminium foil. Kemudian cucuk dengan lidi untuk membentuk lubang kecil dan sapu minyak pada daun atau aluminium foil. Ia bertujuan untuk memudahkan anda mengacau pulut.
4. Masukkan beras pulut ke dalam periuk dan buatkan lubang di tengah seperti dalam gambar di bawah. Ia bertujuan untuk mewujudkan aliran wap. Tutup periuk.
5. Sepanjang tempoh memasak, kacau pulut 3-4 kali. Setiap kali dikacau, pastikan ruang tengah kukusan dibiarkan kosong supaya ada aliran wap. Kukus hingga pulut separuh masak sahaja.
6. Sementara menunggu pulut separuh masak, boleh mula memasak santan. Satukan semua bahan dan masak dengan api perlahan. Masak dalam masa 20 minit sehingga santan mendidih. Pastikan guna api kecil kerana jika besar, santan akan pecah minyak dan berketul.
7. Bila pulut sudah separuh masak, angkat pulut dan masukkan ke dalam besen.
8. Terus masukkan santan sedikit demi sedikit dan kacau hingga betul-betul sebati. Kacau laju dengan cepat.
9. Kukus kembali pulut kuning selama 7-10 minit sehingga ia betul-betul masak.
10. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama rendang, serunding atau sambal tumis.
INFO: Untuk dapatkan pulut kuning yang berkilat, santan perlu dimasak lama tapi jangan sampai pecah minyak.