
Kalau sebut Mi Rebus Johor, memang mudah buat ramai terliur. Kuahnya pekat, berempah dan cukup rasa, ditambah pula dengan pelbagai bahan pelengkap yang menjadikan setiap suapan lebih sedap. Antara rahsia yang membuatkan kuah hidangan ini begitu istimewa ialah penggunaan keledek.
Keledek bukan sahaja membantu memekatkan kuah secara semula jadi, malah memberikan rasa lemak manis yang seimbang dengan rempah dan bahan tumisan. Bila kuah panas dicurahkan atas mi kuning, kemudian dilengkapi tauge, tauhu, telur rebus dan taburan bawang goreng, memang susah nak menolak!
Gabungan keledek, daging, udang kering, kacang tanah dan santan menghasilkan kuah yang kaya dengan rasa. Lebih menarik, cara penyediaannya juga tidak terlalu rumit dan boleh dicuba sendiri di rumah untuk hidangan bersama keluarga.

Resipi Mi Rebus Johor
Untuk mendapatkan kuah yang sedap dan pekat, pastikan keledek direbus sehingga benar-benar empuk sebelum dikisar. Air rebusan daging pula jangan dibuang kerana akan digunakan sebagai asas kuah supaya rasanya lebih kaya.
Bahan-Bahan (Kuah):
500gm keledek
300gm daging
2 liter air
3 sudu makan rempah kari daging
2 sudu makan serbuk cili
1/2 cawan udang kering
1/2 cawan kacang tanah, digoreng dan dikisar
2 batang serai, diketuk
1/2 cawan santan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Kisar
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2cm halia
2cm lengkuas

Bahan-Bahan Hidangan
Mi kuning, dicelur
Tauge, dicelur
Tauhu, digoreng dan dipotong
Telur rebus
Cili hijau, dihiris
Limau kasturi
Daun sup, dihiris
Bawang goreng

Cara Memasak:
- Rebus keledek sehingga empuk. Angkat, kemudian kisar bersama sedikit air rebusan sehingga halus. Ketepikan.
- Rebus daging sehingga empuk. Simpan air rebusan untuk digunakan sebagai asas kuah. Daging boleh dihiris atau dipotong kecil mengikut cita rasa.
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama serai sehingga naik bau dan sedikit garing.
- Masukkan rempah kari daging dan serbuk cili. Tambahkan sedikit air supaya rempah tidak hangus. Tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan udang kering yang telah dikisar. Kacau sehingga sebati dan harum.
- Tuangkan air rebusan daging. Masukkan keledek yang telah dikisar dan kacang tanah kisar. Kacau rata supaya kuah tidak berketul.
- Masukkan daging dan biarkan kuah mereneh sehingga semua rasa sebati. Gunakan api sederhana supaya kuah dapat dimasak secara sekata dan bahagian bawahnya tidak mudah hangus.
- Tambahkan santan, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak menggunakan api sederhana sehingga kuah menjadi pekat dan berempah.
- Untuk menghidang, masukkan mi kuning ke dalam mangkuk bersama tauge dan tauhu. Curahkan kuah Mi Rebus Johor yang masih panas.
- Lengkapkan dengan telur rebus, cili hijau, daun sup dan bawang goreng. Perahkan sedikit limau kasturi sebelum dinikmati.

Rahsia Mi Rebus Johor Guna Keledek
Penggunaan keledek memang memainkan peranan penting dalam menghasilkan tekstur kuah Mi Rebus Johor yang memikat. Apabila direbus dan dikisar halus, keledek memberikan kepekatan tanpa perlu menggunakan terlalu banyak bahan pemekat.
Rasa manis semula jadinya pula melengkapkan rasa pedas, masin dan berempah dalam kuah. Ditambah kacang tanah serta udang kering, hasilnya kuah menjadi lebih kaya dan cukup ‘berisi’.
Keledek yang dikisar juga membantu menghasilkan tekstur kuah yang lebih sekata. Pastikan keledek dikisar sehingga benar-benar halus supaya tidak terdapat ketulan apabila dicampurkan ke dalam air rebusan daging.

Tip Kuah Pekat & Sedap
Tip: Jika mahukan kuah yang lebih pekat, tambahkan sedikit lagi keledek kisar. Jika kuah terlalu pekat selepas dibiarkan seketika, tambahkan sedikit air rebusan daging dan panaskan semula.
Ketika memasukkan santan, gunakan api sederhana dan kacau kuah dengan baik. Cara ini membantu santan bercampur dengan bahan lain dan pada masa sama membolehkan anda mengawal tahap kepekatan kuah mengikut cita rasa.
Jangan lupa rasa kuah sebelum dihidangkan. Keseimbangan rasa manis, masin, pedas dan berempah penting kerana keledek sendiri mempunyai rasa manis semula jadi. Garam dan gula boleh ditambah sedikit demi sedikit sehingga mendapat rasa yang sesuai.
Cara Menghidangkan Supaya Lagi Menyelerakan
Susun mi kuning, tauge dan tauhu terlebih dahulu di dalam mangkuk sebelum kuah panas dicurahkan. Kemudian tambahkan telur rebus, hirisan cili hijau, daun sup dan bawang goreng sebagai pelengkap.
Anda mungkin berminat dengan
Perahan limau kasturi sebaik-baiknya dibuat ketika hendak makan supaya rasa masam dan aroma segarnya lebih menyerlah. Rasa masam ini membantu menyeimbangkan kuah yang pekat, lemak dan berempah.
Mi Rebus Johor paling sedap dinikmati ketika kuah masih panas. Jangan lupa perahan limau kasturi kerana rasa masam segarnya membantu menyeimbangkan kuah yang pekat dan berempah. Sekali hirup kuah, memang boleh buat bertambah!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

sekarang!
