Sering memuat naik menu masakan di ruangan media sosial facebook mendorong Faezah Binti Sufian lebih serius berkongsi menu yang dimasaknya untuk tatapan rakan-rakan dan juga follower di Instagram pula.  

“Akaun instagram dibuka pada tahun 2016 oleh anak. Hanya pos satu dua gambar sahaja. Kemudian saya telah berjumpa dengan seorang sahabat baik, Aimi Masdiana untuk bertanya khabar sambil makan-makan.  Dialah yang mencadangkan saya pos resipi-resipi masakan memandangkan saya sering berkongsi gambar-gambar masakan di facebook.

Saya sahut cadangannya dan mengaktifkan akaun instagram yang dibuka oleh anak. Namun saya inginkan kelainan di dalam perkongsian di instagram. Saya ingin berkongsi resipi masakan yang mempunyai kenangan sepanjang kehidupan saya dan adik-beradik semasa kecil bersama-sama arwah mak yang meninggal semasa saya masih berumur 11 tahun.

Maka saya tukar nama instagram kepada “AdikFoods” kerana “Adik” adalah panggilan untuk saya di kalangan keluarga. Manakala “Foods”adalah setiap makanan pasti ada memori di sebaliknya kerana kehidupan kita setiap hari mesti makan dan kenangan juga setiap hari akan berlaku

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoods

Dengan hanya menggunakan iPhone menu ini dirakam. Saya pos video berlatarkan muzik nostalgia lagu dari tahun 40an hingga 70an kerana lagu-lagu itulah lagu yang saya dengar ketika mak masih ada. Setiap cerita dan perkataan yang saya lontarkan walaupun secara berjenaka ia ada maksud tersirat serta kenangan ketika dulu. Saya tidak sangka cara begitu menarik perhatian orang-orang yang seangkatan dengan saya malahan orang-orang muda juga kerana mereka mengatakan ia membuatkan mereka teringat memori ibu, bapa serta datuk nenek,”cerita Faezah.

Bekerja di sebuah syarikat swasta tidak menghalang ibu kepada seorang anak muda ini untuk menyediakan makanan kegemaran keluarga. Keluarga terutama suami dan anak-anak sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya. Akui Faezah, suaminya rajin ke pasar untuk membeli bahan-bahan masakan. Anak pula sentiasa membantu dari segi shooting dan memantau akaun instagram AdikFoods. Adik beradik serta kawan-kawan juga memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

Minat memasak

Akui Faezah, semasa kecil dia tidak minat memasak dan apabila mak tiada, kakak yang dipanggil Nyah, berumur 12 tahun ketika itu mengambil alih tugas mak untuk memasak dan dirinya pula mengemas rumah. Namun Faezah juga tidak terkecuali memasak untuk adik-adik yang masih kecil ketika kakak tiada di rumah.

“ Masakan pertama saya ilah sambal tumis ikan bilis dan ia telah menjadi kegemaran adik beradik serta keluarga dari dulu hingga kini.  Minat memasak timbul apabila berkahwin. Saya memasak untuk suami dan dia tidak pernah memberi komen yang negatif malahan memberi komen yang positif setiap masakan saya. Dari situ, saya punyai semangat untuk memperbaiki cara masakan serta mencuba pelbagai resipi.

Nyah adalah orang utama yang menjadi rujukan, dia bagaikan buku resipi buat saya.  Selain itu saya juga belajar daripada sahabat baik Yang Fairuz yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu kerana dia memang pakar dalam pelbagai jenis masakan. Buku-buku resipi oleh chef profesional juga menjadi rujukan.

Saya juga suka mencuba pelbagai jenis masakan yang pernah dirasai semasa melancong. Apabila ada masa terluang saya akan cuba mencipta pelbagai resipi baru untuk keluarga, malah ada yang menjadi kegemaran sehingga kini dan ada juga yang masuk ke tong sampah. Yalah tidak cuba , kita tidak tahu,”akuinya.

Kekuatan masakannya lebih kepada masakan kampung memandangkan menu yang dimakan dan dimasak setiap hari. Dia juga suka memasak makanan barat yang diberi sentuhan orang Malaysia, fusion. Banyak resipi yang diolah dan disimpan untuk anak menantu dan cucu sebagai rujukan mereka apabila dirinya telah tiada kelak.

Memasak sudah menjadi rutin harian, namun ada juga masanya makan di luar untuk mencuba masakan orang lain. Cara begini secara tidak langsung berinya pengalaman dan satu proses pembelajaran. Sebenarnya apabila sentiasa kreatif di dalam masakan, kita tidak akan ketandusan idea. Memasak memerlukan kreativiti. Sambal tumis menjadi kemestian yang diminta keluarga sama ada sambal tumis ikan bilis, udang, sotong atau ayam.

Faezah percaya “air tangan” mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana bau masakan serta menu yang terhidang sentiasa akan mengimbau memori. Seperti mana dirinya rupa masakan sahaja boleh membawa dia kembali ke zaman bersama-sama dengan mak, inikan pula jika ada baunya, lagilah buat diri terus tersenyum.

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoods

Tambah Faezah lagi air tangan ibu atau bapa adalah makanan pertama dan selalu masuk ke mulut anak-anak kita, jadi apa yang pertama dan selalu masuk ia akan lekat dan kasih sayang itu akan terpahat di jiwa.

Dikongsikan resipi air tangan Faezah untuk dicuba.

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoods

SPAGETI AGLIO OLIO

BAHAN-BAHAN

1 paket spageti

7 ulas bawang putih-dicincang

4 sudu besar minyak zaitun

2 sudu besar daun parsli -segar atau kering

2 sudu besar empingan cili

1 kiub pati ayam

5 ekor udang saiz sederhana

2 ekor sotong

7 biji kupang

Sedikit garam

IKLAN

Sedikit gula perang

Sedikit serbuk lada hitam

Sedikit air rebusan pasta

CARA MEMASAK

  1.  Rebus spageti dengan sedikit garam dan minyak
  2.  Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih dan ½ sudu daun parsli hingga wangi
  3.  Masukkan empingan cili, tambah ½ cawan air rebusan pasta dan goreng hingga naik minyak
  4.  Masukkan kiub ayam
  5.  Masukkan udang, sotong dan kupang
  6.  Masukkan spageti dan tambah air rebusan pasta jika ia terlalu kering
  7.  Gaul hingga rata dan perasakan dengan sedikit garam, gula perang dan serbuk lada hitam
  8. Taburkan 1 ½ sudu daun parsli dan sedikit empingan cili

 

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoodsPUMPKIN BUA LOY

BAHAN-BAHAN

BUAH LOY

2 cawan labu yang telah dikukus dan dilenyekkan

4 cawan tepung pulut

Sedikit pewarna oren

Sedikit pewarna hijau

Sedikit garam

KUAH SANTAN

1 cawan gula

2 cawan air

500 ml santan kotak

1 sudu kecil garam

2 helai daun pandan

SAGO

IKLAN

1 cawan sago

10 cawan air

CARA MEMASAK

  1.  Campurkan labu lenyek, tepung pulut dan sedikit garam di dalam satu mangkuk.
  2.  Gaul dan uli hingga adunan tidak melekat di tangan.
  3.  Asingkan dua sudu dan masukkan pewarna hijau untuk dibuat tangkai,selebihnya masukkan pewarna oren
  4.  Bulat-bulatkan doh dan tekan menggunakan lidi (pencungkil gigi) untuk membuat alur seperti buah labu di sekeliling bulatan.  Buatkan lubang di tengah-tengah menggunakan lidi (pencungkil lidi), ambil sedikit doh berwarna hijau dan masukkan untuk dibuat tangkai
  5.  Rebus air hingga mendidih dan masukkan bua loy.  Angkat apabila ia timbul dan rendamkan di dalam air sejuk.
  6.  Masukkan gula, air, garam dan daun pandan ke dalam periuk. Apabila mendidih, masukkan santan dan buah loy.
  7.  Rebus air hingga mendidih dan masukkan sago yang telah dibasuh. Masak hingga sago menjadi jernih. Bilas dengan air untuk membuang kanji dan rendam di dalam air sejuk.
  8.  Semasa hendak dimakan baru dimasukkan sago ke dalam pumkin bua loy

 

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoodsPULUT JAGUNG BAKAR

BAHAN-BAHAN

PULUT JAGUNG

3 cawan pulut

2 keping asam keping

3 tongkol jagung – dihiris

300 ml santan kotak

1 sudu kecil garam

5 helai daun pandan

Daun pisang

Lidi pencungkil gigi

Sambal tumis ikan bilis

CARA MEMASAK

  1.  Rendam pulut dengan asam keping semalaman.
  2.  Masukkan pulut dan jagung kedalam satu bekas, gaul hingga rata. Kukus selama 50 minit bersama-sama daun pandan
  3.  Masakkan santan dan garam sehingga naik wap.  Rawakan dengan pulut semasa masih panas.
  4.  Layurkan daun pisang.
  5.  Letakkan pulut jagung di atas daun pisang, leperkan dan letakkan inti sambal tumis ikan bilis.
  6.  Bungkus dengan kemas dan padat, sematkan hujung bungkusan dengan lidi pencungkil gigi.
  7.  Bakar di atas kuali sehingga garing.
  8.  Boleh juga dihidangkan bersama-sama dengan rendang ayam atau daging

 

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoods

IKLAN

TELUR KUKUS  (STEAM EGGS CHINESE STYLE)

BAHAN-BAHAN

4 biji telur

2 cawan air suam

Daun bawang – dihiris halus

Cili merah-dibuang biji dan dihiris halus

4 ulas bawang putih – dicincang

1 sudu minyak bijan

1 sudu kicap cair

Minyak zaitun

Sedikit garam

Sedikit lada putih

Sedikit serbuk pati ayam

CARA MEMASAK

  1.  Pukul telur dengan garfu. Telur mesti dibuang tali pusatnya untuk mengelakkan daripada berbau hanyir.
  2.  Perasakan dengan garam, lada putih dan serbuk pati ayam
  3.  Tuangkan air suam sedikit demi sedikit sambil tangan terus memukul telur dengan garfu.
  4.  Tapis dan tuangkan ke dalam sebuah mangkuk. Tutupkan mangkuk dengan plastik khas untuk masakan.
  5.  Kukus selama 15 sehingga 20 minit
  6.  Tumis bawang putih sehingga kekuningan, padamkan api, masukkan minyak bijan dan kicap cair.
  7.  Tuangkan ke atas telur kukus, taburkan daun bawang dan cili merah.
  8.  Hidangkan semasa masih panas

 

Menu Menyelerakan Ilham AdikFoodsCUCUR BIHUN

BAHAN-BAHAN

2 keping bihun

1 cawan tepung gandum

1 biji lobak merah – dihiris halus

1 labu bawang besar – dihiris halus

2 biji cili merah – dihiris halus

1 cawan daun bawang – dihiris halus

2 biji telur

1 cawan isi udang

Sedikit garam

Sedikit air

Minyak masak untuk menggoreng

CARA MEMASAK

  1.  Rendam bihun dengan air panas hingga lembut, toskan dan potong pendek-pendek
  2.  Masukkan tepung gandum, lobak merah, bawang, cili merah, daun bawang, telur, ikan bilis dan garam.
  3. Tuangkan sedikit demi sedikit air sehingga mendapat tekstur doh boleh dicucurkan
  4.  Goreng di dalam kuali hingga keperangan
  5.  Hidangkan bersama-sama dengan sos cili

Foto: Koleksi peribadi Puan Faezah

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI