Aneka jenis resipi pemanis mulut dari kuih muih tempatan yang boleh anda cuba sendiri dan boleh dijadikan sebagai hidangan buat keluarga atau tetamu. Ia mudah disediakan dan sememangnya disukai ramai! 

KUIH KETAYAP

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

Kulit:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 3 helai daun pandan
  • 1 1/2 cawan santan
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu makan minyak masak
  • Beberapa titis pewarna hijau

Bahan Inti:

  • 1/2 biji kelapa parut  | ambil putih sahaja
  • 3/4 cawan gula merah 
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 helai daun pandan  | disimpulkan
  • 1/2 cawan air
  • 2 sudu makan tepung gandum

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan inti, didihkan air dalam kuali. Masukkan gula merah, garam dan daun pandan. Masak hingga gula larut.
  2. Kemudian masukkan kelapa parut. Kacau sekali-sekala hingga airnya kering.
  3. Taburkan tepung gandum. Kacau rata. Sejukkan inti.
  4. Untuk sediakan kulit: Kisar daun pandan yang telah dipotong pendek-pendek dengan santan. Tapis dan perah.
  5. Seterusnya, campurkan semua bahan kulit, gaul rata.
  6. Masukkan adunan ke dalam pengisar dan kisar hingga adunan sebati.
  7. Panaskan kuali. Guna api yang perlahan.
  8. Sapukan kuali dengan sedikit minyak.
  9. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali dan dadarkan adunan dengan melayang-layangkan kuali. Biarkan kuih masak.
  10. Ketepikan. Lakukan cara yang sama hingga habis adunan.
  11. Sementara menanti kuih di dalam kuali masak, bolehlah dibubuh inti pada kuih dadar yang dah siap tadi.
  12. Ambil sesudu penuh inti, letak di atas permukaan atas kuih. Ratakan. Lipat kiri dan kanan kuih. Gulung dengan kemas. Ke tepikan. 
  13. Sedia dihidangkan

INFO CHEF: Fungsi tepung yang dimasukkan dalam inti bagi memastikan ia tidak berderai.

LEPAT PISANG

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji pisang masak | dibuang kulit
  • 1 cawan gula
  • 2 cawan tepung gandum  | diayak
  • ½ biji kelapa parut
  • ½ sudu teh garam
  • Daun pisang secukupnya | dilayur atas api

 CARA MEMASAK:

  1. Panaskan pengukus.
  2. Kisar kesemua bahan kecuali kelapa parut dan daun pisang hingga sebati
  3. Ambil sekeping daun pisang, letakkan satu sudu adunan pisang ditengah-tengahnya secara memanjang
  4. Letakkan satu sudu teh kelapa parut di tengah-tengahnya sebagai inti.
  5. Kemudian, tutup kelapa parut tadi dengan satu sudu adunan pisang
  6. Balut adunan itu dengan lipat kedua-dua hujung daun itu ke bawah supaya menjadi lipatan.
  7. Buat sehingga habis.
  8. Susun dalam pengukus secara berselang seli dan kukus selama ½ jam atau hingga masak
  9. Sedia untuk dihidangkan.

INFO CHEF: Jika anda tidak mahu ada inti kelapa, campurkan sahaja dalam bahan kisar tadi. Kisar sekali hingga halus.

LEPAT UBI

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN

  • 1 kg ubi kayu  | diparut
  • 135 ml santan pekat
  • 230 gm air gula Melaka
  •  1 sudu besar gula pasir
  • secubit garam
  • 1 helai daun pandan  | disimpul
  • Daun pisang |  dilayur atas api kecil

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan dan gaul rata.
  2. Sediakan daun pisang secukupnya.
  3. Daun pisang dicuci bersih dan lap kering.
  4. Kemudian bungkus atas daun pisang yang telah dipotong kecil.
  5. Letak dua sudu makan, ratakan kemudian lipat kiri dan kanan.
  6. Buat sampai habis, kemudian susun dalam pengukus secara berselang seli.
  7. Kukus lepat antara 30 – 45 minit.
  8. Setelah masak angkat dan sejukkan sebelum dihidangkan.

INFO CHEF: Boleh letakkan kelapa parut sebagai initi jika suka.

KUIH BAKAR KEMBOJA

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 biji telur gred A
  • 600 ml santan
  • 250 ml jus pandan
  • Sedikit pewarna hijau
  • 1 cawan gula
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu makan mentega
  • Bijan secukupnya untuk ditabur

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan ketuhar pada suhu 200C.
  2. Sapukan acuan dengan mentega, ketepikan.
  3. Satukan semua bahan-bahan, kecuali bijan, dan kacau dengan whisk hingga larut dan halus atau masukkan dalam blender dan kisar halus.
  4. Panaskan acuan dalam ketuhar selama lima minit.
  5. Keluarkan acuan dan tuangkan adunan dan masukkan semula dalam ketuhar.
  6. Lepas 10 minit, keluarkan kuih tadi dan tabur bijan di atas permukaan.
  7. Sambung membakar selama 40 – 50 minit lagi hingga permukaan kuih keperangan dan sedikit berkerak.
  8. Bila masak, longgarkan tepi kek dengan pisau dan biar sejuk sepenuhnya dalam acuan.
  9. Potong dan hidangkan.

INFO CHEF: Untuk mendapatkan 250ml jus pandan, kisar4-5 helai daun pandan dengan 200 ml air, perah dan tambah air untuk mendapatkan 250 ml.

KUIH KASWI

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 1/2 cawan  tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung jagung
  • 2 cawan gula merah
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh air kapur
  • Air secukupnya

Bahan Kelapa:

  • Garam halus 
  • 1 cawan kelapa | putih sahaja

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan tepung gandum, tepung jagung dan gula merah ke dalam bekas.
  2. Tuang air sedikit demi sedikit sambil kacau perlahan-lahan hingga sebati dengan pemukul telur.
  3. Masukkan air kapur, kacau lagi.
  4. Tapiskan bancuhan tadi ke dalam jug untuk memudahkan menuang adunan ke dalam acuan kecil.
  5. Kemudian kukus selama 15-20 minit.
  6. Sebaik sahaja dikeluarkan dari pengukus, segera tuangkan lebihan air dari atas kuih sekiranya ada.
  7. Sejukkan sebelum dikeluarkan dari acuan.
  8. Gaulkan kelapa dengan garam hingga sekata rasanya.
  9. Taburkan kelapa di atas kuih kaswi.

INFO CHEF:  Sapukan acuan dengan minyak, bagi memudahkan kuih dikeluarkan dari acuan.

KUIH KERIA

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 700 gm ubi keledek
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula
  • 1/2 cawan  air
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Kupas kulit dan potong keledek  kecil-kecil.
  2. Kemudian rebus hingga empuk, masukkan sedikit garam.
  3. Lenyek ubi keledek semasa masih panas dan
  4. Masukkn tepung dalam keledek lecek dan uli rata hingga menjadi doh.
  5. Taburkn tepung atas papan pencanai dan tapak tangan.
  6. Ambil doh sebanyak 30gm dan bentukkan doh menjadi gelang mengikut saiz kegemaran anda. Buat hingga habis.
  7. Panaskan minyak dan goreng kuih hingga kuning keemasan.
  8. Sejukkan sebentar.
  9. Sementara itu, masukkn gula dan air ke dalam kuali.
  10. Didihkan menggunakan api yang sederhana.
  11. Apabila air gula berbuih pekat, perlahankan api dan masukkn kuih tadi. Gaul rata.
  12. Bila gula mula melekat pada kuih, padamkan api dan terus menggaul hingga gula menjadi sira. Hidangkan.

INFO CHEF: Kalau boleh dapatkan keledek yang kuning isinya, kerana ia lebih lembut dan manis.

KUIH KOCI PULUT HITAM

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 250 g tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung pulut hitam
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • secubit garam
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 cawan pati santan | dicampur sedikit garam
  • Minyak masak secukupnya
  • Daun pisang | dilayur atas api kecil

Bahan Inti:

  • 1 biji kelapa parut | ambil putih sahaja
  • 1 ketul gula Melaka
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 helai daun pandan |disimpul
  • 1/2 cawan air

 CARA MEMASAK:

  1. Potong gula melaka kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama gula pasir dan air. Masak hingga gula hancur.
  2. Tapis air gula tadi dan masukkan ke dalam kuali.
  3. Masukkan daun pandan dan juga kelapa parut. Masak hingga inti agak kering sedikit.
  4. Angkat dan sejukkan.
  5. Untuk membuat doh, satukan tepung pulut dan tepung pulut hitam dalam satu bekas.
  6. Tuang air sedikir demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan.
  7. Jika kurang air tambah sedikit lagi. Ketepikan.
  8. Ambil sehelai daun pisang, sapu dengan minyak pada permukaan daun pisang tadi.
  9. Ambil sejemput doh dan leperkan, letak satu sudu teh inti.
  10. Tutup inti dengan doh dan letakkan satu sudu teh santan pekat.
  11. Kemudian lipat seperti biasa.
  12. Bila siap, susun dalam kukusan dan kukus 15 minit.

INFO CHEF: Tambah sedikit tepung gandum untuk anda yang tidak mahu terlalu liat.

KUIH LOPES

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras pulut
  • 2 cawan santan cair
  • 1/2 cawan air pandan |dikisar
  • 1 sudu teh air kapur
  • 1/2 sudu teh garam
  • Beberapa titik pewarna hijau
  • Kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam

Bahan Air Gula:

  • 3 ketul gula Melaka
  • 5 sudu besar gula
  • 3 cawan air
  • 2 helai daun pandan, disimpul

 CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Cuci beras pulut,rendam beras pulut dengan air selama tiga jam bersama pewarna hijau dan air kapur.
  2. Kemudian toskan dan masukkan dalam loyang. Kukus selama 20 minit.
  3. Kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya. Kemudian masukkan santan & air pandan ke dalam pulut tadi, gaul rata dan kukus lagi selama 30minit.
  4. Kemudian bentukkan pulut ikut bentuk yang anda suka.
  5. Gaulkan pulut dengan kelapa parut. Ketepikan
  6. Sementara itu buat air gula. Masukkan semua bahan air gula dalam periuk.
  7. Masak menggunakan api sederhana, apabila mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat.
  8. Angkat dan biarkan sejuk.
  9. Siap dihidangkan bersama pulut.

ONDE-ONDE BUAH MELAKA

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 500 gram tepung pulut
  • 4 helai daun pandan | dikisar dengan 1 /2 cawan air
  • 1 cawan air 
  • Gula melaka | dipotong kiub 
  • Kelapa parut putih secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air dalam periuk., jika suka.
  2. Tepung pulut dimasukkan ke dalam mangkuk adunan.
  3. Kemudian tuang jus daun pandan, gaul rata. Tambah air sedikit demi sedikit dan adun hingga mendapat doh yang tidak melekat ditangan dan mangkuk adunan.
  4. Sementara itu, gaul kelapa parut dengan sedikit garam atau secukup rasa.
  5. Letakkan kelapa parut ke dalam loyang dan ratakan.
  6. Seterusnya, ambil sedikit adunan doh, leperkan dan masukkan satu kiub gula melaka, tutupkan guna melaka dengan doh dan bulat-bulatkan seperti guli.
  7. Masukkan ke dalam air mendidih. Buat 10 – 15 biji sekali rebus.
  8. Bila onde-onde timbul pada permukaan air mendidih, biarkan dalam 30 saat lagi, keluarkan dan toskan airnya.
  9. Masukkan dalam dalam loyang berisi kelapa parut tadi.
  10. Golek-golekkan agar onde-onde bersalut dengan kelapa. Lakukan cara yang sama sehingga onde-onde habis direbus.

INFO CHEF: Masukkan sehelai daun pandan ke dalam rebusan air, untuk mendapatkan aroma wangi daun padan pada onde-onde.

APAM GULA MERAH

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

Bahan A:

  • 1/2 cawan gula merah
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 2 cawan air
  • 2 helai daun pandan

Bahan B:

  • 11gm yis mauripan
  • 1/2 cawan air suam
  • 1 sudu teh gula halus

Bahan C:

  • 4 cawan tepung gandum
  • secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan A dalam periuk dan masak hingga gula larut.
  2. Tapis dan sejukkan.
  3. Dalam bekas lain satukan bahan B dan kacau, biarkan lima minit atau hingga berbuih.
  4. Seterusnya, satukan bahan C ke dalam mangkuk besar dan masukkan sekali air gula yang telah disejukkan, kacau menggunakan whisk.
  5. Setelah sebati, tutup dan perapkan selama 1 jam.
  6. Sapukan acuan dengan minyak,kemudian tuangkan adunan dalam acuan.
  7. Kukus selama 20 minit.
  8. Angkat dan sejukkan.

INFO CHEF: Apam ini sedap dimakan bersama kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.

KUIH CEK MEK MOLEK

Kuih Muih Tradisional Yang Sentiasa Menjadi Kegemaran Rakyat Malaysia!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg ubi keledek
  • Tepung gandum
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus ubi keledek bersama sedikit garam hingga empuk.
  2. Angkat dan toskan, buang kulit dan lenyekkannya panas-panas.
  3. Gaulkan ubi yang telah dilenyek bersama tepung gandum.
  4. Agak-agak kelembutannya, jangan terlalu banyak tepung.
  5. Bentukkan doh bulat seperti bebola.
  6. Leperkan dan masukkan gula di tengahnya.
  7. Kemudian bentukkan doh dengan bentuk Cek Mek Molek.
  8. Panaskan minyak dan goreng kuih dengan api sederhana.

INFO CHEF: Gunakan api sederhana semasa menggoreng untuk mengelakkan kuih pecah.

Selamat mencuba!

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI