Masakan Thai cukup terkenal hampir di seluruh dunia. Bahkan masakan ini juga cukup dekat dengan masyarakat di Malaysia. Hidangan Thai yang kebiasaannya mengandungi rasa masam, masin dan pedas sentiasa menjadi pilihan ramai penduduk Malaysia. Kali ini RASA kongsikan 6 jenis masakan Thai berasaskan ayam yang boleh anda cuba.

 

1. AYAM SOS THAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6-8 ketul
  • 2 sudu teh tepung jagung
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 8 sudu makan sos Thai
  • 2 batang serai | titik
  • 2 biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 3cm halia | hiris halus
  • 1/2 biji cili Benggala hijau | hiris
  • 1/2 biji cili Benggala merah | hiris
  • 1/2 batang lobak merah | hiris
  • 3 biji cili padi hijau |hiris halus
  • 1 tangkai cili merah | hiris halus
  • 2 sudu teh sos ikan
  • 60ml air
  • Minyak masak secukupnya
  • Daun ketumbar untuk hiasan

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan ayam bersama tepung jagung, serbuk pati ayam, dan serbuk lada hitam. Gaul sebati.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak untuk menggoreng ayam.  Gorengkan ayam sehingga warna perang keemasan, angkat, tos dan ketepikan.
  3. Salin minyak di dalam kuali dan tinggalkan sedikit sahaja untuk menumis. Setelah itu tumiskan bawang besar, bawang putih, halia, dan serai sehingga wangi. Dikuti dengan lobak merah, cili padi dan cili merah.
  4. Kemudian masukkan sos cili Thai, sos ikan dan air secukupnya. Kacau sebentar hingga kuah mereneh.
  5. Setelah itu masukkan cili Benggala hijau dan merah. Apabila cili Benggala telah agak layu sedikit masukkan ayam tadi kacau dan tutupkan api.  Siap untuk dihidangkan. Hiaslah dengan daun ketumbar yang dipotong agak kasarjika suka.

Info chef: Jumlah air bergantung sama ada anda ingin lebih berkuah atau agak kering.

 

2. GULAI AYAM SIAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6-8 ketul
  • 250ml santan pekat
  • 250ml air
  • 6 biji terung kampung | belah dua
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • 4 biji bawang putih | kisar
  • 3cm lengkuas | hiris dan kisar
  • 3cm kunyit | hiris dan kisar
  • 6 tangkai cili padi hijau | kisar
  • 2 batang serai | hiris halus dan kisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 helai daun limau purut | carik
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumis semua bahan iaitu bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, cili padi hijau, serai, daun limau purut, serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam hingga wangi dan pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan ayam dan air secukupnya, kacau sebentar dan biarkan sehingga kuah mereneh dan ayam agak empuk dan masak.
  3. Setelah ayam agak empuk,masukkan terung kampung dan akhir sekali santan pekat.  Masaklah sehingga kuah agak memekat kemudian tutupkan api.  Siap untuk dihidangkan.

Info Chef –  Terung kampung boleh digantikan dengan terung pipit.

 

3. SALAD AYAM THAI

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ketul isi dada ayam
  • 1 sudu teh sos ikan
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 sudu teh sos Thai
  • 300gm daun kubis | hiris halus
  • 2 batang lobak merah | hiris halus
  • 1 batang timun | hiris halus
  • 3 batang daun bawang | potong 3cm panjang
  • 250gm kacang tanah goreng
  • 1 biji cili merah | potong halus
  • 4 biji cili padi |potong halus
  • 1 biji cili Benggala hijau |hiris memanjang
  • 1 biji cili Benggala merah |hiris memanjang
  • 2 tangkai daun pudina
  • 2 pokok daun ketumbar |potong kasar
  • Minyak masak secukupnya

 

BAHAN UNTUK SOS SALAD:

  • 2 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu makan mentega kacang
  • 3 sudu teh sos ikan atau secukup rasa
  • 1 biji limau nipis | ambil jusnya
  • 3 sudu teh cuka
  • 4 sudu teh gula pasir
  • 4 biji bawang putih | cincang
  • 2 sudu makan air masak

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan dada ayam bersama sos ikan, serbuk lada hitam dan sos Thai. Perap selama 30 minit.  Setelah itu goreng dada ayam di dalam kuali angkat dan hiris agak nipis.  Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk salad ,satukan semua bahan yang telah dihiris dan dipotong halus tadi. Masukkan ayam dan gaul sebati.
  3. Untuk membuatkan sosnya; masukkan kesemua bahan sos ke dalam bekas plastik kedap udara dan goncang sehingga kesemua bahan sebati.  Apabila saat untuk menghidang, tuangkan sos ke dalam salad tadi dan gaul sebati. Siap untuk dihidangkan.

Info Chef –  Sos salad jangan diletakkan terlalu awal agar dapat mengekalkan kerangupan sayuran salad tersebut.

 

4. COCONUT LIME CHICKEN

BAHAN-BAHAN:

  • ½ ekor ayam | potong kecil
  • 125ml santan pekat
  • 125ml air
  • 4 tangkai kacang panjang | potong 3cm panjang
  • 6 tangkai cili padi hijau | hiris
  • 2 helai daun limau purut | hiris halus
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 1 sudu makan sos ikan atau secukup rasa
  • 1 biji jus limau nipis
  • 1 sudu teh gula tau secukup rasa
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 2 batang daun ketumbar | hiris kasar
  • Minyak masak secukupnya
  • 1 tangkai cili merah | hiasan
  • 1 batang daun bawang | hiasan

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan hirisan bawang besar dan bawang putih hingga terbit bau wangi.
  2. Kemudian masukkan isi ayam, daun limau purut, sos ikan,jus limau nipis, gula, serbuk pati ayam, santan pekat dan air, kacau sebentar.  Masaklah sehingga kuah mereneh dan agak pekat.
  3. Kemudian masukkan hirisan kacang panjang dan daun ketumbar. Masaklah selama lebih kurang 5 minit, kemudian tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.

Info chef: Hiaslah dengan hirisan cili merah dan daun bawang.

 

5. AYAM PANDAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong  6-8 ketul
  • 4 biji bawang putih | kisar halus
  • 1 biji bawang besar | kisar halus
  • 3cm halia | kisar halus
  • 3cm lengkuas | kisar halus
  • 6 tangkai cili padi | kisar halus
  • 2 batang serai dihiris halus | kisar halus
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Daun pandan secukupnya
  • Minyak masak  untuk menggoreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama kesemua bahan kisar, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk kunuit, serbuk pati ayam, garam dan gula. Perap semalaman bagi mendapatkan rasa yang lebih enak.
  2. Setelah itu bungkuslah ayam tersebut dengan daun pandan seperti membungkus ketupat palas.  Goreng di dalam minyak yang banyak dengan api yang agak sederhana besar agar ayam masak sekata. Ayam pandan siap untuk dihidangkan.

Info chef: Jika hendak cepat, ayam bolehlah diperap selama dua jam.

 

6. AYAM GAJUS

 

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping dada ayam | potong kecil
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • 2 sudu teh minyak bijan
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu teh serbuk pati ayam
  • 8 tangkai cili kering | potong 3cm panjang
  • 3cm halia | cincang halus
  • 1biji bawang besar | hiris
  • 6 biji bawang putih | cincang
  • 2 sudu teh sos tiram atau secukup rasa
  • 2 sudu teh kicap pekat manis
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 80gm kacang gajus
  • Daun bawang secukupnya
  • Lobak merah | Hiris bulat
  • Minyak masak  secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan ayam bersama minyak bijan, tepung jagung dan lada sulah. Perap sebentar.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, gorengkan isi ayam yang telah diperapkan tadi sehingga warna keemasan angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak di dalam kuali tinggalkan sedikit untuk menumis,   anggaran tiga sudu makan. Kemudian gorengkan cili kering sehingga garing dan angkat.
  4. Selepas itu tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga wangi.  Setelah itu masukkan  lobak merah, sos tiram, kicap pekat manis, serbuk lada hitam dan kacau sebentar.  Akhir sekali masukkan isi ayam, daun bawang dan gajus, kacau serta tutupkan api.
  5. Ayam gajus sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Untuk lebih menarik, lobak merah boleh dibentukkan seperti bunga.