
Bagi yang biasa menikmati sajian Daging Goreng Halia di restoran Chinese Muslim, pasti tahu akan keenakan hidangan ini. Penuh perasa dan enak dinikmati bersama nasi putih hangat.
Harganya boleh tahan mahal kan? Jika keluarga besar, memang tak puas makan. Bagi yang mempunyai keluarga yang besar, agak tidak berbaloi untuk menikmati hidangan istimewa begini. Bukan apa, harga yang dibayar tentulah tinggi, tapi makan tak puas. Lebih jimat jika masak sendiri. Betul tak?
Saudara Wan LuQman ada kongsikan resipi yang boleh dicuba. Masak sendiri untuk keluarga tentunya lebih puas hati. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
Resipi Daging Goreng Halia Ala Chinese Muslim

Bahan-Bahan Daging
- Daging secukupnya – sebaiknya guna bahagian topside
- Kicap cair
- Lada sulah
- Halia cincang
- Gula dan garam secukup rasa
- Minyak masak
- Minyak bijan
- Tepung jagung
Bahan Kuah Beef Ginger
- Air bancuhan tepung jagung (standby sahaja)
- Air bancuhan sos tiram (1 ½ sudu makan sos tiram campur dengan 6 sudu makan air)
- Hirisan halia
- Bawang merah
- 1 tangkai daun bawang
- Secubit serbuk lada hitam
Cara Memasak Daging Goreng Halia
1. Hiris Daging Dengan Betul
Hiris daging berlawanan urat. Caranya potong daging segi empat tepat dulu, kemudian hiris nipis mengiring. Teknik ini membantu memastikan Daging Goreng Halia kekal lembut apabila dimasak.

2. Perap Daging
Perap daging dengan kicap cair, lada sulah, halia cincang, gula, garam, minyak masak, minyak bijan serta tepung jagung. Jumlah bahan yang digunakan hanya sedikit dan agak-agak sahaja.

Gaul daging supaya sebati dengan bahan-bahan tadi. Ketepikan seketika supaya rasa lebih meresap.

3. Sediakan Bahan Kuah
Sediakan semua bahan untuk kuah terlebih dahulu supaya proses memasak lebih cepat dan mudah.

4. Goreng Daging
Sebelum menggoreng daging, panaskan kuali hingga berasap. Masukkan minyak kemudian alihkan. Tinggalkan sedikit sahaja minyak di dalam kuali. Cara ini bertujuan untuk mengelakkan daging melekat pada kuali serta membantu mengekalkan tekstur lembut dan moist.

Masukkan daging satu persatu dan goreng. Elakkan daging melekat sesama sendiri.

Kacau dan masak seketika sahaja. Daging tidak perlu dimasak terlalu lama kerana ia boleh menjadi keras dan kering.

5. Sediakan Kuah Halia
Angkat daging dan rehatkan seketika.

Dengan menggunakan kuali yang sama, masukkan bawang, hirisan halia dan sedikit daun bawang.

Masukkan semula daging yang telah digoreng tadi.

Tuangkan air bancuhan sos tiram diikuti secubit serbuk lada hitam.


Perhatikan kuah. Jika tidak pekat, masukkan sedikit air bancuhan tepung jagung. Jika kuah sudah pekat, tidak perlu tambah lagi. Masukkan baki daun bawang untuk aroma lebih menyelerakan.
Anda mungkin berminat dengan

6. Siap Untuk Dihidang
Buka api dengan kuat dan gaul sekejap sehingga semua bahan sebati.

Daging Goreng Halia siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan panas-panas bersama nasi putih.

Petua Supaya Daging Goreng Halia Lebih Sedap
- Gunakan bahagian daging topside supaya hasilnya lebih lembut.
- Jangan goreng terlalu lama untuk mengekalkan juicy pada daging.
- Minyak bijan membantu menaikkan aroma ala restoran Chinese Muslim.
- Halia segar memberikan rasa lebih wangi dan menyelerakan.
Memang berbaloi cuba sendiri di rumah. Selain lebih jimat, boleh makan puas bersama keluarga. Malah rasa Daging Goreng Halia ini juga setanding menu di restoran Chinese Muslim terkenal.
Kredit resipi & foto: Wan LuQman
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Asam Rebus Daging Paling Padu, Masam Pedas Menyengat Memang Buka Selera
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

