Cara Mudah Masak Pulut Tanpa Rendam & Guna Dapur Gas.

Share

Pulut memang sedap dimakan. Ada yang suka makan dengan kelapa dan ikan rebus, ada yang suka makan dengan kuah atau bubur, dijadikan pulut berinti, pulut serunding dan macam-macam lagi. Namun yang lecehnya, jika kena kukus. Agak rumit dan mengambil masa. Namun menerusi perkongsian saudari Mariana Zainal, beliau kongsikan cara masak pulut hanya guna dapur gas dan juga periuk elektrik tanpa perlu rendam. Hasilnya lembut, sedap malah lebih mudah. Puan-puan boleh cuba.

 

CARA MASAK PULUT GUNA DAPUR GAS

BAHAN-BAHAN:

  • Beras pulut – ikut jumlah yang dikehendaki
  • Air
  • 1 1/2 sudu makan minyak masak
  • Sedikit garam – jangan banyak

CARA MEMASAK:

1. Basuh beras pulut hingga bersih.

2. Masukkan beras pulut ke dalam periuk dan masukkan air.

3. Sukat air ikut ruas jari yang pertama. Caranya letak jari diatas permukaan beras dan paras airnya mestilah hanya 1/2 dari ruas jari sahaja. ( jari atas permukaan beras & bukan dibenam ke dalam beras)

4. Letak sedikit garam dan minyak masak. Tujuannya supaya pulut lembut berkilat dan tidak berkerak.

5. Masak guna api sederhana. Elakkan guna api besar kerana pulut akan menjadi berkerak.

6. Tutup penutup seperti dalam gambar. Ia memudahkan anda melihat tekstur pulut.

7. Bila air dah kering, bolehlah kacau pulut tadi supaya sekata dan tidak melekat pada periuk. 

8. Tutup periuk dan masak lagi guna api paling perlahan hingga pulut masak. Angkat dan sedia untuk dinikmati dengan pelbagai cara.

SUKATAN PULUT UNTUK MASAK GUNA RICE COOKER

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan beras pulut – dibersihkan
  • 3 cawan air
  • 1 sudu makan minyak masak
  • Sedikit garam

(Campurkan semua bahan dan masak seperti biasa)

 

Jika nak dijadikan Pulut Sambal, berikut adalah resipi Serunding Kelapa yang boleh dicuba. Memang sedap dimakan bersama pulut tanak tadi.

RESIPI SERUNDING KELAPA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 1/2 biji kelapa parut
  • 3 sudu makan gula – boleh ubahsuai ikut citarasa
  • 1 sudu teh garam(membukit)
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • Bahan perasa jika perlu
  • 4@5 helai daun limau purut
  • 1 cawan air
  • 2 senduk minyak masak untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 15 tangkai cili kering – boleh kurangkan jika tak suka pedas
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 sudu makan biji ketumbar
  • 4 batang serai
  • 4 sudu makan udang geragau kering
  • 2 sudu makan jintan manis – tumbuk kasar  ( jangan kisar bersama bahan lain)

CARA MEMASAK:

1. Satukan cili kering, bawnag besar, bawang putih, ketumbar, serai dan udang gerau kering. Kisar halus. Kemudian masukkan jintan manis yang ditumbuk kasar. Gaul sebati.

2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar tadi hingga wangi.

3. Masukkan garam, gula dan daun limau purut. Tumis sampai naik minyak dan garing.

4. Seterusnya masukkan air,air asam jawa dan kelapa parut. Masak guna api perlahan hingga serunding betul-betul kering. Sesuaikan rasa.

5. Angkat dan bolehlah dimakan bersama pulut tadi.


Kredit resipi & foto: Mariana Zainal

IKLAN