Makanan

Cara Buat KACANG BAWANG PUTIH Rangup & Sedap, Rebus & Perap Semalaman Dulu Baru Goreng!

Share

Rupanya nak buat kacang bawang putih yang sedap dan rangup, caranya kena rebus dan perap kacang semalaman dahulu sebelum digoreng. Jika sebelum ini kita hanya beli sahaja snek ini di kedai, kali ini bolehlah cuba buat sendiri di rumah. Bukan sahaja lebih jimat, malah lebih terjamin kebersihannya serta bebas bahan pengawet.

Menariknya, teknik perapan semalaman membuatkan rasa bawang putih lebih meresap ke dalam kacang dan hasilnya memang lebih sedap serta rangup tahan lama.

Perkongsian resipi mudah Kacang Bawang Putih oleh Nazira Abd Kader ini boleh dijadikan rujukan.

Bahan-Bahan:

  • 1kg kacang kopek/trojen/shandong
  • 20 ulas bawang putih (dikisar dan dibuat pes)
  • 20 ulas bawang putih (dihiris halus)
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Serbuk perasa secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Tip: Belahkan kacang kepada dua supaya bahan perapan lebih mudah menyerap dan kacang menjadi lebih berperisa.

Cara Buat Kacang Bawang Putih:

1. Basuh Kacang Hingga Bersih

Basuh kacang sehingga bersih bagi membuang segala kekotoran sebelum proses rebusan dilakukan.

2. Didihkan Air Perapan

Panaskan air bersama pes bawang putih, sedikit garam dan gula sehingga mendidih.

3. Masukkan Kacang

Masukkan kacang ke dalam air rebusan tadi dan rebus selama kira-kira 3 minit sahaja.

4. Perap Semalaman

Selepas 3 minit, tutup api dan biarkan kacang berada dalam air rebusan lebih kurang 10 minit. Kemudian toskan.

Gaulkan pula kacang bersama baki pes bawang putih, sedikit garam dan serbuk perasa. Pastikan semuanya bersalut rata sebelum disusun di dalam dulang.

Perap semalaman sehingga kacang menjadi lebih kering dan bahan perapan meresap sepenuhnya.

5. Hiris Bawang Putih

Sebelum menggoreng, hiriskan bawang putih nipis-nipis. Jumlah bawang putih boleh ditambah mengikut cita rasa masing-masing.

6. Goreng Dengan Api Perlahan

Panaskan minyak terlebih dahulu kemudian kecilkan api.

Masukkan kacang sedikit demi sedikit supaya hasil gorengan lebih rangup dan masak sekata.

Apabila kacang sudah separuh masak, masukkan bawang putih hiris dan teruskan menggoreng sehingga warna bertukar keemasan.

7. Sejukkan Sebelum Simpan

Selepas siap digoreng, angkat dan toskan minyak. Biarkan kacang bawang putih betul-betul sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas kedap udara supaya kekal rangup lebih lama.

kacang bawang putih

Info Ekstra Kacang Bawang Putih

  • Kacang yang digunakan ialah kacang kopek atau dikenali juga sebagai kacang shandong dan kacang trojen.
  • Kacang jenis ini lebih panjang sedikit berbanding kacang tanah biasa.
  • Pes bawang putih dimasukkan sedikit dalam air rebusan dan selebihnya digunakan semasa proses perapan.
  • Jangan goreng terlalu banyak kacang dalam satu masa kerana ia boleh menyebabkan kacang menjadi lemau.
  • Gunakan api perlahan ketika menggoreng bagi mengelakkan kacang cepat hangus.

Memang puas hati bila buat sendiri kacang bawang putih di rumah. Aromanya wangi, rasa bawang putih lebih padu dan kerangupannya memang lain macam. Sesuai dijadikan kudapan santai ketika menonton televisyen atau hidangan raya.

Selamat mencuba!

Sumber: Nazira Abd Kader

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

Published by
Suhaidah Abd Wahab