
Simpan kentang tahan lama bukanlah sesuatu yang sukar jika anda mengetahui teknik penyimpanan yang betul. Kentang mentah sebenarnya boleh bertahan antara 2 hingga 4 bulan apabila disimpan dalam keadaan yang sesuai. Salah satu petua yang semakin popular ialah menggunakan baking soda (serbuk penaik) sebagai penyerap kelembapan dan bau bagi membantu kentang kekal segar lebih lama.
Kaedah ini mudah dilakukan di rumah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Dengan hanya beberapa bahan asas, anda boleh mengurangkan risiko kentang cepat rosak, bertunas atau membusuk sebelum sempat digunakan.
Cara Simpan Kentang Tahan Lama Dengan Baking Soda
Taburan baking soda pada bahagian bawah bekas simpanan membantu menyerap kelembapan berlebihan yang boleh mempercepatkan kerosakan kentang. Selain itu, ia juga membantu mengurangkan bau yang tidak menyenangkan di dalam bekas simpanan.
Bahan Diperlukan:
Kotak Kadbod/ bakul
Baking Soda
Tisu Dapur
Kentang

Langkah Penyimpanan Kentang Tahan Lama:
1. Pilih bekas yang sesuai
Mula-mula, pilih kotak kadbod atau bakul yang mempunyai pengudaraan yang baik. Aliran udara yang mencukupi sangat penting bagi mengelakkan kelembapan terperangkap di sekeliling kentang.
2. Alas bahagian bawah bekas
Kemudian, alas bahagian bawah bekas menggunakan tisu dapur. Tisu ini membantu menyerap kelembapan tambahan yang mungkin terkumpul semasa penyimpanan.
3. Taburkan baking soda
Taburkan sedikit baking soda secara rata di atas lapisan tisu dapur. Tidak perlu terlalu banyak, memadai sekadar menutupi bahagian bawah bekas secara nipis.
4. Susun kentang dengan betul
Selepas itu, letakkan kentang di atas lapisan tersebut. Pastikan kentang tidak bertindih terlalu banyak kerana susunan yang terlalu padat boleh menyebabkan pengudaraan menjadi kurang baik.
5. Simpan di lokasi yang sesuai
Akhir sekali, simpan bekas di tempat yang sejuk, gelap dan kering. Elakkan kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari atau sumber haba kerana keadaan tersebut boleh mempercepatkan proses percambahan.
Kesilapan Yang Perlu Dielakkan
Terdapat beberapa kesilapan biasa yang sering dilakukan ketika menyimpan kentang. Kesilapan ini boleh menyebabkan kentang menjadi lembik, cepat bertunas atau rosak sebelum waktunya.
Jangan Basuh Sebelum Disimpan
Paling penting, jangan basuh kentang jika tidak mahu terus menggunakannya. Air yang melekat pada permukaan kentang akan meningkatkan kelembapan dan menyebabkan ia lebih mudah membusuk.
Jika terdapat tanah pada kulit kentang, cukup sekadar membersihkannya secara ringan tanpa menggunakan air. Basuh hanya apabila kentang mahu dimasak.
Jauhkan Daripada Bawang
Selain itu, jangan simpan kentang berdekatan dengan bawang. Gas yang dihasilkan oleh bawang boleh mempercepatkan proses kentang bercambah dan mengurangkan tempoh penyimpanannya.
Walaupun kedua-duanya sering digunakan dalam masakan harian, sebaiknya simpan dalam bekas dan ruang yang berasingan.

Tip Untuk Kentang Yang Sudah Dikupas
Bagi kentang yang sudah dikupas, kaedah penyimpanannya sedikit berbeza. Kentang yang terdedah kepada udara akan mudah berubah warna dan kehilangan kesegarannya.
Rendam kentang yang telah dikupas di dalam air bertapis dan simpan dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk. Tukar air setiap hari untuk memastikan kualitinya kekal baik.
Anda mungkin berminat dengan
Dengan cara ini, kentang yang telah dikupas mampu bertahan antara satu hingga dua minggu bergantung kepada keadaan penyimpanan dan tahap kesegarannya ketika mula disimpan.
Kelebihan Menggunakan Kaedah Ini
Kaedah menggunakan baking soda bukan sahaja mudah, malah membantu memanjangkan jangka hayat kentang tanpa memerlukan bahan pengawet. Ia juga sesuai diamalkan oleh mereka yang membeli kentang dalam kuantiti banyak untuk kegunaan mingguan atau bulanan.
Dengan penyimpanan yang betul, anda dapat mengurangkan pembaziran makanan, menjimatkan kos dapur dan memastikan stok kentang sentiasa tersedia apabila diperlukan.
Selamat mencuba petua mudah ini. Dengan teknik simpan kentang tahan lama yang betul, kentang boleh kekal segar lebih lama serta tidak mudah rosak atau bertunas.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

