
Rindu nak makan Ayam Goreng Seringgit yang jual dekat gerai tu? Usah risau. Meh cuba buat sendiri di rumah. Resipi perkongsian Cikgu Afy Al Habibi ni memang mudah. Sesuai sangat anda cuba terutamanya bagi yang ada anak ramai.
Kalau biasanya beli di gerai, kali ni boleh cuba buat sendiri. Bukan sahaja boleh goreng dalam kuantiti yang banyak, malah puas hati sebab boleh makan panas-panas sebaik sahaja diangkat dari kuali.
Rahsia untuk mendapatkan ayam yang sedap terletak pada cara perapan, bancuhan tepung dan teknik menggoreng. Kulit ayam juga jangan dibuang kerana bahagian inilah yang membantu menghasilkan rasa dan tekstur ayam goreng rangup yang sebenar.
Resipi Ayam Goreng Seringgit Rangup

Resipi ini menggunakan seekor ayam yang dipotong kepada 18 bahagian. Saiz potongan yang lebih kecil memang sesuai untuk mendapatkan ayam yang rangup di luar dan masak sekata di bahagian dalam.
Resipi untuk 1 ekor ayam
Bahan A
- 1 ekor ayam – potong 18
- 2 senduk tepung bestari perisa asli
- Sedikit air
- Minyak masak untuk menggoreng
Bahan B Untuk Salutan Ayam Goreng Seringgit
- 500 gm tepung bestari asli
- 100 gm tepung gandum
- 100 gm tepung beras
Cara Memasak
- Ayam dibasuh bersih dan toskan. Bahagian kulit jangan dibuang untuk memberikan rasa ayam goreng rangup yang sebenar. Pastikan air daripada ayam ditoskan terlebih dahulu sebelum proses seterusnya.

2. Dalam bekas bersesuaian, masukkan tepung bestari. Tambah sedikit air. Pastikan kelikatannya tidak terlalu cair. Bancuhan ini akan digunakan untuk menyelaputi ayam sebelum diperap.

3. Gaulkan dengan ayam sehingga setiap bahagian bersalut dengan bancuhan tadi. Perap selama 5 jam supaya rasanya lebih sebati.

4. Dalam bekas berasingan, satukan bahan-bahan B iaitu tepung bestari asli, tepung gandum dan tepung beras. Adun rata supaya ketiga-tiga jenis tepung bercampur sekata.

5. Ambil seketul ayam yang diperap tadi, lumurkan ke dalam campuran tepung. Tekap hingga mampat untuk menghasilkan salutan yang berkerak. Boleh salut 5-6 ketul sekaligus untuk sekali gorengan.

6. Panaskan minyak masak yang banyak di dalam periuk. Empunya resipi goreng guna periuk kerana ia dalam dan boleh memuatkan minyak yang banyak. Ayam pun boleh masak dengan sekata.

7. Masukkan ayam yang telah disalut tadi satu persatu. Goreng guna api sederhana kuat. Balikkan ayam sekali sekala supaya setiap bahagian mendapat warna yang cantik dan masak sekata.
8. Bila ayam telah berwarna coklat keemasan, angkat dan toskan minyaknya. Jangan terus tutup ayam yang baru digoreng kerana wap panas boleh menyebabkan salutan tepung menjadi cepat lembik.

9. Ayam Goreng Seringgit sedia untuk dinikmati. Lagi sedap makan ketika masih panas dan salutan tepungnya masih rangup.

Tip Ayam Goreng Seringgit Kekal Rangup
Untuk mendapatkan hasil yang lebih cantik, pastikan minyak sudah cukup panas sebelum ayam dimasukkan. Namun, elakkan menggunakan api yang terlalu kuat kerana bahagian luar ayam mungkin cepat menjadi gelap sedangkan isi di bahagian dalam masih belum masak sepenuhnya.

Penggunaan minyak yang banyak pula membantu ayam tenggelam dengan lebih baik ketika digoreng. Inilah sebabnya empunya resipi memilih menggunakan periuk yang dalam. Kaedah ini membolehkan haba mengenai ayam dengan lebih sekata sepanjang proses menggoreng.
Satu lagi bahagian penting ialah proses menyalut ayam. Selepas ayam yang diperap dimasukkan ke dalam campuran tepung, tekap tepung pada permukaan ayam hingga mampat. Cara ini membantu menghasilkan lapisan tepung yang lebih berkerak apabila digoreng.
Anda mungkin berminat dengan
Gabungan tepung bestari, tepung gandum dan tepung beras dalam resipi ini pula menghasilkan salutan yang lebih menarik. Jangan lupa toskan ayam selepas digoreng supaya lebihan minyak dapat turun dan salutan kekal sedap ketika dimakan.
Sesuai Dibuat Untuk Keluarga
Dengan seekor ayam yang dipotong kepada 18 bahagian, memang banyak boleh dapat. Sebab itulah resipi ini sesuai sangat untuk keluarga yang ada anak ramai atau bila nak menyediakan hidangan dalam kuantiti lebih banyak.
Kalau anak-anak memang suka ayam goreng, bolehlah cuba resipi ini di rumah. Hidangkan bersama nasi panas, sos cili atau makan begitu sahaja pun dah sedap. Bila buat sendiri, boleh terus nikmati sebaik sahaja siap digoreng.
Jadi kalau teringin rasa ayam goreng ala yang dijual di gerai, bolehlah cuba Ayam Goreng Seringgit ini. Bahan-bahannya mudah dan cara penyediaannya pun tidak rumit. Cuma kena beri masa untuk ayam diperap supaya rasanya lebih sebati sebelum disalut tepung dan digoreng.
Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Buat Sendiri Wantan Cendawan Enoki Crispy Untuk Minum Petang

sekarang!
