Memasak memang memerlukan kreativiti. Ia terbukti apabila dari satu hidangan yang biasa, ia boleh diolah menjadi menu baru yang sangat enak. Sebagai contoh, resipi dari olahan Tauhu yang mudah dan berkhasiat ini. Jika dahulu, tauhu kering digunakan dalam hidangan Mi Kari dan Tauhu Bakar. Tapi siapa sangka idea kombinasi antara resipi ini mencetuskan resipi baru seterusnya menjadi tular dan popular. Sedap pula tu!

Maka ada baiknya, mulai hari ini  kita jadikan tauhu sebagai salah satu  bahan masakan dalam menu harian anda di rumah. Ia bukan hanya mudah disediakan tetapi harganya juga murah.  Berikut dua resipi tauhu yang dikongsikan dan boleh anda cuba di rumah.

 

Jenis Tauhu dan Khasiatnya
Di pasaran terdapat pelbagai jenis tauhu, antara yang popular dan digunakan oleh ramai orang adalah Tauhu Putih,  di mana teksturnya lebih padat,sesuai untuk dihidangan berkuah, campuran dalam masakan, dijadikan bergedel, nugget atau kroket.

Sementara tauhu kuning, tekstur lebih kenyal dan padat dan lembut dan tidak mudah hancur berbanding tauhu putih,ia lebih sedap jika dimasukkan dalam sup. Bila digoreng luarnya ranggup dan isi dalamnya lembut.

Tofu pula sejenis tauhu yang sangat lembut dan halus teksturnya, selalunya ia didatangkan dalam bentuk selinder atau empat segi siap dengan kemasan plastik jika dicampur dengan telur ia dikenali tofu telur. Untuk memasak tofu perlu lebih berhati-hati bimbang hancur. Selalu jika di capurkan dalam sup atau masakan lain, ia akan dimasuk di akhir masakan.

Di sebalik keenakan tauhu, makanan ini  merupakan sumber protein yang sangat bermanfaat untuk kesehatan. Kandungan protein yang tinggi pada produk yang dihasilkan dari pati kacang soya ini sangat digemari di kalangan masyarakat Asia.  Ia juga kaya dengan pelbagai khasiat.

Sumber nutrisi dalam tauhu memang diakui ramai, kaya dengan sumber zat besi, protein, kalsium dan mineral yang sangat diperlukan tubuh dan membantu anda mencegah pelbagai penyakit. Ia termasuklah sakit jantung dan diabetes, mengelakkan osteoporosis, menurunkan berat badan dan banyak lagi.

 

4 Jenis Masakan Tauhu, Menu Mudah, Sedap Dan Sihat!

RESIPI TAUHU BERGEDIL DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • Tauhu kering
  • 5-6 biji ubi kentang
  • Daging @ ayam kisar – jumlah ikut citarasa
  • Bawang goreng secukupnya
  • 1 biji bawang besar – potong dadu
  • 2-3 sudu makan bawang goreng
  • Daun sup – potong halus
  • Serbuk lada putih secukupnya
  • 2-3 biji telur
  • Garam & serbuk perasa secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Kopek kulit & rebus kentang hingga empuk. Kemudianlenyekkan kentang masa masih panas.
  2. Daging kisar digoreng hingga kering air. Masukkan garam dan serbuk perasa jika suka.
  3. Satukan kentang yang telah dilenyek tadi dengan daging.
  4. Masukkan bawang yang dipotong dadu, daun sup, serbuk lada putih dan bawang goreng. Gaul sebati.
  5. Potong tauhu kering berbentuk X ditengah.
  6. Sumbat adunan kentang dan daging di dalam tauhu hingga penuh.
  7. Pecahkan telur dan pukul.
  8. Celup tauhu yang dah disumbat tadi di dalam bancuhan telur dan goreng menggunakan minyak panas sehingga perang.
  9. Sedia untuk dinikmati bersama sos.

 

BAHAN SOS HITAM MANIS PEDAS

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 10 tangkai cili kering
  • Gula melaka atau gula merah
  • Bijan (disangai)
  • Gula biasa (kalau kurang manis)
  • Garam (secukup rasa)
  • Sedikit belacan
  • 300ml air
  • 1 sudu besar minyak
  • 1 1/2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 50ml air bersama serbuk perasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan minyak dalam kuali. Goreng cili kering sehingga garing dengan api yang kecil.
  2. Setelah garing, angkat dan blend cili kering dgn sedikit air.
  3. Panaskan air bersama gula melaka. Masukkan cili yang telah dikisar tadi dan juga belacan.
  4. Setelah mendidih, masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.
  5. Masukkan garam, ajinomoto dan gula (jika gula melaka kurang manis).
  6. Masukkan bijan goreng dan siap untuk dihidang.

Kredit resipi & gambar: Izan Abd Rahman

 

4 Jenis Masakan Tauhu, Menu Mudah, Sedap Dan Sihat!

RESIPI TAUHU TELUR TUMIS DAGING CINCANG

BAHAN-BAHANNYA:

  • 3 batang tauhu telur
  • 12 kuntum cendawan butang (boleh guna yang dalam tin, toskan airnya)
  • 1 camca besar penuh tepung jagung
  • 2 camca besar air
  • 1 cawan daging cincang, taruk dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan
  • 3 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1 pokok daun bawang, hiris
  • 1 biji kecil cili merah, buang biji dan dadu kecil
  • 1/2 cawan air

BAHAN-BAHAN SOS (DISATUKAN):

  • 2 camca besar sos tiram
  • 1 camca besar kicap cair
  • 1 camca besar kicap lemak manis
  • 1/4 camca teh minyak bijan
  • 1/2 camca teh serbuk lada sulah (che mat tambah)
CARA MEMBUATNYA:
  1. Tauhu telur di potong 5 atau 6 setiap 1, kemudian masukkan ke dalam mangkuk. Satukan tepung jagung dengan 2 camca besar air dan kacau rata. Tuang ke dalam mangkuk berisi tauhu telur. Gaul perlahan dan goreng satu persatu hingga kekuningan. Angkat dan toskan. Cendawan butang dihirs 3 setiap 1 biji, kemudian goreng sekejap hingga layu, angkat dan toskan. Ketepikan
  2. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan dalam anggaran 2 camca besar. Tumis bawang putih hingga harum dan layu. Masukkan daging cincang, kacau rata dan masak hingga airnya kering dan daging cincang berubah warna. Masukkan bahan2 sos dan juga air. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Baki terpung jagung untuk menggoreng tauhu telur tadi, boleh dimasukkan ke dalam kuah. Kacau dan masak hingga pekat. Kemudian boleh tambah tauhu telur dan cendawan tadi. Gaul hingga rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan cili merah yang didadu sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas. Selamat mencuba!!

**terung juga enak dimasak cara begini. Bagi yang tak makan daging lembu, gantikan saja dengan daging ayam

IKLAN

Kongsi resipi & ganbar: tiffinbiru

 

 

4 Jenis Masakan Tauhu, Menu Mudah, Sedap Dan Sihat!

RESIPI TOFU  AYAM CINCANG SOS TIRAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 paket  tauhu lembut | kukus
  • Sedikit isi dada ayam | cincang
  • 4 ulas bawang putih | cincang
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • Sedikit daun ketumbar | hiris
  • 100gm sos tiram
  • 5gm minyak bijan
  • Sedikit kicap cair
  • Sedikit minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak dan goreng ayam yang dicincang sehingga garing. Ketepikan.
  2. Gunakan minyak yang sama, goreng bawang putih hingga wangi.
  3. Masukkan sos tiram, kicap dan minyak bijan. Biarkan mendidih.
  4. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  5. Setelah masak, siram di atas tauhu lembut tadi dan taburkan isi ayam cincang yang telah digoreng tadi.
  6. Kemudian hiaskan dengan daun bawang dan ketumbar.

 

 INfO CHEF:

IKLAN

Sebaiknya, kukus terlebih dahulu lebih kurang lima minit.

 

 

4 Jenis Masakan Tauhu, Menu Mudah, Sedap Dan Sihat!
RESIPI TAUHU GORENG NYONYA

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping tauhu biasa | hancurkan
  • 2 biji telur | pecahkan dan kacau rata
  • 1/2 biji bawang Holland | hiris
  • 1 biji cili merah | hiris
  • Sedikit timun
  • 1 sudu makan kacang tanah kisar
  • 2 sudu makan Sos Thai
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • Minyak masak untuk menggoreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Tauhu dicampurkan dengan telur yang telah dikacau.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan tauhu tadi ke dalam kuali.
  3. Kemudian kacau hingga sebati.
  4. Setelah tauhu bertukar warna kekuningan angkat dan ketepikan.
  5. Hiaskan dengan timun, hirisan bawang dan cili.
  6. Taburkan kacang tanah kisar di atasnya, kemudian tuangkan sos Thai dan kicap pekat di atasnya.
  7. Tauhu goreng siap dihidangkan.

 

INFO CHEF:

Gunakan minyak yang banyak untuk menggoreng tauhu untuk memastikan minyak meliputi tauhu.

 

CUBA JUGA RESIPI SEDAP INI:

Resipi Mudah Dan Ringkas, Rolade Tauhu Kaya Sumber Protein, Gerenti Sedap!

Cara-Cara Hasilkan Tauhu Homemade Menggunakan Cuka. Memang Mudah & Berbaloi Untuk Dicuba.

http://www.rasa.my/langkah-demi-langkah-resipi-tauhu-berlauk-sesuai-disajikan-sebagai-hidangan-minum-petang/

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI