Step-By-Step Cara Bentukkan Vadai, Dah Sejuk Pun Masih Lembut

Share

Kuih vadai agak sukar ditemui, melainkan jika kita ke restoran mamak. Itupun, adakala tiada juga. Jadi, kalau memang gemar dan teringin, boleh saja cuba buat sendiri. Bahan utama, kacang ulunthu.

Menurut Nur Masri yang sudi berkongsi cara penyediaan kuih vadai ini, bahannya mudah saja tetapi cara membuatnya yang sedikit mencabar. Untuk menjadikan bentuknya seperti donut dengan adunannya yang melekat dan lembik memerlukan sedikit kemahiran.

Kuih vadai ini sedap dimakan ketika masih panas. Rangup di luar dan lembut di dalam. Namun, ketika sejuk pun masih lembut lagi. Jika buat banyak, boleh di sejuk bekukan dan panaskan menggunakan air fryer

sahaja. Jom kita cuba buat.

KUIH VADAI

BAHAN-BAHAN:

1 cawan /250g kacang ulunthu – Boleh beli online di sini

1 sudu besar jintan manis

1 sudu besar tepung beras – Boleh beli online di sini

1 sudu teh baking soda

1 biji bawang merah

2 biji cili hijau

2 biji cili kering – Boleh beli online di sini

Daun kari

Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

Basuh dan rendam kacang ulunthu semalaman atau sekurang-kurangnya 4 jam. (Jika nak masak pagi, boleh rendam waktu malam. Nak masak petang, rendam waktu pagi.)

Toskan air dan kisar kacang ulunthu dengan sedikit air sehingga halus. (Jangan letak banyak air kerana nanti akan susah untuk dibentukkan.)

Apabila kacang ulunthu menjadi halus, masukkan jintan manis dan kisar sekejap.

Masukkan adunan yang dikisar ke dalam mangkuk.

Masukkan pula tepung beras dan baking soda.

Letak adunan dalam peti sejuk supaya senang dibentuk. Sementara itu, bolehlah potong bawang merah, cili dan daun kari kecil-kecil.

Gaul sebati dengan adunan ulunthu. Masukkan garam secukup rasa.

Gunakan daun pisang atau sarung tangan plastik untuk membentuk vadai menjadi bentuk donut.

Jika adunan cair, boleh tambahkan tepung beras.

Celup tangan dalam air. Ambil sedikit adunan dan letak membulat di atas tapak tangan atau daun pisang.

Celup jari telunjuk ke dalam air dan buatkan lubang di tengah adunan.

Terbalikkan adunan tadi di atas jari tangan kanan.

Masukkan adunan ke dalam kuali perlahan-lahan.

Tunggu sehingga vadai timbul dan keperangan, baru terbalikkan. Jika terbalikkan semasa masih lembut, bentuknya akan rosak.

Goreng hingga keperangan dengan api sederhana. Jika api besar, ulunthu akan rasa mentah dan bahagian dalam belum masak sepenuhnya.

Boleh angkat dan toskan.

Sedap dinikmati dengan chutney kelapa.

Selamat mencuba.

Kredit: Nur Masri

[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]

Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

IKLAN