Adik-adik dan pelajar-pelajar yang minat dengan bidang kulinari , hospitaliti dan pelancongan, Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) ,Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) boleh memenuhi impian dan cita-cita anda.
SHP, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) sebelum ini dikenali sebagai Institut Hospitaliti YPJ adalah sekolah perhotelan terunggul di selatan tanahair sejak penubuhannya lebih 21 tahun yang lalu. Letaknya di kampus induk KYPJ, Kilometer 16, Jalan Kulai-Kota Tinggi, Johor.
SHP ketika ini mempunyai seramai 1,100 pelajar dari seluruh negara daripada keseluruhan 2,800 pelajar di kampus Induk KYPJ. Ia menawarkan tiga program dalaman peringkat Diploma diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Bidang-bidang yang ditawarkan ialah Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Perkhidmatan Makanan (Makanan Halal) dengan syarat kemasukan lulus SPM dengan tiga kredit dalam mana-mana subjek atau lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 serta lulus SPM sekurang-kurangnya satu kredit.
IKLAN
Sejak ditubuhkan pada 1996, SHP telah melahirkan lebih tiga ribu graduan yang kini berkhidmat dalam sektor makanan, perhotelan dan pelancongan di dalam dan luar negara termasuk di negara-negara Teluk dan Asean. Lepasan SHP sentiasa menjadi tarikan majikan disebabkan penekanan terhadap latihan amali yang perlu dilalui pelajar sebanyak dua kali pada semester tiga dan enam.
Segala fasili ada disediakan.SHP dilengkapi 12 dapur latihan terdiri daripada 2 dapur komersial, 2 dapur western, 1 dapur masakan Melayu, 2 dapur pastri, 2 dapur artistri, 1 dapur garde manger (dapur sejuk) dan 2 dapur pastry making.
IKLAN
Bukan itu sahaja selain dapur amali, SHP juga dilengkapi sebuah mock up bilik hotel, sebuah standard mock up bilik hotel, lapan bilik kuliah, dua bilik seminar, satu bilik bar & pantry, sebuah mock up front office dan sebuah makmal komputer.
IKLAN
Pelajar SHP, Kolej Yayasan Pelajaran Johor bukan calang-calang pencapaiannya tau, Pernah memenangi enam pingat perak pada Pertandingan Piala Kulinari Antarabangsa Thailand 2015, pingat emas pada Pertandingan Kulinari ASEAN, pingat perak dan gangsa pada Pertandingan Culinaire Malaysia 2001. Ia juga pernah mencipta sejarah tersendiri membuat ukiran buah-buahan pada suhu sejuk 5 darjah celcius di puncak Gunung Kinabalu pada 2005
Jadi jom rebut peluang mengasah ilmu dan bakat di Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) di Kolej Yayasan Pelajaran Johor .
Maklumat lanjut layari https://www.kypj.edu.my atau FB: Kolej Yayasan Pelajaran Johor.
LOKASI : Kampus Induk KYPJ, Kilometer 16, Jalan Kulai-Kota Tinggi, 81000 Johor
Siapa nak belajar masak ? Cuti sekolah ni mesti adik-adik banyak masa lapang. Kalau terasa nak cari duit poket , apakata belajar buat pasteri, cookies dan lauk pauk . Nanti bila dah mahir tu boleh buat tempahan on line. Ni Min kongsi info mengenai Dyra Bakery & Academy .
Bermula dari bakeri, pemiliknya Zaiton Ismail mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka kelas masakan yang bermula dari Disember 2017. Usahawan dan tenaga pengajar ini mahu berkongsi ilmu masakan yang dimilikinya dengan sesiapa yang berminat supaya dapat membuka peluang kerjaya kepada golongan muda mahupun berusia untuk menjana pendapatan sambilan atau sepernuh masa.
Misinya murninya adalah untuk melahirkan orang yang berilmu dan miliki skil mantap menghasilkan juadah dan juga bakeri.Tiada batasan had umur, sesiapa juga boleh mengambil peluang menyertai kelas masakan di akademi yang mempunyai empat tenaga pengajar yang berpengalaman dalam ilmu masakan.
Peserta berusia 16 hingga 60 tahun boleh menyertainya mengikut minat dan kecintaan mereka dalam bidang masakan.
Kelas-kelas yang disediakan adalah kelas roti yang mengajar membuat lima jenis roti iaitu mexican bun, chicken floss, roti kaya dan roti golok. Kelas muffin pula adalah belajar membuat muffin pisang, butterscotch, coklat, vanilla dan red velvet. Kelas kek pula menawarkan kek indulgence, pecan butterscotch, dan kek pelangi.
Sementara kelas frozen terdiri dari pembuatan kuih-muih ‘basah’ iaitu puteri ayu, cucur badak, popia sayur dan karipap yang boleh dijadikan produk sejuk beku. Selain itu disediakan kelas pastri yang mengajar cream puff, eclaire dan paf buah-buahan.
Kelas untuk usahawan pun ada. laitu seramai empat orang sahaja setiap kumpulan, ia menawarkan 10 modul kelas masakan dan tempoh pelajarannya adalah untuk selama dua minggu. Kelas lauk pauk utama juga turut disediakan seperti kelas nasi beriani, capati dengan lauk pauk sampingan iaitu lauk kima dan dhal.
Info Institusi : Pemilik : Zaiton Ismail
Lokasi : Dyra Bakery & Academy, 15-1 Jalan Elektron E, Denai Alam, Shah Alam Maklumat lanjut : FB: KZis, FB : nurdyracookies house
Marjerin dan mentega adalah dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek, biskut mahupun lauk pauk, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam menyedapkan sesuatu masakan. Jika dilihat secara sekali imbas, mentega dan marjerin kelihatan sama. Namun kedua-duanya sebenarnya mempunyai perbezaan.
MARJERIN
Diperbuat daripada lemak sayuran dan dicampur dengan bahan-bahan lain.
Tekstur lebih keras berbanding mentega dan tidak mudah cair.
Berwarna kuning terang.
Boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya.
Mengandungi kurang vitamin berbanding mentega.
Marjerin boleh disimpan diluar tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Biasanya digunakan dalam pembuatan sos, masakan bertumis dan sebagainya.
MENTEGA
image via wonderhowto.com
Diperbuat daripada lemak haiwan iaitu lemak susu.
Berwarna lebih pucat berbanding marjerin.
Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.
Mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air.
Cara penyimpanannya adalah perlu disimpan di dalam peti sejuk.
Mempunyai aroma yang lebih harum dan enak berbanding marjerin.
Sesuai digunakan untuk memasak makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, biskut, pastri dan sebagainya.
TIP GUNA MARJERIN DAN MENTEGA DALAM PEMBUATAN KEK DAN BISKUT DARI PAKAR
Bila dah tahu kandungan serta fungsinya, pasti anda tertanya-tanya, bahan manakah yang paling sesuai digunakan dalam penghasilan kek dan biskut. Ini penjelasan dari Puan Tengku Ariza, pemilik riezthelicious; pakar dalam pembuatan aneka kek, biskut dan pastri.
Puan Tengku Ariza
KEGUNAAN
Ramai yang tertanya tanya, bila masa kita nak gunakan mentega? Bila pulak nak gunakan majerin? Bila pula kena guna mentega campur dengan majerin?
Ok senang je, kalau nak buat biskut atau kuih yang teksturnya kering dan garing tetapi lembut, gunakan mentega. Selain teksturnya lebih bagus, aromanya pun lebih harum. Kalau tak percaya cuba sapukan roti dengan mentega dan satu lagi dengan marjerin. Anda makan dan nilailah sendiri mana yang lebih sedap dan wangi.
Kalau dalam suhu bilik, mentega mudah mencair sedangkan marjerin tetap stabil. Jadi anda sendiri boleh agak kenapa biskut yang dibuat berasaskan mentega lebih lembut berbanding menggunakan marjerin.
Lain pula cerita kalau anda nak buat kek, memang Kak Riez galakkan untuk guna mentega berbanding marjerin. Ia akan meyumbang kepada tekstur, rasa dan appearance kek tersebut. Kalau nak buat kek dan tetap nak guna marjerin, tambahkan sedikit cake emulsifier agar hasil kek lebih cantik.
TIPS DARI KAK RIEZ:
Semasa menggunakan marjerin untuk menumis atau membuat kuih kering , jangan tambah garam kerana rasa marjerin tu sendiri dah masin .
Mentega sangat mudah tengik , jadi perhatikan dengan teliti tarikh tamat tempoh yang dinyatakan pada bungkusan.
Simpan mentega atau marjerin dalam tempat sejuk dan tidak terkena matahari secara langsung.
Untuk membuat kek yang bertekstur sempurna , campurkan mentega dan marjerin dengan perbandingan 1:1 . Hasilnya, kek akan lebih enak, harum, dan lembut.
INFO: Puan Tengku Ariza adalah pengasas dan pemilik Riezthelicious yang merupakan sebuah kafe yang beroperasi di Kota Bharu Kelantan. Tengku Ariza juga pakar dalam penghasilan pelbagai jenis kek, biskut serta manisan dan terkenal dengan produk Kek Buah yang enak.
Pernah makan kek dari buah-buah tempatan. Kalau belum nah ini 3 resepi berasaskan nangka,labu dan keladi. Resepi ni diilhamkan oleh 2 chef berpengalaman dari Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor iaitu Chef. S.T Gana dan Chef Suriani Yup.
Lebih hebat lagi ada rempah ratus dalam ramuannya. Cuba jangan tak cuba.
1.KEK NANGKA MOUSSE REMPAH KAYU MANIS & JINTAN MANIS
BAHAN-BAHAN :
Bahan untuk ‘filling’ mouse :
335 ml susu segar
2 biji telur
117 gm gula halus
25 gm gelatin
335 gm krim putar
Bahan untuk puri nangka :
300 gm nangka yang telah direbus
100 gm gula aising
5 gm kulit kayu manis
Bahan untuk kek span vanilla :
125 ml air
500 gm tepung span vanilla
125 ml minyak masak
500 gm telur
* Kek ini terdiri dari 4 lapisan yang diselang seli, dimulai dengan span vanilla, mousse nangka dituruti span vanilla dan atas sekali mousse nangka.
CARA MEMASAK : Cara masak mousse :
1. Panaskan susu dalam periuk.
2.Di dalam mangkuk berlainan, pukul telur dan gula sehingga hancur.
3. Setelah itu masukkan susu yang telah dipanas ke dalam bekas telur dan gula tadi.
4. Kemudian masakkan sebentar di dalam periuk atas dapur.
5. Kemudian tuang ke dalam mangkuk yang bersi ais di bawahnya (waterbath)
6. Masukkan puri nangka dan gelatin yang telah dicairkan dan gaul hingga sebati.
7. Tuangkan di atas span vanilla, sejukkan dan ulangi proses sehingga habis
Cara masak puri nangka :
1. Masak nangka yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising, jintan manis, bunga lawang dan serbuk kayu manis.
2. Tapiskan dan sejukkan.
3. Puri ini nanti akan dimasukkan dalam mousse
Cara masak span Vanilla :
1. Masukkan kesemua bahan kek kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun.
2. Putarkan hingga kembang
3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati.
4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius, atas dan bawah selama 13- 15 minit. Bila sejuk letakkan span vanila, di lapisan bawah diselang seli dengan mousse nangka.
Saiz hidangan : 1 kg Masa memasak : 30 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Masak atas api dan bakar Keistimewaan : Rasa nangka bersama kayu manis dan jintan cukup enak. Anggaran kos : RM 20
INFO CHEF : Jika anda penggemar mangga boleh sahaja menggantikan nangka. Resipi puri mangga sama seperti resipi nangka.
2.KEK LABU MOUSSE JINTAN PUTIH
BAHAN-BAHAN :
Bahan filling mousse :
335 gm susu
2 biji kuning telur
117 gm gula halus
25 gm gelatin
335 gm krim putar
Bahan puri labu :
300 gm labu yang telah direbus
100 gm gula aising
3 gam jintan putih /dikisar
5 gm bunga lawang /dikisar
5 gm serbuk kayu manis
Bahan kek span vanilla :
125 ml air
500 ml tepung span vanilla
125ml minyak masak
500 gm telur
*Kek ini mempunyai 4 lapis bermula dengan span vanilla dan diselang seli dengan mousse labu, span vanilla dan mousse labu
CARA MEMASAK : Cara masak puri labu :
1. Masak labu yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising,jintan manis, bunga lawang dan serbuk kayu manis.
2. Tapiskan dan sejukkan
Cara masak mousse :
1. Panaskan susu
2. Di dalam mangkuk yang berlainan pukul telur dan gula hingga hancur
3. Setelah itu masukkan susu yang telah dipanaskan ke dalam bekas telur dan gula
4. Kemudian tuang ke dalam mangkuk yang berisi ais di bawahnya (waterbath).
5. Masukkan puri labu dan gelatin yang dicairkan dan gaul hingga sebati.
6. Tuangkan ke atas kek span.Sejukkan dan ulangi proses diselang seli dengan span vanilla hingga habis
Cara masak kek span vanilla:
1. Masukkan semua bahan di atas kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun.
2. Putar hingga kembang
3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati
4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 13- 15 minit
Saiz hidangan : Satu kg Masa memasak : 30 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Panas atas api dan bakar Keistimewaan : Rasa lembut berkrim dan aroma rempah yang wangi Anggaran kos : RM 18
INFO CHEF: Kek mousse sedap dimakan apabila telah didinginkan dalam peti sejuk .
3.KEK KELADI SANTAN AROMA REMPAH RATUS
BAHAN-BAHAN :
Bahan span pandan :
125 ml air
500 gm tepung span vanilla
125 ml minyak masak
500 gm telur
15 gm perasa pandan
Bahan puri keladi :
450 gm keladi yang telah direbus
100 gm gula aising
5 gm jintan manis
5 gm bunga lawang
5 gm buah pelaga
5 gm serbuk kayu manis
Bahan inti kelapa manis :
2 cawan kelapa parut
150 gm gula melaka
1 cawan air
200 gm gula aising
*Inti kelapa manis 100 gm
* Kek ini terdiri daripada 4 lapisan. Lapis bawah span pandan diikuti dengan puri keladi, span pandan, puri keladi dan atas sekali puri keladi bersama kelapa manis.
CARA MEMASAK : Cara masak kek span pandan:
1. Masukkan kesemua bahan kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun.
2. Putar hingga kembang
3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati
4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 13-15 minit
Cara masak puri keladi :
1. Masak keladi yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising, jintan manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih dan serbuk kayu manis.
2. Tapis dan sejukkan. Puri keladi akan diletakkan atas span pandan secara berselang. Cara masak inti kelapa manis :
1. Masak air sehingga mendidih, masukkan gula dan kelapa parut.
2. Masak hingga kering dan pekat
3. Di dalam periuk yang berlainan, masukkan santan dan gula aising. Masak sebentar.
4. Masakkan inti kelapa manis, sapukan atas kek lapisan atas bersama puri keladi.
Saiz hidangan : Setengah kg Masa memasak : 40 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Panas atas api dan bakar Keistimewaan : Enak dengan rasa keladi, dan manis dengan inti kelapa Anggaran kos : RM 18
INFO CHEF :Anda boleh juga menggunakan keledek menggantikan keladi.
RESIPI : CHEF S.T GANA & SURIANI YUP Terima kasih : Hotel Crystal Crown, PJ, Selangor