Bagi para ibu yang bekerja, waktu pulang daripada kerja terus sahaja bergegas ke dapur bagi menyediakan makan malam untuk seisi keluarga. Kelam kabut juga dibuatnya kerana anak-anak pula sedang kelaparan dan hendak segera makan. Jadi, penggunaan pes yang telah pun disiapkan pada hujung minggu sangat membantu. Pes yang sama itu boleh digunakan untuk memasak pelbagai resipi dengan sedikit penambahan bahan lain. Yang pasti, kerja memasak lebih pantas dan menjimatkan masa. Kami kongsikan 10 resipi berasaskan pes yang mudah dan cepat untuk dimasak sebagai panduan. Selamat mencuba!

 

PES SAMBAL

BAHAN-BAHAN

  • 100gm cili kering | Dibuang biji dan rendam
  • 3 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 2.5cm belacan | pilihan
  • ½ cawan kecil air asam jawa
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA-MEMASAK

  1. Semua bahan tersebut dikisar sehingga lumat. Panaskan ¼ cawan minyak masak.
  2. Tumis bahan kisar hingga naik bau dan sedikit garing. Angkat dan sejukkan.
  3. Masukkan ke dalam bekas kedap berkaca (supaya tahan lama). Simpan di dalam peti sejuk. Sedia untuk digunakan.

 

Info chef: Boleh juga dibekukan untuk kegunaan jangka masa yang lama.

 

MASAK LEMAK MERAH AYAM

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN:

  • 4 ketul ayam sederhana besar
  • 2 sudu makan pes sambal
  • 2.5cm kunyit hidup
  • 3 biji cili padi
  • 1 batang serai | ketuk
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 biji buah tomato | potong empat
  • 1 helai daun kunyit | racik halus
  • 2 helai daun limau purut
  • Air secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumbuk lumat kunyit hidup dan cili padi. Renehkan di dalam periuk bersama sedikit air, dua sudu makan pes sambal, daun limau purut dan serai. Kacau perlahan.
  2. Setelah sedikit mendidih, campurkan sedikit air lagi dan masukkan ketulan ayam. Masukkan juga asam gelugur.
  3. Setelah ayam sudah empuk dan masak, masukkan santan pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kacau perlahan. Masukkan hirisan buah tomato.
  4. Setelah kuah sudah pekat sedikit, masukkan racikan daun kunyit. Biar daun kunyit lembut sedikit barulah tutup api dan siap untuk dihidangkan.

 

Info chef: Jika mahu lebih pedas, masukkan lebih cili padi.

 

SAMBAL SOTONG PEDAS

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ekor sotong | potong gelang
  • 1 biji bawang besar | hiris bulat
  • 3 biji bawang merah | racik
  • 1 batang serai | ketuk
  • 3 sudu makan pes sambal
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah yang telah diracik. Setelah agak berbau wangi, masukkan pes sambal dan serai. Tumis dengan api sederhana  hingga naik bau.
  2. Masukkan sotong dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  3. Masukkan hirisan bawang besar dan kacau sebentar.
  4. Setelah agak kuah telah pekat dan sambal pecah minyak, angkat dan hidangkan.

 

Info chef: Juga enak jika dimasukkan sedikit petai.

 

 

IKAN KEMBUNG STIM BERSAMBAL

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 1 ekor ikan kembung bersaiz besar
  • 3 sudu makan pes sambal
  • 1 biji limau kasturi
  • 2 batang bendi | hiris serong
  • 1 biji bawang besar | hiris bulat
  • 1 biji cili merah | hiris
  • Garam  dan gula secukupnya
  • Aluminium foil

 

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Sediakan aluminium foil. Ikan kembung dilumur garam, gula dan perahan limau kasturi. Kemudian masukkan ikan ke dalam aluminium foil.
  2. Masukkan pula pes sambal, hirisan bawang besar, cili merah dan bendi. Balut ikan dengan kertas aluminium foil tadi dan kukus dalam 15 minit. Selepas 15 minit, angkat dan hidangkan

 

Info chef: Enak dimakan bersama nasi panas.

 

 

SAMBAL TUMIS TELUR

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji telur | rebus, buang kulit dan digoreng
  • 3 sudu makan pes sambal
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit hirisan daun ketumbar

 

CARA MEMASAK:

  1. Panas kan minyak di dalam kuali dan tumis pes sambal hingga terbit bau. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  2. Setelah sambal pecah minyak, masukkan telur rebus yang telah digoreng tadi dan gaulkan untuk pastikan semua telur bersalut sambal.
  3. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

Info chef: Boleh tambah hirisan cili padi jika inginkan rasa pedas menyengat.

 

 

ASAM PEDAS AYAM

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 4 ketul ayam | sederhana besar
  • 3 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit daun kesum
  • 1 batang bunga kantan
  • Sedikit daun ketumbar
  • Minyak masak secukupnya
  • Air secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan sedikit serbuk kunyit. Setelah terbit bau, masukkan pes sambal dan bunga kantan. Kacau hingga bau wangi.
  2. Masukkan sedikit air asam jawa dan air untuk kuah. Masukkan daun kesum. Setelah mendidih, masukkan ayam dan masak sehingga ayam empuk. Sesuaikan garam dan gula secukup rasa. Gaul sekata.
  3. Taburkan sedikit daun ketumbar sebelum dihidangkan untuk aroma.

 

Info chef: Jika ingin lebih pedas, boleh tambah sedikit cili giling ketika menumis.

IKLAN

 

 

SAMBAL TAUHU TEMPE DAN KACANG PANJANG

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 8 tangkai kacang panjang |basuh dan potong serong
  • 2 ketul tauhu | potong dadu besar
  • 1 keping tempe | potong
  • 2 ulas bawang merah | hiris nipis
  • 1 ulas bawang putih | hiris nipis
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Bawang goreng secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng tempe hingga agak garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih dan sedikit serbuk kunyit.
  3. Setelah terbit bau, masukkan pes sambal dan kacau hingga naik bau. Masukkan kacang panjang, tauhu dan tempe. Kacau hingga rata, dan masukkan perasa dan garam secukup rasa. Gaul sebati.
  4. Kemudian angkat dan tabur bawang goreng sebelum dihidangkan.

 

Info chef: Tauhu juga boleh digoreng berasingan jika suka.

 

 

SAMBAL BENDI

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 9 batang kacang bendi | basuh dan potong serong
  • 2 sudu makan pes sambal
  • 2 biji bawang merah | racik
  • 1 ulas bawang putih | racik
  • Sedikit ikan bilis
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya
  • Sedikit bawang goreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan.
  2. Masukkan ikan bilis, goreng sehingga garing. Masukkan pes sambal dan kacau hingga naik bau.
  3. Masukkan sayur bendi dan kacau hingga rata. Perasakan dengan serbuk perasa dan garam secukupnya.
  4. Kemudian angkat, taburkan sedikit bawang goreng sebelum dihidangkan.

 

Info chef: Boleh campurkan sayur lain juga seperti kacang jika mahu.

 

 

IKLAN

DAGING KICAP PEDAS

 Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak! 

BAHAN-BAHAN

  • 100gm hirisan daging nipis
  • Minyak untuk menumis secukupnya

 

BAHAN PERAPAN DAGING:

  • 3 biji bawang merah | kisar
  • 2 biji bawang putih | kisar
  • 2.5cm halia | kisar
  • Sedikit jintan manis tumbuk
  • 1 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan pes sambal
  • 1 biji bawang merah | potong bulat
  • 1 biji cili hijau | hiris
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit daun ketumbar

 

CARA MEMASAK:

  1. Daging diperap dengan bahan yang telah dikisar, jintan manis dan kicap manis selama 15 minit. Ketepikan.
  2. Panaskan kuali dan masukkan daging perapan, Setelah air perapan kering meresap ke dalam daging barulah dimasukkan minyak untuk menumis.
  3. Tumis pes sambal bersama daging perapan tadi. Setelah agak naik bau, masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau sebati.
  4. Setelah sambal pecah minyak, masukkan hirisan bawang besar dan cili hijau. Kecilkan api dan biar seketika.
  5. Angkat, tabur sedikit daun ketumbar dan sedia untuk dihidangkan

 

Info chef: Enak dimakan bersama nasi putih.

 

 

NASI GORENG ACACIA TREE KOFFIE

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 1 mangkuk nasi sejuk
  • 3 biji bawang merah
  • 1 sudu makan pes sambal
  • 2 biji bawang putih
  • 1 biji telur
  • Sedikit cili benggala merah dan hijau | potong dadu kecil
  • Sedikit isi ayam
  • Minyak untuk menumis secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak  dan tumis bawang merah, bawang putih hingga naik bau. Masukkan hirisan isi ayam, cili benggala merah dan hijau. Goreng hingga masak.
  2. Selepas itu masukkan pes sambal, pecahkan telur dan kacau hingga sambal pecah minyak.
  3. Masukkan garam dan sedikit gula. Masukkan nasi sejuk dan gaul sebati.
  4. Masukkan telur dan goreng nasi hingga garing.
  5. Hiaskan dengan sedikit udang yang digoreng berasingan bersama hirisan timun dan tomato segar.

 

Info chef: Enak dimakan bersama keropok.

 

 

CENCARU BAKAR PORTUGIS

Satu Pes Sambal Untuk 10 Jenis Resipi. Sedap, Mudah Dan Pantas Dimasak!

BAHAN-BAHAN

  • 1 ekor ikan cencaru saiz besar | belah belakang
  • 2 sudu makan pes sambal
  • 1 batang cili merah | hiris memanjang
  • 1 batang cili hijau | hiris memanjang
  • 3 biji cili padi | hiris kasar
  • Sedikit buah nanas | potong kiub
  • Sedikit daun limau purut | hiris
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya
  • Sedikit minyak masak

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan sedikit pes sambal ke dalam belahan belakang ikan dan lumur pes selebihnya pada ikan bersama serbuk kunyit, garam dan serbuk perasa.
  2. Gris sedikit periuk pan dengan sedikit minyak dan bakar atau gril ikan tadi.
  3. Balikkan ikan agar dibakar sekata. Tambah hirisan cili, nanas, daun limau purut dan tambah sedikit pes sambal lagi dan biar ia masak bersama ikan.
  4. Setelah garing, bolehlah angkat dan dihidangkan.

 

Info chef: Boleh tambah hirisan cili padi jika mahu pedas.

 

Kongsi Resipi: Terima kasih Chef Mohd Faez b Mohd Khalid dan Chef Mohd Noorshafiq b Hairul Nizam, Acacia Tree Koffie, Century Square, Cyberjaya (terima kasih puan Rozel).

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI