
Istimewa buat pencinta lauk pedas, resipi Sambal Ikan Tongkol Pucuk Ubi ini memang wajib anda cuba. Gabungan rasa pedas yang seimbang, aroma wangi bunga kantan dan daun limau purut menjadikan hidangan ini tidak muak walaupun dimakan berulang kali. Ditambah pula dengan isi ikan tongkol yang pejal dan pucuk ubi yang lembut, memang cukup ‘kick’ sampai buat nasi bertambah di pinggan.
Resipi ini sebenarnya sangat ringkas dan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati. Walaupun cara penyediaannya tidak rumit, hasilnya dijamin membuka selera dan sesuai dijadikan menu utama untuk makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga. Jika anda gemar masakan kampung yang pedas dan beraroma, sambal ini memang menepati citarasa.
Keistimewaan Sambal Ikan Tongkol Pucuk Ubi
Sambal ikan tongkol pucuk ubi terkenal sebagai salah satu lauk tradisional yang cukup lengkap dari segi rasa dan tekstur. Rasa pedas daripada cili padi digabungkan dengan masam air asam jawa menghasilkan sambal yang seimbang dan tidak terlalu menyengat.
Pucuk ubi pula memberi rasa lemak dan sedikit pahit yang menyedapkan sambal, manakala ikan tongkol menyumbang rasa manis semula jadi serta tekstur isi yang tidak mudah hancur. Apabila digabungkan bersama bunga kantan dan daun limau purut, aromanya menjadi lebih menyelerakan.
Bahan-Bahan Sambal Ikan Tongkol Pucuk Ubi

Bahan Utama
1 ekor ikan tongkol
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
1 ikat pucuk ubi
2 helai daun limau purut
2 kuntum bunga kantan
1/2 cawan air asam jawa
Garam, gula dan perasa secukupnya
Minyak masak secukupnya
Bahan Kisar
5 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji cili merah
7 biji cili padi merah
7 biji cili padi hijau
1 inci belacan
Cara Memasak Sambal Ikan Tongkol Pucuk Ubi
1. Menyediakan Ikan Tongkol
Gaulkan ikan tongkol bersama garam dan serbuk kunyit hingga rata. Panaskan minyak masak dan goreng ikan sehingga garing di luar. Angkat dan toskan minyaknya. Apabila ikan sudah sejuk, perisikan isi ikan dan buang semua tulang. Ketepikan isi ikan untuk digunakan kemudian.
2. Menyediakan Pucuk Ubi
Celur pucuk ubi di dalam air mendidih sehingga lembut. Angkat, toskan air dan perah sedikit supaya tidak terlalu berair. Hiris halus dan ketepikan.
3. Menumis Sambal
Satukan semua bahan kisar dan kisar hingga halus. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak. Masukkan daun limau purut dan teruskan menumis supaya aromanya lebih naik.
4. Menggabungkan Semua Bahan
Apabila sambal sudah garing, masukkan air asam jawa. Kacau rata dan perasakan dengan garam, gula serta serbuk perasa secukupnya. Masukkan hirisan pucuk ubi dan gaul sehingga sebati dengan sambal.
Seterusnya, masukkan isi ikan tongkol yang telah diperisikkan tadi. Gaul perlahan supaya isi ikan tidak hancur dan sambal meresap sekata.
5. Sentuhan Akhir
Akhir sekali, masukkan hirisan bunga kantan. Lagi banyak bunga kantan digunakan, lagi wangi aroma sambal ini. Gaul-gaul sebentar dan tutup api. Sambal ikan tongkol pucuk ubi kini sedia untuk dihidangkan.
Tip Supaya Sambal Lebih Sedap
Untuk rasa yang lebih padu, pastikan sambal ditumis sehingga betul-betul garing sebelum memasukkan air asam jawa. Jika suka lebih pedas, boleh tambahkan cili padi mengikut tahap kepedasan masing-masing.
Sambal ikan tongkol pucuk ubi ini paling sedap dinikmati bersama nasi putih panas, ulam-ulaman dan telur dadar. Sekali cuba, pasti akan jadi menu kegemaran seisi keluarga.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA dan youtube:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!





