Aroma kari yang harum, muzik santai yang bergema, dan gelak ketawa pengunjung menjadi latar suasana ketika ribuan orang berpusu-pusu ke khemah utama RASA Layan Curry Fiesta. Tetapi sorakan paling gemuruh bukan kerana makanan percuma semata-mata, sebaliknya untuk menyaksikan bagaimana selembar roti jala mampu ditukar menjadi karya seni yang membanggakan negara.
Inilah momen istimewa yang ditunggu-tunggu: Pertandingan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang Gala. Acara kemuncak ini diraikan penuh warna sempena bulan kebangsaan dan Hari Malaysia, anjuran Majalah RASA dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, serta sokongan penaja utama OKI, Seri Pelangi dan Ajinomoto.
Dari Dapur Ke Pentas
Sejak pagi lagi, khemah Roti Jala sudah menjadi tumpuan. Sebanyak 2,000 gulung roti jala diagihkan percuma kepada orang ramai. Ramai yang teruja mencuba sendiri teknik “menjala” di empat stesen dapur khas. Ada yang berjaya buat cantik, ada juga yang ketawa bila adunan tak jadi.
Pengunjung tak lepaskan peluang mencuba sendiri buat roti jala
Ads
Namun menjelang petang, semua mata tertumpu ke pentas utama. Hos membuka tirai acara dengan penuh semangat Malaysia Madani, disusuli ucapan penuh makna oleh Puan Emma Masri, Managing Editor RASA. Barisan juri yang berpengalaman kemudian mengambil tempat, bersedia menilai kreativiti peserta yang membawa roti jala ke tahap seni.
Kreativiti Jalur Gemilang
Seorang demi seorang peserta naik ke pentas, mempersembahkan hasil ciptaan mereka. Dari corak bendera Malaysia, bunga-bungaan patriotik, hinggalah replika 3D makanan tradisi, semuanya diinspirasikan daripada Jalur Gemilang. Penonton bersorak setiap kali karya ditayangkan di skrin LED, seolah-olah berada di sebuah pameran seni, bukan sekadar pertandingan masakan.
Antara karya-karya roti jala dari peserta
Suasana makin meriah apabila MC mengadakan Kuiz Merdeka & Makanan. Kanak-kanak, remaja dan ibu bapa sama-sama berebut menjawab soalan pantas tentang Malaysia.
Saat Mendebarkan – Pengumuman Pemenang
Tibalah saat yang paling dinanti. Sorakan penonton bergema apabila nama-nama pemenang diumumkan.
🥇 Juara – Nadila binti Mohd Suhaimi Karyanya diberi nama “Warna Warni Gemilang Kebudayaan”. Nadila mengambil masa 6 jam dengan 2.5 kg tepung untuk menyiapkan hasil roti jala berinspirasikan kepelbagaian budaya di bawah Jalur Gemilang.
“Saya ambil inspirasi daripada tema kebangsaan – Jalur Gemilang dan budaya kita yang pelbagai. Paling susah bila nak hasilkan bunga-bunga. Warna kena padan betul-betul supaya dekorasi nampak harmoni,” jelas Nadila, yang akhirnya berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM800.
Ads
🥈 Tempat Kedua – Roszalaimi bin Mat Salleh Karya “Wau Bulan Gemilang” pula mengambil masa 3 jam dan menggunakan 3 kg tepung. Wau bulan dipilih sebagai simbol negeri kelahirannya, Kelantan, dengan hiasan bendera-bendera negeri lain melambangkan perpaduan.
“Bahagian paling susah ialah menghasilkan bentuk bendera dengan tepat, terutama logo kecil-kecil tu. Warna pun kena seragam, kalau tidak tak jadi,” kata Roszalaimi yang memenangi hadiah wang tunai RM500.
🥉 Tempat Ketiga – Suzilawati binti Sahari Dengan karya “Aneka Warisan Malaysia”, Suzilawati memulakan kerja seawal 5 pagi. Menggunakan 5 kg tepung, beliau menghasilkan bukan sahaja roti jala patriotik, tetapi juga replika 3D makanan tradisi dan kraftangan Malaysia.
“Cabaran terbesar ialah nak buat replika 3D daripada adunan tepung. Tekstur kena betul-betul dijaga – kalau terlalu kering, ia boleh merekah,” katanya. Hasil ketekunannya itu berjaya melayakkan beliau ke tempat ketiga dengan hadiah RM300
9 peserta yang menyertai Pertandingan. Semuanya hebat-hebat belaka
Ads
Lebih Dari Sekadar Pertandingan
Pertandingan ini bukan sekadar mencari juara. Ia adalah pentas untuk mengangkat roti jala sebagai simbol seni, budaya dan kebersamaan rakyat Malaysia. Dari generasi muda hingga warga berusia, semua sama-sama merasai semangat kebangsaan yang disulam dalam sehelai roti jala.
Pengunjung yang jawab soalan tak pulang dengan tangan kosong
Ketika lampu pentas mulai padam, penonton pulang dengan senyuman. Bukan hanya kerana kenyang menjamu roti jala, tetapi kerana rasa bangga melihat kreativiti rakyat Malaysia. Roti jala bukan lagi sekadar makanan, tetapi telah menjadi kanvas seni Jalur Gemilang yang menghubungkan kita semua.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Masakan dari air tangan sendiri pasti tak sama dengan yang dibeli. Mulanya mungkin tidak mahir namun kelamaan masakan pasti menjadi dan boleh sediakan hidangan yang enak buat keluarga.
Begitulah hasrat Yatie Kitchen, sosok yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia masakan, melancarkan Buku Resipi dan Tip Masakan Edisi 5. Dia berharap dengan adanya buku ini, dapat dijadikan panduan bila memasak. Kering idea nak memasak, buku ini boleh dimanfaatkan bersama.
Yatie menghasilkan beberapa edisi buku resipi dan tip untuk dikongsi bersama anak-anak dan juga follower.
Sudah lima tahun berlalu,perjalanan menulis buku resepi ini bermula dari tahun 2018 hingga 2022. Ini merupakan tahun ke lima Buku Resipi dan Tips Masakan Yatiekitchen dikeluarkan.
Baru-baru ketika majlis ramah mesra dengan penulis ini menyampaikan rasa terharu dengan mereka yang menyokong selama ini. Ribuan terima kasih diucapkan buat mereka yang tidak pernah jemu bertanya tentang masakan dan tip.
“Buku masakan ni ada gambar begini untuk kemudahan pembantu rumah saya yang buta huruf, jadi mudah baginya menyediakan bahan-bahan masakan,” jelas Yatie.
Tambahnya, setiap resipi pada setiap naskhah buku adalah berbeza-beza dan resipi yang dikongsikan di setiap buku resipi ini adalah curahan kasih sayangnya.
“Saya dedikasi buku resipi ini pada ketiga-tiga anak iaitu Danish, Dina dan Dinda. Simpanlah dan gunakanlah sebaik mungkin, jangan kedekut dengan ilmu yang kita peroleh kerana ilmu tidak boleh dibawa mati.
Buku ini juga restu dari suami, dia menjadi juri setiap kali saya memasak, Alhamdulillah saya lulus pada setiap kali saya menghidangkan masakan saya pada suami,”jelasnya.
Buat mereka yang memiliki kesemua koleksi Buku Resipi Yatie Kitchen, pesannya masaklah dengan penuh kasih sayang. Kerana masak dari air tangan sendiri memberi keutuhan rumah tangga dan pengerat kasih sayang.
Eco-Plus Concept Store terbaru mengukuhkan komitmen Eco-shop untuk menyediakan barangan keperluan mampu milik demi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Eco-shop, peruncit barangan rumah mampu milik terkemuka Malaysia,mencapai kejayaan dengan pembukaan kedainya yang ke-300 di NU Sentral, Kuala Lumpur, sempena ulang tahunnya yang ke-21. Penambahan terbaru ini juga merupakan sebahagian daripada pengembangan konsep Eco-Plus oleh Eco-shop, iaitu format kedai yang direka untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik sambil mengekalkan komitmen terhadap menyediakan barangan mampu milik.
Outlet NU Sentral ini merupakan Eco-Plus Concept Store ketiga, selepas pembukaan yang mendapat sambutan di lokasi lain. Konsep ini dibangunkan untuk menawarkan pembeli di kawasan bandar pelbagai barangan rumah, peralatan dapur, produk penjagaan diri, dan snek pada harga tetap eksklusif RM 2.40, RM 6.00, dan RM 10.00 yang hanya terdapat di NU Sentral.
Dengan penekanan kepada kemudahan dan kemampuan, konsep Eco-Plus mencerminkan komitmen Eco-Shop untuk memenuhi keperluan pengguna yang bergerak pantas pada masa kini.
“Pembukaan outlet ke-300 kami ini membawa maksud yang amat bermakna kepada kami. Ia membuktikan kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia yang telah menerima Eco-shop sebagai sumber keperluan mampu milik mereka dalam ekonomi yang mencabar ini,” kata Jessica Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Eco-shop Malaysia.
“Dengan peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan kuasa pembelian keluarga dan individu, kami kekal komited untuk meringankan beban mereka dengan menawarkan produk penting pada harga mampu milik demi kesenangan semua lapisan masyarakat. Selain itu, melalui aplikasi Eco-shop yang kini mempunyai lebih 1.5 juta ahli, kami memberi ganjaran kepada pelanggan dengan faedah yang dapat meningkatkan lagi pengalaman membeli-belah mereka”
Perkembangan pesat Eco-shop di seluruh Malaysia mencerminkan pemahamannya tentang keperluan masyarakat tempatan. Cawangan terbaru mereka di NU Sentral dilengkapi kaunter pembayaran sendiri yang sesuai untuk penduduk bandar yang mengutamakan proses pembelian yang lebih pantas dan cekap. Dengan lebih 10,000 produk yang tersedia, pembeli boleh mendapatkan segala yang diperlukan dengan mudah, daripada makanan dan kelengkapan cucian, kepada alat tulis dan penjagaan haiwan peliharaan.
Penantian penuh debaran selama tujuh minggu akhirnya sampai ke penghujung. Pada malam ini tuah ternyata milik Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman (Qila), gadis manis yang berasal dari Kelantan dan juga yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari UiTM yang telah dinobatkan sebagai juara sulung pencarian Ratu Hijabista.
Manakala naib juara pula telah dimenangi oleh Qistina Sofea Abdul Aziz (Tina) yang juga merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Undang-Udang dari UiTM.
Selain gelaran juara dan naib juara, dua gelaran sampingan juga telah diberikan kepada peserta pilihan. Anugerah ‘Ratu Inspirasi Safi Hijabista’ telah diberikan kepada Nurfiyanti Afrina Roslan(Fiffy Afrina).
‘Ratu Favourite’ pula disandang oleh Shamellya Norazizi (Mellya). Pemilihan adalah berdasarkan undian awam di laman web rasmi www.hijabista.com.my
Juara ‘Ratu Hijabista’ membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang. Naib juara pula membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan selempang. Sementara itu, pemenang gelaran ‘Ratu Inspirasi Safi Hijabista’ pula memenangi wang tunai RM3,000 beserta trofi dan selempang. Manakala ‘Ratu Favourite’ pula menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan selempang.