
Sebentar tadi menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan beberapa kelonggaran yang boleh dinikmati oleh rakyat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 Mac yang lalu.
Kerajaan akan membuka semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dengan kawalan serta menguatkuasakan standard operasi (SOP) yang ketat.
Salah satu kelonggaran yang pastinya melegakan ramai adalah Perdana Menteri mengumumkan pengusaha restoran, kedai-kedai dan gerai dan trak makanan boleh kembali beroperasi mulai 4 Mei ini namun dengan bersyarat.
Pengusaha- pengusaha restoran dikehendaki mengamalkan langkah pencegahan dan mematuhi peraturan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana SOP ini hendak dilaksanakan.
“Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi dan membeli stok barang-barang mentah,” katanya sempena Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen di sini hari ini.
Dalam memastikan keselamatan pelanggan, Muhyiddin mengingatkan agar meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu meja dengan meja yang lain.
“Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.
“Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.
“Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan,” katanya.
Walaubagaimanapun, majlis-majlis seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sebarang bentuk perhimpunan yang melibatkan ramai orang adalah tidak dibenarkan.

Perjalanan rentas sempadan juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Perjalanan rentas negeri untuk balik kampung masa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Berikut teks penuh ucapan Perdana Menteri.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isu Roti Dicemari Najis Tikus. Ini Jawapan Dari Pihak Gardenia

Beberapa hari yang lalu, tular di media sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi teks mesej seperti Whatsapp akan beberapa keping gambar yang menunjukkan Roti Gardenia yang dikatakan dicemari najis tikus.
Pantas bertindak terhadap isu yang timbul, maka pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd telah mengambil tindakan yang sepatutnya. Berikut adalah maklumbalas rasmi dari pihak terbabit terhadap isu ini.
ROTI GARDENIA DENGAN ‘NAJIS TIKUS’
Gambar seperti di atas telah dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook mendakwa bahawa terdapat najis tikus pada roti Gardenia Original Classic Jumbo yang dibelinya.
Gambar tersebut juga telah tular di media sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi teks mesej seperti Whatsapp.
Kami ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan bahawa ia merupakan dasar dan polisi Gardenia untuk memberikan yang terbaik dari segi kualiti perkhidmatan dan produk.
Kami telah berkembang dengan mengamalkan dasar ini sebaik mungkin dan bertekad untuk terus berbuat demikian.
Oleh itu, beberapa langkah telah diambil dan kami ingin berkongsi perkembangan tentang perkara ini.
Setelah kami perolehi produk yang didakwa terdapat najis tikus itu daripada pengadu, keputusan awal hasil daripada siasatan oleh pakar dalaman syarikat mengesahkan bahawa bendasing tersebut bukan najis tikus dan ianya merupakan serpihan doh yang telah melalui dua kali proses pembakaran.
Kami juga telah mengambil langkah menghantar sebahagian daripada sampel yang tercemar itu ke SIRIM dan Pakar Kawalan Serangga Perosak untuk ujian kenalpasti dan untuk mengesahkan bahawa bendasing itu bukan najis tikus dengan persetujuan daripada pengadu.
Selain daripada itu, kami juga telah menjemput pengadu untuk datang melawat ke kilang Gardenia untuk melihat dengan sendiri kilang dan proses pembuatan roti dijalankan. Pihak kami sedang menunggu pengesahan tarikh lawatan tersebut daripada beliau.
Dengan ini, kami ingin menyeru kepada semua netizen untuk mengambil masa dan menilai keadaan/fakta untuk diri mereka sendiri. Kongsikan maklumat ini kepada rakan-rakan yang berkongsi mengenai roti viral ini di laman sosial.
Sekiranya anda perlukan maklumat lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi wakil Jabatan Pemasaran di talian 03-5542 3228 ( Lavinia Anthony/ Mok Siew Lin/ Norhayati Md Zain)
Terima kasih.
Daripada,
Pihak Pengurusan
Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd
Covid-19: Fikir Positif, Terus Berdoa & Jangan Putus Berharap – Chef Suhaili

Jika sebelum ini, RASA pernah memaparkan kisah suami Chef Suhaili yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL disebabkan jangkitan virus Covid-19. Kondisi Encik Herwin pada ketika itu sangat kritikal dan bergantung pada bantuan mesin pernafasan. Malah buah pinggangnya juga mengalami kerosakan serta terpaksa menjalani rawatan dialisis. Cerita ini juga pernah dikongsi oleh selebriti Datuk Aznil Hj Nawawi (Paknil) yang menitip rasa hiba di laman sosial miliknya.
Alhamdulillah, puji kehadrat Ilahi dengan berkat doa yang tidak putus dari seluruh rakyat Malaysia, sehingga kisah ini ditulis (1 April) kondisi beliau semakin pulih dan tidak lagi bernafas menggunakan alat bantuan.
Malah beliau juga telah dipindahkan dari unit ICU ke wad pengasingan biasa. Ujian yang dijalankan juga menunjukkan Encik Herwin telah negatif dari Covid-19. Berita ini tentunya sangat melegakan terutamnya bagi isteri beliau; Chef Suhaili dan anak-anak.
Namun, disebalik rasa syukur dengan berita suami dan anak-anak, Chef Suhaili pula disahkan positif Covid-19. Luluh rasa hati namun ada hikmah disebaliknya.
Menerusi hantaran di laman sosial FB beliau hari ini, Chef Suhaili menceritakan serba sedikit kisah beliau semalam sewaktu diambil ambulan ke hospital. Malah turut menitipkan pesanan buat rakyat Malaysia supaya positif dalam menghadapi musibah ini.
Pasti hiba hati seorang ibu untuk meninggalkan anak-anak di rumah terutamanya jika si bongsu masih kecil dan belum mengerti apa-apa.
Tiada siapa yang mahukan diri mereka diuji sebegini. Bagi yang tepilih, ia adalah ujian yang harus dihadapi dengan tenang. Bagi yang terkecuali, bantulah kerajaan dan para petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini dari terus merebak.
PANDUAN YANG PERLU DIAMALKAN DEMI MENGHAPUSKAN COVID-19
Selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, pelbagai langkah pencegah lain juga dilakukan. Antaranya ialah:
1. Kenal pasti simptom-simptom Covid-19 & amalkan langkah-langkah pencegahan. Cegahan di peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa insan tersayang.
2. Ikuti panduan tindakan perlu buat selepas pulang dari membeli makanan & barangan terutamanya di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasaraya dan sebagainya.
3. Lindungi golongan berisiko tinggi. Bukan hanya pada ahli keluarga kita sahaja tetapi pada semua masyarakat Malaysia.
Insyaallah, kita mampu mencegahnya. Doakan!
Kredit info: FB Chef Suhaili & Kementerian Kesihatan Malaysia
Teroka Melbourne Dengan Penuh Keterujaan Bersama AirAsiaX

Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne dengan senarai tempat lawatan yang mengujakan membuatkan hati tidak sabar untuk berada di sana. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Usai kapal terang sudah berada di udara, perut seperti terus meminta-minta. Apa lagi, Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne dan pelbagai menu dengan pelbagai citarasa.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sebahagian daripada kami membeli kad sim telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi. Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari lapangan terbang, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginner kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari di Jack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas. Seafood yang segar, sajian kupan dan hidangan fish and chips yang enak dimakan dengan penuh berselera.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Dibawa melihat proses asapan yang dilakukan, kami kemudianya dihidangkan dengan smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut.
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier.
Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki feri menuju Seorrento.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
Terlihat juga deretan Jeti-jeti kapal mewah membarisi pantai yang semestinya dimiliki oleh pemilik rumah-rumah mewah ini. Satu pengalaman berbeza kerana selama ini mungkin kita hanya menonton filem atau melhat gambar sahaja. Ya , pengalaman indah untuk dijadikan memori. Kawasan perumahana mewah itu bak resort itu kami tinggalkan untuk ke satu lagi destinasi menarik yang menghidangkan pemandangan indah. Kami kemudiannya ke Penisular Hot Spring dan seterusnya bermalam di Rye Hotel. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalaman yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat dan esoknya kembali ke Kota Melbourne.
SERONOKNYA CUCI MATA DI SOUTH MELBOURNE MARKET
South Melbourne Market. Sudah berusia lebih 150 tahun, South Melbourne Market menjual pelbagai barangan, makanan, sayuran, bunga, buah-buahan, ikan , daging dan hasil laut yang segar. Bukan itu sahaja, di sini juga menempatkan pelbagai restoran dan tempat makan termasuk makanan halal. Pilihan pakaian, cenderahati dan pelbagai hasil seni juga boleh didapati di sini.
Orang seperti saya memang sangat teruja kalau dibawa ke tempat seperti ni. Boleh leka menikmati barangan yang dijual. Seketika saya leka melihat deretan pelbagai jenis cheese yang dijual. Dan dalam kunjungan ini kami juga diberi peluang merasa pelbagai jenis cheese. Best sangat! Kami juga diberi mencuba tiram segar. Sayangnya saya bukan penggemar tiram. Kami juga menikmati makan tengah hari di salah satu restoran di sini. Dan semestinya halal untuk orang Muslim.
Dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang pada hari Rabu, pada hari Jumaat pula ditutup jam 6 petang manakala ditutup jam 4 petang pada hari bekerja yang lain. Jadi pastikan jadual percutian anda disusun dengan baik kerana market ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Oh ya, saranan saya, jangan lupa mencuba croissant terbaik di Agathé Pâtisserie dan datang awal sebab kena beratur panjang. Sumpah sangat sedap!
Esoknya kami ke Philip Island, satu lagi lokasi yang tidak boleh dilepaskan. Jika sudah pasang angan-angan mahu menyaksikan perarakan penguin terkecil di dunia, anda mesti masukkan Philips Island dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Dua jam perjalanan dari kota Melbourne tidak akan terasa lama kerana dihidangkan dengan permandangan indah sepanjang jalan.
Dalam perjalanan kami singgah Caldermeade Dairy . Ladang lembu tenusu yang turut dilengkapi dengan kafe dan mini market yang menjual pelbagai hasil tenusu. Kami sempat dibawa melawat ke kawasan peliharaan lembu dengan menaiki ‘truck’ khas.
Selain itu turut disediakan pelbagai aktiviti seperti memberi makan binatang peliharaan. Aktiviti ini memang sesuai bagi yang travel bersama anak-anak. Sempat juga mencuba susu coklat yang dijual dan memberi beberapa cenderahati untuk dibawa pulang.
Philip Island, Pulau perlindungan terletak di pantai selatan Australia. Nikmati keindahan pelbagai aktitivi di pulau ini termasuklah menyaksikan penguin parade, nobbies, anjing laut dan menaiki helicopter sambil menyaksikan keindahan Philip Island dari udara.
PHILLIP ISLAND CHOCOLATE FACTORY
Kilang Coklat yang terkenal di pulau ini. Mempunyai lebih dari 190 jenis coklat pelbagai rasa, Visit Panny’s Amazing World of Chocolate juga mempunyai pameran informasi mengenai penghasilan koko . Kita juga dapat dapat menyaksikan bagaimana pembuatan coklat, anak-anak dapat mempelajari sejarah pembuatan coklat sambil bermain pelbagai permainan yang disediakan. Kalau dah sampai ke sini tak lengkaplah kalau tak mencuba hot chocolate yang dijual di kafenya. Sedap!
Melengkapkan perjalanan di sini, kami berangkat pulang sambil melalui kawasan perkampungan dan ladang-ladang tenusu yang luas dan menghijau. Seketika kami singgah di bass coast trail, wonthagei Railway dan Wonthagi Wind Farm dan menikmati makan tengahari di Kilcunda.

GELATO DALAM SUASANA DINGIN DAN HUJAN GERIMIS
Bertolak pulang ke Melbourne kami singgah pula menikmati ais krim dan gelato di Kori Icekrim di Howthorn. Kafe gelato milik Joane Yeoh anak kelahiran Malaysia ni menyediakan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai. Joane Yeoh turut di senaraikan sebagai upcoming chef di bawah usia 30 tahun oleh MFWF 2022. Kami sempat mencuba pelbagai jenis gelato dan aiskrim. Hujan gerimis dan udara sejuk tidak dihiraukan kerana gelato yang mendapat inspirasi dari manisan Jepun ini benar-benar enak. Selesai menikmati aiskrim dan gelato kami pulang ke hotel penginapan. Malam terakhir di Melbourne dalam hujan gerimis, kami menikmati sepenuhnya pemandangan malam. Berlari membeli cenderahati sebelum kedai tutup. Menghabiskan wang kecil dengan membeli coklat dan menikmati malam malam citarasa Thai.
Kata orang teman travel yang tepat sangat penting untuk mewujudkan suasana ‘meriah’sepanjang percutian. Carilah teman, rakan dan sahabat yang betul untuk percutian yang panjang apa lagi jika memerlukan kita travel dari satu tempat ke tempat yang jauh.
Terima kasih sahabat-sahabat media, Anis, Shaz,Lissa, Martin dan Carmen. Amzar dan Ariff dari AirAsia, Yih Ling dari Go Communication dan orang paling penting dan Jenny dari Visit Victoria yang menjadi teman travel paling best sepanjang percutian kami.
Terima Kasih AirAsia X yang menyediakan penerbangan selesa dan Visit Victoria yang menyediakan iternary yang sangat menarik. Untuk anda yang ingin terbang ke Melbourne, kini AirAsia X menyediakan penerbangan setiap hari. Pilih sahaja hari yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan yang pasti anda bakal menikmati percutian yang penuh kenangan.
Jika ingin mencari restaurant halal layari https://www.visitmelbourne.com/regions/melbourne/eat-and-drink/restaurants/halal-restaurants
Catatan: Ida Abd Aziz