Resipi Popia Basah Paling Senang & Tak Renyah, Memang Sedap!

Share

Kalau pergi pasar malam, pasti ramai yang suka beli Popia Basah lagi-lagi kalau intinya banyak dan dituang dengan sos yang pekat yang sedap. Memang sangat menyelerakan. Sebenarnya, kita boleh buat sendiri menu ini di rumah. Sesuai untuk hidangan minum petang bersama keluarga. Resipi yang dikongsikan Roshida Shida ini, lengkap dari cara buat kulit popia, sos dan juga inti dalam popia. Jom kita buat!

CARA BUAT POPIA BASAH YANG SEDAP & KULIT POPIA HOMEMADE

BAHAN KULIT POPIA:

2 cawan tepung gandum – beli online di sini
1 biji telur putih
¾ cawan air
2 sudu makan cuka
Secubit garam

CARA MEMBUAT KULIT POPIA:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk, gaul sebati. Boleh guna tangan atau sudu. Jika adunan nampak pekat, boleh tambah air sedikit.

2. Tutup dan perap 30 minit. Selepas ½ jam, panaskan kuali leper atau non stick, ambil sejemput adunan dan lengserkan di atas kuali nipis-nipis.

3. Biar seketika, kemudian angkat perlahan dengan menarik kulit popia dari tepi. Ulang proses ini hingga habis.

4. Kulit popia ni boleh letak bertindan ya sebab dia tak melekat.

BAHAN SOS POPIA:

12-14 cili kering | buang biji, rebus & toskan kemudian dikisar halus dengan 1 cawan air – beli online di sini
1 biji bawang besar –beli online di sini
5 ulas bawang putih – beli online di sini
2-3 sudu gula perang – beli online di sini
1 sudu gula pasir
1 sudu kicap manis
Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK SOS:

1. Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus.

2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.

3. Masukkan cili dan masak hingga pecah minyak.

4. Kemudian, masukkan gula perang, gula pasir dan juga kicap manis.

5. Masak hingga pekat menggunakan api perlahan. Tambah garam secukupnya.

BAHAN INTI POPIAH:

Sengkuang (jika suka, hiris nipis @ memanjang)
Tauge | bersihkan
½ biji kubis | racik halus
1 biji lobak merah | hiris memanjang
Segenggam udang | buang kepala & ekor, potong kecil
½ labu bawang besar | cincang halus
2 ulas bawang putih | cincang halus


Udang kering (optional – yang ni saya tambah sendiri, tumbuk halus)
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK INTI:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Guna api sederhana.
2. Masukkan kubis dan lobak merah. Kacau hingga layu.
3. Masukkan tauge, sengkuang, udang kering dan garam. Kacau sebati dan rasa garamnya (masak sekejap je bahan inti).

BAHAN TABUR:

Kacang tanah | disangai, buang kulit & tumbuk
Udang geragau kering | disangai & tumbuk halus
Bawang goreng

CARA SEDIAKAN:

Sediakan kulit popia dan sapukan sos sedikit, masukkan inti. Gulung kemas. Buat sampai habis. Curahkan sos di atas popia tadi, tabur dengan bahan tabur. Siap.

Kredit resipi & foto: Roshida Shida

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

 

Published by
Elina