Bagi sesetengah orang, apalah sangat nak dibuat tentang masak nasi putih. Hanya sekadar nasi putih kan. Namun pernah terfikir tak, kenapa bila kita makan nasi putih di kedai, rasa lagi sedap?
Tapi bagi Ahmad Shukri Amiruddin, memasak nasi putih ini ada petuanya untuk bagi lagi sedap. Bukan masak begitu saja.
Menurutnya, inilah rahsia besar kedai-kedai makan dan para tukang masak bila masak nasi putih.
Selama 25 tahun saya belajar, bekerja, bergelumang dan mencari rezeki melalui perniagaan makanan. Malam ini saya akan bagi ilmu yang paling penting sekali dalam bidang masakan.
Saya nak kongsikan ‘ilmu pengasih’ yang digunakan oleh kebanyakan kedai-kedai nasi campur dan juga nasi lauk kenduri kawin. Kadang-kadang bila kita makan nasi di kedai memang sedap. Lepas tu orang kata kedai tu pakai jin, pakai bomoh, pakai hantu dan macam-macam lagi.
Perkongsian ilmu pangasih untuk anda. Anda boleh gunakan ilmu ini supaya suami anda lebih sayang sebab masak lagi sedap. Setiap kali masak nasi putih, bacalah Bismilah dan selawat masa basuh beras. Ikutlah berapa kali nak dibaca.
Masa nak masak nasi, masukkan sedikit garam dan minyak dalam nasi yang nak dimasak. Masukkan daun pandan. Kena pandai agak-agak supaya tak terlalu masin dan berminyak. Sukatan air nasi adalah seperti biasa. Apa tujuannya?
Minyak berfungsi supaya nasi tidak melekat dan sentiasa berderai. Garam pula untuk bagi nasi putih ada ‘rasa’ bila kita makan begitu saja atau dengan lauk berkuah. Daun pandan supaya nasi wangi satu dapur bila dah mendidih.
Kalau masak nasi selain nasi putih: nasi tomato, nasi minyak dan lain-lain, ikutlah cara ini beserta masukkan 3 atau 4 ketul gula batu bertujuan mengilatkan nasi supaya lebih cantik.
Kuah kacang memang sedap dimakan dengan nasi impit, cucur udang, ketupat dan sate. Namun ramai yang mengakui kuah kacang yang dimasak cepat basi. Jadi macam mana nak masak kuah kacang yang tahan lama?
Maklumlah, kuah kacang menggunakan santan. Masakan bersantan selalunya memang cepat basi. Namun kalau betul cara masaknya, boleh tahan lama dan lambat basi.
Ada pelbagai petua yang boleh anda cuba. Ini petua yang dikongsikan oleh Puan Rabiatun Adawyah.
Tips masak kuah kacang yang tahan lama
1) Kacang yang disangai perlu kena betul-betul masak.
2) Apabila tumis cili, pastikan cili ditumis betul-betul masak juga. Memang ambil masa. Hasilnya kuah kacang yang dihasilkan akan lebih tahan lama dan rasa yang sedap. Insya Allah.
3) Apabila dah masukkan santan, kena pastikan santan betul-betul masak juga. Baru boleh masukkan kacang supaya kacang tadi tak mendap dan terpisah.
4) Selepas masukkan kacang yang dikisar, kena selalu dikacau supaya kacang tadi tidak cepat hangus di bawahnya.
5) Dari segi rasa pula, kena cukup masin, manis dan masamnya. Insya-Allah kuah kacang korang akan lebih sedap apabila dipanaskan.
Kredit gambar & petua: Puan Rabiatun Adawyah Mohamed Din
Peminat buah-buahan tempatan pasti suka makan buah tersebut bersama colek. Salah satu colek yang sedap adalah serbuk colek versi Thailand. Nak nikmati kepuasan makan buah mempelam muda cecah dengan serbuk colek, cubalah buat serbuk colek ala Thai ni. Sememangnya sedap. Rasanya pedas, manis dan masin saling melengkapi. Sekali colek, nak lagi!
CARA MEMBUAT
1. Sangai semua bahan kecuali gula.
2. Selepas garing semua bahan itu, sejukkan dan kisar kering.
3. Kalau ikut resipi asal, bahan garing ini dikisar sekali dengan gula. Tapi boleh juga guna gula pasir yang halus.
4. Terus campur bahan garing kisar dengan gula dalam bekas asing dan gaul sebati.
TIP
1. Tambah garam kalau tak cukup masin.
2. Lebihkan cili kering jika suka lebih pedas.
3. Yang paling penting pastikan bahan-bahan sangai tu sejuk dahulu, kemudian baru dikisar. Kalau tak nanti tak cantik kejadiannya.
Nak dapatkan peralatan memasak yang baru? Semuanya menarik, jom klik link ni untuk cuci mata. Mana tahu ada yang berkenan kan? Klik sini (saya nak beli periuk baru la)
Bagi penggemar sajian ayam pencen, ayam tua atau ayam kampung, pasti dah faham mengenai proses penyediaan hidangannya yang agak memakan masa. Maklumlah, dagingnya sedikit liat. Walaupun begitu, isi ayam ni masih boleh dilembutkan dan memang sedap jika dimasak rendang, masak lemak cili api dan sebagainya.
Cara nak melembutkan isi, salah satunya ialah dengan cara merebus dengan beberapa bahan yang boleh digunakan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses ini. Antara yang boleh dicuba ialah:
PETUA 1: Tumbuk 1/2 sudu teh lada hitam bersama dengan sedikit halia. Masukkan ke dalam periuk bersama ayam tua dan air. Rebus hingga lembut.
PETUA 2: Masukkan beberapa keping tempurung kelapa ke dalam periuk ketika merebus ayam tua. Pasti ayam akan cepat empuk.
PETUA 3: Masukkan seruas tebu ke dalam periuk ketika memasak ayam tua. Ia akan membantu isi ayam cepat lembut.
PETUA 4: Bungkus satu sudu makan biji selasih menggunakan kain kasa dan masukkan ke dalam periuk ketika memasak ayam tua. Hasilnya ayam akan cepat empuk.
PETUA 5: Ketika merebus ayam tua, masukkan daun pisang abu yang telah dicarik-carikkan ke dalam periuk.
PETUA 6: Potong ayam tua kepada beberapa bahagian. Rebuskan bersama air kelapa sehingga empuk. Toskan airnya dan boleh dimasak seperti biasa. Ayam bukan sahaja cepat empuk malah lebih sedap.
PETUA 7: Masukkan beberapa potongan pangkal daun nanas (warna kuning) ke dalam periuk ketika memasak ayam tua. Keluarkan apabila ayam telah empuk.
PETUA 8: Kisar sepotong buah nanas. Lumurkan pada ayam tua dan perap selama setengah jam. Bersihkan dan masak ayam seperti biasa.
PETUA 9: Masukkan daun nangka ke dalam masakan ayam. Masak bersama ayam sehingga ayam empuk .
PETUA 10: Masukkan beberapa batang sudu logam ke dalam masakan ayam. Ayam akan empuk lebih cepat. Malah cara ini juga sesuai digunakan untuk mengempukkan daging.