
Ni dia pencuci mulut yang sedap sungguh rasanya. Pisang dibalut pulut. Jom tengok resipi yang dikongsi Zulhaijah Mamat ni. Simple aje bahan ramuannya.
Warna tu boleh apa colour pun.
PULUT PISANG @ PULUT BANGKOK

.
BAHAN-BAHAN :
- 1/2 kg beras pulut
- 6-7 biji pisang *empunya resipi suka guna pisang nangka
- Santan cair secukupnya
- Kelapa parut muda
- 1cawan gula *boleh dikurangkan tengok byk mana kelapa parut..
- Secubit garam
- Plastik @ daun pisang | untuk balut , tali
- Pewarna Hijau
CARA MEMASAK :..
1. Pulut cuci dan rendam, bubuh pewarna hijau. Biarkan sejam dua.
2. Kukus pulut,letak santan cair. Biar nampak tenggelam pulut, masukkan secubit garam dan kukus sampai masak.
3. Pisang kukus sekejap sampai separuh masak sahaja.
4. Bila pulut hampir sejuk, mula lah gulungkan pisang dalam pulut. Diikuti proses membalut dan membungkus. Gunakan kreativiti sendiri.

.

.
5. Kukus balik sekejap utk memantapkn pulut..
6. Biar sejuk baru boleh dipotong.
7. Gula dimasak dgn hanya sedikit air..campur secubit garam..
8. Bila gula hancur..angkat dan gaulkan dgn kelapa parut..
9. Gaulkan kelapa parut dgn pulut pisang yg dipotong tadi..
kredit: zulhaijah mamat
FB : Resepi Hangat
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Lamb Shank Beriani Resipi Istimewa Mizie Roslan ‘Meletop’ di Rasa TV.

Rancangan Rasa Instafamous episod kelima kali ini menampilkan Muhammad Termizi Roslan atau lebih dikenali sebagai Mizie Roslan sebagai tetamu undangan. Tinggi lampai dan berpewatakan menarik, siapa sangka jejaka berusia 28 tahun ini seorang yang pandai memasak.

Tatkala ditanya mengenai permulaan cintanya terhadap dunia masakan ini, menurut Mizie dunia masakan bukanlah suatu yang asing baginya. Malah beliau mula belajar memasak seawal usia 9 tahun lagi.
Waktu kecik saya selalu tolong ibu dan nenek di dapur. Jadi bila selalu sangat tengok mereka masak, dengan sendirinya minat tu datang. Ditambah pula dengan sokongan dari ayah dan minat Chef Wan dari zaman sekolah sehingga sekarang. Cita-cita asal saya sebenarnya ingin menjadi seorang juruterbang, ujar Mizie.
INSPIRASI ANAK MUDA
Segala kejayaan yang diperolehi bukannya datang bergolek. Semuanya bermula dari bawah. Menjadikan arwah ayah sebagai inspirasi kerana beliaulah yang sangat banyak memberi sokongan dan galakan supaya mendalami bidang ini. Ditambah dengan berkat, kesungguhan dan minat yang mendalam, akhirnya bidang masakan telah melonjakkan anak muda kelahiran Kuala Sanglang, Kedah ini sebagai seorang usahawan yang berjaya.

Kerjaya saya bermula sebagai pencuci pinggan di hotel namun dek kerana minta memasak, saya telah curi-curi memasak di dapur. Penyelia saya dapat kesan bakat dan minat. Maka dari situ saya melangkah setapak demi setapak hingga berjaya bergelar seorang tukang masak. Ilmu dalam bidang ini banyak saya perolehi dari pengalaman saya bekerja di hotel dan restoran sebelum ini, tambah Mizie lagi.
MIZIEROSLAN DELICIOUS PILIHAN PARA VIP
Kini Mizie Roslan boleh tersenyum bangga dengan kejayaan yang dimiliki. Beliau mempunya kilang di bawah nama Mizieroslan Delicious yang mengendalikan perniagaan bakeri dan catering, food & beverages di bawah satu bumbung yang beroperasi di Ampang, Kuala Lumpur.
Bagi anda yang follow IG Mizie Roslan, pastinya kagum dengan pelbagai hasil air tangan anak muda ini. Semuanya kelihatan sedap dan mengagumkan. Jangan tak tahu, walaupun mempunyai pekerja tetapi anak muda ini lebih suka menghasilkan sendiri tempahan-tempahan pelanggan.
Patutlah produk-produk Mizieroslan Delicious ni digemari ramai dan menjadi pilihan golongan VIP dan selebriti tempatan.
Terasa nak cuba masakan Mizie Roslan? Istimewa buat semua, dalam Rasa Instafamous kali ini, Mizie telah berkongsi tiga resipi kegemaran beliau yang tentunya sangat sedap dan mudah untuk dicuba di rumah. Selamat mencuba!



















MAJALAH RASA KINI DI KACA TELEVISYEN ANDA
Menerajui majalah berasaskan masakan selama 17 tahun cukup mendewasakan Majalah Rasa. Menjadi Majalah Masakan No.1 di Malaysia semestinya banyak cabaran yang dilalui. Bermula bagai anak kecil yang baru perlu berlari mengejar pesaingnya, Rasa berjaya meletakkan namanya sebaris dengan majalah yang sedia ada. Ia kemudian terus menjadi unik dengan perkongsian resipi yang konsisten setiap bulan. Lebih cemerlang apabila Rasa tambil dengan Edisi Bumper untuk 3 bulan musim perayaan.
Lima tahun lalu, rasa mengorak langkah berjinak-jinak dalam dunia digital sehinggalah tahun lalu secara agresif beraksi laman sesangan dan di pentas social media selari dengan perkembangan dunia digital. Rasa sekali lagi menempatkan dirinya menjadi Portal Masakan No. 1 di Malaysia sehingga hari ini.
Dan Bermula 30 Julai 2018, rasa melangkah setapak lagi dengan Rancangan Memasak. Memulakan langkahnya Tv nya dengan membawa Instafamous yang mempunyai pengikut ratusan ribu di Instagram. Tanpa menampilkan pengacara cantik manis, Rasa Instafamous meniti dari bibir ke bibir peminat program masakan di televisyen. Aunty Aini yang bersahaja dan tanpa kekok berbual sambil membantu tetamunya memasak. Sebagai seorang yang sudah biasa memasak dia semestinya tidak kekok untuk menyebut apa sahaja nama bahan-bahan. Rasa Instafamous akan bersiaran selama 13 episod.
Untuk anda yang masih belum menyaksikan rancangan memasak RASA INSTAFAMOUS ini jangan lupa menyaksikan di saluran Astro Prima dan Maya HD setiap hari Isnin, jam 12.00 tengah hari dan siaran ulangannya pada jam 9.00 malam.
BEHIND THE SCENE







Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Cara Buat Daging Masak Hitam Yang Lembut dan Sedap, Ini Resipi Untuk Setengah Kilogram Daging

Daging masak hitam adalah lauk yang sesuai dimakan dengan nasi, bubur nasi ataupun nasi himpit. Daging yang dihiris nipis, kemudian dimasak sebegini memang sedap sekali. Tidak perlu banyak lauk lain, lauk ini sahaja pun sudah cukup untuk menambat selera.
Jom kita cuba lihat resipinya.
DAGING MASAK HITAM

BAHAN-BAHAN
1/2 kilo daging (direbus dan dihiris nipis)
1 labu bawang besar*
4 ulas bawang merah kecil*
3 ulas bawang putih*
10 tangkai cili kering*
3 biji buah keras*
1 inci halia*
3 batang serai*
Minyak masak untuk menumis
1/2 cawan kicap manis
1 cawan air rebusan daging
1 sudu besar air asam jawa
Sedikit gula melaka
Garam secukup rasa
2 tangkai cili hijau (hiris)
1 tangkai cili merah (hiris)
1 labu bawang besar (hiris bulat)
CARA MEMBUAT
1. Daging direbus dan dipotong nipis. Simpan air rebusannya.
2. Kisar bahan bertanda (*)
3. Panaskan minyak masak dan tumis bahan yang dikisar tadi. Apabila sudah agak garing, masukkan daging.


4. Masukkan kicap manis dan air rebusan daging. Kacau.
5. Masukkan air asam jawa dan gula melaka. Kacau lagi.

6. Masukkan garam. Taburkan cili hijau dan cili merah. Masukkn bawang besar yag dihiris bulat. Kacau lagi. Kemudian, biarkan seketika. Matikan api.
7. Hidang dan taburkan bawang goreng.
TIP: Buah keras wajib ada kerana itulah bahan yang menjadikan rasa daging ini lemak-lemak dan sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Hidayati Hana
Terima kasih kerana berkongsi resipi di Rasa Share Resipi
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
10 Jenis Menu Rendang Yang Lazat Jadi Pilihan Di Hari Raya Haji.

Rendang bagaikan kemestian sebagai menu utama hidangan Aidilfitri atau di Aidiladha. Bukan sahaja enak dimakan bersama lemang, nasi impit dan ketupat, rendang juga menarik untuk di makan bersama pelbagai jenis nasi. Ini disajikan 10 jenis rendang yang boleh dijadikan pilihan untuk anda cuba sebagai menu wajib di hari raya.
1. RENDANG TOK
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg daging batang pinang | dipotong dadu
- 1 ½ liter santan
- 4 sudu masak kerisik
- 2 helai daun kunyit | di carik-carik
- 2 helai daun salam
- 3 batang serai | dititik
- Rempah penumis | bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih
- 1 keping gula Melaka
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk menumis
BAHAN SANGAI:
- 2 sudu makan ketumbar
- 1 sudu makan jintan manis
- 1 sudu teh jintan putih
BAHAN KISAR:
- 15 tangkai cili kering
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3cm lengkuas
- 4 batang serai
- 3cm halia
- 3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Perapkan daging dengan sedikit bahan kisar lebih kurang dua jam. Panaskan minyak, tumiskan serai titik, rempah penumis dan bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan daging yang telah diperap dan kacau hingga air daging kering.
- Masukkan santan, garam, gula Melaka, separuh dari kerisik, daun kunyit dan daun salam. Kacau sekali sekala.
- Bila kuah pekat dan daging empuk, masukkan bahan sangai dan sebahagian lagi kerisik tadi. Kacau hingga rending betul-betul kering.
Info chef: Rendang tok yang betul-betul kering boleh tahan hingga seminggu tanpa dipanaskan.
2. RENDANG KERANG
BAHAN-BAHAN:
- 3 kg kerang | dibersihkan dan tos
- 1 liter santan pekat
- 2 helai daun kunyit | dicarik-carik
- 5 batang serai | dititik
- 1 keping asam gelugur
- 3 sudu makan kerisik
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 15 tangkai cili kering
- 8 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2cm halia
- 3cm lengkus
- 3cm kunyit
CARA MEMASAK:
- Rebus kerang seketika. Kemudian keluarkan isi dan ketepikan.
- Masukkan santan ke dalam kuali bersama bahan kisar.
- Masak sehingga kuah menjadi pekat.
- Seterusnya, masukkan kerang, daun kunyit, serai titik, asam gelugur, kerisik, garam dan gula secukupnya.
- Kecilkan api dan kacau selalu sehingga rendang kering.
- Sedia dihidangkan.
Info chef: Kerang di masukkan akhir bertujuan untuk mengekalkan rasa manis kering.
3. ITIK RENDANG LENGKUAS
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg itik | potong kecil
- 1 kg santan pekat
- 2 helai daun kunyit
- 3 sudu makan kerisik
- 3 batang serai | dititik
- 3 sudu makan lengkuas kisar | tapis dan buang airnya
- Garam dan gula secukupnya
- 1 keping asam keping
- Minyak masak secukupnya.
BAHAN KISAR:
- 5 tangkai cili hijau
- 10 tangkai cili padi
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 3cm halia
- 3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Bersihkan itik dengan perahan limau nipis atau kasturi. Biarkan seketika, kemudian bilas dengan air bersih. Tos dan ketepikan.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan lengkuas yang telah ditapis airnya, kacau dan biarkan sehingga pecah minyak.
- Masukkan itik, kacau rata hingga sebati dengan bahan tumis. Biarkan hingga daging itik kecut dan airnya kering.
- Masukkan santan pekat, serai titik, asam keping, garam dan gula secukup rasa.
- Apabila kuah pekat, masukkan kerisik dan hirisan daun kunyit.
- Kecilkan api dan terus kacau lebih kurang lima minit lagi.
- Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Untuk pastikan daging itik tidak liat, masak dengan api perlahan.
4. RENDANG PARU
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg paru | rebus dan dihiris nipis
- 1 liter santan
- 3 sudu makan kerisik
- 2 helai daun kunyit | dihiris halus
- 3 batang serai | dititik
- 1 keping asam keping
- Rempah penumis | bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
- 15 tangkai cili kering
- 10 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 3cm lengkuas
- 2 batang serai
- 3cm halia
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, tumiskan serai titik, rempah penumis dan bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak
- Masukkan paru yang telah direbus dan dihiris.
- Kemudian kacau hingga rata.
- Masukkan santan, asam keping, garam dan gula secukup rasa. Kacau sekali sekala.
- Bila kuah pekat dan paru empuk, masukkan pula kerisik dan hirisan daun kunyit.
- Kacau hingga rencang betul-betul kering.
Info chef: Rendang paru juga sesuai dimakan bersama pulut kuning.
5. RENDANG HATI
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg hati | direbus dan dihiris nipis
- 1 liter santan
- 2 sudu makan kerisik
- 3 batang serai | dititik
- 1 keping asam jawa
- Rempah penumis | bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
- 10 tangkai cili kering
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3cm lengkuas
- 2 batang serai
- 3cm halia
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, tumis serai titik, rempah penumis dan bahan kisar sehingga wangi.
- Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau rata hingga pecah minyak.
- Masukkan hati yang telah dihiris dan kacau lagi.
- Masukkan santan, asam keping, garam dan gula secukup rasa.
- Kacau sekali sekala atas api sederhana.
- Bila kuah pekat, masukkan pula kerisik.
- Kacau sehingga rendang betul-betul kering dan timbul minyak. Angkat dan hidangkan.
Info chef: Rempah kari dimasukkan dalam rendang untuk memberikan rasa rempah dan menghilangkan rasa hanyir hati.
6. RENDANG DAGING KETUMBAR
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg daging batang pinang | direbus dan dihiris nipis
- 1 liter santan
- 3 sudu makan kerisik
- 4 helai daun salam
- 3 batang serai | dititik
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak untuk menumis
BAHAN SANGAI:
- 3 sudu makan ketumbar
- 1 sudu teh jintan manis
- 1 sudu teh jintan putih
BAHAN KISAR:
- 15 tangkai cili kering
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3cm lengkuas
- 3 batang serai
- 3cm halia
CARA MEMASAK:
- Titik hirisan daging hingga lembut. Ketepikan.
- Panaskan minyak, tumiskan serai titik dan bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan daging, kacau rata dengan bahan tumisan.
- Masukkan santan, garam, gula dan daun salam. Kacau sekali sekala.
- Bila kuah sudah pekat, masukkan masakan separuh dari ketumbar, jintan manis, jintan putih dan kerisik.
- Kacau hingga rending betul-betul kering.
- Akhir sekali taburkan sebahagian lagi ketumbar tadi.
- Kacau lebih kurang dua minat lagi.
- Kemudian tutup api dan angkat.
Info chef: Ketumbar hendaklah dikisar kasar untuk memberikan rasa ketumbar pada rendang.
7. DAGING RENDANG CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg daging | dihiris nipis
- 1 kg santan pekat
- 2 helai daun kunyit
- 2 sudu makan kerisik
- 5 batang serai | dihiris halus
- Garam dan gula secukup rasa
- 1 keping asam keping
- Minyak masak untuk menumis
BAHAN KISAR:
- 5 tangkai cili hijau
- 10 tangkai cili padi
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 3 cm halia
- 2.5 cm lengkuas
- 3 cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Cuci daging kemudian ketepikan dan tos airnya.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik wangi dan pecah minyak.
- Masukkan daging, kacau dan biarkan air daging kering.
- Masukkan pula santan pekat, serai titik, asam keping, garam dan gula secukup rasa.
- Apabila kuah pekat, masukkan kerisik, hirisan serai dan daun kunyit.
- Kecilkan api dan terus kacau lebih kurang lima minit lagi dan timbul minyak.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
Info chef: Daging tetel juga sedap dimasak dengan resepi ini.
8. RENDANG UDANG MAK TOK
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg udang saiz XL | dibersihkan dan tos
- 1 liter santan pekat
- 2 helai daun kunyit | dicarik-carik
- 3 batang serai | dititik
- 1 keping asam gelugur
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 10 tangkai cili kering
- 3 tangkai cili merah
- 8 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 cm halia
- 3 cm lengkuas
- 3 cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Masukkan santan dalam kuali bersama bahan kisar.
- Masak sehingga kuah hampir pekat.
- Seterusnya, masukkan udang, daun kunyit, serai, asam gelugur, garam dan gula secukupnya.
- Kecilkan api dan kacau selalu sehingga rendang kering.
- Sedia dihidangkan.
Info chef: Bagi memastikan rasa rendang yang enak, pastikan anda memilih udang yang baru dan segar sahaja.
9. AYAM RENDANG MINANG
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam | dipotong sederhana
- 1 kg santan pekat
- 2 helai daun kunyit | dihiris
- 4 batang serai | dihiris halus
- Garam dan gula secukupnya
- 2 keping asam gelugur
BAHAN KISAR:
- 5 tangkai cili merah
- 10 tangkai cili kering
- 10 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 3 cm halia
- 2.5cm lengkuas
- 3 cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Cuci ayam dengan limau nipis, kemudian ketepikan dan tos airnya.
- Masukkan santan pekat dalam periuk bersama bahan kisar, serai titik dan asam gelugur.
- Bila kuah sudah pekat, masukkan ayam, garam dan gula secukup rasa. Apabila daging empuk dan kuah agak kering, taburkan daun kunyit di atasnya.
- Kecilkan api dan reneh rendang hingga timbul minyak.
- Angkat dan hidangkan.
Info chef: Jika ayam sudah empuk tetapi kuah masih banyak, keluarkan ayam dan ketepikan. Terus reneh kuah bila sudah pekat masukkan semula ayam.
10. AYAM RENDANG PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam | dibersihkan dan tos
- 1 liter santan pekat
- 2 helai daun kunyit | di carik-carik
- 3 batang serai | dititik
- 1 keping asam gelugur
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 10 tangkai cili kering
- 3 tangkai cili kering
- 8 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2 cm halia
- 3 cm lengkuas
- 3 cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Masukkan santan dalam kuali bersama bahan kisar.
- Masak sehingga kuah hamper pekat.
- Seterusnya, masukkan ayam, daun kunyit, serai, asam gelugur, garam dan gula secukupnya.
- Kecilkan api dan kacau selalu sehingga rendang kering.
- Sedia dihidangkan.
Info chef: Jika mahu rasa lebih pedas tambahkan cili padi dan kurangkan cili kering.
Resipi oleh: Nurul Adlina Soa’ed
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!











