Puding mangga susu ini sesuai sangat disediakan ketika ini memandangkan buah mangga banyak dijual sekarang.
Paduan mangga segar yang manis bersama rasa lemak susu memang membuatkan pencuci mulut ini cepat licin bila disajikan lebih-lebih lagi selepas disejukkan.
Paling penting puding putih oren yang cantik ini juga mudah sangat disediakan.
30g agar-agar tali
1400 ml air
1 tin susu cair
Gula pasir (ikut rasa manis yang disukai)
1 biji buah mangga (dipotong dadu)
Sedikit gula batu
1. Basuh agar-agar tali dan gunting pendek-pendek. Kemudian rendam sekejap agar-agar ini supaya lebih mudah larut nanti.
2. Sediakan periuk, masukkan agar-agar dan air. Masak di atas dapur sambil dikacau sentiasa supaya agar-agar cepat larut.
3. Bila agar-agar sudah larut, masukkan gula pasir dan gula batu. Kacau sehingga gula larut. Rasa ikut kemanisan yang diingini.
4. Tutup api dan sediakan acuan pilihan. Basahkan sedikit acuan supaya puding senang dikeluarkan nanti. Susun buah mangga yang dipotong dadu di dasar acuan.
5. Ambil agar-agar yang telah larut tadi dan tuang perlahan-lahan ke atas buah mangga. Jangan tuang terlalu banyak, hanya hingga sedikit melepasi buah mangga. Sejukkan sebentar.
6. Baki agar-agar yang ada, panaskan semula dan masukkan susu cair. Kacau hingga sebati dan tutup api.
7. Setelah bahagian bawah agak keras, cucuk-cucuk sedikit guna garfu. Kemudian, tuang baki agar-agar susu ke atasnya perlahan-lahan hingga penuhkan acuan. Sejukkan sekejap di luar.
8. Kemudian masukkan puding ke dalam peti sejuk. Tunggu hingga puding keras sempurna, baru potong dan siap untuk dinikmati!
Kredit resipi & foto: Syana Anuya Manmad
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA