
Bagi yang selalu membuat kek dan biskut, pastinya pernah jumpa penggunaan bahan seperti Soda Bikarbonat, Baking Powder ( serbuk penaik) dan Baking Soda. Bahan-bahan ini digunakan untuk menjadikan kek dan biskut naik, ringan, lembut dan gebu. Nama seakan-akan dan fungsinya kelihatan sama. Tapi ada juga bezanya. Silap guna, kek, biskut atau pau anda tak akan jadi segebu yang diimpikan. Jom kita lihat perbezaannya.
1. SODA BIKARBONAT
Soda bikarbonat adalah bahan penaik yang biasa, mudah didapati dan digunakan secara meluas dalam penghasilan kek, roti dan kuih. Ia adalah bahan alkali yang menghasilkan karbon dioksida apabila bercampur dengan asid seperti jus lemon atau cream of tartar. Fungsinya adalah untuk menaikkan kek atau kuih apabila dimasak.
Biasanya soda bikarbonat sering digunakan dalam penghasilan kek, roti dan kuih yang ada unsur asid didalamnya seperti yang menggunakan yogurt, susu masam, jus buah-buahan, serbuk koko, gula hangus, puri buah-buahan dan sebagainya. Soda bikarbonat bersifat alkali. Oleh itu ia akan bertindak meneutralkan asid yang terdapat dalam adunan kek atau kuih.
Adunan soda dan bahan asid apabila disatukan akan menghasilkan karbon dioksida. Maka apabila dibakar, doh akan mengembang. Oleh sebab itu bila hasilkan kek atau roti, mesti guna bahan ini. Jika tidak, pasti hasilnya padat dan tidak gebu.
2. BAKING POWDER (SERBUK PENAIK)

Selain Soda Bikarbonat, serbuk penaik atau Baking Powder juga adalah bahan yang wajib ada jika nak masak kek dan kuih. Biasanya ramai yang keliru diatara dua bahan ini.
Baking Powder adalah agen penaik kimia yang mengandungi campuran asid (biasanya cream of tartar), alkali (soda bikarbonat) dan tepung. Bila diadun dengan bahan lembap, ia akan menghasilkan gas yang membantu kek dan kuih menjadi kembang, lembut dan gebu.
Di pasaran, terdapat dua jenis serbuk penaik yang biasa dijual iaitu yang biasa dan berganda (double-action baking powder). Baking Powder biasa digunakan dalam menghasilkan kebanyakkan kek manakala jenis berganda pula digunakan untuk memasak aneka kek dan kuih kukus seperti apam, pau, kek kukus dan sebagainya. Ia bertindak dua kali lebih kuat dari Baking Powder biasa bagi menjadikan kek atau kuih muih lebih gebu dan kembang.
3. BAKING SODA
Baking Soda. Yang ni paling mudah. Baking soda adalah nama lain bagi Soda Bikarbonat. Jadi bila ada resipi yang tertulis baking soda @ soda bikarbonat, jangan pening-pening. Ia adalah merujuk kepada benda yang sama.
Carta ini mungkin boleh bantu anda untuk faham antara kedua-dua bahan ni.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Info Menarik Mengenai Air Soya, Tauhu & Tempe Yang Perlu Anda Tahu.

Kacang soya merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan lebih murah berbanding daging, susu atau telur. Ia mengandungi 50% protein bagi setiap 100 gm kacang soya, 11 kali ganda daripada susu dan tiga kali ganda lebih daripada telur. Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, magnesium, zat besi dan fosforus. Ia juga kaya dengan vitamin A,B,C,D serta lecithin.

Walaupun kecil, tapi banyak makanan yang boleh dihasilkan menggunakan kacang ini. Antara yang popular ialah tauhu, tempe dan juga air kacang soya.
MANFAAT AIR SOYA
Air kacang soya terkenal sebagai minuman yang sangat menyegarkan dan baik untuk kesihatan. Kalau ke pasar malam, memang banyak orang jual air ni. Nikmati sejuk atau panas, dua-duanya sangat enak. Tapi, ia bukan sahaja sedap tapi banyak manfaat untuk tubuh badan.
Kandungan air kacang soya terletak pada komponen dalam soya yang meliputi karbohidrat, serat (fiber), vitamin E dan K, asid lemak essensial. Lisin adalah jenis asid amino yang banyak terkandung dalam air soya.

Air kacang soya juga merupakan sumber protein yang sangat lengkap yang diperlukan oleh tubuh. Soya mengandungi sembilan asid amino esensial. Tubuh akan mengubah asid amino menjadi protein baru, termasuk antibodi penting untuk fungsi sistem kekebalan tubuh dan enzim yang membantu sel-sel menghasilkan energi. Setiap secawan air soya tanpa gula, mengandung 7 gram protein.
Air kacang soya juga kaya dengan kandungan vitamin dan mineral lain yang diperlukan oleh tubuh manusia. Berikut beberapa kandungan vitamin dan mineral daripada air kacang soya ini :
- Kalsium
- Zat Besi
- Riboflavin
- Vitamin B12
Antara KEBAIKAN yang boleh didapati dengan meminum air kacang soya ialah;
1. UNTUK KESIHATAN JANTUNG
Penyakit jantung merupakan salah satu masalah kesihatan yang paling sering dialami oleh lelaki. MayoClinic.com (portal kesihatan dunia) menyarankan untuk melakukan diet rendah lemak tepu dan sodium serta tinggi protein untuk mencegah masalah kardiovaskular. 1 cawan air kacang soya mengandung 3.6 gram lemak, 6.3 gram protein, 104 kalori dan hanya 0,5 gram lemak tepu. Selain rendah kalori, lemak dan tinggi protein, nisbah lemak tepu dan tak tepu kacang soya dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi dan kolesterol.
2. MENGURANGI KOLESTEROL DALAM DARAH
Antioksidan dalam isoflavon pada kacang-kacangan seperti soya, mampu menaikkan kadar HDL yang baik untuk kesihatan jantung. Manakala lesitin dipercayai dapat membantu menurunkan kadar LDL (kolesterol jahat) dalam darah yang dapat membantu meningkatkan kesihatan tubuh.
3. MENGURANGI RISIKO DIABETES
Protein di dalam air kacang soya lebih mudah diolah oleh buah pinggang pesakit diabetes, dibandingkan dengan protein haiwan seperti susu lembu.
4. MENCEGAH OSTEOPOROSIS
Osteoporosis merupakan salah satu penyakit yang disebabkan oleh bertambahnya usia dan kekurangan hormon. Fitoestrogen dalam kacang soya dapat membantu mempercepat penyerapan kalsium oleh tubuh dan mencegah hilangnya massa tulang yang dapat menyebabkan osteoporosis. Untuk manfaat maksimum, pastikan untuk membeli air kacang soya yang diperkaya dengan kalsium tambahan dan vitamin D.
5. BAGUS UNTUK ORANG DIET
Air kacang soya juga dapat memenuhi keperluan zat bagi yang berdiet. AirAir kacang soya rendah lemak, namun tinggi protein. Walau bagaimana pun, apa juga yang kita ambil perlu bersederhana. Dikatakan air kacang soya tidak bagus diambil oleh mereka menghidap kanser payudara.
ADA APA DENGAN TAUHU?
Satu lagi makanan yang dihasilkan daripada kacang soya ialah tauhu. Ia merupakan sumber protein yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Kandungan protein yang tinggi pada tauhu juga boleh dimanfaatkan untuk menjauhkan segala macam penyakit berbahaya. Tauhu dibuat dengan mengeraskan pati soya menggunakan garam mineral (biasanya kalsium sulfat). Pati soya inilah yang membuat tauhu kaya dengan khasiat kesihatan.

Pelbagai hidangan boleh disediakan dengan menggunakan tauhu dan pastinya ia bukan sahaja sedap bahkan penuh khasiat. Dari sudut kesihatan, antara khasiat tauhu ialah:
1. MENINGKATKAN PENGELUARAN TENAGA
Tauhu merupakan sumber zat besi yang baik. Setiap 100 gram tauhu menyediakan 30% daripada yang diperlukan badan dalam hari. Zat besi dalam tauhu ini bersatu dengan hemoglobin di dalam badan yang membantu proses pemulihan dan pelepasan oksigen ke seluruh tubuh yang kemudian menghasilkan tenaga baru. Mineral ini diperlukan tubuh agar zat besi boleh bekerja baik di dalam sel darah merah.
2. MEMBANTU MENURUNKAN BERAT BADAN
Tauhu yang tinggi protein membuatkan perut tidak cepat merasa lapar selepas memakannya. Juga, sifat rendah kalori (kira-kira 80 kalori dalam 100 gram) tidak menambah kalori tambahan untuk menu diet anda.
3. MASALAH RAMBUT GUGUR
Rambut memerlukan banyak protein kerana hampir 97% pertumbuhan rambut datang daripada protein. Jika tubuh badan anda kekurangan protein, maka tubuh anda akan mengambil protein daripada sumber yang lain. Salah satunya adalah rambut anda. Tidak hairan jika rambut mudah patah, kering dan gugur. Oleh kerana itu sangat disarankan pengambilan protein yang mencukupi setiap hari. Tubuh anda memerlukan protein untuk pertumbuhan semula, maka jangan abaikan nutrisi ini.
4. ANTI-PENUAAN
Manfaat lain daripada makan tauhu dengan kerap ialah ia melambatkan proses penuaan dengan ketara. Tauhu membantu mengekalkan keanjalan kulit dan nada otot muka yang seterusnya menghalang penuaan. Membuat pes tauhu dan diletakkan pada muka juga merupakan idea yang baik kerana ia menyuburkan kulit.
TEMPE TURUNKAN KOLESTEROL?
Tempe jauh lebih kaya nutrisi jika dibanding dengan produk-produk soya yang lain. Ia lebih padat dan hanya mengandungi sedikit kadar air, menyediakan dua kali kalori, lemak, protein serta empat kali lebih banyak karbohidrat.

Ia dihasilkan dari kacang soya yang diperam bersama ragi untuk tempoh tertentu. Menurut kajian, kandungan zat yang terkandung di dalam tempe setanding dengan kandungan gizi yang ada pada yogurt. Untuk menikmatinya pula, tidak perlu dimasak dengan resipi sukar. Tempe yang hanya digoreng bersama garam dan kunyit atau ditambah ke dalam lauk pauk pun sudah cukup untuk menyerlahkan rasa serta keenakannya.
Antara kebaikan dengan memakan tempe:
- Membantu menurunkan kolesterol
- Menguatkan tulang dan menyingkirkan gejala menopaus
- Mengurangi risiko kanser
- Mencegah anemia
Oleh itu, lepas ni bolehlah masukkan hidangan soya ini dalam juadah harian anda. Selamat mencuba!
Ini Rahsia Di Sebalik Chef Sher Masak Campak-Campak Pun Sedap.

Selamba, tangkas dan pantas menyediakan masakan sambil fasih berbahasa Melayu menyebabkan ramai kagum dengan caranya memasak di dapur.Ketika bertemu dengannya di Hello by Kitchen Mafia, Sherson Lian yang mesra dengan sapaan Sher sebenarnya tidak sebecok di dalam program masakan yang dihoskan. Dia tampak lebih ‘cool’ tetapi di kepalanya penuh dengan idea apa nak masak.
“Sebenarnya, saya tidak tahu nak masak apa hari ini untuk dikongikan. Mungkin bila masuk dapur tengok apa bahan yang ada, bolehlah saya sediakan dua masakan yang mudah dan ringkas,” ujarnya sambil masuk ke ruang dapur kafe yang terbuka.
Beberapa minit kemudian datang kepada kami sambil memberitahu bahawa dia sudah ada idea untuk memasak dua jenis masakan. Pertama Sotong Panggang dan kedua Daging Panggang Bersama Cendawan Shitake.
Selesai memasak Sher membawa keluar dua masakan yang telah siap disediakan, tampak sedap lagi menyelerakan. Sher mempelawa kami menjamah masakan tersebut sebaik selesai sesi foto, sambil beliau beliau menceritakan perkembangan terbarunya kini.
Sher pengacara program 5 Rencah 5 Rasa ini turut mengacarakan program maskan di salauran Asia Food Chanel(AFC) seperti Family Kitchen bersama ibunya, Ann Lian, Great Dinners Of the World, Reality Bite, dan Amazing Food Challenge.
“Kalau tidak ada pengambaran atau meeting di luar, di sinilah (Kitchen Mafia) saya ada. Dari pagi sampai malam. Kafe ini tempat saya dan para krew cari makan. Jadi saya bukan hanya mesti memasti bisnes berjalan dengan baik, kebajikan krew bertugas juga mesti dijaga dengan baik. Malah perhatian saya kepada mereka melebih keluarga. Di sini kami menjadi satu keluarga besar dan mencari rezeki dan saling mengambil berat antara satu sama lain,” ujar Sher mengakui beliau bukan seorang chef kerana tidak pernah mendapatkan pendidikan formal tentang kulinari, sebaliknya hanya seorang tukang masak biasa yang mencari makan dengan dengan memasak.
MEMASAK SEBAGAI CARA HIDUP
“ Memasak adalah kehidupan saya, ibu adalah guru saya secara tidak formal di dapur keluarga sejak awal usia 11 tahun. Semasa kecil saya sudah biasa dengan dapur, sebagai anak sulung saya selalu bersama ibu dan membantunya memasak kerana keluarga kami besar. Masa yang sama keluarga kami sangat mementingkan soal makan bersama, terutamanya makan malam.
“Mulanya saya memerhati, kemudian membantu kerja-kerja mudah. Dari situ saya mengenali bahan-bahan masakan. Secara tidak langsung jadi pembantu ibu, bermula dari mengupas bawang sehingga diberi kepercayaan memasak sendiri. Proses ini berterusan sehinggalah saya tahu macam mana nak jadi menjadi pandai menggunakan apa sahaja bahan masakan yang ada di dalam dapur untuk dihasikan sebagai masakan.
.Dari dapur ibu berpindah pula ke dapur restoran milik keluarga, mahu atau tidak Sher terpaksa masuk dapur turut memasak bagi membantu perniagaan keluarga,Secara tidak langsung, skill memasak Sher semakin menyerlah dan mempunyai cara tersendiri dalam penyediaan masakan. Sehingga apa sahaja yang dimasak oleh beliau kelihatan mudah. Seakan campak-campak bahan dalam kuali, jadi masakan yang sedap.
SOTONG PANGGANG:
BAHAN-BAHAN:
- 2 ekor sotong saiz besar.
- 2 tangkai serai | kisar halus
- 1sm halia muda | kisar halus
- 1 ulas bawang putih | kisar halus
- 3 ulas bawang merah | kisar halus
- 1 sudu makan pes cili kering
- 1/2 sudu teh serbuk kunyit
- Sdikit air asam jawa
- Garam secukup rasa
- Bahan Sampingan:
- Tomato Ceri
- Sedikit daun ketumbar
- 1 sudu makan mayones
CARA MEMASAK:
- Bersihkan sotong dan belah menjadi satu keping besar. Kemudian kelarkannya secara melintang dan membujur.
- Kemudian gaulkan dengan bahan kisar, garam dan air asam jawa.
- Panaskan pemanggang dan panggang ke dua-dua belah lebih kurang 6-8 minit.
- Angkat dan hidangkan bersama mayones dan tomato .
- Enak dihidangkan panas-panas.
DAGING PANGGANG BERCENDAWAN
BAHAN-BAHAN:
Bahan Daging:
- 250gm daging tenderloin
- 1 sudu teh serbuk rosemary
- 1 sudu teh serbuk oregano
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 1 sudu teh serbuk paprika
- 2 sudu besar minyak zaitun
- Garam secukup rasa
Bahan Sos:
- 1/2 biji bawang besar | potong dadu halus
- 1 ulas bawang putih | cincang halus
- Sedikit daun rosemary segar
- 2 sudu makan jus daging
- 1/2 cawan air rebusan daging
- 1 sudu teh serbuk Demi Glaze
- 1 sudu makan mentega
- Garam secukup rasa
- Bahan Cendawan:
- 6 biji cendawan shitake | belah dua
- 1 ulas bawang putih | cincang halus
- 1/2 biji bawang besar | dadu halus
- 1 sudu teh sos tiram
- Sedikit serbuk lada hitam
- Garam secukup rasa
- 1 sudu makan mentega
CARA MEMASAK:
1 Untuk menyediakan daging:
- Gaulkan daging dengan semua bahan perapan sehingga meliputi semua bahagian daging. Perap lebih kurang 1 jam.
- Atas kuali pemanggang, panggang daging sehingga keseluruhan permukaan berwarna keperangan.
- Kemudian bakar dalam ketuhar selama 10-15 minit dengan suhu 180 C.
- Keluarkan daging dari ketuhar dan simpan jus daging yang keluar untuk membuat sos.
- Cara menyediakan sos: Cairkan mentega dalam kuali, tumiskan bawang putih dan merah atas api perlahan sehingga keperangan.
- Masukkan jus daging dan demi glaze serta air rebusan daging dan garam secukup rasa, biarkan kuah mereneh hingga agak pekat. Ketepikan.
- Sementara itu, sediakan bahan cendawan. Panaskan kuali tumiskan bawang putih dan merah hingga keperangan,.
- Masukkan hirisan cendawan, kacau rata.
- Akhir sekali perasakan dengan sedikit garam, sos tiram dan serbuk lada hitam.
- Gaul rata dan tutup api.
- Untuk menghidangkannya, hiris daging dan susun dalam pinggang, kemudian tuangkan sos di atasnya. Hidangkan cendawan bersama cendawan tadi.
INFO CHEF;
Anda boleh mengggunakan masak yang sama untuk ayam.
…..
Saiz hidangan: 1 orang.
Waktu memasak: 30 minit.
Cara memasak :Panggang dan tumis.
Keistimewaan: Enak dan terasa kesegaran rasa sotong
Anggaran perbelanjaan: RM30.
Displin Dan Tanggungjawab Teras Kejayaan, Chef Royale Chulan Bukit Bintang KL

Bagi adik-adik yang mahu menyertai kerjaya Chef, amalan kerjaya barisan Chef Royale Chulan , Bukit Bintang KL, ini wajar dijadikan ikutan. Bukan sekadar pandai masak aje tau, tapi sikap dan sahsiah diri pun kena betul, barulah boleh berjaya.

Kunjungan Min ke hotel di tengah segi tiga emas kota raya, disambut dengan senyuman manis oleh Eksekutif Chef Raja Kamaroszaman Raja Zainal dan ‘anak buahnya’, Malay Chef Muhammad Haniff Ahmad Sukri, Commis 1 Muhamad Faisal Ariffin dan Commis 3 Muhammad Akmal.
Eksekutif Chef Raja Kamaroszaman bukan calang-calang orangnya. Memiliki pengalaman lebih 28 tahun dan pernah berkhidmat di lapan hotel, Chef Raja seperti yang dikenali oleh staf di sini bertanggungjawab mengetuai dan memimpin 42 kakitangan ‘dapur’ termasuk 32 chef di hotel ini. Beliau juga pernah tersenarai dalam 20 chef hebat oleh majalah kulinari tempatan.
Lebih mengagumkan beliau pernah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji untuk sama terlibat menyediakan makanan untuk 20 ribu jemaah haji di Mekah pada pada 2010 selama 60 hari .
Kini Chef Raja sudah10 tahun di Royale Chulan Bukit Bintang, di antara tanggungjawabnya adalah menyelia semua operasi dapur di dalam hotel termasuk menyediakan menu baru dari masa ke semasa. “Bagi menjadi Chef yang kompetitif dan berjaya, apa yang paling penting adalah minat untuk memasak. Rajin belajar dari orang yang lebih berpengalaman tanpa rasa jemu dan penat. Perlu mempunyai minat mendalam dan mengambil tahu trend makanan terkini disertai rajin dan usaha,” pesan Chef Raja kepada mereka yang ingin menyertai bidang ini.
Sebagai ketua dalam pasukan kerjanya dia menganggap semua rakan sekerja di bawah seliaannya seperti sebuah keluarga besar dan ibarat adik beradiknya sendiri.”Saya mahu terus melangkah selagi mampu di samping membantu menggilap dan melahirkan chef yang terbaik di masa akan datang,” ujarnya lagi sambil dibalas senyuman mesra oleh chef yang lain di sisinya.
Di samping penyediaan makanan dan minuman di Sunway Brasserie dan Cafe Royale & Bar di hotel ini, Wisma Boustead yang berada di bawah pengurusan hotel juga termasuk dalam tanggungjawab chef di sini
Bagi Malay Chef Muhammad Haniff yang bertanggungjawab menyelia semua operasi dapur Melayu dan membantu Chef Raja, katanya, “Seorang Chef itu jika ingin mengejar sukses kenalah rajin berfikir, selain berfikran kreatif dia perlu mengemaskini ilmu makanan mengikut aliran dan kehendak semasa. Bila menjadi Chef kena saling berkongsi ilmu dan meneroka seni masakan ini dengan lebih jauh lagi .Paling penting adalah hubungan dengan rakan-rakan Chef yang lain perlu akrab dan bekerja dalam satu pasukan yang boleh saling tolong menolong terutamanya apabila ada acara besar berlangsung di hotel.”
Memulakan tugas dari bawah , Chef Haniff memulakan kerjaya dalam bidang perhotelan sebagai Commis III. Kini dia telah pun menghimpun pengalaman selama 23 tahun dan pernah berkhidmat di empat hotel terkemuka. Chef Haniff juga sangat kreatif dalam ‘presentation’ dan dekorasi makanan dan banyak menyumbang idea apabila krew RASA membuat rakaman foto resipi di sini.
Mendengar kisah pembabitan Commis 1, Muhamad Faisal di dalam bidang masakan nyata dia memiliki ‘passion’ dan minat mendalam yang telah berputik sejak kanak-kanak lagi. “Sejak usia saya 10 tahun lagi saya sudah menyimpan cita-cita untuk bergiat dalam bidang masakan perhotelan. Walaupun saya baru bergiat selama tujuh tahun dalam bidang ini, saya bersyukur dapat menimba ilmu, belajar dan meraih pengalaman di lima hotel berlainan.
Bagi mereka yang ingin bergiat dalam bidang ini perlu ada kemahiran memasak serta bertanggungjawab dan berdisplin dalam urusan kerja. Perlu jujur dan konsisten dengan setiap tugasan yang diberi. Sepanjang bertugas, Faisal kini mampu memasak masakan Melayu, Asia dan Barat. “ Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan saat paling manis bagi saya ialah apabila dapat belajar bermacam-macam jenis masakan,” ujarnya yang menyimpan cita-cita untuk mengejar impiannya sebagai Chef yang berjaya satu hari nanti.
Buat Chef paling ‘bongsu’ di sini Commis III, Muhammad Akmal yang baru tiga tahun terlibat dalam dunia masakan, dia masih lagi terus belajar dan meneroka setiap aspek penyediaan masakan di samping memajukan diri untuk terus mahir dan cekap dalam memasak.
“ Saya suka bertanya dengan orang yang lebih jauh berpengalaman , kena agresif jika nak cepat pandai. Mereka yang mahu menyertai bidang ini juga perlu bersedia untuk bekerja lebih masa setiap kali diperlukan terutamanya apabila ada acara berlangsung di hotel. Walau pun kami ada tiga syif waktu kerja, tetapi jadual kerja tidak terikat mengikut waktu yang disediakan. Yang penting amanah yang diberikan boleh dibereskan mengikut waktu dan perancangan,” luahnya yang amat menghargai tunjuk ajar yang diberikan oleh kakitangan yang lebih ‘senior’ dari dirinya.
Terima kasih : Delia, ROYALE CHULAN BUKIT BINTANG, 17-21, JLN BUKIT BINTANG, KUALA LUMPUR