“Saya Bukan Chef Tapi Insya-Allah, Ada Rezeki Boleh Menang” – Mastura Mohamad Nordin

Peniaga Makanan Depan Rumah Sahaja, Udang Masak Rempah Membawa Tuah Untuk Mastura.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah tahu. Andai sudah tertulis rezeki yang ditentukan Allah, siapalah kita untuk menidakkannya.
Perasaan gementar dalam diri memang tidak boleh disembunyikan, namun peserta wakil Zon Utara Pertandingan Riuh Rempah Baba’s, Mastura Mohamad Nordin tetap berusaha memberikan usaha terbaik untuk memenangi hati juri.
Akhirnya, terpilih! Dengan masakan Udang Masak Berempah digandingkan dengan Nasi Tumis Kurma Babas, Mastura terpilih Top 2 mewakili Zon Utara ke peringkat separuh akhir.
“Rasa takut tu memang tak boleh cakaplah, sebab saya tengok peserta-peserta yang datang semuanya hebat-hebat. Ada juga yang chef tapi saya ni bukan chef. Masak biasa-biasa je.”
“Bila masuk berhadapan dengan juri, lagilah bertambah ketar. Sebab nak bagi mereka suka dan berminat dengan hidangan yang kita masak. Namun saya cuba yang terbaik.
“Apa yang boleh saya ingat, juri suka kerana walaupun hidangan ini nampak biasa tapi Nasi Tumis yang membuatkan rasa lagi istimewa. Juri cakap, nasi ini rasanya lain daripada yang lain. Rasa simple tapi sedap,” ujar Mastura.

Peniaga Makanan Depan Rumah Sahaja, Udang Masak Rempah Membawa Tuah Untuk Mastura.

Ads

Menggunakan resipi asal daripada ibunya yang menggunakan daging tetapi diolah sendiri dengan gantikan udang dan ada sedikit pertambahan bahan-bahan lain serta rempah-ratus.
“Sebab saya minat memasak dan penggunaan rempah Baba’s ini memang serasi dalam saya punya masakan. Sebab itulah saya tidak ragu-ragu untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.
Berasal dari Butterworth, Mastura tetap menaruh impian untuk memenangi hadiah utama yang bernilai RM10,000.
“Jika ditakdirkan saya menang RM10,000, saya nak memajukan lagi perniagaan mee bandung yang sebelum ini hanya diusahakan di depan rumah dan membantu keluarga saya, insya-Allah,” kata Mastura.

 

UDANG MASAK BEREMPAH

Peniaga Makanan Depan Rumah Sahaja, Udang Masak Rempah Membawa Tuah Untuk Mastura.

BAHAN-BAHAN:
1kg udang besar
2 biji bawang besar | kisar
4 ulas bawang putih | kisar
1 inci halia | kisar
Rempah 4 sekawan (bunga cengkih/bunga lawang/kayu manis/buah pelaga)
2 helai daun pandan
1 biji tomato | potong dadu
6 sudu besar Rempah Kari Daging BABA’S
1 sudu besar Serbuk Sup BABA’S
3 sudu besar kerisik
100ml santan

(HIASAN) OPTIONAL:
1 biji bawang besar | potong bulat
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
Sedikit daun ketumbar

CARA MEMASAK:
1. Tumiskan bahan kisar, daun pandan, dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau dan keperangan.
2. Masukkan rempah kari dan rempah sup yang telah dibancuh dengan sedikit air, kerisik, tomato, dan santan. Masak sehingga pecah minyak dan rempah garing.
3. Setelah garing, masukkan sedikit air jika perlu, masukkan udang dan serbuk perasa mengikut citarasa.
4. Masukkan bawang yang dipotong bulat dan bahan hiasan, gaul sebati dan matikan api.
5. Hiaskan dengan daun ketumbar dan bawang goreng.

Ads

 

JAGOH RASA BABA’S

Pertandingan ini terbuka kepada seluruh warga Malaysia dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang. Berkerjaya atau tidak, suri rumah, atau masih belajar, layak untuk menyertai pertandingan ini.

Pada peringkat awal, peserta hanya perlu menghantar gambar masakan berserta resipi penuh secara atas talian iaitu melalui laman web majalah Rasa. Selepas pemilihan awal, perserta yang layak perlu melalui sesi penjurian bagi mencari Top 12 yang diadakan di empat lokasi iaitu di Pulau Pinang, Kota Bharu, Johor Bahru dan Subang Jaya.

Ads

Seterusnya peserta Top 12 akan dipilih melalui undian secara atas talian bagi mendapatkan 4 tempat ke final dan seterusnya bakal bertanding secara berhadapan.

JAGOH RASA BABA’S menawarkan wang tunai dan trofi.

Tempat Pertama: RM10,000
Tempat Kedua: RM5,000
Tempat Ketiga: RM3,000
Tempat Keempat: RM1,000
Saguhati: RM500 x 8 peserta

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI