Makan

Nasi Daging Air Asam Kerisik Paling Sedap, Resipi Mudah Confirm Bertambah

Share

Suka makan nasi daging tapi tak tahu mana satu resipi yang benar-benar berbaloi untuk dicuba? Anda wajib cuba resipi nasi daging air asam kerisik perkongsian saudari Suriani Mohd ini. Cara penyediaannya sangat mudah dan hasilnya memang membuka selera.

Resipi ini juga sudah terbukti menjadi kegemaran ahli keluarga. Anak-anak pun siap ulang makan dan puji rasanya sedap. Memang berbunga hati dibuatnya bila masakan air tangan sendiri dipuji. Jom cuba resipi lengkap nasi daging air asam kerisik bersama sup tumis darat ini.

Cara Memasak Nasi Daging Air Asam Kerisik Sedap

Bahan-Bahan Nasi Daging

  • 4 cawan beras – basuh bersih
  • ¼ tin susu cair
  • 1-2 kiub pati daging
  • Air rebusan daging dan daging secukupnya
  • Sedikit garam
  • 2 sudu makan planta atau marjerin
  • 1 biji bawang merah – hiris
  • 3-4 ulas bawang putih – hiris
  • Sedikit halia
  • Rempah 4 sekawan
  • Daun pandan
  • 2 sudu makan rempah kurma
  • 1 sudu makan rempah kari
  • Sedikit air

Cara Memasak Nasi Daging

  1. Dalam periuk bersesuaian, masukkan planta, bawang merah hiris, bawang putih, halia, rempah 4 sekawan dan daun pandan. Tumis hingga kekuningan dan naik bau.
  2. Kemudian masukkan rempah kurma, rempah kari dan sedikit air. Tumis sehingga rempah benar-benar masak.
  3. Apabila rempah sudah pecah minyak dan naik bau harum, masukkan beras yang telah dicuci bersama susu cair, kiub pati daging, garam secukup rasa serta air rebusan daging bersama isi daging sekali. Kacau hingga sebati.
  4. Sukatan air boleh disesuaikan mengikut jenis beras dan sukatan yang biasa digunakan ketika memasak nasi.
  5. Masak nasi sehingga tanak dan sempurna. Nasi daging ini memang sangat sedap dimakan panas-panas bersama air asam kerisik dan sup tumis darat.

Resipi Air Asam Kerisik Pembuka Selera

Bahan-Bahan Air Asam Kerisik

  • Sedikit belacan
  • Cili api secukupnya – potong separuh atau tumbuk
  • Air asam jawa secukupnya
  • 2-3 sudu makan kerisik
  • 1 biji bawang merah – hiris
  • 1 biji tomato – hiris
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula
  • Sedikit serbuk Cukup Rasa

Cara Membuat Air Asam Kerisik

  1. Dalam mangkuk bersesuaian, satukan semua bahan yang diperlukan.
  2. Gaul hingga rata supaya semua bahan sebati dan menghasilkan rasa yang seimbang.
  3. Rasa terlebih dahulu dan tambah mana-mana perasa jika perlu mengikut citarasa sendiri.
  4. Air asam kerisik siap dan sedia dihidang bersama nasi daging.

Cara Masak Sup Tumis Darat

Bahan-Bahan Sup Tumis Darat

  • Daging secukupnya
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • 1 biji bawang merah – hiris
  • 3-4 ulas bawang putih – hiris
  • Sedikit halia
  • Rempah 4 sekawan
  • Daun sup secukupnya

Cara Memasak Sup Tumis Darat

  1. Hiris daging dan masukkan ke dalam periuk bersama air secukupnya serta sedikit garam. Rebus sehingga daging empuk.
  2. Panaskan kuali dan tumis bawang merah, bawang putih, halia serta rempah 4 sekawan sehingga kekuningan dan wangi.
  3. Masukkan bahan tumisan ke dalam periuk berisi daging yang telah direbus empuk. Kacau rata supaya kuah lebih berperisa.
  4. Taburkan daun sup secukupnya dan rasa kuah. Tambah garam atau perasa jika perlu.
  5. Sup tumis darat siap disediakan dan sangat sesuai dimakan bersama nasi daging air asam kerisik.

Nasi Daging Air Asam Kerisik Memang Padu

Gabungan nasi daging yang beraroma bersama air asam kerisik yang masam pedas memang cukup menyelerakan. Tambah pula dengan sup tumis darat yang ringkas tetapi penuh rasa, memang lengkap satu hidangan.

Jika anda sedang mencari menu istimewa untuk keluarga atau tetamu, resipi nasi daging air asam kerisik ini memang pilihan terbaik. Bukan sahaja mudah disediakan, malah rasanya juga setanding hidangan di restoran.

Kredit resipi & foto: Suriani Mohd 

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

Published by
Nur