Kuah laksanya memang kaw! Manakan tidak, rupa-rupanya belacan yang digunakan untuk ramuan kuah laksa ini diambil khas hari Tanjung Dawai, Kedah Darul Aman. Inilah keistimewaan dan kelainan laksa di Gerai Laksa Tanjung Dawai yang terletak di Kota Damansara, Selangor.

Bagi peminat laksa utara, anda kena cuba makan Laksa Tanjung Dawai. Pasti anda puas hati. Dengan kuahnya yang sedap, cita rasa laksa yang sebenar dapat anda nikmati. Apatah lagi di sini turut menyediakan satu menu yang mesti anda cuba iaitu laksa telur sarang.

“Kami menggunakan belacan istimewa yang dihasilkan dan diperoleh dari Tanjung Dawai.

Penghasilan kuah laksa pula dari proses menyiang ikan, mesin, tumis dan memasak semua saya buat sendiri. Seorang pekerja yang saya percaya membantu saya. Semua ini untuk memastikan rasanya sedap setiap hari dan konsisten demi kepuasan pelanggan,” cerita pemilik gerai, Siti Katina Azmi.


.

BOBA BUATAN SENDIRI

Selain laksa, di gerai ini turut ada cendol yang diletakkan boba. Menariknya, boba dibuat sendiri.

“Cendol dibuat menggunakan santan sawit. Boba kita buat sendiri kerana lebih puas hati kalau kita masak macam untuk dimakan sendiri,” katanya yang sanggup meninggalkan kerjaya untuk fokus pada perniagaan Laksa Tanjung Dawai.

Gerai ini telah dibuka sejak 2015. Harga menu yang ditawarkan adalah berpatutan. Laksa biasa RM5.00, laksa telur sarang RM6.00, cendol biasa RM3.00, cendol pulut RM3.50, cendol tapai RM4.50, cendol boba RM 4.00 dan cendol durian RM10.00.

TELUR SARANG ISTIMEWA


.

Laksa dan cendol adalah menu yang jadi pilihan apabila duduk lepak di gerai pada waktu petang. Sebab itulah gerai ini sentiasa dikunjungi sama ada untuk makan di situ ataupun dibungkus untuk dibawa pulang. Menurut Siti Katina, setiap maklum balas pelanggan diterima dengan hati terbuka untuk penambahbaikan pada masa akan datang dan demi kepuasan pelanggan.


.

Antara yang mendapat maklum balas terbaik adalah telur sarang. Menurut Siti Katina, “Telur sarang menggunakan ramuan campuran tepung dan mempunyai teknik memasak tersendiri. Kita mahu kekalkan kerangupan telur walaupun telah digoreng lama. Minyak masak yang digunakan adalah baru setiap hari untuk memberikan kualiti yang terbaik untuk pelanggan.”


.

INFO GERAI
Nama gerai: Laksa Tanjung Dawai
Pemilik: Siti Katina Azmi & Amiruddin Kamaruddin
Lokasi: Seksyen 6, Kota Damansara, Sebelah Rumah TNB
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (11.30 pagi – 7.00 petang)
Mesti cuba: Laksa telur sarang dan cendol boba