Hmmm…enaknya hidangan masakan lauk pauk Chinese style atau gaya Cina seperti Ayam Pong Teh, Ketam Bercili, Ayam Lada Hitam Cendawan, Ketam Telur Masin dan Sotong Nestum ni. Sesekali ubah selera memang sedap dan boleh menaikkan selera. Cara masaknya juga tidak sukar. Sesuai sangatlah dicuba di hujung minggu dan di hari cuti. Jom intai bahan-bahan yang anda perlukan!

 

 1. AYAM PONG TEH

BAHAN – BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam bersaiz sederhana |dipotong kecil
  • 1 biji kentang | direbus dan belah empat
  • 6 ulas bawang merah| dihiris halus
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk halus
  • 2.5cm halia | ditumbuk halus
  • 1 biji cili merah | dihiris halus
  • 3 sudu makan taucu | hancurkan sedikit
  • 1 sudu makan kicap cair
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • Gula Melaka secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, cili merah dan halia hingga harum.
  2.  Masukkan taucu dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya sehingga ayam tenggelam. Masak hingga mendidih.
  4. Masukkan kicap pekat dan kicap cair. Kacau rata.
  5. Apabila ayam sudah masak, masukkan ubi kentang. Perasakan dengan sedikit gula Melaka. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: Ayam Pong Teh sedap dimakan bersama nasi putih dan ulam-ulaman.

 

2. KETAM TELUR MASIN 

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg ketam
  • 3 sudu makan tepung jagung
  • 6 ulas bawang merah | dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 2.5cm halia | ditumbuk halus
  • 1 biji cili merah | dihiris nipis
  • Beberapa helai daun kari
  • 2 biji kuning telur masin
  • 1 cawan susu cair
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ketam dan lumurkan dengan tepung jagung dan juga sedikit garam.  
  2. Panaskan minyak dan goreng ketam sehingga masak. Angkat dan toskan minyak.
  3. Ambil sedikit minyak lebihan gorengan ketam dan tumis bawang merah, bawang putih, cili dan daun kari.
  4. Kemudian masukkan kuning telur masin yang telah dihancurkan. Biarkan ia masak dan tuangkan susu cair sedikit demi sedikit.  
  5. Biarkan kuah memekat dan masukkan ketam yang telah digoreng tadi. Gaul rata. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: Santan juga boleh digunakan bagi menggantikan susu cair

 

3. AYAM LADA HITAM CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ayam | dipotong kecil
  • 5 biji cendawan butang segar | dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 2.5cm halia | dihiris nipis
  • 1/2 biji bawang besar |dipotong empat
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 250ml stok perang ayam
  • 1 sudu teh kicap manis
  • 3 sudu makan minyak masak
  • Sedikit tepung jagung | dibancuh dengan sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama garam dan goreng menggunakan api yang besar sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan serbuk lada hitam.
  3. Masukkan ayam dan kacau seketika. Masukkan pula cendawan, minyak bijan dan kicap manis. Kacau sehingga cendawan sedikit layu.
  4. Tuang stok perang ayam dan kemudian masukkan sedikit bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
  5. Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Siap untuk dinikmati.

Info chef: Stok perang ayam boleh juga digantikan dengan air biasa

 

4. SOTONG NESTUM 

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg sotong | dihiris kecil
  • 5 biji cili padi | dihiris halus
  • 1 tangkai daun kari
  • 3 sudu makan mentega
  • 2 sudu makan bijirin Nestum
  • 3 sudu makan oat

BAHAN PERAPAN:

  • 2 sudu makan  tepung jagung
  • 2 sudu makan tepung beras
  • 1/2 sudu teh serbuk lada putih 
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu teh gula

CARA MEMASAK:

  1. Sangai oat bersama nestum hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
  2. Gaulkan sotong bersama tepung jagung, tepung beras, lada putih dan garam hingga rata. Panaskan minyak dan goreng hingga masak. Angkat dan toskan minyak.
  3. Cairkan mentega di dalam kuali dan masukkan cili padi dan daun kari.  
  4. Bila daun kari kelihatan sedikit garing, masukkan udang dan gaul rata.
  5. Akhir sekali masukkan nestum dan oat yang telah disangai. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidangkan.

Info chef: Guna minyak yang banyak semasa menggoreng sotong bagi memastikan ia masak secara sekata.

5. KETAM BERCILI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ketam | dibersih dan dipotong dua
  • 1 biji bawang besar | dimayang
  • 7 biji cili merah | dikisar kasar
  • 5 ulas bawang merah | dikisar
  • 3 ulas bawang putih | dikisar
  • 2 batang serai | dititik
  •  2 sudu makan jus lemon atau limau nipis
  • 1 biji telur | dipukul sedikit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air  secukupnya
  • Minyak untuk menumis

 CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ketam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit kemudian digoreng sehingga masak. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan serai bersama bahan kisar sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan sedikit air bersama bawang besar, gula dan garam secukup rasa. Biarkan mendidih.
  4. Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga sebati.
  5. Akhir sekali masukkan ketam dan gaul sehingga rata. Angkat dan hidangkan.

Info chef: Pastikan telur dipukul terlebih dahulu supaya sebati rasanya dengan sekata pada kuahnya.