Masakan rendang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu. Malah, kini resipi rendang bukan sekadar ayam dan daging sahaja. Bahkan makanan laut juga boleh dijadikan aneka rendang yang lazat. Pasti ramai yang menggemari masakan rendang kerana ia penuh perisa dan aroma rempah ratus serta lemak rasanya. Enak dimakan bersama nasi putih, lemang, ketupat atau dimakan bersama roti. Di hujung minggu, sesuai sangatlah anda cuba aneka resipi rendang ni.

 

KOLEKSI RESIPI RENDANG SEDAP & MUDAH

 

1. RENDANG DENDENG 

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging pejal | dipotong agak besar
  • 500gm bawang besar | dikisar
  • 3-4 senduk cili kisar
  • 1 keping asam gelugur
  • 3 batang serai dititik
  • 5cm halia | dititik
  • 1 cawan kicap manis
  • 750ml air rebusan daging
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk mengoreng daging dan menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Rebus daging di dalam periuk sampai empuk dan simpan air rebusan daging. Tos dan sejukkan.
  2. Hiris daging lawan urat (lebih kurang saiz 1”x1.5”). Tumbuk sekeping-sekeping daging yang telah dihiris dan perap daging yang ditumbuk dengan kicap selama 1 jam.
  3. Goreng daging dengan api sederhana dan toskan minyaknya.Ketepikan.
  4. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang dan cili kisar sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan serai, halia, asam gelugor dan air rebusan daging.
  6. Masukkan daging. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
  7. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

 Info chef: Guna daging batang pinang untuk mendapatkan daging yang mudah empuk.

 

2. RENDANG TOK

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging
  • 2 helai daun kunyit | dihiris halus
  • 1 sudu makan ketumbar | disangai dan dikisar halus
  • 1 sudu makan jintan manis | disangai dan dikisar halus
  • 1 sudu makan jintan putih | disangai dan dikisar halus
  • 1kg santan pekat
  • 50gm gula Melaka
  • 3 sudu makan kerisik
  • 15ml air asam jawa
  • Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm lengkuas
  • 3cm halia
  • 5 batang serai
  • 5 sudu makan cili giling
  • 1cm kunyit hidup

BAHAN TUMIS:

  • 2 batang kayu manis
  • 4 kuntum bunga lawang
  • 5 batang bunga cengkih
  • 6 biji buah pelaga

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan daging bersama  ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang telah dikisar. Perap semalaman.
  2. Masukkan daging yang telah diperap ke dalam kuali. Masukkan sedikit air dan masak dengan api perlahan hingga daging empuk. Angkat dan ketepikan.
  3. Kemudian, panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan-bahan yang dikisar halus bersama kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga naik bau atau pecah minyak.
  4. Selepas itu, masukkan daging dan gaul rata. Masukkan santan dan kerisik. Kacau tanpa henti dengan api yang kecil.
  5. Masukkan air asam jawa, gula Melaka, daun kunyit dan kacau hingga kering. Bila rendang sudah kering, barulah di tambah garam secukup rasa.
  6. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

 Info chef: Enak dinikmati bersama lemang dan nasi impit. Bahkan ia juga boleh dinikmati bersama nasi.

 

 3. RENDANG AYAM PENCEN 

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam | potong sederhana besar, cuci bersih dan toskan
  • 2 cawan pati santan
  • 4 helai daun limau purut
  • 2 helai daun kunyit | dimayang halus
  • 3 sudu makan kerisik
  • 1 liter air
  • 3 senduk cili kisar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 15 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 1cm lengkuas
  • 1cm kunyit hidup
  • 4 batang serai | dihiris halus

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan tumis dan masak hingga harum.
  2. Tambah bahan kisar halus dan cili kisar.  Tumis sehingga cili garing dan pecah minyak. Gunakan api yang kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masukkan air. Masak lama sehingga ayam menjadi empuk.
  4. Tuang santan dan kerisik kelapa. Biar mendidih secara perlahan sambil dikacau sekali sekala. Masukkan garam dan gula secukupnya.
  5. Apabila kuah menjadi pekat, masukkan daun limau purut dan daun kunyit yang dimayang halus. Kacau dan rasa. Pastikan rasa garam dan gula seimbang.
  6. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

Info chef: Ayam pencen perlu direbus sehingga empuk terlebih dahulu sebelum dimasukkan santan dan bahan-bahan rencah yang lain.

 

 4. RENDANG UDANG 

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm udang harimau
  • 2 helai daun kunyit | dihiris halus
  • 2 senduk cili kisar
  • 2 sudu makan gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 1keping asam gelugur
  • 1 cawan pati santan
  • 2 sudu makan kerisik
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 8 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1cm halia
  • 1cm lengkuas
  • 2 batang serai | dihiris
  • 2cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tambah bahan kisar halus dan cili kisar. Tumis hingga cili garing dan pecah minyak. Gunakan api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan santan, kerisik, garam dan gula Melaka. Gaul rata. Bila mendidih, masukkan udang tadi bersama asam gelugur. Gaul rata dan masak hingga kuah menjadi pekat.
  3. Cuba dan pastikan rasa garam, gula dan masam seimbang. Tambah sedikit garam atau gula jika perlu.
  4. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan gaul rata. Masak seketika.
  5. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

Info chef: Boleh juga menggunakan udang galah.

 

5. RENDANG KERANG 

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm isi kerang
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 cawan pati santan
  • 2 helai daun limau purut
  • 3 helai daun kunyit |sehelai disiat, dua helai dimayang halus
  • 2 sudu makan penuh rempah kari ikan
  • 2 senduk cili kisar
  • 2 sudu makan penuh gula melaka
  • 1 1/2 sudu makan kerisik
  • 4 ulas bawang merah | dihiris
  • 1 ulas bawang putih | dihiris
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 7 ulas bawang merah
  • 2cm halia
  • 1cm lengkuas
  • 3 biji buah keras | dihiris
  • 3 batang serai | dihiris
  • 10 biji cili padi siam  | boleh kurang atau tambah jumlahnya
  • 2cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Bancuh rempah kari ikan bersama-sama bahan kisar halus. Kacau rata hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga harum dan keperangan. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing.
  3. Tambah pes rempah dan kacau rata. Masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  4. Masukkan isi kerang dan gaul rata. Tambah pati santan dan kerisik. Kacau dan masak hingga pekat. Tambah daun limau purut dan daun kunyit yang disiat. Gaul semua hingga rata, masak sekejap.
  5. Masukkan gula Melaka dan asam gelugur dan perasakan dengan sedikit garam. Kacau dan masak hingga rendang kering. Rasa dan pastikan rasa garam, gula dan masam seimbang.
  6. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan gaul rata. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

Info chef: Isi kerang perlu dibersihkan dan dittos hingga kering sebelum dimasukkan ke dalam rendang.

 

 6. RENDANG AYAM GAYA MINANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam | potong sederhana besar, cuci bersih dan toskan
  • 4 batang serai |  dititik
  • 2 cawan santan pekat
  • 3 sudu makan kerisik
  • 3 helai daun kunyit|  dihiris halus
  • Beberapa helai daun limau purut  | dibuang urat tengahnya
  • 2 – 3 keping asam gelugur
  • 2 sudu makan gula merah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 kiub pati ayam
  • Minyak masak secukupnya untuk menumis

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 5cm  kulit kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 3 kuntum bunga lawang

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 3 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 biji cili merah | dibuang biji tengahnya
  • 6 biji cili padi hijau dan merah
  • 5cm halia
  • 2cm lengkuas
  • 5cm kunyit hidup

BAHAN-BAHAN DIBANCUH MENJADI PES:

  • 1 sudu makan serbuk ketumbar
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 sudu makan serbuk lada hitam
  • Sedikit air

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Masukkan bahan tumis dan masak sehingga naik bau.
  2. Masukkan bahan kisar halus dan serai yang dititik. Masak sehingga kekuningan.
  3. Masukkan pes rempah dan kacau rata sehingga terbit minyak.
  4. Tambahkan santan, ayam dan kerisik. Tambahkan dua cawan air dan kacau perlahan. Masak sehingga kuah pekat.
  5. Masukkan kiub ayam, gula merah, gula putih, garam dan asam gelugur. Masukkan juga daun kunyit dan daun limau purut. Kacau rata.
  6. Biarkan ayam mereneh di atas dapur dengan menggunakan api sederhana. Selepas ayam masak dan kuah menjadi sedikit pekat.
  7. Angkat rending  dan siap untuk disajikan.

Info chef: Elak mengacau ayam dengan kerap kerana isi ayam akan hancur.

 

 7. RENDANG DAGING PADANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg daging | dipotong ukuran sesuai, dibersih dan ditoskan
  • 3 cawan santan pekat
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1 cawan kelapa parut yang telah disangai
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 batang serai | dititik
  • 3 helai daun limau purut
  • 4 helai daun salam
  • 1 helai daun kunyit
  • Garam dan gula secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 15 ulas bawang merah
  • 8 ulas bawang putih
  • 100gm cili kering
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan-bahan kisar halus dan daging ke dalam kuali. Kacau perlahan dan tutup kuali. Masak sampai daging empuk dan air daging kering.
  2. Masukkan santan, lada sulah, serai, asam gelugur, bunga lawang, daun limau purut, daun salam, daun kunyit yang dicarik, garam dan gula. Kacau hingga rata.
  3. Setelah santan mendidih dan pecah minyak, kecilkan api. Campurkan kelapa parut sangai ke dalam rendang kemudian kacau lagi hingga rata.
  4. Kacau perlahan sehingga rendang berubah warna dan kuah pekat. Pastikan rasa garam, gula dan masam seimbang. Tambah sedikit garam atau gula jika perlu.
  5. Sedia untuk dinikmati.

 

8. RENDANG PUCUK UBI 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ikat pucuk ubi | dibersihkan
  • 1/2 kg santan pekat
  • 3 keping asam gelugur
  • 5 batang serai | dititik
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 100gm ikan bilis
  • 2cm kunyit hidup
  • 10 ulas bawang merah
  • 10 biji cili api

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan kisar halus, santan, serai, asam keping, garam dan gula secukupnya.
  2. Masak sehingga santan agak kering dan mengeluarkan minyak barulah dimasukkan pucuk ubi kayu tadi.
  3.   Kacau sehingga kering dan pucuk ubi menjadi gelap dan garing.
  4.     Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

 Info chef: Guna puck ubi yang muda untuk hasil yang enak.

 

 9. RENDANG KIJING 

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm isi kijing | direbus, dibuang kulit dan dibersihkan
  • 2 helai daun kunyit | dihiris halus
  • 1 liter air
  • 2 senduk cili kisar
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 cawan pati santan
  • 2 sudu makan kerisik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

 

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 8 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1cm halia
  • 1cm lengkuas
  • 2 batang serai | dihiris
  • 2cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar halus dan cili kisar hingga cili garing dan pecah minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa agar tidak hangit.
  2. Masukkan kijing dan air. Masak sehingga kijing menjadi empuk dan air kering.
  3. Masukkan santan, kerisik, asam gelugur, garam dan gula. Masak sehingga kuah pekat.
  4. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan gaul rata.
  5. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: Kijing adalah sejenis kerangan yang hidup di sungai. Ia biasanya mudah didapati di sungai Pahang.

 

10. RENDANG JANTUNG PISANG 

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji jantung pisang bersaiz besar | dihiris kasar
  • 2 cawan santan pekat
  • 3 batang serai | dititik
  • 2 sudu makan kerisik
  • 1sudu makan air asam jawa pekat
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 15 tangkai cili kering
  • 5 biji cili padi
  • 7 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas
  • Segenggam udang kering

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan-bahan kisar halus dan santan ke dalam kuali dan masak sehingga santan pecah minyak dengan menggunakan api sederhana.
  2. Kemdian masukkan jantung pisang, air asam jawa, serbuk lada hitam dan kerisik.
  3. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan kacau sehingga sebati dan kering.
  4. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

Info chef: Jantung pisang perlu dihiris kasar bagi mengelakkan ia menjadi terlalu hancur ketika dimasak rendang.

 

 

ANDA JUGA BOLEH CUBA:

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah Masak.

Ini Cara Buat Mi Kuning Tanpa Guna Kapur & Bahan Pengawet.