Adakah anda gemar menggunakan minyak bijan dalam masakan? Kebanyakan orang menggunakan bahan ini kerana ia akan menjadikan bau masakan lebih harum dan menyelerakan. Masih ada yang bertanya tentang fungsi sebenar minyak bijan dalam masakan. Artikel ringkas ini merungkai persoalan anda.
Untuk pengetahuan anda, minyak bijan banyak digunakan di dalam resipi Tionghua, Korea dan Jepun. Baunya harum dan agak kuat. Pendek kata, kita dengan mudah akan mengecam jika sesuatu resipi ada minyak bijan di dalamnya.
Bagi anda yang kurang gemar dengan bau minyak bijan, ia boleh digantikan dengan minyak masak biasa. Selalunya minyak bijan dan biji bijan juga digunakan untuk membuat dimsum dan bebola bijan. Minyak bijan juga tinggi khasiatnya. Pakar herba ada mengatakan minyak bijan mengandungi ciri-ciri anti kanser dan anti bakteria.
Berikut adalah kebaikan minyak bijan (untuk kesihatan) yang mungkin boleh menggalakkan anda untuk lebih banyak menggunakan minyak bijan selepas ini:
KEBAIKAN MINYAK BIJAN
Ads
1. Pencegahan Diabetes Menurut kajian, minyak bijan dikatakan dapat mengurangkan kedua-dua tekanan darah dan glukosa pada penghidap diabetes. Sebuah penyelidikan dari American Journal of Clinical Nutrition juga menunjukkan keberkesanan minyak bijan membantu perawatan kencing manis.
2. Mengurangkan Tekanan Darah Kandungan magnesium dalam minyak bijan menunjukkan ia membantu menurunkan hipertensi atau tekanan darah.
3. Kesihatan Jantung Biji bijan mengandungi nutrien semula jadi di dalamnya yang membantu mencegah serangan jantung.
4. Anti Kanser Selain itu, pengambilan biji bijan dapat mengurangkan risiko kanser. Lebih baik lagi, biji bijan kaya dengan serat yang dapat membantu proses penghadaman dan mengelakkan serangan kanser usus.
RESIPI MENGGUNAKAN MINYAK BIJAN
1. Isi Ayam Masak Bijan
Ads
BAHAN-BAHAN:
400gm isi ayam | dihiris
4cm halia tua | dihiris
2 biji bawang merah | dihiris
3 sudu makan minyak bijan
50gm brokoli | dicelur
Sedikit hirisan lobak merah
1 sudu teh makan bijan
Sedikit garam
Air secukupnya
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak bijan.
Tumiskan halia sehingga berbau harum.
Masukkan ayam, lobak merah dan bawang merah. Kacau rata.
Masukkan air dengan secukupnya. Masak ayam selama 20 minit dengan api yang kecil sehingga mendidih.
Akhir sekali masukkan bijan, brokoli dan garam secukup rasa. Kacau rata.
Angkat dan hidangkan.
2. Korean Beef Bulgogi
Ads
BAHAN-BAHAN
500gm daging
5 ulas bawang putih | dicincang
2 sudu makan kicap cair
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan madu
1 sudu makan gula perang
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu makan cuka epal
BAHAN HIASAN
Daun Bawang
CARA MEMASAK:
Hiris daging nipis-nipis dan cuci bersih.
Gaulkan semua bahan,perapan dengan daging dan perap selama satu jam.
Panggang daging di atas api atau di dalam kuali sehingga masak.
Hidang bersama taburan bijan dan dan daun bawang.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Bagi pelajar lepasan sekolah 18 tahun dan juga mereka yang sudah melebih usia hingga 30 tahun masih belum terlambat kalau nak menyertai institusi pengajian yang popular di Masjid Tanah Melaka. Nama insitut ini ialah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBTN).
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka adalah salah satu daripada 22 buah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan ( (ILKBS). Ia terbuka untuk menampung belia-belia lepasan sekolah yang berumur 18 hingga 30 tahun bagi melahirkan tenaga mahir dan separuh mahir.
IKTBN Alor Gajah mempunyai keluasan tanah 50 hektar terletak 34 km dari Bandaraya Melaka Bersejarah. Salah satu bidang utamanya ialah bidang Hospitaliti. IKTBN Alor Gajah merupakan Pusat Kecemerlangan (Excellent Center) bagi bidang hospitaliti berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang digubal oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bersesuaian dengan kehendak industri.
Kursus-kursus yang ditawarkan dalam bidang Hospitaliti adalah Penyediaan Makanan, Penyediaan Pastri, Penyediaan Roti dan Penyajian. Tahap tertinggi pengajian adalah ditawarkan sehingga tahap 5 (Diploma Lanjutan) bagi kursus Penyediaan Makanan dan Penyajian dan tahap 4 (Diploma Teknologi) bagi Penyediaan Pastri dan Penyediaan Roti.
Di antara pencapaian yang pernah diraih adalah pingat perak bidang Restoran Servis di Pertandingan World Skill Malaysia Belia (WSMB), 2017 di UPM, Serdang. Mendapat pingat emas dan gangsa di National Innovation and Invention Competition Through Exhibition, 2017. Pada tahun lalu IKTBN mendapat pingat emas dan perak dalam kategori Display Wedding. Dan pingat perak juga diperolehi bagi kategori Table Setting Display, Fruit & Vegetable Carving Display ;Malay Heritage’.
Pingat emas juga berjaya dicapai dalam Pertandingan Battle of Skills : Fruits & Vegetable Carving anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun lalu. IKTBN sentiasa memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar dan juga tenaga pengajarnya untuk mengasah bakat dengan menyertai pelbagai pertandingan peringkat Negeri dan juga Kebangsaan.
Maklumat lanjut boleh dilayari di FB : www.facebook.com/ikbnag atau email pada iktbn_agajah@kbs.gov.my.
Hebat kan pencapaiannya, jadi jangan tunggu lagi ya.
LOKASI : KM 34, Ramuan China Besar, 78300 Masjid Tanah, Melaka
Menjejak kaki ke restoran Aroma Hijrah di Taman TTDI Jaya, aroma wangi rempah ratus sudah menusuk ke hidung. Sajian utama berdasarkan daging kambing, dan ayam menjadi menu tarikan ke sini. Pemilik dan Chefnya , Tn Hj Aminudin Resad bermurah hati untuk kongsi resepi rempah ratus sajian Arab bersama RASA.
1. Nasi Maqlubah Kambing
BAHAN-BAHAN :
1 kg beras basmathi /basuh dan rendam setengah jam
2 kg daging kambing /dipotong kiub 2 inchi@ 5 sm
4 sudu makan rempah Maqlubah
1 sudu makan serbuk lada hitam
2 liter air stok daging
2 biji bawang besar /dimayang
10 ulas bawang putih/ diketuk
2 batang kayu manis
10 biji bunga cengkih
10 biji buah pelaga
5 biji cili hijau / potong 1 inci@ 2.5 sm
3 biji lobak merah /dihiris dan goreng kuning keemasan
Daging kambing direbus selama 30 minit, dan ambil air stoknya.
Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
Tumiskan bawang besar dan bawang putih.
Masukkan cili hijau bersama rempah ratus kayu manis, cengkih, pelaga, tumis hingga naik bau.
Masukkan rempah maqlubah dan serbuk lada hitam . Tumis hingga pecah minyak.
Masukkan air rebusan daging kambing dan masukkan garam halus
Didih dengan api perlahan selama 45 minit. Angkat asingkan kambing dan masukkan pula beras.
Kacau dan ratakan beras, laraskan sukatan air kira-kira 40 mm melebihi paras beras.
Biarkan mendidih dengan api sederhana dan tutup api sebelum kering.
Sediakan periuk lain, masukkan satu sudu makan minyak masak.
Masukkan satu senduk daging kambing, masukkan satu lapisan sayuran yang telah digoreng tadi diikuti satu lapisan beras. Lapiskan sayur, daging dan beras secara berselang seli.
Setelah semua dimasukkan keringkan nasi menggunakan api paling kecil selama 20 minit.
Setelah masak ambil dulang dan tutup periuk menggunakan dulang. Angkat periuk dan terbalikkan atas dulang tadi dan ketuk perlahan-lahan bahagian luar periuk.
Tarik periuk keluar perlahan-lahan dan hiaskan nasi dengan hirisan lemon, daun pudina dan tomato.
Saiz hidangan : 8 -10 orang
Waktu memasak : 1 jam 45 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Nasi Arab
Keistimewaan : Berbeza dengan nasi Arab yang lain, nasi Maqlubah menggunakan sayur goreng sebagai ramuan.
INFO CHEF :Nasi Maqlubah adalah sajian Arab yang terkenal di Palestin dan Syria. Campuran daging dan sayur menjadikan ia sajian nutrisi lengkap berempah dan lazat.
2. Ayam Masywi @ Bakar
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam/ seberat 1.8 kg dipotong empat
1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
2.5 sm lengkuas
1/2 sudu makan serbuk kayu manis
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
1/2 sudu makan serbuk buah pelaga
1 biji bawang besar /dikisar
5 ulas bawang putih /dikisar
2.5 sm halia /dikisar
3 sudu makan minyak zaitun
1 sudu makan cuka kurma @ epal
2 sudu makan yogurt
1 sudu garam halus
5 sudu makan madu /yang dicairkan
CARA MEMASAK :
Kesemua bahan dimasukkan dalam pengisar dan tambah 1 cawan air, dan dikisar.
Lumurkan bahan perapan ini pada ketulan ayam dan simpan dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam.
Bakar ayam dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius.
Selepas dikeluarkan dari , biarkan sejuk selama 30 minit.
Sediakan pemanggang, dan bakar ayam atas bara arang selama lima minit.
Sapu madu pada ayam, dan ia siap dihidangkan.
Saiz hidangan : 8-10 orang
Waktu memasak : 1 jam 40 minit
Cara memasak : Bakar dan panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rencah perapan ayam yang lama menyebabkan rasanya meresap ke daging ayam
INFO CHEF : Anda boleh juga memerap ayam semalaman . Campuran yogurt, rempah, madu mencipta kelazatan yang membangkit selera.
3. Sup Kambing Arab
BAHAN-BAHAN :
1 kg daging kambing /dipotong kiub 5 sm
1 sudu makan serbuk jintan manis
1/2 sudu makan serbuk jintan putih
1/2 sudu makan serbuk kulit kayu manis
1 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu makan rempah kurma
2 biji bawang besar /dimayang
10 ulas bawang putih/ dikisar
5 sm halia /dikisar
1.5 liter air stok rebusan daging
10 biji bunga cengkih
1 sudu makan cuka
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga lawang
2 batang saderi
2 biji tomato dipotong dadu
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
Pijarkan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia.
Masukkan semua rempah yang telah dikisar dan segala rempah ratus.
Setelah wangi dan pecah minyak, masukkan air stok dan daging kambing.
Didih atas api perlahan selama satu jam dan masukan garam secukup rasa dan cuka.
Setelah daging hampir empuk, masukkan potongan tomato dan hirisan saderi.
Biar kira-kira lima minit mereneh, dan sup sedia dihidang.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 1 jam 20 minit
Cara memasak : Didih dan reneh
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sup berempah lazat dan menghangatkan tubuh
INFO CHEF: Daging kambing tinggi nilai protin di dalamnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat. Buang buih yang terbentuk ketika merebus daging agar ia tidak berbau.
4. AYAM HANITH PANGGANG
BAHAN-BAHAN :
1 ekor ayam (2 kg) / dipotong empat
2 sudu rempah hanith
1/2 sudu makan garam halus
1/2 sudu pewarna saffron
2 biji bawang holland /dimayang
1 biji lemoh /dihiris bulat
CARA MEMASAK :
Campurkan dan gaul rata rempah hanith, garam dan pewarna saffron.
Ayam yang telah dibersihkan ditabur rata dengan rempah
Lapik lapisan aluminium di atas dulang, dan susun ayam di dalam dulang pembakar.
Taburkan bawang holland dan susun hirisan lemon di atas ayam.
Bakar dalam oven yang dipanaskan dengan suhu 250 darjah celcius selama 2 jam
Ayam masywi sedia dihidang
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam
Cara memasak : Bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Jus ayam yang terhasil bercampur rempah sungguh lazat
INFO CHEF : Ayam biar diperap dengan bahan-bahan ramuan agar rasanya lebih sebati dan meresap ke dalam daging
6. KAMBING HANITH TUMIS RENEH (BRAISED)
BAHAN-BAHAN :
1 kg daging kambing rusuk @bahu/ dipotong kiub 4”
100 gm rempah hanith
2 biji bawang besar /dikisar
5 ulas bawang putih /dikisar
2.5 sm halia /dikisar
2 batang kulit kayu manis
10 biji buah pelaga
5 biji bunga lawang
10 biji bunga cengkih
5 sudu makan minyak zaitun
30 gm daun ketumbar /dihiris
30 gm daun pudina /dihiris
Garam secukup rasa
2 sudu makan yogurt
Hirisan lemon dan daun pudina sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
Pijarkan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia.
Masukkan rempah empat sekawan. Tumis hingga wangi.
Campurkan rempah hanith dengan sedikit air, dikacau dan ditumis
Masukkan yogurt dan daging kambing
Gaul perlahan-lahan selama tiga minit dan pindahkan kesemua bahan dalam dulang pembakar.
Tutup dulang dengan kertas aluminium dan masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan dengan suhu 200 celcius.
Bakar selama dua setengah jam
Setelah siap hidangkan dengan hirisan lemon dan daun pudina.
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam 30 minit
Cara memasak : Tumis, reneh dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Campuran rempah Arab dan rempah ratus lain, melazatkan sajian.
INFO CHEF: Sedap dimakan bersama nasi Arab hanith, mandy dan kabsah, bakar dalam kertas alumuninium agar daging lebih berjus dan tidak kering.
6. Lamb Skewer
BAHAN -BAHAN :
1 kg daging kambing tanpa tulang /dipotong kiub 2”
1/2 sudu makan serbuk jintan manis
1/2 sudu makan serbuk jintan putih
1/2 sudu makan serbuk kayu manis
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
1/4 sudu makan buah pelaga
5 ulas bawang putih /dikisar
2 sm halia /dikisar
3 sudu makan minyak zaitun
1 sudu makan cuka kurma atau epal
2 sudu makan yogurt
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
Basuh daging dan toskan.
Gaul rata semua bahan/rempah pada daging kambing dan diperap selama lima jam.
Setelah diperap, cucuk daging pada besi ‘skewer’ atau lidi buluh.
Bakar hingga masak di atas bara api, balik-balikkan hingga masak menyeluruh
Lamb skewer siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rasa rempah yang kuat dan rencah lain sungguh sedap dengan tambahan yogurt dan cuka epal
INFO CHEF :Usah panggang terlalu lama ia akan menyebabkan daging kering dan hilang jus. Perapan yang lebih lama, adalah lebih sedap dan sebati rasanya.
7. Puyuh gril dengan madu
BAHAN-BAHAN :
10 ekor burung puyuh
1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
2.5 sm halia /dikisar
1/2 sudu makan serbuk kayu manis
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
Sedikit perahan lemon
Sedikit garam lemon (lemon salt)
Sedikit serbuk kunyit atau saffron
Sedikit serbuk cili
5 sudu makan madu /dicairkan sedikit dengan air panas
CARA MEMASAK :
Kesemua bahan dan rempah di atas digaul rata bersama daging puyuh dan diperap sekurang-kurangnya lima jam.
Daging puyuh yang telah diperap disusun atas jaring pemanggang dan dipanggan atas bara api dengan kepanasan sederhana.
Sentiasa balik balikkan agar tidak hangus.
Selepas 10 minit angkat dan sapu dengan madu yang telah dicairkan.
Daging puyuh sedia dihidang
Saiz hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 10 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Daging puyuh lembut dimakan. Sapuan madu melazatkan ramuan
INFO CHEF :Semasa memanggang, tuangkan air lebihan perapan di atas daging. Daging puyuh ini juga dihidangkan bersama nasi Arab atau dimakan begitu sahaja
8. Lamb Shank Bukhary
BAHAN-BAHAN :
4 ketul daging kambing shank (bahagian kaki bawah lutut /betis)
4 sudu makan rempah bukhary
3 sudu makan puri tomato
1.5 liter air stok rebusan daging
2 biji bawang besar /dikisar
10 ulas bawang putih/ diketuk
5 sm halia
2 batang kayu manis
50 gm daun ketumbar /dihiris halus
5 biji bunga cengkih
5 biji buah pelaga
5 biji bunga lawang
5 biji cili hijau /dipotong 2.5 sm
2 biji tomato dipotong empat
2 sudu makan minyak masak
2 sudu makan minyak sapi
Garam secukup rasa
Sedikit pewarna saffron
CARA MEMASAK :
Rebus daging sehingga 30 minit
Angkat dan keluarkan daging, ketepikan.
Panaskan oven pada suhu 250 celcius selama 10 minit.
Panaskan minyak masak dan masukkan sekali minyak sapi.
Tumis bawang besar dan bawang putih dan masukkan cili hijau berserta rempah ratus empat sekawan.
Masukkan pula rempah bukhari dan puri tomato, kacau dan tumis hingga pecah minyak.
Masukkan hirisan daun ketumbar dan tomato
Masukkan air rebusan kambing
Masukkan garam dan pindahkan kesemua bahan di dalam dulang pembakar dan tutup dengan kertas aluminium
Bakar di dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius. Keluarkan dan ia siap dihidang.
Saiz hidangan : 4 – 6 orang
Waktu memasak : 1jam 40 minit
Cara memasak : Rebus, tumis dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sedap dimakan bersama nasi bukhari atau roti Naan/roti Arab
INFO CHEF : Semasa membersihkan daging buangkan tisu liat agar ia mudah empuk.
RESEPI : HJ AMINUDIN RESAD
Terima kasih : RESTORAN AROMA HIJRAH, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor
Terdapat banyak jenis tepung yang dijual di pasaran. Malah ada diantaranya yang anda sendiri pun tidak pernah jumpa dan guna. Kalau nak tahu, semua tepung-tepung ini mempunyai fungsi serta kegunaanya yang tersendiri. Ada yang sesuai untuk masakan, kuih muih, kek , roti dan sebagainya. Antara yang ada dijual ialah:
JENIS-JENIS TEPUNG DI PASARAN
1. TEPUNG SERBA GUNA
Tepung serbaguna ialah tepung yang sesuai untuk semua jenis masakan.
2. TEPUNG BERPROTEIN TINGGI
Tepung berprotein tinggi sesuai untuk membuat roti kerana tepung ini mempunyai daya menganjalnya agak tinggi membuatkannya lebih sempurna setelah diadun dengan yis. Tepung ini mempunyai tahap gluten yang tinggi.
3. TEPUNG BERPROTEIN RENDAH
Tepung berprotein rendah pula lebih sesuai digunakan untuk membuat kuih pau & roti kukus.
4. TEPUNG GANDUM
Tepung gandum biasa banyak dipasarkan secara komersial dan selalu digunakan dalam aktiviti memasak seharian. Fungsinya sama dengan tepung serbaguna.
5. TEPUNG NAIK SENDIRI/SELF RAISING FLOUR
Tepung naik sendiri ialah tepung yang mengandungi kandungan serbuk penaik serta sedikit soda penaik (baking powder / soda bicarbonate). Sesuai digunakan untuk membuat kek.
6. TEPUNG SUPERFINE atau SOFT FLOUR
Tepung Superfine juga dikenali dengan nama soft flour. Tekstur tepung ini halus seperti tepung naik sendiri tetapi tidak mengandungi bahan penaik didalamnya seperti self raising flour.Tepung ini dikategori dalam tepung low protien.
7. TEPUNG ROSE
Tepung ini mengandungi bahan yang boleh merangupkan biskut . Biskut yang diperbuat dengan menggunakan tepung ini akan menjadi lebih rangup jika dibandingkan dengan biskut yang diperbuat dari tepung gandum.Tepung Rose juga dikenali sebagai Tepung Top dan Tepung cookies.
8. TEPUNG HONG KONG
Tepung Hong Kong ialah sejenis tepung yang digunakan untuk membuat pau. Ia juga dikenali dengan nama Water Lily Flour dan berwarna sangat putih.
9. TEPUNG PULUT
Tepung pulut mempunyai rupa seakan tepung beras namun ia mengandungi 100% beras merah asli. Ia kaya dengan vitamin E dan B serta mudah dicerna.
10. TEPUNG WHOLEMEAL
Tepung gandum tulen juga dikenali dengan nama tepung atta. Ia mengandungi serat gandum yang tidak hancur. Tepung ini tidak boleh diayak dan jika digunakan, roti atau muffin yang dihasilkan akan mempunyai tekstur yang agak berat.
11. TEPUNG KASTAD
Selain mewangikan, tepung kastad berfungsi untuk merapatkan tekstur kek. Tepung ini juga menjadi bahan penting dalam penghasilan untuk cream puff dan pudding.
12. TEPUNG UBI
Tepung ubi berfungsi untuk meliatkan adunan dan selalu digunakan dalam penghasilan kuih muih.
13. TEPUNG JAGUNG
Tepung jagung berfungsi sebagai agen pemekat dan jika digunakan untuk gorengan atau biskut, ia akan menghasilkan bahan gorengan dan biskut yang rangup.
Ada banyak lagi tepung-tepung yang ada dijual di pasaran seperti Tepung Kentang, Tepung Optima dan beberapa lagi yang kita sendiri belum pernah cuba guna. Oleh itu, sebelum membeli, kenal pasti jenis serta kegunaan agar masakan anda menjadi dan tidak tersilap bahan.