Penat bekerja sesekali nak juga release stres yang ada. Bukan selalu dapat bercuti lama dengan kekangan masa dan kerja yang tak pernah habis. Kali ni destinasi percutian pilihan adalah India. Bila sebut bercuti ke India buat permulaannya, memang ramai orang yang mempersoalkan. Kenapa India? Bukankah negara itu kotor? Selamat ke pergi sana?
Memang itulah yang sering orang perkatakan tentang negara India ini. Tetapi yang mereka tidak tahu ialah sesetengah negeri di India itu sendiri tersangatlah cantik pemandangannya, terutamanya di Kashmir yang digelar heaven on earth! Tapi memanglah tidak dapat dinafikan, sesetengah tempat di India itu memang kotor, tapi yang pentingnya, pengembaraan saya dan dua orang rakan adalah untuk melihat kebesaran bumi ciptaan Allah swt.
Hampir dua minggu di sana, kami berpeluang merasai dua keadaan cuaca iaitu sejuk dan panas. Antara tempat yang saya dan teman-teman sempat kunjungi adalah Kashmir, Shimla, Jodphur, Jaipur, Agra dan Delhi.
India gate.
Kashmir syurga dunia Lima hari kami habiskan masa di Kashmir, pemandangan di sana memang sungguh menarik. Kami sempat bermain salji di Sonamarg dan Gulmarg, menikmati keindahan alam dengan menaiki kuda di Pahalgam dan bermalam di houseboat yang terletak di Dal Lake. Pertama kali dapat menyentuh salji satu perasaan yang memang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Awesome! houseboat di Dal Lake.
Pemandangan yang ada di Kashmir memang antara yang terbaik pernah kami lawati. Kami juga sempat melawat kebun tulip dan juga beberapa tempat tumpuan pelancong yang ada di sekitar kawasan bandar Srinagar, yang merupakan ibu kota negeri Jammu dan Kashmir di India.
Masjid di Srinagar
Penduduk di Kashmir 95 peratus adalah Muslim, jadi memang tidak ada masalah untuk cari makan. Pendek kata memang kenyang kami sepanjang berada di sana. Cuaca pula sejuk memang asyik lapar sahaja. Penduduk di Kashmir juga peramah dan nampaknya nama Malaysia memang terkenal di kalangan penduduk sana.
Lima hari di Kashmir kami meneruskan perjalanan ke Shimla. Tempatnya sejuk macam Cameron Highlands. Pemandangan di sini juga cantik, bentuk muka bumi yang berbukit memerlukan kami menapak banyak anak tangga walaupun hanya mahu ke rumah tumpangan yang kami tinggal. Apa yang saya lihat orang India ni memang suka berniaga. Kat mana sahaja walaupun ruang yang kecil mereka akan berniaga. Di Shimla ni tak payah cerita, kedainya di sekeliling bukit yang kami terokai itu rasanya. Deretan kedai menjual pelbagai jenis barangan tersedia di sini. Buah-buahan tersangat murah . Sempat kami beli ceri hanya dengan harga lebih kurang RM10 dapat sekotak penuh.
Naik keretapi 18 jam Satu malam di Shimla, perjalanan diteruskan ke Jodphur. Ini paling mencabar sebab kami naik keretapi selama 18 jam. Keretapi kat India ada beberapa kelas. saya dan rakan-rakan pilih kelas kedua dengan katil 3 tingkat bukan 2 tingkat ya. Nasib baik berhawa dingin dan jiran-jiran dalam keretapi pun ok, jadi perjalanan kami walaupun lama agak selesa.
Sampai di Jodphur cuaca memang panas. Hampir 40 darjah celsius. penghawa dingin yang dipasang dalam bilik pun tak terasa. Memang kena minum banyak air untuk elakkan dehidrasi dan terkena strok haba. Satu malam di Jodphur, kami sempat melawat ke Mehrangarh Fort dan buat aktiviti flying fox di sana. Semuanya kami buat tempahan secara online, lebih murah dan dapat sesi pagi untuk elakkan cuaca yang panas.
Mehrangarh Fort, Jodphur.
IKLAN
Kami meneruskan perjalanan untuk jelajah Golden Triangle India iaitu Jaipur, Agra dan Delhi. Sekali lagi kami naiki keretapi ke Jaipur, Rajasthan. Tempat ini juga dikenali sebagai Pink City, sebab menurut mereka banyak bangunan yang berwarna merah jambu yang sebenarnya bangunan daripada warna asli batu bata tu. Kali ini tak lama dan kami naiki 2nd class biasa yang berkerusi. Lima jam dalam perjalanan kami sampai ke stesen keretapi Jaipur. Kami ambil auto atau tuk tuk untuk ke hotel penginapan kami dan esoknya menjelajah Jaipur, Hawa Mahal, City Palace dan beberapa tempat lagi. Cuaca di Jaipur juga panas seperti di Jodphur, jadi air minuman memang sentiasa ada sebagai bekalan.
Dua malam di Jaipur, perjalanan diteruskan pula ke Agra. Nak tengok Taj Mahal yang tersenarai sebagai 7 Benda Paling Ajaib di dunia. Seawal pagi kami keluar dari hotel menuju ke stesen keretapi. Keretapi memang jadi pengangkutan utama orang India untuk destinasi yang jauh. Setiap kali ke stesen keretapi memang orang ramai sangat. Seawal 6.30 pagi kami ke Taj Mahal. Masa ni orang tak berapa ramai lagi, dapatlah kami melihat keindahan Taj Mahal yang merupakan lambang cinta agung Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal. Kami juga sempat melawat ke Agra Fort yang turut menjadi tarikan di situ.
Satu malam di Agra, kami menaiki kereta ke Delhi. Tiga jam perjalanan ke Delhi dan kami sampai lebih kurang jam 3 petang. Lepas daftar masuk hotel kami yang terletak di Main Bazar kami terus keluar ke Chandni Chowk yang terkenal sebagai tempat untuk membeli belah.
Kat sini kami gunakan metro yang sama seperti LRT kat Malaysia. Harganya murah dan mudah untuk dinaiki. Dah penat pusing kedai, kami sempat singgah di Red Fort dan Town Hall untuk bergambar. Tibalah hari terakhir di India, kami sempat ke India Gate dan juga Bangunan Parlimen yang terletak berdekatan. Cuaca yang panas buatkan kami tak lama berada di situ, lalu kami pulang ke hotel dan berkemas untuk ke lapangan terbang.
Nasi Beriani dan Prata jadi pilihan
Tak perlu risau tentang makanan yang ada di sana kerana India mempunyai pilihan makanan halal untuk pelancong yang datang. Agama Islam adalah agama kedua terbesar selepas agama Hindu di sana, jadi tak susah kalau nak cari makanan halal. Makanan mereka juga enak dan kena dengan tekak kami. Antara makanan yang selalu menjadi pilihan kami adalah beriani dan juga roti prata.
IKLAN
Beriani di Malaysia dan juga beriani di India memang lain rasanya. Mereka banyak menggunakan rempah ratus dalam makanan mereka dan rasanya agak pedas. Begitu juga dengan kari dan kuah-kuah yang ada, rasa rempah dalam makanan mereka amat ketara tapi Alhamdullilah perut kami dapat menerimanya. Walaupun agak pedas, tapi tetap sedap dan menyelerakan. Mungkin juga penggunaan rempah dalam makanan mereka itu sesuai untuk beberapa bahagian di negara mereka yang mempunyai empat musim, contohnya di Kashmir dan Simla yang ketika kami kunjungi agak sejuk berbanding tempat-tempat lain.
Roti prata atau kalau di sini lebih dikenali sebagai roti canai juga agak lain teksturnya. Ia lebih liat dan rasanya tidak selemak roti canai yang ada di negara kita. Jika dimakan bersama kuah mereka yang berempah atau dengan ayam masala memang satu gabungan yang padu.
dinner kami di tempat penginapan
Ketika di Kashmir kami ada juga mencuba makanan jalanan yang ada di sana. Kami lebih yakin untuk cuba makanan di sana kerana rata-rata penduduk di sana adalah muslim selain melihatkan keadaan yang bersih di sekitarnya. Selain beriani dan prata, kami juga suka makan samosa sepanjang berada di sana. Bentuknya sama seperti samosa di Malaysia, Cuma intinya lebih kepada sayur-sayuran yang digoreng bersama rempah.
makanan jalanan yang ada di Kashmir
Memang banyak pengalaman baru yang saya dapat ketika berada di India. Apa yang saya dapat simpulkan, India memang banyak tempat menarik untuk dilawati. Walaupun ada sesetengah tempatnya memang kotor dengan cuaca yang panas dan bau yang tidak menyenangkan, ia masih lagi ok untuk dijadikan salah satu tempat dalam wishlist seorang pengembara. Kan orang kata banyak berjalan luas pandangan!
Perkongsian: Shahrina Azlin Abdullah
IKLAN
Dikongsi juga resipi masakan India oleh Puan Maria yang popular di page Cookings By Mariayang boleh anda cuba.
MUGHLAI CHICKEN
BAHAN PERAP:
500gm ayam | potong kecil
2 ulas bawang putih | kisar
2cm halia | kisar
2 sudu teh garam
1 sudu teh garam masala
1/2 biji jus limau nipis
BAHAN-BAHAN:
3-4 sudu makan mentega
1 sudu makan minyak masak
2 sudu makan minyak sapi | boleh gantikan dengan lebihan minyak dan mentega
1 keping kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
2 helai daun bay
2 biji bawang besar | kisar
3 ulas bawang putih | kisar
3cm halia | kisar
2 sudu teh serbuk cili
2 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
1/4 sudu teh serbuk kunyit
1/4 sudu teh serbuk garam masala
15 biji badam | kisar jadi pes
1/4 cawan yogurt
3-4 sudu makan krim putar (whipping cream)
Garam secukup rasa
1-2 cawan air
Sedikit hirisan daun ketumbar
CARA MEMASAK:
1. Perap ayam bersama bawang putih kisar, halia kisar, garam, garam masala dan jus limau nipis. Biarkan selama 30 minit.
2. Cairkan mentega bersama minyak masak. Goreng ayam tadi hingga masak dan kekuningan. Ketepikan.
3. Dalam kuali berlainan, panaskan minyak sapi. Jika tiada, boleh juga guna lebihan mentega untuk menggoreng ayam tadi.
4. Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan daun bay hingga wangi.
5. Kemudian masukkan kisaran bawang dan bawang putih. Tumis hingga wangi.
6. Tambahkan serbuk cili, serbuk kunyit, serbuk ketumbar serta serbuk jintan putih. Masak selama 2-3 minit.
7. Tambahkan pes badam. Kacau dan setelah mendidih, masukkan 1 cawan air. Biarkan mendidih sekali lagi.
8. Masukkan ayam yang digoreng terlebih dahulu tadi. Kacau dan bila kuah semakin pekat, masukkan krim putar dan yogurt. Biarkan mendidih selama 1-2 minit.
9. Perasakan dengan garam dengan secukupnya, garam masala dan juga daun ketumbar.
10. Tutup kuali dan biarkan mereneh seketika. Padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Untuk menyediakan pes badam, rendam badam dalam air panas selama 10 minit. Buang kulit dan kisar bersama sedikit air hingga menjadi pes pekat.
Inginkan kudapan untuk dikunyah, manisan dari Timur Tengah . Dah nak puasa ni sedap juga makan moreh dengan manisan Arab ni. Manis dan berempah secukup rasa, bahan rempahnya dari saffron, pes kurma, kekacang, yogut dan susu dalam manisan dan ‘dessert’ mereka.
Tak payah tunggu ke Timur Tengah, kat Malaysia kita pun ada kedainya. Jom pakat singgah Damas Sweets di Taman Serdang Perdana, Selangor atau cawangannya di Verandah Plaza Shah Alam, macam-macam manisan ada. Boleh juga kalau nak cuba buat sendiri, resipi dari Ezat dan Abdul Rahman Mohd Al Tahan usahawan dari Syria ini boleh dijadikan rujukan.
Abdul Rahman (kiri sekali) dan ezat (kanan sekali)
Jom semak 5 resepi manisan yang popular di Timur Tengah ini.
1.BASBOSA
BAHAN-BAHAN :
500 gm semolina @ suji (tepung berbiji /kasar dibuat dari gandum durum )
250 ml air
250 gm gula
50 gm mentega @ minyak sapi /dicairkan
8 gm serbuk penaik
10 gm serbuk kulit kayu manis
1 sudu makan tahina (pes@ sos bijan)
350 gm sirap (campuran gula dan madu,)
300 gm kacang pistachio
CARA MEMASAK : 1. Campurkan semolina dengan serbuk kulit kayu manis, serbuk penaik dan gula hingga sebati. 2. Masukkan mentega yang dicairkan dan kemudian masukkan air secara sedikit sedikit sedikit. Gaulkan dan campurkan sekali sahaja. 3. Sapukan sos bijan di atas dulang pembakar. 4. Tuangkan campuran tadi perlahan-lahan di dalam dulang pembakar (ketebalan hanya 2 sm sahaja. 5. Biarkan campuran berehat selama 8-12 minit dalam suhu bilik, sebelum ia dibakar ( boleh juga dibuat pada sebelah malam untuk dibakar esoknya) 6. Letakkan kacang pistachio di atasnya dan tekan perlahan agar ia melekat pada permukaan. 7. Masukkan dulang ke dalam oven yang sudah dipanaskan, dan bakar selama 20 minit dengan suhu 180 darjah celcius. 8.Keluarkan dulang dan potong bentuk empat segi (5-6 sm) 9. Sambung bakar dalam suhu yang sama. Lagi 20 minit atau sehingga perang keemasan. 10. Keluarkan dulang dan tuangkan sirap panas di atas barbosa tadi. 11. Basbosa siap dihidang.
Saiz hidangan : 35 keping Masa memasak: 1 jam 40 min Jenis masakan : Manisan Cara memasak : Bakar Keistimewaan : Tepung semolina memberikan rasa lembut berbiji. Rasa yang manis dan berkacang dengan aroma kayu manis
INFO CHEF : Untuk mendapatkan rasa yang lebih ‘kaya’ berkrim anda boleh menambahkan dua sudu makan susu tepung.
2.MOHALABIA MILK PUDDING
BAHAN-BAHAN :
1000 ml susu segar
80 gm tepung jagung
60 ml air
2 ml blossom water (esen dari bunga)
5 ml air mawar
100 gm gula
1/2 sudu teh esen vanilla
1 gm mastic @mistekah /jadikan serbuk (sejenis gam arab memberi perisa)
100 ml krim putar
100 gm kacang pistachio
5 gm serbuk kulit kayu manis
CARA MEMASAK : 1. Campurkan susu dan vanila ke dalam periuk, nyalakan api. 2. Selepas 10 minit apabila susu sudah menjadi panas, masukkan gam arab dan gula sambil mengacau hingga gula larut dalam susu. 3. Campurkan air dan tepung jagung sehingga pekat melekit. 4. Apabila susu mula mendidih, masukkan campuran tepung jagung sambil mengacau selama lima minit. 5. Perlahankan api selama lima minit. 6. Masukkan krim putar dan air mawar,sambil kacau perlahan-lahan. 7. Setelah itu alihkan periuk dari api, dan tuangkan mohalabia panas ke dalam bekas sesuai. 8. Biarkan sejuk selama 20 minit dan hiaskan dengan pistachio dan kulit kayu manis di atas 9. Simpan dalam peti sejuk dulu, setelah sejuk baru dihidang.
Saiz hidangan : 7 mangkuk (150 gm tiap satu) Masa memasak : 1 jam 30 min Jenis masakan : Puding Cara memasak : Didih dan reneh, dan dinginkan dalam peti sejuk Keistimewaan : Puding dingin lemak berkrim dan rasa susu yang enak
INFO CHEF : Anda boleh menambahkan biskut mentega sebagai lapisan bawah atau memasukkan serbuk koko di dalam susu jika anda mahukan rasa bercoklat.
3. BAKLAVA WITH WALNUTS
BAHAN-BAHAN:
700 gm doh filo@phyllo (14 lapisan nipis)
200 gm mentega
Bahan inti :
300 gm walnut / ditumbuk kasar
8 gm serbuk kayu manis
300 gm sirap
1/4 sudu teh air mawar
1/4 sudu teh air blossom (esen dari bunga)
CARA MEMASAK : 1. Ambil mangkuk dan masukkan walnut, kayu manis, air blossom dan air mawar. Gunakan sudip dan kaup balik biar ia bercampur sempurna. 2. Ambil bekas lain, cairkan mentega. 3. Sediakan dulang pembakar bersaiz 13 atau 9 inci. (33 sm atau 23 sm). 4 .Ambil doh filo dan sapukan dengan sedikit mentega. Letakkan di dalam dulang pembakar. 5. Ulangi langkah (sebanyak 7 lapis ) iaitu separuh dari doh filo. 6. Letakkan inti secara rata menyeluruh menutupi doh filo. 7. Ulangi langkah, dan habiskan baki lapisan doh filo di atas inti. 8 .Gunakan pisau tajam untuk memotong tepi doh, dan potong ikut bentuk yang disukai. 9. Sapukan mentega di atasnya. 10 .Panaskan oven dengan suhu 180 darjah celcius. 11. Bakar baklava selama 35 hingga 45 minit sehingga perang keemasan. 12. Keluarkan baklava dari oven dan tuang kan sirap dengan segera. Biarkan ia sejuk, baharulah boleh dipotong untuk dihidangkan.
Saiz hidangan : 20 keping Masa memasak : 1 jam 35 min Jenis masakan : Manisan Cara memasak : Bakar Keistimewaan : Doh nipis menyebabkan ia rangup dan garing
INFO CHEF : Doh Phyllo atau filo yang sudah siap ada dijual di kedai Damas Sweets atau di pasaraya atau kedai runcit Arab. Rasanya tidak terlalu manis kerana campuran kacang menjadikan ia snek rangup yang digemari
4.KRIM KARAMEL DENGAN SAFFRON
BAHAN-BAHAN:
1000ml susu segar
4 biji telur
300 gm gula (dibahagi 100 gm dan 200 gm)
2.5 gm esen vanilla
2-3 helai saffron
Bahan hiasan : Sedikit saffron Kulit kayu manis
CARA MEMASAK : 1. Ketukkan safron dan tambahkan 1/4 cawan air panas untuk mendapatkan warna dan rasa saffron. 2. Didihkan susu elama 10 minit dan biarkan reda ke suhu 45 darjah celcius. 3. Pukul telur dan tambahkan 100 gm gula, sambil mengacau. 4. Masukkan susu sedikit demi sedikit sehingga habis. Masukkan esen vanilla. 5. Tapiskan campuran dengan penapis Cara masak gula karamel : 6. Masukkan 200 gm gula ke dalam periuk (tak melekat), di atas api yang sederhana. Biarkan ia bertukar menjadi perang. 7. Masukkan karamel di dalam mangkuk, bahagikan sama rata. 8. Tuangkan campuran krim di atas gula karamel tadi 9. Letakkan mangkuk di dalam dulang yang berisi air (paras separuh dari mangkuk) 10. Masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan dengan suhu 165 darjah celcius. 11. Periksa permukaan krim karamel selepas 40 minit (ia seharusnya memekat dan membentuk lapisan atau tekstur seperti jelly di atasnya. 12. Tambahkan air panas di dalam dulang, sehingga separuh dari paras mangkuk. 13. Bakar lagi 20- 30 minit untuk mendapatkan warna emas. Bila sejuk masukkan dalam peti sejuk selama 2 jam. Terbalikkan krim karamel sebelum dihidang.
Saiz hidangan : 7 mangkuk, 150 gm tiap satu Masa memasak : 1 jam 30 min Jenis masakan : Puding Cara memasak : Bakar secara ‘baine marie’, dulang pembakar di dalam bekas berair. Keistimewaan : Puding manis berkrim dan berempah
INFO CHEF : Penggunaan rempah arab popular , saffron memberikan rasa unik dan lazat dan membezakannya dari krim karamel yang biasa.
5.DATE BALLS
BAHAN-BAHAN :
50 gm pes kurma
100 gm mentega atau minyak sapi
200 gm kacang / ditumbuk kasar
8 gm serbuk kayu manis (jika suka)
20 gm serbuk buah pelaga
CARA MEMASAK : 1. Cairkan mentega di dalam periuk atas api dan masukkan pes kurma. 2. Masakkan campuran selama 10 minit dan sentiasa kacau menggunakan sudip. 3.Padam api dan biarkan ia menjadi kurang panas/suam 4 .Masukkan buah pelaga dan serbuk kayu manis dan gaulkan sebati. 5. Potong doh dalam kepingan kecil (20 gm setiap satu) dan bulatkan ia. 6. Letakkan kekacang atau kuaci yang dipanggang di atas dulang. Ikut salutan yang anda suka. 7. Masukkan dalam cawan kertas, dan ia siap untuk dimakan.
Saiz hidangan : 40 keping (20 gm setiap satu) Masa memasak : 1 jam Jenis masakan : Snek dan pencuci mulut Cara memasak : Bakar secara ‘baine marie’, dulang pembakar di dalam bekas berair. Keistimewaan : Bebola kurma ini lembut di dalam dan rangup di luar kerana salutan kekacang panggang Anggaran kos : RM 40
INFO CHEF :Anda boleh memilih untuk menyalut bebola kurma ini dengan kacang atau bijirin panggang yang disukai.Samada badam, pistachio, kuaci yang ditumbuk halus atau kasar.
6.BUTTER COOKIES WITH ANISE SEED
BAHAN-BAHAN :
500 gm tepung gandum
325 gm mentega tanpa garam
100 gm mentega putih ( dari sumber sayur)
150 gm gula aising
1/4 sudu teh vanilla
25 ml air
30 gm jintan manis
CARA MEMASAK : 1. Adunkan tepung dengan dua jenis mentega dan gula aising (suhu bilik). Masukkan juga esen vanilla. 2. Apabila teksturnya menjadi lembut, masukkan air dan adun dengan lembut sehingga ia menyerap kesemua air. 3. Tebarkan doh di atas meja, gunakan pencanai (letakkan sedikit tepung agar tidak melekat) dan canaikan doh menjadi 5mm tebal. 4. Gunakan acuan dan terap doh ikut bentuk yang disukai. Susun di dalam dulang pembakar dan taburkan jintan manis di atasnya dan tekan perlahan. 5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 145 darjah celcius selama 30 minit sehingga keperangan.
Saiz hidangan : 150 keping Masa memasak : 1 jam 30 min Jenis masakan : Biskut Cara memasak : Bakar Keistimewaan : Kaya dengan rasa mentega dan jintan manis menambah kelazatan
INFO CHEF : Anda boleh menambah halia, serbuk koko atau pewarna untuk mendapatkan rasa dan rupa yang bervariasi.
Terima kasih : DAMAS SWEETS SDN BHD, B-G-7 & 8 TAMAN SERDANG PERDANA, SERI KEMBANGAN, SELANGOR, & VERANDAH PLAZA SHAH ALAM
Sangat menarik Perisa PERi PERi kali ini, selalunya sos berperisa tapi kali ini Kicap pula! PERi-PERi Kicap baharu Nando’s ialah adunan lazat Sos PERi-PERi yang pedas dengan rasa biasa Kicap Malaysia. Dengan rempah ratus yang dimasak pada tahap sederhana, Nando’s ingin memastikan semua orang dapat menikmati rasa baharu tetapi biasa, sama seperti masakan nenek kita. Dengan slogan #MadeWithFeeling, Nando’s menyampaikan kelazatan dan nostalgia semuanya pada sesuap ayam yang dipanggang dengan penuh kasih sayang dan perhatian.
Dengan pelancaran perisa baharu yang eksklusif ini, Nando’s juga menawarkan tawaran hidangan menarik untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia untuk masa yang terhad! Sebuah keluarga yang terdiri daripada 4 orang boleh menikmati hidangan dengan harga kurang daripada RM24 seorang.
Nikmati hidangan pinggan pesta (party platter) bersama rakan dan keluarga anda pada harga kurang daripada RM24 seorang apabila anda menjamu selera di mana-mana kedai Nando’s! Pinggan pesta termasuk:
1x Ayam seekor
1x Kerepek Keledek dengan PERinaise
4x Hidangan Sampingan
4x Minuman ringan tanpa had
Harga: RM95 (RM23.75 seorang)
Tidak mahu makan di kedai? Pinggan Tapau (Taupau Platter) sesuai untuk anda! Ambilnya dari salah satu cawangan kami, atau pesan Pinggan Keluarga (Family Platter) melalui mana-mana rakan kongsi penghantaran kami. Semua pinggan promosi bukan makan di kedai termasuk:
1x Ayam seekor
4x Nata Portugis
4x Hidangan Sampingan
4x Minuman
Harga: RM99 (RM24.75 seorang)
Anda juga boleh menggunakan kod ini mendapat diskaun sebanyak 15%
Kod Promosi “Chicken15” untuk Diskaun 15%
Dapatkan diskaun 15% apabila anda membawa pulang atau pra-pesanan Ayam seekor secara atas talian dengan menggunakan kod promosi “Chicken15”.
Kod Promosi: Chicken15
Harga: RM44.97 (Harga biasa RM52.90)
Perisa PERi-PERi Soya Nando’s kini boleh didapati di cawangan Nando’s di seluruh negara untuk masa terhad dari 6 Disember 2021 hingga 27 Februari 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.nandos.com.my atau ikuti laman Facebook Nando’s Malaysia di www.facebook.com/NandosMY.
Nando’s mengeluarkan video promosi yang menggambarkan cara mereka membuat makanan mereka dengan perasaan, dan dengan begitu banyak rasa! Tonton video itu di sini:
Jika anda penggemar sajian barat tetapi mahukan sedikit sentuhan Asia dan Melayu, Trust Issue Kafe ‘wajib’ dikunjungi. Menu campuran barat dan timur ini lah yang disebut fusion.
Terdapat lebih 50 menu di sini,menarik bukan. Daripada jumlah itu menu spageti sahaja ada 9 pilihan. Spageti ayam perciknya memang ‘ummphh’. Pasta barat tapi sos atau kuahnya lari dari kebiasaan.
Jika selama ini anda terbiasa dengan spageti bolognese,carbonara dan aglio olio, di sini anda boleh cuba spageti dengan kuah berbeza. Stir Fried Beef Spaghetti dan Crab With Salted Egg Spaghetti adalah antara dua menu popular dan laris.
Restoran ini dimiliki anak muda, Muhammad Attiq Hanafi, 27 tahun, bersama dua lagi rakan kongsi. Barisan ‘dapurnya’ pula diketuai oleh Chef Anwar Ayob,27 tahun. Mereka membuat R & D sendiri sebelum mencipta menu. Sesuai dengan sajian fusion ramuan masakan di sini banyak menggunakan herba dan rempah ratus.
Selain itu terdapat sajian nasi dengan Masak lemak daging salai, Kambing Kicap, Burrito, Cheesy Creamy Meatballs, Munchy Bytes yang lazat.
Hiasan dalam kafe ini pun sangat unik. Moden kontemporari dengan konsep ‘industrial’. Lokasinya selesa untuk bersembang dan bertemu keluarga dan rakan.
Di sini juga terdapat dessert pelbagai jenis kek gebu yang istimewa. Set sajian utama bersama air, harganya bermula dari RM 20.
Menu air yang menarik perhatian pastinya Harley Quinn, Joker, Virginia Sunset yang dibancuh oleh barista berpengalaman. Air berwarna dengan rasa lemon, strawberi, rose memang sedap.
Jadi jika anda berkelapangan jom menjamu selera di sini
Kafe Trust Issue KL: Alamat : 102,Jalan Dwitasik, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri , KL Waktu operasi : Isnin-Khamis 12 tghari hingga 12 malam Sabtu-Ahad : 12 tengahari hingga 1 pagi Jumaat : 4 ptg hingga 1 pagi