Ads

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Bila masuk ke bakeri atau kafe, memang mudah rasa keliru bila tengok deretan jenis roti yang nampak hampir sama. Ada yang panjang dan rangup, ada yang gebu dan bermentega, ada yang mempunyai permukaan keras, manakala sesetengahnya pula kelihatan lebih rustic dengan tekstur berongga di bahagian dalam.

Walaupun semuanya berada dalam kategori roti, setiap satu sebenarnya mempunyai karakter yang berbeza dari segi bahan, kaedah penyediaan, tekstur, rasa dan juga cara menikmatinya.

Ada roti yang sesuai dijadikan sandwic, ada yang lebih sedap dimakan bersama sup, manakala ada juga yang paling sesuai disapu mentega atau dijadikan sarapan. Jadi, kalau selama ini anda selalu tertukar antara baguette, brioche, ciabatta, sourdough, focaccia dan wholemeal bread, ini perbezaannya.

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya

1. Baguette

Jenis Roti

Baguette merupakan antara roti yang paling mudah dikenali kerana bentuknya yang panjang, langsing dan mempunyai permukaan berkerak.

Roti ini berasal dari Perancis dan biasanya dibuat menggunakan bahan yang cukup asas seperti tepung gandum, air, yis dan garam. Walaupun bahan yang digunakan ringkas, teknik penyediaan dan proses fermentasi memainkan peranan penting dalam menghasilkan baguette yang mempunyai kerak luar rangup tetapi bahagian dalam masih lembut dan ringan.

Apabila dipotong, bahagian dalam baguette biasanya mempunyai rongga udara kecil hingga sederhana. Teksturnya tidak terlalu padat dan paling sedap dimakan ketika masih segar.

Baguette juga sangat serba guna. Ia boleh dipotong dan disapu mentega, dijadikan garlic bread, dimakan bersama sup atau digunakan sebagai asas sandwic.

Sesuai dimakan dengan:
Mentega, jem, keju, sup, telur, daging panggang atau dijadikan sandwic.

2. Brioche

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Jika baguette terkenal dengan tekstur rangup, brioche pula berada di hujung yang berbeza. Brioche merupakan roti yang lebih lembut, kaya dan bermentega.

Ia juga berasal dari Perancis dan biasanya mengandungi lebih banyak telur serta mentega berbanding roti biasa. Sebab itu warna brioche lebih kekuningan dan teksturnya sangat lembut, ringan serta sedikit manis.

Disebabkan kandungan lemak dan telur yang lebih tinggi, brioche terasa lebih mewah dan hampir menyerupai gabungan antara roti dan pastri.

Brioche sering digunakan untuk hidangan sarapan seperti French toast kerana ia mampu menyerap campuran telur dan susu dengan baik tanpa mudah hancur. Ia juga popular dijadikan bun burger kerana teksturnya lembut tetapi masih cukup kukuh untuk memegang inti.

Sesuai dimakan dengan:
French toast, burger, mentega, jem, telur, madu atau dimakan begitu sahaja.

3. Ciabatta

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Ciabatta ialah roti yang berasal dari Itali dan terkenal dengan bentuknya yang agak leper, memanjang dan rustic.

Ads

Bahagian luarnya mempunyai kerak yang rangup, manakala bahagian dalamnya lebih kenyal dengan rongga udara yang besar dan tidak sekata. Ciri inilah yang menjadikan ciabatta mudah dibezakan daripada roti biasa.

Doh ciabatta biasanya mempunyai kandungan air yang agak tinggi, sebab itu teksturnya lebih berongga dan sedikit chewy.

Roti ini sangat sesuai digunakan untuk sandwic kerana strukturnya mampu menampung inti seperti ayam panggang, keju, sayur dan sos tanpa mudah menjadi lembik.

Ciabatta juga sedap dicicah dengan minyak zaitun atau dimakan bersama sup.

Sesuai dimakan dengan:
Panini, sandwich, minyak zaitun, keju, pesto, ayam panggang atau sup.

4. Sourdough

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Sourdough pula bukan merujuk kepada bentuk tertentu, tetapi kepada kaedah fermentasi yang menggunakan starter semula jadi.

Starter ini biasanya dibuat daripada campuran tepung dan air yang dibiarkan mengalami fermentasi sehingga menghasilkan yis liar dan bakteria asid laktik.

Proses ini memberikan sourdough rasa masam yang menjadi identiti utama roti ini. Namun tahap masam boleh berbeza bergantung kepada jenis starter, masa fermentasi dan teknik pembuatannya.

Sourdough biasanya mempunyai kerak luar yang tebal dan rangup, manakala bahagian dalamnya kenyal dengan rongga udara yang tidak sekata.

Teksturnya membuatkan sourdough sangat sesuai dijadikan toast atau dimakan bersama topping yang ringkas.

Ads

Sesuai dimakan dengan:
Avocado, telur, butter, keju, sup, tomato atau dijadikan toast.

5. Focaccia

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Focaccia juga berasal dari Itali tetapi rupanya sangat berbeza daripada ciabatta.

Roti ini biasanya berbentuk leper dan tebal dengan permukaan yang mempunyai lekukan-lekukan kecil hasil tekanan jari pada doh sebelum dibakar.

Minyak zaitun merupakan antara bahan penting dalam pembuatan focaccia. Ia membantu menghasilkan tekstur lembut, moist dan harum.

Bahagian atas focaccia juga sering dihias dengan bahan seperti rosemary, garam kasar, tomato ceri, bawang, buah zaitun atau herba lain.

Berbanding ciabatta yang lebih chewy dan rangup, focaccia biasanya lebih lembut dan mempunyai rasa minyak zaitun yang lebih ketara.

Ia boleh dimakan begitu sahaja, dijadikan pembuka selera atau dibelah untuk dijadikan sandwich.

Sesuai dimakan dengan:
Sup, salad, keju, antipasto, minyak zaitun atau dijadikan sandwich.

6. Wholemeal Bread

6 Jenis Roti Popular & Perbezaannya Yang Menarik Wajib Tahu

Ads

Wholemeal bread pula sedikit berbeza daripada lima roti sebelum ini kerana istilah “wholemeal” merujuk kepada penggunaan tepung gandum penuh.

Anda mungkin berminat dengan

Tepung wholemeal menggunakan bahagian gandum yang lebih lengkap termasuk bran dan germ. Sebab itu warna roti ini biasanya lebih gelap berbanding roti putih.

Teksturnya juga cenderung lebih padat dan mempunyai rasa gandum yang lebih kuat.

Wholemeal bread biasanya mengandungi lebih banyak serat berbanding roti yang dibuat menggunakan tepung putih bertapis, bergantung kepada resipi dan kandungan sebenar produk.

Roti ini cukup mudah digunakan untuk sarapan atau makan tengah hari kerana sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis inti.

Sesuai dimakan dengan:
Telur, tuna, ayam, keju, avocado, peanut butter atau dijadikan sandwich.

Jadi, Apa Beza Paling Mudah Nak Ingat?

Kalau masih keliru dengan jenis roti yang berbeza ini, cuba ingat melalui karakter utama setiap roti.

Baguette panjang dan rangup. Brioche lembut, gebu serta bermentega. Ciabatta pula lebih rustic dan mempunyai rongga udara yang besar. Sourdough terkenal dengan rasa masam hasil fermentasi semula jadi, manakala focaccia lembut, leper dan kaya dengan minyak zaitun. Wholemeal pula mudah dikenali melalui tekstur yang lebih padat dan penggunaan tepung gandum penuh.

Walaupun sesetengah roti nampak hampir sama dari jauh, rasa dan teksturnya sebenarnya sangat berbeza apabila dimakan.

Jadi, bila singgah ke bakeri selepas ini, bolehlah pilih roti berdasarkan cara anda mahu menikmatinya. Kalau mahu buat sandwic, ciabatta atau baguette antara pilihan yang menarik. Untuk sarapan yang lebih lembut dan indulgent, brioche boleh dipilih. Kalau suka toast dengan tekstur kenyal, sourdough pula mungkin lebih kena dengan selera.

Yang penting, lain roti, lain karakter dan lain juga cara paling sedap untuk menikmatinya.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Roti Arab Gebu & Sedap, Resipi Mudah 6 Bahan Memang Puas Hati!

Puding Roti Sos Kastard Paling Sedap, Lembut & Berkrim Confirm Jadi

Salt Bread: Sejarah, Resipi Shio Pan & Rahsia Hasil Roti Lembut, Gebu Bermentega

Dapatkan resipi, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Menu Lain

Ashhryshoshedap Terima Sijil Halal JAKIM, Ashhry Atan Buat Kejutan Belanja 1,000...

Ashhryshoshedap terima sijil halal JAKIM! Ashhry Atan raikan kejayaan dengan belanja hampir 1,000 pengunjung sarapan percuma dan tawar diskaun 50%.