Ikan masin juadah pemecah selera di bulan puasa, terutamanya semasa bersahur.  Rasa masin, pedas dan masam sememangnya mengundang selera terutamanya waktu sahur. Memang memang terbaik, senang pulak tu nak masak. Apa tunggu lagi jomlah masak…

IKAN MASIN KURAU MASAK CUKA

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm ikan masin kurau | potong empat segi
  • 2 biji bawang besar | dipotong baji
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 6-8 biji cili padi | dibelah hujung
  • 3cm halia muda | dihiris memanjang halus
  • 2 sudu makan
  • 1 sudu sos cili
  • Gula secukup rasa
  • Garam jika perlu
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Rendam ikan masin lebih kurang lima minit, kemudian cuci bersih dan toskan.
  2. Panaskan minyak. Goreng ikan masin atas api sederhana, kemudian ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan hirisan sehingga layu. Masukkan sos cili dan cuka, gaul rata.
  5. Masukkan ikan masin yang telah digoreng.
  6. Perasakan dengan sedikit garam dan gula.
  7. Angkat dan hidangkan panas-panas.

IKAN MASIN BERLADO

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm ikan masin Talang | dipotong dadu
  • 1 biji bawang besar | dihiris bulat
  • 3 ulas bawang merah | dikisar kasar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar kasar
  • 2cm halia muda | dikisar kasar
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • 4 sudu besar pes cili kering
  • 1 sudu makan sos cili
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Rendam ikan masin lebih kurang lima minit. Cuci bersih dan toskan.
  2. Panaskan minyak. Goreng ikan masin dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan kisar hingga wangi kemudian masukkan pes cili.
  5. Kacau hingga pecah minyak dan masukkan air asam jawa.
  6. Kemudian masukkan ikan masin yang telah digoreng tadi.
  7. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  8. Angkat dan hidangkan.

IKAN SEPAT MASIN MASAK ASAM

BAHAN-BAHAN:

  • 4 ekor ikan sepat masin | diotong dua atau tiga
  • 1 biji bawang besar | dihiris bulat
  • 2 ulas bawang merah | dicincang
  • 2 ulas bawang putih | dicicang
  • 2cm halia muda |dihiris memanjang
  • 6-8 biji cili padi | dibelah hujung cili
  • 3 sudu air asam jawa
  • 1 sudu makan sos cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan masin dan toskan.
  2. Panaskan minyak, goreng ikan masin hingga garing dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bawang merah, bawang putih cincang bersama hirisan halia hingga wangi.
  5. Masukkan cili, hirisan bawang besar dan air asam jawa.
  6. Kemudian masukkan ikan masin yang telah digoreng.
  7. Lengkapkan rasa dengan sedikit garam dan gula.
  8. Angkat dan hidangkan.

IKAN TENGGIRI JERUK GORENG BAWANG CILI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan tenggiri jeruk | dipotong empat
  • 1 biji bawang  besar | dihiris
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 2cm halia muda | dihiris
  • 8 biji cili padi | dititik
  • 6 biji tomato ceri | dibelah 4
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan masin dan toskan.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan masin, kemudian piring dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan sedikit. Tumiskan bahan hirisan hingga wangi.
  4. Masukkan air asam jawa dan lengkapkan rasa dengan garam dan gula.
  5. Kemudian tuangkan bahan tumisan atas ikan masin yang telah digoreng tadi.
  6. Hidangkan panas-panas.

IKAN MASIN SAMBAL PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm isi ikan masin jenahak | dipotong dadu
  • 100gm isi petai
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 3 ulas bawang merah | dikisar kasar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar kasar
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • 1 sudu makan sos cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Cuci ikan masin dan petai kemudian toskan berasingan.
  2. Panaskan minyak goreng ikan masin dan petai secara berasingan dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bawang merah dan putih kisar hingga wangi kemudian masukkan pes cili.
  5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan pecah minyajk.
  6. Masukkan ikan masin dan petai kemudian gaul rata.
  7. Tutup api dan hidangkan.