Untitled design - 2019-09-03T150333.850

Minat yang mendalam dalam bidang masakan membuatkan Rozita Hasan atau lebih dikenali dengan panggilan Che Ta Sintok oleh warga laman instagram, 41 tahun membuka akaun Instagram untuk berkongsi resipi-resipi yang telah dicuba dan yang sentiasa menjadi kegemarannya.

“Suami dan anak-anak sangat menyokong minat saya yang mendalam dalam bidang masakan ini. Kawan-kawan sekerja juga sentiasa memahami akan kecenderungan saya dalam perkongsian ini dan memberikan mereka peluang untuk mencuba resipi-resipi baru beserta tip yang saya kongsikan.”ceritanya.

Bertugas sebagai Pegawai SISC+ (School Improvement Specialist Coaches) di Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan dikurniakan tiga orang putera. Bagi mengisi masa santainya, selain memasak dia juga minat dalam aktiviti hiking serta aerobik.

Minat memasak telah wujud sejak dari kecil seawal sekolah rendah, bermula dengan membantu ibunya membuat kuih-muih tradisional untuk dijual dan kemudiannya dia menyambung pengajian dalam bidang Bakery and Confectionary di sekolah vokasional. Dengan asas yang ada, alhamdulillah minat itu semakin berkembang dan walaupun selepas itu dia bergelar guru Matematik, namun minat memasak tidak pernah terpadam dan sentiasa kekal subur dalam hati.

“Orang pertama yang mengajar saya tentang ilmu memasak tentulah ibu saya sendiri iaitu Hajah Che Normah dan menu pertama yang diajar adalah “gulai ikan temenung”. Dia sangat mementingkan kualiti sesuatu masakan yang dihasilkan,” akui Che Ta.

Akaun Instagram @cheta_78 dibuka pada 10 Mac 2018. Jika di laman Instagram semua menu masakannya akan dirujuk dengan menggunakan hashtag #menuchetasintok dan untuk mendapatkan resipi boleh diakses melalui hashtag #resepichetasintok. Rakan-rakan instagram selalu mengusik saya dengan panggilan “ratu chiffon” yang mana merujuk kepada kek-kek chiffon yang selalu dihasilnya.
Akaun instagram dipenuhi dengan gambar-gambar roti, kek, donut dan brownies, sesekali ada juga diselitkan dengan gambar lauk pauk dan kuih muih tradisional.

Rutin memasaknya bermula pada waktu petang selepas habis waktu bekerja dan biasanya bagi masakan yang mengambil masa yang lama untuk disiapkan seperti roti, dia akan memasaknya di hujung minggu. Idea-idea makanan yang dihasilnya hasil daripada bacaan di internet, facebook, rakan-rakan IG yang juga berkongsi minat yang sama dan ada juga idea yang datang dari suami dan anak-anak yang suka mencari resipi dari internet dan memintanya untuk cuba membuat. Tak dilupakan juga banyak idea saya juga datang daripada resipi-resipi yang dikongsi di dalam majalah terutamanya Majalah Rasa.

Hidangan wajib yang selalu diminta oleh ahli keluarga adalah brownies kedut, laksa dan juga Bihun Soto. Menu ini wajib dibuat sekiranya ada ahli keluarga atau saudara mara datang bertandang. Mereka akan memberitahu lebih awal untuk menyediakan menu ini kerana bimbang jika saya tidak dapat menyiapkannya nanti.

“Pada pendapat saya air tangan ibu adalah yang terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ianya dihasilkan dengan penuh kasih sayang dan yang penting dijamin kualiti kebersihan dari setiap sudut penyediaannya. Justeru, saya selalu pastikan saya akan memasak sekiranya ada waktu terluang supaya anak-anak akan selalu merasa rindu akan air tangan ibu walau di mana mereka berada suatu masa nanti.

Bagi saya air tangan ibu amat penting kerana setiap masakan yang dihasilkan selalunya adalah secara bersama-sama dengan anak-anak. Walaupun anak-anak saya semuanya lelaki, namun mereka tidak kekok membantu saya dari segi persediaan bahan, memasak seterusnya sehingga ke bahagian fotografi juga. Ini adalah kerana saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa ilmu memasak bukan hanya perlu dikuasai oleh wanita, malah lelaki juga perlu mempunyai ilmu yang sama bagi membantu meringankan beban di dapur.

Bagi merakamkan setiap resipi yang dihasilnya, dia menggunakan telefon pintar lalu dikongsi di laman Instagram. Setiap gambar yang diambil, dia akan meminta pendapat suami atau anak-anak untuk membuat pilihan gambar yang cantik sebelum dikongsikan di laman Instagram. Mereka adalah orang terpenting dalam memberi kritikan membina kepadanya dalam usaha untuk berkongsi yang terbaik dengan rakan-rakan di instgram.

Ilham Minum Petang Dari Che Ta
Roti Arab
Bahan-bahan:

  • 440gm tepung roti
  • 60gm tepung wholemeal
  • 10gm yis
  • 50gm gula kastor
  • 5gm bread improver
  • 50gm butter/margerin
  • 290-300 ml air ais + 2 sudu makan susu pekat.
  • 5gm garam

Cara memasak:

  1. Satukan bahan dan uli hingga doh licin dan elastik.
  2. Perap doh selama sejam atau hingga naik dua kali ganda.
  3. Tumbuk-tumbukkan doh dan timbangkan adunan 110gram setiap satu. Boleh guna ring roti arab untuk dapatkan bentuk bulat.
  4. Dah siap bentuk, biarkan naik dua kali ganda atau perapkan selama 30 minit.
  5. 15 minit sebelum tempoh perapan tamat, panaskan oven suhu 180 C.
  6. Dah siap perap, boleh dibakar selama 20 minit atau hingga keperangan.
  7. Roti arab boleh dimakan dengan kari, sambal sardin atau sambal ikan bilis.

Ilham Minum Petang Dari Che Ta

Bomboloni

Bahan A

  • 500gm Japanese high protein flour
  • 80gm gula kastor
  • 25gm susu tepung
  • 1/2 sudu besar baking powder
  • 8gm yis
  • 30gm potato flakes / kentang lenyek

Bahan B

  • 1 biji telur
  • 190gm air sejuk
  • 80gm susu segar | sejuk

(Campurkan bahan B dan masukkan sedikit demi sedikit – tambah air dengan sudu jika doh masih keras)

Bahan C

  • 50gm butter
  • 8gm garam

Cara memasak:

  1. Uli bahan A dan B hingga bergaul rata. Masukkan bahan C dan uli hingga elastik dan doh nampak berminyak. Perap hingga naik dua kali ganda. Tumbuk doh dan masukkan dalam chiller semalaman.
  2. Keluarkan doh. Biarkan suhu bilik 20 minit. Timbang 30gm dan bentukkan bulat dan perap lagi. Goreng dengan api sederhana.
  3. Apa2 jenis donut perlukan teknik dan kesabaran selain dari anggaran cecair dan juga resipi yang betul.
  4. Terlebih proofing, doh jadi kempis. Kurang proofing donut tak naik gebu.Perhatikan dan kenalpasti perubahan doh, bila boleh digoreng. Saya tak dapat nak bagitau berapa minit masa proofing sebab suhu bilik tempat kita tak sama.
  5. Goreng sekali sahaja untuk dapatkan ring. Api sederhana.
  6. Gunakan bread flour untuk dapatkan donut yang lembut ,ringan dan tahan lama kelembutannya.

KRIM COKLAT
Bahan – bahan :

  • 40gm coklat masakan
  • 300gm susu segar
  • 40gm gula
  • 30gm tepung jagung
  • 12gm mentega
  • 18gm serbuk koko

Cara memasak:

1 Campurkan susu segar, tepung jagung dan serbuk koko ke dalam periuk dan kacau sehingga tepung jagung tidak berketul.
2 Masak atas api sederhana sambil dikacau sekejap .
3 Kemudian masukkan coklat yang dipotong bersama gula. .
4 Kacau sehingga pekat dan licin. .
5 Tutup api dan masukkan mentega. Kacau sebati.
6 Sejukkan dan sedia digunakan. Tekstur krim coklat ini akan semakin pekat apabila sejuk.

Ilham Minum Petang Dari Che Ta
DOUBLE CHOCOLATE MUFFINS
Bahan-bahan:

  • 2 cawan (250gm) tepung serbaguna
  • 1 cawan (200gm) gula kastor / gula perang
  • 1/2 cawan (60gm) serbuk koko
  • 1 1/4 tsp baking soda
  • 1/2 tsp garam
  • 1/2 cawan (125ml) minyak jagung
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan (125ml) susu segar
  • 1/2 cawan (130gm) sour cream
  • 1 tsp vanilla essence
  • 1 cawan (175gm) semi-sweet chocolate chunks or chips, plus more for topping

Cara memasak:

  1. Panaskan oven pada 200C dan lapikkan 12-cup muffin pan dengan cawan mufin kertas.
  2. Dalam mangkuk besar, campurkan tepung, serbuk koko, baking soda dan garam. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk sederhana, masukkan minyak, gula, telur, susu, sour cream dan vanilla esen. Kacau menggunakan hand wisk.
  4. Masukkan adunan cecair ke dalam adunan kering dan kacau hingga sebati. Kacau dengan perlahan dan masukkan chocolate chips.
  5. Sendukkan adunan ke dalam cawan mufin. Bakar selama 15-18 minit atau hingga masak.

Jgn overbeat kacau adunan supaya mufin lebih ringan tekstur
Jgn terlebih bakar supaya mufin tak kering
Guna telur yang segar untuk dapatkan hasil yang baik.
Kenali suhu oven anda supaya dapat suhu tepat dan masa yang tepat untuk mufin


Ilham Minum Petang Dari Che Ta
Walnut Fudgy Brownies

Bahan A
150 gm dark chocolate compound / coins
60gm mentega
30gm minyak
cairkan secara double boiler

Bahan B
75gm tepung gandum
25gm susu tepung
35gm serbuk koko
campurkan lalu diayak

Bahan C
2 biji telur
150gm gula halus
1 tsp esen vanila

Bahan D
Walnut (secukupnya)

Cara memasak:

  1. Panaskan oven pada suhu 180 darjah.
  2. Gliskan loyang 7” dan lapikkan baking paper.
  3. Pukul guna whisk Bahan C sampai gula larut.
  4. Masukkan bahan A gaul rata.
  5. Akhir sekali masukkan bahan B dan gaul hingga sebati.
  6. Masukkan dalam loyang, ratakan serta susun walnut di atas adunan.
  7. Kemudian bakar selama 30-40 minit atau hingga masak (masa bergantung pada oven masing2)

Ilham Minum Petang Dari Che Ta

Double Cheese Chiffon Cake
Bahan A:
6 kuning telur
140gm tepung superfine | ayak
100gm cream cheese
30gm serbuk keju parmesan
1/2 sudu teh garam
125ml susu cair
80gm mentega | cairkan

Bahan B:
6 biji putih telur
130gm gula pasir
1 sudu makan jus lemon

Cara memasak:

  1. Panaskan oven suhu 180°c, sediakan loyang chiffon 22cm .
  2. Double boil susu, garam dan cream cheese sampai cair, tapis supaya tidak berketul.
  3. Tunggu sampai wap panas hilang, masukkan telur satu persatu sambil dikacau dengan whisk.
  4. Tambahkan mentega cair, kacau rata dan yang terakhir masukkan tepung, kacau rata. Jangan over mix, ketepikan.
  5. Putar putih telur, air lemon dan gula pasir sampai mengembang, glossy dan mulai kental.
  6. Campur adunan putih telur ke campuran kuning telur dan kaup balik sampai rata. Jangan over mix.
  7. Tuang adunan ke dalam loyang chiffon.
  8. Bakar sehingga masak dalam 45 minit. Apabila telah masak, Segera keluarkan dari oven dan terbalikkan loyang, sejukkan.

Ilham Minum Petang Dari Che Ta
Mi Kuah Tulang

Bahan-bahan:
1 biji bawang Holland
1 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
½ inci halia
2 biji tomato

Potong semua bahan di atas dan tumis sehingga naik bau. Kisar semua bahan tersebut. Asingkan.

Cili kering kisar
1 biji kentang russet
2 biji keledek merah
daging / tulang
asam keping
1 tin tomato soup
susu pekat
garam
gula

Cara memasak:

  1. Di dalam periuk, didihkan air, masukkan daging / tulang, rebus sekali dengan kentang dan keledek. Apabila kentang dan keledek dah empuk, angkat dan kisarkan.
  2. Masukkan bahan kisar, 3 senduk cili kisar, 1 tin tomato soup, 2 keping asam, kentang dan keledek yang dikisar, garam, 5 sudu besar susu pekat, 1 senduk sos cili.
  3. Apabila mendidih, masukkan gula secukup rasa.
  4. Biarkan hingga mendidih.
  5. Boleh dihidang dengan mi dan bahan-bahan sampingan yang sesuai.
Foto: Koleksi peribadi Puan Rozita Hasan
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI