Rasa kini berada di dalam aplikasi   
Rasa kini berada di dalam aplikasi   
Home Berita Homemade Nasi Kandar Eksklusif, Buka Hanya Sehari Dalam Seminggu. Wajib Kena Rasa...

Homemade Nasi Kandar Eksklusif, Buka Hanya Sehari Dalam Seminggu. Wajib Kena Rasa Ni!

SETIAP Ahad seawal pukul 2 pagi, Rogayah Ali sudah mula bersedia bagi memastikan nasi kandar disiapkan supaya gerai di halaman rumahnya dapat dibuka pada pukul 6.30 pagi. Apabila tiba jam 6.15 pagi, Rogayah menyiapkan meja dan kerusi di halaman rumahnya, menyusun juadah nasi kandar seperti nasi putih, kari ikan, daging kicap, ayam goreng, sambal udang, terung, bendi, telur rebus dan pelbagai lagi sebelum pelanggan datang selepas selesai menunaikan sembahyang Subuh.

“Pelanggan saya datang awal lepas Subuh, 6.30 pagi depa dah sampai,” kata Rogayah

Sejak 15 tahun lalu, selepas kedua ibu bapanya, Ali dan Rashidah tidak lagi mengusahakan kedai nasi kandar di SS13, Subang Jaya kerana sukar membawa masuk pekerja asing, atas permintaan pelanggan-pelanggan setia, perniagaan itu dibawa pulang ke rumah.

“Home-made nasi kandar” yang diusahakan Rogayah secara bersendirian selepas ibu dan bapanya meninggal dunia itu, hanya diketahui oleh “mereka yang mengetahuinya.” Pelanggan setia Rogayah bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu ataupun “mamak”, tetapi juga dari kaum lain seperti Cina dan India.

Kebanyakan mereka berasal dari Pulau Pinang, pernah makan dan mengenali ibu bapa Rogayah yang pernah berniaga di negeri itu pada tahun 1970-an sebelum mereka berhijrah ke Kuala Lumpur. Yang menariknya, gerai nasi kandar di rumahnya di USJ 11 di Subang Jaya itu hanya dibuka pada hari Ahad bermula jam 6.30 hingga 9.30 pagi.

“Saya buka seminggu sekali supaya ada eksklusif, tetapi jika mereka mahu pada hari lain, mereka boleh pesan daripada saya,” kata wanita berusia 62 tahun itu yang turut menawarkan khidmat katering untuk pelbagai juadah makanan Pulau Pinang selain nasi kandar. “Pelanggan saya tahu tentang nasi kandar saya dari mulut ke mulut dan ada juga yang makan di sini dari kecil sehingga dewasa.”

Apabila ditanya apakah nama sebenar gerainya, Rogayah berkata: “Ada orang panggil kedai Pak Ali, ada yang panggil Warung Seri Pinang, ada yang panggil Nasi Kandar Gayah, terpulanglah kepada mereka.” Ismail Kamal Abdul Rahman, 52, yang dianggap Rogayah seperti keluarganya tidak pernah gagal untuk hadir bersama keluarganya setiap hari Ahad.

IKLAN

“Yang paling special ialah kari ikan. Kerana kari ikan ini ditumis selama dua hingga tiga jam untuk pecahkan minyak. “Saya tahu kerana saya juga memasak, apabila kita makan Nasi Kandar Pak Ali ni, kita akan rasa keikhlasan masakannya,” kata bekas kakitangan Malaysia Airlines itu.

Homemade Nasi Kandar Eksklusif, Buka Hanya Sehari Dalam Seminggu. Wajib Kena Rasa Ni!
Gambar: The Malaysian Insight

30 Tahun Makan Masakan Rogayah

Bagi Leonard Tan, 50, beliau sendiri sudah lebih kurang 30 tahun makan masakan keluarga Rogayah. “Jika ada orang boleh datang sini, selama 30 tahun, apa anda fikir tentang makanan di sini? “Tidakkah anda fikir ini merupakan perkara terbaik pernah berlaku di dunia ini?” kata Tan.

Pesara tentera Kung Boon Chin, 69, juga antara pelanggan setia nasi kandar keluarga Rogayah selama hampir 30 tahun. “Nasi kandar di sini, tidak sama seperti nasi kandar yang ada dekat kedai. Sesetengah nasi kandar yang ada dekat kedai, dia punya bau rempah kuat. “Di sini, saya tak tahu macam mana dia buat, mungkin dia buat sendiri, kisar (rempah) sendiri, jadi rasa nasi kandarnya berbeza. “Lauk dia, dia punya daging, tak keras macam komando, ikan pun segar. Kalau ikan tak segar, dia lembut tak sedap,” katanya.

Mustapha Kamal Abdul Rahman, 67, berkata masakan Rogayah tidak berbeza dengan masakan ibunya dahulu. “Saya kenal Pak Ali (ayah Rogayah) dari Pulau Pinang. Waktu dia berniaga belakang Imigresen. Jadi sudah lebih 40 tahun saya makan masakan keluarga mereka,” katanya. “Rasa nasi kandar Pak Ali ni lebih kepada citarasa Pulau Pinang, tak macam yang lain-lain. Berbanding dengan Nasi Kandar Kudu tu semua, sini lebih sedap kerana ia ‘home made nasi kandar’,” katanya.

IKLAN

Sementara Nur Hajar Fatehah Ismail, 24, sudah makan nasi kandar masakan keluarga Rogayah sejak “mula belajar makan” kerana dibawa keluarganya sejak kecil. “Kat sini semua sedap terutamanya kari ikan dan sambal udang. Saya suka juga Nasi Kandar Kudu di Kuala Lumpur, tapi tak boleh lawan di sini,” katanya.

Pelanggan yang datang selepas 9.30 pagi akan pulang dengan kecewa kerana nasi kandar dan lauk pauknya sudah licin “dikerjakan” pelanggan-pelanggan yang datang lebih awal.

IKLAN
Homemade Nasi Kandar Eksklusif, Buka Hanya Sehari Dalam Seminggu. Wajib Kena Rasa Ni!
Gambar: The Malaysian Insight

Bersedia Turunkan Resepi Pada Yang ‘Sanggup’

Rogayah tidak kedekut untuk mengajar resepi masakan keluarganya kepada yang sanggup belajar dan mempunyai kesabaran. Ini kerana Rogayah bimbang jika resepi masakan keluarganya itu tidak diteruskan kerana setakat ini, dalam kalangan keluarga terdekatnya, tiada siapa yang sanggup dan sabar untuk belajar. “Anak-anak buah saya semua tak mahu belajar. Mereka tak sanggup. Mereka lihat saya bangkit pukul 2.00 pagi untuk buat semua ni, untuk potong bawang, depa kata tak payahlah. “Saya bimbang juga tiada siapa yang warisi resepi masakan keluarga kami selepas saya tiada. Rogayah tidak keberatan untuk mengajar sesiapa sahaja memasak asalkan mereka sanggup. “Sesiapa sahaja boleh. Bukan susah pun, tetapi mereka mesti ada minat, mesti kena sabar dan juga pembersih. “Tak ada rahsia-rahsia dalam resepi keluarga saya, saya bersedia untuk berkongsi dengan sesiapa saja,” katanya.

 

Sumber & gambar: The Malaysian Insight

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI